Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Sekiranya kita menguruskan ibadah qurban untuk bilangan haiwan yang banyak, contoh 100 ekor kambing atau 100 ekor lembu. Adakah kita perlu mengasingkan terlebih dahulu bahagian untuk fakir miskin dari setiap haiwan sembelihan, atau boleh untuk kita himpunkan sembelihan, dipotong dan dibungkus kemudian diketepikan sebahagian bungkusan untuk agihan fakir miskin?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
إِنَّا أَعْطَيْنَاكَ الْكَوْثَرَ (١) فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَانْحَرْ (٢)
Maksudnya: “Sesungguhnya Kami telah mengurniakan kepadamu (wahai Muhammad) kebaikan yang banyak (di dunia dan di akhirat). (1) Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur). (2)”
(Surah al-Kauthar: 1-2)
Syeikh Muhammad al-Amin al-Syinqiti membawakan pelbagai tafsiran ulama’ tentang maksud “الْكَوْثَرَ”, akan tetapi yang paling tepat menurut beliau, ia merujuk kepada kebaikan yang banyak dikurniakan kepada Rasulullah SAW. Manakala telaga Baginda di akhirat kelak serta sungai di Syurga, kedua-duanya termasuk dalam kebaikan yang disebutkan ini. (Lihat Adhwa’ al-Bayan, 9/127)
Adapun maksud sembelih yang ditekankan dalam ayat ini, ia merujuk kepada ibadah korban yang dilaksanakan selepas didirikan Solat Sunat Aidiladha, sebagaimana yang disebutkan oleh Ibn Kathir dalam Tafsir al-Quran al-‘Azim (8/476).
Ini sebagaimana yang dijelaskan dalam hadith al-Barra’ bin ‘Azib R.A, bahawa Rasulullah SAW berpesan:
مَنْ ذَبَحَ قَبْلَ الصَّلاَةِ فَإِنَّمَا يَذْبَحُ لِنَفْسِهِ، وَمَنْ ذَبَحَ بَعْدَ الصَّلاَةِ فَقَدْ تَمَّ نُسُكُهُ وَأَصَابَ سُنَّةَ المُسْلِمِينَ
Maksudnya: “Sesiapa yang menyembelih (binatang korban) sebelum solat (hari raya) maka sesungguhnya dia telah menyembelih untuk dirinya sendiri dan sesiapa yang menyembelih (binatang korban) setelah (menunaikan) solat (hari raya) maka telah sempurnalah ibadah korbannya dan dia telah menepati sunnah kaum Muslimin.”
Riwayat al-Bukhari (5556) dan Muslim (1961)
Seterusnya, hukum asal bagi ibadah korban ini, setiap individu yang melaksanakannya boleh makan sebahagian darinya, kemudian diagihkan sebahagian lain sebagai hadiah kepada orang lain, dan sebahagian lagi disedekahkan kepada fakir miskin. Agihan ini disebutkan oleh para fuqaha’ berdasarkan kepada firman Allah SWT:
فَكُلُوا مِنْهَا وَأَطْعِمُوا الْقَانِعَ وَالْمُعْتَرَّ ۚ كَذَٰلِكَ سَخَّرْنَاهَا لَكُمْ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ
Maksudnya: “Makanlah sebahagian daripadanya, dan berilah (bahagian yang lain) kepada orang-orang yang tidak meminta dan yang meminta. Demikianlah Kami mudahkan dia untuk kamu (menguasainya dan menyembelihnya) supaya kamu bersyukur.”
(Surah al-Haj: 36)
Al-Khatib al-Syirbini mengatakan, disunatkan untuk tidak memakan lebih dari satu pertiga bahagian korban tersebut berdasarkan qaul jadid mazhab, manakala qaul qadim pula mengatakan disunatkan untuk tidak memakan lebih dari separuh. Kemudian beliau menukilkan dari al-Buwaiti, katanya bahawa satu pertiga lagi disedekahkan kepada fakir miskin, manakala satu pertiga lagi dihadiahkan kepada orang lain. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 6/134-135)
Imam Syihabuddin Ahmad Ibn Ruslan menyebutkan dalam al-Zubad:
وَالْفَرْضُ بَعْضُ اللَّحْمِ لَوْ بِنَزْرِ وَكُلْ مِنَ الْمَنْدُوبِ دُونَ النَّذْرِ
“Dan yang wajib (disedekahkan) adalah sebahagian daging korban meskipun sedikit,
dan makanlah (sebahagian) dari korban yang sunat selain korban nazar.”
Imam Syihabuddin al-Ramli mensyarahkan rangkap syair di atas, katanya, boleh dimakan sepertiga dan disedekahkan lebihannya. Lebih utama untuk disedekahkan keseluruhan daging korban tersebut kecuali beberapa suap yang dimakan untuk memperoleh keberkatan darinya. Inilah yang disunatkan, sebagaimana diriwayatkan oleh al-Baihaqi bahawa Rasulullah SAW pernah makan dari organ hati binatang korban Baginda. Disunatkan juga menyedekahkan kulitnya, atau dimanfaatkan dengan menggunakannya. Pemilik juga boleh meminjamkannya, tanpa boleh menjual atau menyewakannya. (Lihat Fath al-Rahman bi Syarh Zubad Ibn Ruslan, hlm. 946)
Bercampur Daging Korban
Berbalik kepada persoalan yang diajukan, fuqaha’ telah membawakan selingan berkenaan masalah percampuran daging antara beberapa binatang korban. Secara umumnya, sembelihan tersebut tetap dikira sah selama mana syarat-syarat sembelihan telah dipenuhi dengan baik.
Adapun persoalan yang diajukan saudara, terdapat dua situasi yang boleh diambil kira:
- Sekiranya pemilik sembelihan itu hendak mengambil dan makan sebahagian dari daging korban tersebut, maka sebaiknya bahagian untuk fakir miskin dibahagikan terlebih dahulu dari setiap kambing atau lembu korban tersebut. Hal ini bagi mengelakkan masalah percampuran daging korban seseorang individu dengan daging korban orang lain sehingga menyebabkan kita tergelincir dalam khilaf ulama.
Jika percampuran daging tersebut berlaku, sebahagian ulama melarang daging korban itu dari dibahagikan kepada pemiliknya kerana dikhuatiri dia terambil sebahagian dari daging korban orang lain, dan orang lain itu pula terambil sebahagian dari daging korban miliknya. Situasi ini dianggap seperti jual beli dengan berlakunya sistem barter oleh fuqaha mazhab al-Maliki. Manakala mazhab lain membahaskan isu ini sebagai ifraz (الإِفْرَازُ), iaitu mengasingkan bahagian daging seorang pemilik dari daging pemilik yang lain, dan ia dibenarkan.
Namun, keluar dari perselisihan ulama itu merupakan sebaik-baik jalan, sebagaimana yang disebutkan dalam kaedah:
الخُرُوجُ مِنَ الْخِلَافِ مُسْتَحَبٌّ
Maksudnya: “Keluar dari perselisihan itu sunat (dituntut).”
Kata Imam Tajuddin al-Subki: “Antara kaedah yang masyhur dalam ucapan majoriti imam (ulama), dan hampir-hampir seseorang faqih itu memasukkan ia sebagai kaedah yang disepakati ke atasnya adalah; keluar dari khilaf itu adalah lebih utama dan lebih afdhal.” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir, 1/127)
- Sekiranya pemilik sembelihan itu hendak memberikan keseluruhan daging korban tersebut sebagai sedekah, maka tidak menjadi masalah untuk kita himpunkan sembelihan, dipotong dan dibungkus sebagai agihan kepada fakir miskin.
Akan tetapi, sebaik-baiknya pemilik korban itu makan sedikit dari daging korban tersebut bagi mengikut sunnah Rasulullah SAW dan juga mengambil keberkatan.
Al-Khatib al-Syirbini ketika mengakhiri perbahasan korban dalam kitabnya al-Iqna‘, beliau berkata: “Paling afdhal adalah menyedekahkan kesemua daging korban tersebut kerana ia lebih dekat kepada ketakwaan dan dan lebih jauh daripada kecenderungan nafsu, kecuali sebahagian kecil seperti satu atau dua suapan, atau beberapa suapan untuk mendapat keberkatan dengan memakannya, sesuai dengan zahir al-Quran, mengikuti sunnah, dan untuk keluar daripada khilaf mereka yang mewajibkannya.” (Lihat al-Iqna‘ fi Halli Alfaz Abi Syuja‘, 2/593)
Begini juga yang disebutkan oleh Syeikh Muhammad Mahfuz al-Tarmasi, dengan membawakan riwayat daripada Buraidah bin al-Husaib al-Aslami R.A, katanya:
إِذَا كَانَ الْأَضْحَى لَمْ يَأْكُلْ شَيْئًا حَتَّى يَرْجِعَ، وَكَانَ إِذَا رَجَعَ أَكَلَ مِنْ كَبِدِ أُضْحِيَّتِهِ
Maksudnya: “(Rasulullah SAW) pada Aidiladha tidak akan apa-apa sehinggalah Baginda pulang (dari solat raya). Setelah kembali, Baginda makan dari hati binatang korbannya.”
Riwayat al-Baihaqi (6161)
Syeikh al-Tarmasi menukilkan bahawa sebahagian ulama mengatakan hikmah disebalik Baginda memakan hati haiwan korbannya itu, kerana ahli Syurga dimuliakan oleh Allah SWT dengan diberikan makanan pertama mereka dari hati ikan paus.[1] (Lihat al-Manhal al-‘Amim bi Hasyiah al-Manhaj al-Qawim, 6/649)
Kesimpulan
Memahami penjelasan di atas, kami simpulkan bahawa tidak menjadi masalah untuk dihimpunkan daging korban, dipotong dan dibungkus, dengan syarat pemilik haiwan korban itu telah berniat menyedekahkan kesemua daging korban tersebut. Situasi ini mungkin dapat kita lihat dalam misi-misi menghantar daging korban sejuk beku ke kawasan-kawasan yang dilanda masalah kelaparan.
Berbeza pula jika pemilik haiwan korban itu hendak menjamah sedikit dari daging tersebut, maka sebaiknya diasingkan terlebih dahulu bahagian mereka, kemudian baru dibahagikan kepada beberapa pecahan untuk tujuan bersedekah.
Semoga kita dikurniakan ganjaran pahala dan diterima amalan korban yang dilakukan, di samping menjayakan ibadah ini dengan sebaik-baiknya seiring dengan ketetapan syara‘. Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”
Wallahu a‘lam
Nota hujung:
[1] Kami telah memperincikan berkenaan makanan pertama ahli Syurga ini dalam artikel kami yang bertajuk: “Makanan Pertama Ahli Syurga.”