Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Apakah hubungan atau perkaitan (munasabah) antara Surah al-Fil dengan Surah sebelumnya, iaitu Surah al-Humazah? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, Tuhan sekalian alam, yang telah menurunkan al-Quran sebagai petunjuk dan rahmat bagi seluruh manusia. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, keluarga Baginda, para sahabat, dan seluruh umat Baginda yang mengikuti jalan kebenaran hingga Hari Akhirat.
Kami mulakan jawapan kami dengan menyatakan bahawa hubungan atau perkaitan antara surah-surah dalam al-Quran adalah satu aspek cabang ilmu yang menunjukkan keindahan susunan dan kesempurnaan al-Quran. Ia dipanggil sebagai ilmu munasabah. Dari segi bahasa ia merujuk kepada dua makna:
- Hubungan sesuatu dengan sesuatu yang lain.
- Keserupaan dan kemiripan.
Tidak terdapat perbezaan yang ketara antara kedua-dua makna tersebut, kerana makna kedua merupakan cabang daripada makna pertama. Hal ini kerana keserupaan dan kemiripan adalah salah satu bentuk hubungan atau sebab kepada hubungan tersebut. Sebagai contoh, apabila sesuatu mendekati atau menyerupai sesuatu yang lain, ia menjadi sebab kepada hubungan antara keduanya. (Lihat Maqayis al-Lughah, 5/423; al-Itqan fi ‘Ulum al-Qur’an, 3/371; al-Mu‘jam al-Wasit, 2/916; al-Bayyinat fi ‘Ilm al-Munasabat, hlm. 7-8)
Manakala dari segi istilah, ia telah didefinisikan dengan pelbagai definisi oleh ulama yang menulis dalam bidang ini. Salah satunya ialah definisi yang diberikan oleh Imam Badruddin al-Biqa‘i, yang menyatakan: “Ilmu yang daripadanya dapat diketahui sebab-sebab susunan.”[1] (Lihat Nazm al-Durar fi Tanasub al-Ayat wa al-Suwar, 1/5).
Begitu juga ada yang berpendapat, ia merujuk kepada hubungan antara ayat-ayat al-Quran atau antara surah-surah, disebabkan adanya perkara yang menyerupai atau mendekatkan antara keduanya. (Lihat ‘Ilm al-Munasabat wa Ahammiyatuhu fi Tafsir al-Quran al-Karim wa Kasyf I‘jazihi oleh Nuruddin ‘Itr, hlm. 6).
Selain itu, dikatakan juga ia bermaksud: Ilmu yang mengkaji makna-makna yang menghubungkan antara ayat-ayat sesama ayat, dan antara surah-surah sesama surah, sehingga dapat diketahui sebab-sebab susunan bahagian-bahagian al-Quran. (Lihat Masabih al-Durar fi Tanasub al-Ayat wa al-Suwar oleh ‘Adil Abu al-‘Ala’, hlm. 18).
Manakala dalam kitab Mabahith fi al-Tafsir al-Maudhu‘i oleh Mustafa Muslim (hlm. 58) dinyatakan bahawa ia bermaksud hubungan surah dengan surah sebelumnya dan selepasnya, manakala dalam ayat pula, ia bermaksud kaitan setiap ayat dengan ayat sebelumnya dan selepasnya.
Seterusnya, berbalik kepada soalan yang diajukan, berdasarkan kepada penelitian kepada perkaitan atau hubungan (munasabah) antara dua surah ini, iaitu Surah al-Humazah dan Surah al-Fil, sekurang-kurangnya terdapat tiga aspek utama yang dapat dikeluarkan daripadanya. Tiga aspek tersebut ialah:
Aspek Pertama: Keangkuhan dan Tipu Daya:
Dalam Surah al-Humazah, Allah SWT menyebut tentang keangkuhan orang yang terpedaya dengan harta mereka sehingga menyangka harta tersebut dapat memanjangkan hayat mereka dan akibat buruk daripada perkara tersebut. Firman Allah SWT:
وَيْلٌۭ لِّكُلِّ هُمَزَةٍۢ لُّمَزَةٍ ١ ٱلَّذِى جَمَعَ مَالًۭا وَعَدَّدَهُۥ ٢ يَحْسَبُ أَنَّ مَالَهُۥٓ أَخْلَدَهُ
Maksudnya: “Celakalah kepada semua pengumpat dan pencela. Yang mengumpulkan harta dan menghitung-hitungnya. Dia menyangka hartanya akan membuatnya kekal di dunia.”
(Surah al-Humazah: 1-3)
Hubungan ini diteruskan dalam Surah al-Fil, di mana Allah menceritakan tentang tentera bergajah (Ashabul Fil) yang terpedaya dengan jumlah mereka yang ramai dan kekuasaan mereka, sehingga mereka berani berniat untuk meruntuhkan Baitullah al-Haram (Kaabah). Allah SWT membalas keangkuhan mereka dengan kehancuran yang dahsyat dan menjadikan tipu daya mereka itu sia-sia. Firman Allah SWT:
أَلَمْ يَجْعَلْ كَيْدَهُمْ فِي تَضْلِيلٍ
Maksudnya: “Bukankah Dia menjadikan perancangan mereka sia-sia?”
(Surah al-Fil: 2)
Ini menunjukkan bahawa keangkuhan dan tipu daya sama ada melalui harta atau kekuasaan, akan menerima pembalasan daripada Allah SWT.
Aspek Kedua: Pemuliaan terhadap Rasulullah SAW:
Dalam Surah al-Humazah, Allah memuliakan Rasul-Nya dengan memberikan ancaman keras kepada musuh Baginda dalam tiga bentuk azab:
- Harta mereka tidak dapat memberi manfaat.
- Mereka dicampakkan ke dalam neraka al-Hutamah.
- Pintu azab ditutup ke atas mereka, tanpa peluang kelepasan.
Manakala dalam Surah al-Fil pula, Allah memuliakan Rasul-Nya dengan membalas tipu daya musuhnya melalui tiga perkara:
- Allah menjadikan rancangan mereka sia-sia.
- Allah mengirimkan burung-burung Ababil untuk membinasakan mereka.
- Allah menjadikan mereka seperti daun-daun yang dimakan (hancur lebur).
Kedua-dua surah ini menunjukkan kepada pemuliaan dan pemeliharaan Allah SWT terhadap Rasul-Nya.
Aspek Ketiga: Akibat Buruk bagi Golongan Melampaui Batas:
Aspek ketiga: Allah SWT menjelaskan dalam Surah al-Humazah akibat buruk bagi mereka yang melampaui batas terhadap orang lain melalui celaan dan penghinaan di akhirat, manakala dalam Surah al-Fil pula, Allah menjelaskan akibat buruk bagi mereka yang cuba menyerang Rumah Allah (Baitullah) di dunia melalui kehancuran dan kemusnahan mereka. (Lihat al-Bayyinat fi ‘Ilm al-Munasabat, hlm. 353).
Dalam Surah al-Humazah, Allah SWT menjelaskan berkenaan akibat buruk bagi mereka yang melampaui batas terhadap orang lain melalui celaan dan penghinaan di akhirat. Firman Allah SWT:
كَلَّا ۖ لَيُنۢبَذَنَّ فِى ٱلْحُطَمَةِ ٤ وَمَآ أَدْرَىٰكَ مَا ٱلْحُطَمَةُ ٥ نَارُ ٱللَّهِ ٱلْمُوقَدَةُ ٦ ٱلَّتِى تَطَّلِعُ عَلَى ٱلْأَفْـِٔدَةِ ٧ إِنَّهَا عَلَيْهِم مُّؤْصَدَةٌۭ ٨ فِى عَمَدٍۢ مُّمَدَّدَةٍۭ ٩
Maksudnya: “Tidak sama sekali. Dia akan dicampakkan ke dalam al-Hutamah. Adakah engkau tahu apa itu al-Hutamah? Ia api neraka Allah yang dinyalakan. Api yang membakar sampai ke hati-hati manusia. Sesungguhnya api itu ditutup rapat di atas diri mereka seolah ia mengepungnya. Sedang mereka diikat pada tiang-tiang yang disusun panjang.”
(Surah al-Humazah: 4-9)
Sebaliknya, dalam Surah al-Fil, akibat buruk tersebut dijelaskan dalam konteks dunia, iaitu kehancuran dan kemusnahan tentera bergajah yang melampaui batas dengan cuba menyerang Rumah Allah (Baitullah). Firman Allah SWT:
فَجَعَلَهُمْ كَعَصْفٍ مَّأْكُولٍ
Maksudnya: “Lalu Dia jadikan mereka seperti daun-daun yang dimakan ulat.”
(Surah al-Fil: 5)
Ini menunjukkan keseimbangan keadilan Allah di dunia dan di akhirat terhadap mereka yang melampaui batas.
Tiga aspek ini juga adalah sebagaimana dapat difahami, yang dikeluarkan oleh Fayez bin Sayyaf al-Suraih dalam kitabnya, al-Bayyinat fi ‘Ilm al-Munasabat (hlm. 353).
Kami juga katakan, kedua-dua surah menggambarkan, betapa kuasanya Tuhan boleh melakukan apa sahaja dengan cara yang tidak disangka oleh manusia yang menentang Tuhannya. Hal inilah yang terjadi dalam kedua-dua surah di mana akhirnya mereka terbungkam dan dibinasakan dalam keadaan kehinaan.
Kesimpulannya
Oleh yang demikian, berdasarkan kepada penjelasan di atas, kami simpulkan bahawa munasabah(perkaitan atau hubungan) antara Surah al-Fil dan Surah al-Humazah menunjukkan kesinambungan mesej yang dibawa oleh kedua-dua surah tersebut. Ia mengingatkan manusia tentang bahaya keangkuhan, sama ada melalui harta atau kekuasaan, dan menegaskan bahawa Allah SWT akan sentiasa membalas tipu daya dan kezaliman dengan keadilan yang sempurna.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama dan juga memberi manfaat dalam memahami keindahan susunan al-Quran serta hikmah di sebalik setiap firman-Nya. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوْذُ بِكَ مِنْ جَهْدِ البَلَاءِ، وَدَرَكِ الشَّقَاءِ، وَسُوءِ القَضَاءِ ، وَشَمَاتَةِ الأَعْدَاءِ
Maksudnya: “Wahai Allah! Kami berlindung kepada-Mu daripada ujian yang berat, hinanya kecelakaan, buruknya takdir dan celaan para musuh (atas bala, ujian dan kecelakaan yang menimpa).”
Nota hujung:
[1] yakni susunan surah-surah al-Quran, ayat-ayatnya, dan bahagian-bahagiannya.