Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh jelaskan berkenaan sifat-sifat hujan sebagai yang disebut di dalam al-Quran?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Allah SWT menggambarkan hujan dalam al-Quran dengan beberapa sifat, antaranya:
Pertama: Tahur (طهور) iaitu bersih lagi suci. Firman Allah SWT:
وَأَنزَلْنَا مِنَ السَّمَاءِ مَاءً طَهُورًا
Maksudnya: “Dan Kami menurunkan dari langit: air yang bersih suci.”
(Surah al-Furqan: 48)
Kedua: Mubarak (مبارك) iaitu diberkati atau banyak faedahnya. Firman Allah SWT:
وَنَزَّلْنَا مِنَ السَّمَاءِ مَاءً مُّبَارَكًا فَأَنبَتْنَا بِهِ جَنَّاتٍ وَحَبَّ الْحَصِيدِ
Maksudnya: “Dan juga Kami telah menurunkan dari langit air (hujan) yang banyak faedahnya, lalu Kami tumbuhkan dengan air itu pokok-pokok tanaman (buah-buahan) dan biji-bijian yang dituai.”
(Surah Qaf: 9)
Ketiga: Furat (فرات) iaitu air tawar lagi menyegarkan/memuaskan orang yang dahaga. Firman Allah SWT:
وَجَعَلْنَا فِيهَا رَوَاسِيَ شَامِخَاتٍ وَأَسْقَيْنَاكُم مَّاءً فُرَاتًا
Maksudnya: “Dan Kami telah jadikan di bumi: gunung-ganang yang menetapnya, yang tinggi menjulang; dan Kami telah memberi minum kepada kamu air yang tawar lagi memuaskan dahaga.”
(Surah al-Mursalat: 27)
Maknanya ialah air yang segar lagi menyegarkan, yang turun dari awan atau daripada apa yang Allah pancarkan daripada mata air di bumi. (Lihat Tafsir al-Qur’an al-‘Azim, 8/304; Madarik al-Tanzil wa Haqa’iq al-Ta’wil, 3/586).
Keempat: Thajjaj (ثجّاج) iaitu air yang mencurah-curah. Firman Allah SWT:
وَأَنزَلْنَا مِنَ الْمُعْصِرَاتِ مَاءً ثَجَّاجًا
Maksudnya: “Dan Kami telah menurunkan dari awan, air (hujan) yang mencurah-curah.”
(Surah al-Naba’: 14)
Menurut al-Nasafi lafaz “مَاءً ثَجَّاجًا” adalah merujuk kepada air yang mencurah-curah dengan banyak. (Lihat Madarik al-Tanzil wa Haqa’iq al-Ta’wil, 3/590). Ibn Kathir menukilkan daripada Mujahid, Qatadah, dan al-Rabi‘ bin Anas bahawa “thajjajan” (ثَجَّاجاً) bermaksud air yang mengalir deras. Al-Thauri pula berpendapat, ia bermaksud berturut-turut. Manakala Ibn Zaid berpendapat, ia bermaksud banyak. Kemudian, Ibn Jarir menjelaskan, dalam penggunaan bahasa Arab, perkataan thajj (الثَّجُّ) tidak digunakan untuk menggambarkan banyaknya sesuatu, tetapi ia merujuk kepada aliran yang berturutan dan berterusan. (Lihat Tafsir al-Qur’an al-‘Azim, 8/308).
Kelima: Rahmat. Firman Allah SWT:
وَهُوَ الَّذِي يُرْسِلُ الرِّيَاحَ بُشْرًا بَيْنَ يَدَيْ رَحْمَتِهِ
Maksudnya: “Dan Dialah (Allah) yang menghantarkan angin sebagai pembawa berita yang menggembirakan sebelum kedatangan rahmatnya (iaitu hujan).”
(Surah al-A‘raf: 57)
Menurut al-Qasimi dan al-Baidhawi, rahmat dalam ayat di atas adalah merujuk kepada hujan. (Lihat Mahasin al-Ta’wil, 5/106; Anwar al-Tanzil wa Asrar al-Ta’wil, 3/17).
Terdapat riwayat daripada Aisyah R.Anha, beliau berkata:
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم إِذَا رَأَى الْمَطَرَ يقول: رَحْمَةٌ
Maksudnya: “Rasulullah SAW apabila melihat hujan, Baginda akan mengucapkan: ‘Itulah Rahmat (daripada Allah).’”
Riwayat Muslim (899)
Keenam: Al-Raj‘ (الرَّجْع) iaitu kembali. Firman Allah SWT:
وَالسَّمَاءِ ذَاتِ الرَّجْعِ
Maksudnya: “Demi langit yang berulang-ulang mencurahkan hujan.”
(Surah al-Tariq: 11)
Ini kerana ia (langit) mengembalikan hujan tahun demi tahun. (Lihat al-Sihhah fi al-Lughah, 1/332; Mukhtar al-Sihhah, 1/115; al-Muhkam wa al-Muhit al-A‘zam, 12/111).
Al-Baidhawi ketika menafsirkan ayat ini menjelaskan, maksudnya adalah langit kembali dalam setiap kitaran ke tempat asal ia bergerak. Namun, ada juga yang berpendapat, al-Raj‘ (الرَّجْعِ) merujuk kepada hujan. Ia dinamakan demikian kerana Allah SWT mengembalikannya dari masa ke masa, sebagaimana ia juga disebut sebagai Awwaban (أَوَّباً) — yakni kembali. Atau ini berdasarkan pendapat bahawa awan membawa air dari laut dan kemudian mengembalikannya ke bumi. Berdasarkan tafsiran ini, perkataan langit (al-sama’) juga boleh merujuk kepada awan. (Lihat Anwar al-Tanzil wa Asrar al-Ta’wil, 5/304).
Ketujuh: Al-Wadq (الودْق). Firman Allah SWT:
أَلَمْ تَرَ أَنَّ اللَّهَ يُزْجِي سَحَابًا ثُمَّ يُؤَلِّفُ بَيْنَهُ ثُمَّ يَجْعَلُهُ رُكَامًا فَتَرَى الْوَدْقَ يَخْرُجُ مِنْ خِلَالِهِ
Maksudnya: “Tidakkah engkau melihat bahawasanya Allah mengarahkan awan bergerak perlahan-lahan, kemudian Dia mengumpulkan kelompok-kelompoknya, kemudian Dia menjadikannya tebal berlapis-lapis? Selepas itu engkau melihat hujan turun dari celah-celahnya.”
(Surah al-Nur: 43)
Perkataan al-Wadq dalam ayat di atas adalah merujuk kepada hujan yang keluar (yakni turun) di antara awan-awan tersebut (yakni di celah-celahnya). (Lihat Tafsir al-Qur’an al-‘Azim, 6/66).
Demikian juga terdapat syair yang berbunyi:
فَلَا مُزْنَةٍ وَدَقَتْ وَدْقَهَا … وَلا أرْضَ أبْقَلَ إبقالَهَا
“Tiada awan yang menurunkan titisannya (hujan),
dan tiada tanah yang menumbuhkan tumbuhannya.”
Dan wadaqa al-Matar (وَدَقَ الْمَطَرُ), yadiqu (يَدِقُ) wadqan (وَدْقًا): bermaksud titisan (hujan yang turun). (Lihat al-Jami‘ li Ahkam al-Qur’an, 12/289; Fath al-Qadir, 5/233).
Kelapan: Al-Rizq (الرزق) iaitu rezeki. Firman Allah SWT:
وَفِي السَّمَاءِ رِزْقُكُمْ وَمَا تُوعَدُونَ
Maksudnya: “Dan di langit pula terdapat (sebab-sebab) rezeki kamu, dan juga terdapat apa yang telah (ditakdirkan dan) dijanjikan kepada kamu.”
(Surah al-Zariyat: 22)
Ibn Kathir menukilkan riwayat daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma ketika menafsirkan ayat “وَفِي السَّمَاءِ رِزْقُكُمْ” bahawa ia merujuk kepada hujan, manakala ayat “وَمَا تُوعَدُونَ” pula adalah merujuk kepada syurga. (Lihat Tafsir al-Qur’an al-‘Azim, 7/391).
Dalam erti kata lain, dalam hujan terdapatnya rezeki kalian. Hujan dipanggil sebagai al-Sama’ (langit) kerana ia turun dari langit. (Lihat al-Jami‘ li Ahkam al-Qur’an, 17/41; Ma‘alim al-Tanzil 7/375; Tafsir al-Alusi, 19/376). Justeru, hujan adalah sebab kepada bekalan makanan.
Kesembilan: Al-Sayyib ( الصيّب). Firman Allah SWT:
أَوْ كَصَيِّبٍ مِّنَ السَّمَاءِ فِيهِ ظُلُمَاتٌ وَرَعْدٌ وَبَرْقٌ يَجْعَلُونَ أَصَابِعَهُمْ فِي آذَانِهِم مِّنَ الصَّوَاعِقِ حَذَرَ الْمَوْتِ
Maksudnya: “Atau (bandingannya) seperti (orang-orang yang ditimpa) hujan lebat dari langit, bersama dengan gelap-gelita, dan guruh serta kilat; mereka menyumbat jarinya ke dalam telinga masing-masing dari mendengar suara petir, kerana mereka takut mati.”
(Surah al-Baqarah: 19)
Al-Tabari meriwayatkan dengan sanadnya daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma berkenaan makna perkataan “كَصَيِّبٍ” bahawa ia merujuk kepada titisan hujan. (Lihat Jami‘ al-Bayan ‘an Ta’wil Ayi al-Qur’an, 1/334).
Abu Ja‘far berkata: “Al-Sayyib” adalah bentuk fay‘il daripada kata ṣāba (صَابَ), yang bermaksud hujan yang turun deras. Ia diambil daripada kata kerja yaṣūbu ṣawban (يَصُوبُ صَوْبًا), iaitu apabila sesuatu mengalir turun dan jatuh dari atas.
Begitu juga Abu Ja‘far al-Tabari turut menyebutkan, perkataan al-Sayyib (الصّيِّب) adalah bentuk al-Fai‘il (الفَيْعِل) daripada kata Saba al-Matar (صَاب المطر) Yasubu (يَصوب) Sauban (صَوبًا), iaitu apabila sesuatu mengalir turun dan jatuh dari atas. (Lihat Jami‘ al-Bayan ‘an Ta’wil Ayi al-Qur’an, 1/333).
Dalam hadith Aisyah R.Anha, disebutkan bahawa Rasulullah SAW, apabila melihat hujan, Baginda berdoa:
اللَّهُمَّ صَيِّبًا نَافِعًا
Maksudnya: “Ya Allah, cucurilah kami dengan hujan yang bermanfaat.”
Riwayat al-Bukhari (1032)
Syeikh Abdullah al-Bassam ketika mensyarahkan hadith di atas menyatakan, digalakkan (sunat) untuk membaca doa ketika turunnya hujan dan afdhalnya (sebaik-baiknya) adalah dengan doa ini kerana ia termasuk dalam doa-doa yang thabit untuk dibaca pada tempat ini — yakni ketika hujan. Seterusnya, beliau menyebutkan, lafaz al-Sayyib (الصَّيِّبُ) merujuk kepada hujan yang turun dengan banyaknya. Manakala al-Nafi‘ (النَافِعُ) pula bermaksud memberi manfaat kepada para hamba (manusia) dan negeri (tanah) dengan kesuburan dan kehidupan.
Menurut al-Tibi, doa ini mengandungi makna yang baik yang saling melengkapi. Ini kerana al-Sayyib iaitu hujan yang lebat ada kemungkinan ia membawa mudharat atau bahaya, manakala al-Nafi‘ pula telah mengecualikan atau mengeluarkan hujan lebat yang menakutkan atau berbahaya itu daripadanya. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/93).
Kesepuluh: Al-Ghaith (الغيث). Firman Allah SWT:
وَهُوَ الَّذِي يُنَزِّلُ الْغَيْثَ مِن بَعْدِ مَا قَنَطُوا وَيَنشُرُ رَحْمَتَهُ ۚ وَهُوَ الْوَلِيُّ الْحَمِيدُ
Maksudnya: “Dan Dia lah yang menurunkan hujan setelah mereka berputus asa, dan Dia pula menyebarkan rahmat-Nya merata-rata. Dan (ingatlah) Dialah pengawal (yang melimpahkan ihsanNya), lagi Yang Maha Terpuji.”
(Surah al-Syura: 28)
Allah SWT menjelaskan bahawa hujan ini diturunkan selepas manusia berputus asa daripada turunnya hujan, dan Allah menurunkannya pada waktu mereka sangat memerlukan dan dalam keadaan serba kekurangan. (Lihat Tafsir al-Qur’an al-‘Azim, 7/189).
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”