Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah ujian itu pasti mendatang dalam kehidupan?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Ujian adalah merupakan sunnah kauniyyah (ketetapan Allah SWT yang pasti terjadi) pada setiap Muslim. Allah SWT berfirman:
لَتُبْلَوُنَّ فِي أَمْوَالِكُمْ وَأَنفُسِكُمْ
Maksudnya: “Demi sesungguhnya, kamu akan diuji pada harta benda dan diri kamu.”
(Surah Ali Imran: 186)
Syeikh Tahir Ibn ‘Asyur berkata: Allah SWT memberi penekanan pada kata kerja ini dengan lam al-qasam dan nun al-taukid al-syadidah untuk menunjukkan bahawa ujian itu akan benar-benar berlaku. Hal ini kerana nun al-taukid al-syadidah (bertasydid) lebih kuat dari sudut pendalilan daripada (nun) al-taukid al-khafifah (yang bersukun). (Lihat al-Tahrir wa al-Tanwir, 4/189)
Dalam ayat yang lain, Allah SWT berfirman:
وَلَنَبْلُوَنَّكُم بِشَيْءٍ مِّنَ الْخَوْفِ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِّنَ الْأَمْوَالِ وَالْأَنفُسِ وَالثَّمَرَاتِ وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ ﴿١٥٥﴾ الَّذِينَ إِذَا أَصَابَتْهُم مُّصِيبَةٌ قَالُوا إِنَّا لِلَّـهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ
Maksudnya: “Demi sesungguhnya Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan dan (dengan berlakunya) kekurangan daripada harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar – (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu musibah (kesusahan) mereka mengucapkan: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.”
Surah al-Baqarah (155-156)
Pada ayat ini, Allah SWT memberi khabar bahawa Dia menguji hamba-hamba-Nya yang beriman dengan beberapa ujian di saat mereka berada dalam keadaan suka dan duka, dan kesemua mereka akan mendapat pahala jika mereka bersabar terhadapnya. Mereka kemudiannya mengucapkan lafaz istirja’ bukti sebagai seorang yang sabar dan syukur. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 1/467)
Justeru, senjata yang ampuh bagi umat Islam adalah sentiasa berhati-hati, menggunakan kebijaksanaan untuk mengatasi rintangan dan cabaran, di samping doa dan tawakkal kepada-Nya.
Begitu juga, sebagai seorang Islam, jangan sekali-kali kita mencari musuh dan bercita-cita untuk bertemu dengan musuh. Sebaliknya, apabila bertemu dengannya, maka hadaplah dengan bersungguh-sungguh. Begitu juga dengan bersabar dan memohon kepada Allah. Benarlah sabda Nabi SAW:
أَيُّهَا النَّاسُ، لاَ تَمَنَّوْا لِقَاءَ العَدُوِّ، وَسَلُوا اللَّهَ العَافِيَةَ، فَإِذَا لَقِيتُمُوهُمْ فَاصْبِرُوا، وَاعْلَمُوا أَنَّ الجَنَّةَ تَحْتَ ظِلاَلِ السُّيُوفِ
Maksudnya: Wahai manusia, janganlah kalian berharap bertemu musuh dan mintalah keselamatan kepada Allah. Sekiranya kalian bertemu mereka maka bersabarlah. Ketahuilah sesungguhnya syurga (terletak) di bawah bayangan (hayunan) pedang.’
Riwayat al-Bukhari (3024)
Ujian dan dugaan yang dihadapi hendaklah diiringi dengan tawakkal dan bersangka baik kepada Allah SWT. Berkemungkinan sesuatu perkara yang baik di sisi manusia boleh jadi perkara itu buruk di sisi Allah begitu juga sebaliknya ini seperti firman Allah SWT:
وَعَسَىٰ أَن تُحِبُّوا شَيْئًا وَهُوَ شَرٌّ لَّكُمْ ۗ وَاللَّـهُ يَعْلَمُ وَأَنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ
Maksudnya: Dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.
(Surah al-Baqarah: 216)
Syeikh al-Maraghi di dalam tafsirnya menyatakan: “Sesuatu perkara yang mungkin tidak disukai oleh kita berkemungkinan disukai Allah SWT dan begitu juga sebaliknya. Mungkin terdapat hikmah dan mengajar erti kesabaran dan ketaatan kita di dunia. Dan sesungguhnya pengetahuan Allah SWT tidak dapat dibatasi manusia.” (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/133)
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوْذُ بِكَ مِنْ جَهْدِ البَلَاءِ، وَدَرَكِ الشَّقَاءِ، وَسُوءِ القَضَاءِ ، وَشَمَاتَةِ الأَعْدَاءِ
Maksudnya: “Wahai Allah! Kami berlindung kepada-Mu daripada ujian yang berat, hinanya kecelakaan, buruknya takdir dan celaan para musuh (atas bala, ujian dan kecelakaan yang menimpa).”