Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah pandangan agama dalam situasi terhentinya hujan dalam tempoh masa yang lama?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Apabila kemarau melanda bumi, ia membawa kerugian besar kepada manusia, haiwan ternakan, dan makhluk lain. Kemarau merupakan salah satu ujian daripada Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya. Sebagaimana firman Allah SWT:
مَا أَصَابَ مِن مُّصِيبَةٍ فِي الْأَرْضِ وَلَا فِي أَنفُسِكُمْ إِلَّا فِي كِتَابٍ
Maksudnya: “Tidak ada sesuatu kesusahan (atau bala bencana) yang ditimpakan di bumi, dan tidak juga yang menimpa diri kamu, melainkan telah sedia ada di dalam Kitab (pengetahuan Kami)”
(Surah al-Hadid:22)
Ibnu Jarir al-Tabari rahimahullah berkata: Maksudnya, Wahai manusia, apa sahaja musibah yang menimpa kamu di bumi seperti kemarau, kekeringan, kehilangan tanaman, dan kerosakannya, atau pada diri kamu sendiri seperti penyakit, kesakitan, dan penderitaan, semuanya telah tertulis di dalam sebuah kitab, iaitu di dalam Umm al-Kitab (Luh Mahfuz).
Ibnu Qatadah berkata tentang firman Allah Ta‘ala: “Di bumi”, maksudnya ialah musim-musim kemarau. Dan firman-Nya: “Pada diri kamu” pula merujuk kepada kesakitan dan penyakit. Beliau juga berkata: Kami diberitahu bahawa tidak ada sesiapa yang terkena calar dari ranting, tergelincir kakinya, atau merasa denyutan urat kecuali kerana dosa. Namun, apa yang diampunkan oleh Allah jauh lebih banyak. (Lihat Jami’ al-Bayan, 23/195-196)
Allah SWT turut berfirman:
ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ
Maksudnya: “Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia”
(Surah al-Rum:41)
Al-Qurtubi menyebut beberapa pendapat mengenai makna kerosakan di darat dan laut, antaranya ialah bahawa kerosakan itu merujuk kepada kemarau, kekurangan tumbuhan, dan hilangnya keberkatan. Ibnu al-Nahhas berkata: Kemarau muncul di darat, iaitu di kawasan pedalaman dan kampung-kampungnya, serta di laut, iaitu di bandar-bandar yang terletak di persisiran laut. (Lihat al-Jami’ Li Ahkam al-Quran, 14/40)
Secara keseluruhannya, sebab-sebab kemarau adalah banyak, dan barangkali yang paling utama ialah banyaknya dosa. Nabi SAW telah menyebut sebahagian daripadanya secara khusus sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar katanya bahawa rasulullah SAW bersabda:
يا معشرَ المهاجرينَ خمسٌ إذا ابْتُلِيتُمْ بهِنَّ وأعوذُ باللهِ أن تُدْرِكُوهُنَّ لم تظهرِ الفاحشةُ في قومٍ قطُّ حتى يُعْلِنُوا بها إلا فَشا فيهمُ الطاعونُ والأوجاعُ التي لم تكن مضتْ في أسلافهم الذين مَضَوْا، ولم يَنْقَصُوا المكيالَ والميزانَ إلا أُخِذُوا بالسنينَ وشدةِ المؤنَةِ وجَوْرِ السلطانِ عليهم، ولم يَمْنَعُوا زكاةَ أموالهم إلا مُنِعُوا القَطْرَ من السماءِ ولولا البهائمُ لم يُقْطَرُوا، ولم يَنْقُضُوا عهدَ اللهِ وعهدَ رسولِهِ إلا سَلَّطَ اللهُ عليهم عَدُوًّا من غيرهم فأَخَذُوا بعضَ ما في أيديهم، وما لم تَحْكُمْ أئمتُهُمْ بكتابِ اللهِ ويَتَخَيَّرُوا ممّا أنزلَ اللهُ إلا جعل بَأْسَهُمْ بينهم
Maksudnya: “Wahai golongan Muhajirin, ada lima perkara yang jika kamu diuji dengannya — dan aku berlindung kepada Allah agar kamu tidak mengalaminya — tidaklah perbuatan keji (zina) muncul dalam sesuatu kaum sehingga mereka melakukannya secara terang-terangan, melainkan akan tersebar di kalangan mereka wabak penyakit dan kesakitan yang tidak pernah terjadi pada orang-orang sebelum mereka. Tidaklah mereka mengurangi sukatan dan timbangan, melainkan mereka akan ditimpa tahun-tahun kesukaran, kekurangan bekalan, dan kezaliman penguasa terhadap mereka. Tidaklah mereka enggan membayar zakat harta mereka, melainkan mereka akan dihalang daripada menerima hujan dari langit. Sekiranya bukan kerana haiwan-haiwan, mereka tidak akan diberi hujan sama sekali. Tidaklah mereka melanggar perjanjian Allah dan Rasul-Nya, melainkan Allah akan menjadikan musuh dari kalangan selain mereka berkuasa ke atas mereka, lalu musuh itu akan merampas sebahagian daripada apa yang mereka miliki. Dan tidaklah para pemimpin mereka berhukum dengan kitab Allah dan memilih daripada apa yang telah Allah turunkan, melainkan Allah akan menjadikan kehancuran berlaku di antara mereka.”
Riwayat Ibn Majah (4019)
Pendapat para salaf tentang kesan maksiat terhadap terhentinya hujan
Adapun pendapat para salaf mengenai sebab-sebab kemarau, kami memilih antaranya seperti berikut:
- Ikrimah meriwayatkan bahawa Ibn ‘Abbas bertemu dengan Ka‘ab, lalu Ka‘ab berkata: “Wahai Ibn ‘Abbas, apabila kamu melihat pedang telah terhunus dan darah telah ditumpahkan, ketahuilah bahawa hukum Allah telah diabaikan, dan Allah sedang membalas sebahagian manusia melalui sebahagian yang lain. Apabila kamu melihat wabak telah merebak, ketahuilah bahawa perzinaan telah berleluasa. Apabila kamu melihat hujan ditahan (tidak turun), ketahuilah bahawa zakat telah diabaikan dan manusia enggan mengeluarkan apa yang ada pada mereka, maka Allah juga menahan apa yang ada di sisi-Nya. (Lihat Hilyah al-Auliya’, 2/445)
- Ata’ berkata: “Ada lima perkara yang menyebabkan lima bencana. Apabila riba diamalkan, maka akan berlaku gerhana bulan dan gempa bumi. Apabila para pemerintah berlaku zalim, hujan akan tertahan (kemarau). Apabila perzinaan berleluasa, kematian akan meningkat. Apabila zakat tidak ditunaikan, binatang ternakan akan binasa. Apabila diperangi ahli zimmah (golongan bukan Islam yang dilindungi), kekuasaan akan berpindah tangan. (Lihat Hilyah al-Auliya’, 2/354 )
- Abdullah bin Mas’ud berkata: Tidak ada satu tahun pun yang lebih banyak hujannya daripada tahun yang lain, tetapi Allah mengalihkannya (hujan itu) mengikut kehendak-Nya. (Lihat al-Sunan al-Kubra, oleh al-Baihaqi, 3/363).
Begitu juga diriwayat daripada Ibn ‘Abbas bahawa beliau berkata:
ما مِن عامٍ أمطرَ مِن عامٍ، ولكنَّ اللهَ يَصرفُهُ حيث يشاءُ، ثُمَّ قَرَأَ: ﴿وَلَقَدْ صَرَّفْناهُ بَيْنَهُمْ﴾
Maksudnya: “Tidak ada satu tahun pun yang lebih banyak hujannya daripada tahun yang lain, tetapi Allah mengalihkan (hujan itu) ke mana sahaja yang Dia kehendaki.” Kemudian, beliau membaca ”وَلَقَدْ صَرَّفْنَا لِلنَّاسِ فِي هَٰذَا الْقُرْآنِ مِن كُلِّ مَثَلٍ فَأَبَىٰ أَكْثَرُ النَّاسِ إِلَّا كُفُورًا” (Dan sesungguhnya Kami telah menerangkan berulang-ulang kepada manusia, di dalam Al-Quran ini, dengan berbagai-bagai contoh perbandingan (yang mendatangkan iktibar); dalam pada itu, kebanyakan manusia tidak mahu menerima selain dari kekufuran).”
Riwayat al-Hakim dalam al-Mustadrak (3566)
Al-Baghawi berkata dalam kitab Ma‘alim al-Tanzil (6/184), selepas menyebut hadith Ibn Abbas: Ini seperti yang diriwayatkan secara marfu‘ iaitu:
ما منْ ساعةٍ منْ ليلٍ ولا نهارٍ؛ إلا والسماءُ تمطرُ فيها؛ يصرفهُ اللهُ حيثُ يشاءُ
Maksudnya: “Tiada satu saat pun, sama ada pada malam atau siang, melainkan langit menurunkan hujan di dalamnya; Allah mengalihkannya ke mana sahaja yang Dia kehendaki.”
Riwayat al-Syafi‘i dalam al-Musnad (1/347)
Ibn Ishaq, Ibn Juraij, dan Muqatil telah menyebut, dan mereka meriwayatkannya hingga kepada Ibn Mas‘ud secara marfu‘ iaitu:
لَيْسَ مِنْ سَنَةٍ بِأَمْرٍ مِنْ أُخْرَى، وَلَكِنَّ اللَّهَ قَسَمَ هَذِهِ الْأَرْزَاقَ، فَجَعَلَهَا فِي السَّمَاءِ الدُّنْيَا فِي هَذَا الْقَطْرِ، يُنْزِلُ مِنْهُ فِي كُلِّ سَنَةٍ بِكَيْلٍ مَعْلُومٍ، وَوَزْنٍ مَعْلُومٍ، وَإِذَا عَمِلَ قَوْمٌ بِالْمَعَاصِي حَوَّلَ اللَّهُ ذَلِكَ إِلَى غَيْرِهِمْ، فَإِذَا عَصَوْا جَمِيعًا صَرَفَ اللَّهُ ذَلِكَ إِلَى الْفَيَافِي وَالْبِحَارِ.
Maksudnya: “Tidak ada satu tahun yang lebih baik daripada tahun yang lain, tetapi Allah telah membahagikan rezeki ini, lalu menjadikannya di langit dunia dalam bentuk hujan. Dia menurunkannya setiap tahun dengan sukatan dan timbangan yang ditetapkan. Apabila sesuatu kaum melakukan maksiat, Allah akan mengalihkan (hujan) itu kepada kaum yang lain. Apabila semua kaum melakukan maksiat, Allah akan mengalihkannya ke padang pasir dan lautan.”
Al-Albani berkata: “Jelas daripada apa yang telah disebutkan bahawa hadith ini, walaupun ia secara zahirnya mauquf, ia dihukumkan sebagai marfu‘ (disandarkan kepada Rasulullah SAW); kerana ia bukan sesuatu yang boleh dikatakan berdasarkan pendapat atau ijtihad semata-mata, dan kerana ia juga diriwayatkan secara marfu‘.”(Lihat Silsilah al-Ahadith al-Sahihah wa Syai’ min Fiqhiha wa Fawaidiha, 5/593)
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ فضْلِكَ وَرَحْمَتِكَ ، فَإِنَّهُ لا يَمْلِكُهَا إِلا أَنْتَ
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon kepada-Mu agar diberi kurniaan dan rahmat-Mu. Sesungguhnya tiada yang memilikinya kecuali-Mu.”