Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah masjid termasuk syarat sah solat Jumaat?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَاةِ مِن يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَىٰ ذِكْرِ اللَّهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ
Maksudnya: “Wahai orang yang beriman, apabila diserukan azan untuk solat pada hari Jumaat hendaklah kamu bersegera ke arah mengingati Allah dan meninggalkan jual beli. Yang demikian itu adalah baik buat kamu sekiranya kamu mengetahuinya.”
(Surah al-Jumu‘ah: 9)
Berdasarkan ayat ini, kita dapati bahawa ia datang dengan kata majmuk dan dalam bentuk kata perintah kepada orang-orang yang beriman, maka tuntutan taklif ini mestilah dilakukan secara berjemaah dan hukum-hakamnya juga terkait dengan seluruh jemaahnya. Kalimah (فَاسْعَوْا) atau “pergilah” ini adalah kata perintah yang membawa maksud wajib, dan kewajipan untuk pergi itu sudah pasti untuk menuju kepada perkara yang diwajibkan juga iaitu Solat Jumaat. Larangan untuk berjual-beli ketika itu pula agar manusia tidak disibukkan dengannya sehingga tidak pergi Solat Jumaat. Sekiranya benar hukum solat ini hanyalah sunat dan bukan fardhu, maka mengapa perlu dilarang untuk berjual-beli semata-mata untuk solat tersebut. (Lihat al-Mughni, 2/218)
Hari Jumaat dinamakan sebagai al-Jumu‘ah (الجُمُعَةُ) kerana ia berasal daripada perkataan al-jam‘(الجَمْعُ), yakni berkumpul. Umat Islam berhimpun setiap minggu pada hari ini di masjid-masjid besar. Hari ini juga dianggap istimewa kerana ia merupakan hari di mana Allah menciptakan langit dan bumi, begitu juga disempurnakan pada hari ini penciptaan Nabi Adam A.S, lalu baginda dimasukkan ke dalam Syurga, dan hari ini juga baginda dikeluarkan daripadanya. Selain itu, hari Jumaat adalah hari yang dijanjikan akan berlakunya Kiamat. Pada hari ini juga terdapat satu saat istimewa di mana apabila seorang hamba yang beriman berdoa kepada Allah SWT, memohon sesuatu kebaikan, pasti Allah akan mengabulkannya, sebagaimana yang telah dinyatakan dalam hadith-hadith sahih.
Telah sabit bahawa umat-umat sebelum kita juga telah diperintahkan untuk memuliakan hari Jumaat, tetapi mereka menyimpang daripadanya. Orang Yahudi memilih hari Sabtu, iaitu hari di mana tidak ada penciptaan yang berlaku. Sementara orang Nasrani memilih hari Ahad, iaitu hari permulaan penciptaan. Allah SWT pula memilih hari Jumaat untuk umat Islam, iaitu hari di mana Dia menyempurnakan penciptaan sekalian makhluk. (Lihat Tafsir al-Qur’an al-‘Azim, 8/145)
Menjawab persoalan di atas, kewajipan melaksanakan solat Jumaat secara berjemaah tidak disyaratkan solat Jumaat tersebut dilakukan di dalam bangunan masjid mengikut kepada pandangan jumhur ulama. Ini adalah seperti mana pendapat para ulama Hanafiyyah, Syafi‘iyyah dan Hanabilah, mereka tidak mensyaratkan untuk solat Jumaat diadakan di dalam masjid. (Lihat Fatawa Syar‘iyah wa Buhuth Islamiah, 1/274).
Imam al-Nawawi secara jelas menyatakan bahawa tidak disyaratkan untuk mendirikannya (solat Jumaat) di dalam masjid, bahkan harus untuk mendirikannya di tempat lapang yang terbuka sama ada mereka mendirikan solat tersebut di penjuru atau di lapangan — jika sekiranya bangunan di tempat tersebut telah hancur — kemudian penduduknya mengimarahkannya semula, maka wajib bagi mereka menunaikan solat Jumaat di dalamnya, sama ada dilakukan di bawah bumbung ataupun tidak. Ini kerana tempat tersebut menjadi tempat bermastautin. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 4/501)
Begitu juga Imam al-Syaukani ada menyatakan dalam kitabnya bahawa Imam Abu Hanifah, Imam al-Syafi‘i dan kebanyakan ulama berpendapat bahawa masjid bukanlah salah satu daripada syarat untuk mendirikan solat Jumaat, ini kerana dalil tidak memperincikan tentang kewajipannya untuk dilaksanakan di dalam masjid. (Lihat Nail al-Autar, 3/279).
Manakala, Imam Malik pula mensyaratkan wujudnya masjid untuk dilaksanakan solat Jumaat. Justeru itu, tidak sah bagi penduduk kampung yang telah merobohkan masjid di tempat mereka dan membiarkannya tidak berbumbung untuk mereka mendirikan solat Jumaat di tempat tersebut. (Lihat Fatawa Syar‘iyah wa Buhuth Islamiah, 1/274; Bidayah al-Mujtahid wa Nihayah al-Muqtasid, 2/336).
Walau bagaimanapun, kami lebih cenderung dan mentarjihkan untuk mengambil pandangan jumhur yang menyatakan bahawa tidak disyaratkan untuk melaksanakan solat Jumaat di dalam bangunan masjid yang berbumbung.
Kami akhiri dengan doa:
رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ
Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.