#7625: Doa-Doa Ketika Hujan

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh jelaskan berkenaan doa-doa yang boleh diamalkan ketika hujan?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Antara sunnah ketika hujan turun adalah seperti berikut:

  1. Disunatkan membaca doa yang diajarkan oleh Baginda SAW, antaranya:
  • Diriwayatkan daripada ‘Aisyah R.Anha bahawa Rasulullah SAW apabila melihat hujan Baginda mengucapkan doa:

اللَّهُمَّ صَيِّبًا نَافِعًا

Maksudnya: “Ya Allah, cucurilah kami dengan hujan yang bermanfaat.”

Riwayat al-Bukhari (1032)

  • Mengucapkan Rahmat sebagaimana hadith yang diriwayatkan daripada ‘Aisyah R.Anha bahawa Rasulullah SAW apabila melihat hujan Baginda akan mengucapkan:

رَحْمَةٌ

Maksudnya: “Ini adalah Rahmat ”

 Riwayat Muslim (899)

  • Mengucapkan:

مُطِرْنا بفَضْلِ اللَّهِ ورَحْمَتِهِ

Maksudnya:Kami diberi hujan dengan kelebihan dan rahmat Allah

Riwayat al-Bukhari (846) dan Muslim (71)

  1. Doa umum ketika turunnya hujan:

Ia termasuk waktu-waktu yang mustajab untuk doa, seperti yang disebutkan dalam hadith:

 اطْلُبُوا اسْتِجَابَةَ الدُّعَاءِ عِنْدَ التِقَاءِ الْجُيُوشِ، وَإِقَامَةِ الصَّلَاةِ وَنُزُولِ الْغَيْثِ

Maksudnya: “Carilah waktu mustajab untuk berdoa ketika dua pasukan bertemu (di medan perang), ketika solat hendak didirikan, dan ketika hujan turun.

Riwayat al-Baihaqi dalam Ma‘rifah al-Sunan wa al-Athar (2/12) dan dinilai sebagai sahih dalam Sahih al-Jami‘ (1026)

Begitu juga terdapat riwayat daripada Sahl bin Sa‘ad, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 ثِنْتَانِ لا تُرَدَّانِ — أو : قَلَّما تُردّان —: الدعاءُ عندَ النداءِ، وعندَ البأسِ؛ حين يُلْحِمُ بعضهم بعضاً — زاد في رواية: وَوَقْتَ المطر —.

Maksudnya: “Dua keadaan di mana doa tidak akan ditolak — atau jarang sekali ditolak —: doa ketika azan dikumandangkan dan ketika suasana genting di medan perang, ketika mereka saling bertempur. — Dalam satu riwayat lain, terdapat tambahan: dan pada waktu hujan turun —.”

Riwayat Abu Dawud (2178); Al-Albani menyatakan, hadith ini sahih tanpa lafaz tambahan tersebut, dan ia telah disahihkan oleh Ibn Khuzaimah, Ibn Hibban, al-Hakim, dan al-Zahabi, begitu juga Ibn al-Jarud. Adapun lafaz tambahan (dalam hadith tersebut) adalah hasan. (Lihat Sahih Abi Daud, 7/294).

  1. Apabila hujan terlalu lebat dan dikhuatiri membawa mudarat.

Sekiranya hujan yang turun terlalu lebat dan dikhuatiri hujan yang lebat itu akan membawa mudarat, maka disunatkan untuk mengucapkan doa:

اللَّهُمَّ حَوَالَيْنَا، وَلاَ عَلَيْنَا، اللَّهُمَّ عَلَى الآكَامِ وَالجِبَالِ وَالآجَامِ وَالظِّرَابِ وَالأَوْدِيَةِ وَمَنَابِتِ الشَّجَرِ

Maksudnya: “Ya Allah, turunkanlah hujan di sekitar kami dan tidak di atas kami. Ya Allah turunkan hujan di atas bukit-bukit, kawasan pergunungan, kawasan hutan, bukit yang mendatar (yang rendah), lembah-lembah, dan tempat tumbuhnya pepohon.

Riwayat al-Bukhari (1013)

  1. Disunatkan untuk mengucapkan doa ketika mendengar suara guruh dan petir

Hal ini adalah sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abdullah bin al-Zubair R.A bahawa apabila beliau mendengar guruh, beliau akan menghentikan percakapan dan mengucapkan:

سُبْحَانَ الَّذِي يُسَبِّحُ الرَّعْدُ بِحَمْدِهِ وَالْمَلَائِكَةُ مِنْ خِيفَتِهِ

Maksudnya: “Maha Suci Allah yang diucapkan tasbih oleh guruh dan malaikat dengan memuji-Nya, lantaran takut kepada-Nya.”

Riwayat Ibn Abi Syaibah dalam al-Musannaf (1/3); al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad (3/47); Imam al-Nawawi dalam al-Azkar (235) menilai sanadnya sebagai sahih.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ زَوَالِ نِعْمَتِكَ، وَتَحَوُّلِ عَافِيَتِكَ، وَفُجَاءَةِ نِقْمَتِكَ، وَجَمِيعِ سَخَطِكَ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada hilangnya kenikmatan yang telah Engkau berikan, daripada berubahnya kesihatan yang telah Engkau anugerahkan, daripada seksa-Mu (bencana) yang datang secara tiba-tiba, dan daripada segala bentuk kemurkaan-Mu.”