Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh jelaskan berkenaan golongan yang diwajibkan solat Jumaat?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَاةِ مِن يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَىٰ ذِكْرِ اللَّهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ
Maksudnya: “Wahai orang yang beriman, apabila diserukan azan untuk solat pada hari Jumaat hendaklah kamu bersegera ke arah mengingati Allah dan meninggalkan jual beli. Yang demikian itu adalah baik buat kamu sekiranya kamu mengetahuinya.”
(Surah al-Jumu‘ah: 9)
Berdasarkan ayat ini, kita dapati bahawa ia datang dengan kata majmuk dan dalam bentuk kata perintah kepada orang-orang yang beriman, maka tuntutan taklif ini mestilah dilakukan secara berjemaah dan hukum-hakamnya juga terkait dengan seluruh jemaahnya. Kalimah (فَاسْعَوْا) atau “pergilah” ini adalah kata perintah yang membawa maksud wajib, dan kewajipan untuk pergi itu sudah pasti untuk menuju kepada perkara yang diwajibkan juga iaitu Solat Jumaat. Larangan untuk berjual-beli ketika itu pula agar manusia tidak disibukkan dengannya sehingga tidak pergi Solat Jumaat. Sekiranya benar hukum solat ini hanyalah sunat dan bukan fardhu, maka mengapa perlu dilarang untuk berjual-beli semata-mata untuk solat tersebut. (Lihat al-Mughni, 2/218)
Hari Jumaat dinamakan sebagai al-Jumu‘ah (الجُمُعَةُ) kerana ia berasal daripada perkataan al-jam‘(الجَمْعُ), yakni berkumpul. Umat Islam berhimpun setiap minggu pada hari ini di masjid-masjid besar. Hari ini juga dianggap istimewa kerana ia merupakan hari di mana Allah menciptakan langit dan bumi, begitu juga disempurnakan pada hari ini penciptaan Nabi Adam A.S, lalu baginda dimasukkan ke dalam Syurga, dan hari ini juga baginda dikeluarkan daripadanya. Selain itu, hari Jumaat adalah hari yang dijanjikan akan berlakunya Kiamat. Pada hari ini juga terdapat satu saat istimewa di mana apabila seorang hamba yang beriman berdoa kepada Allah SWT, memohon sesuatu kebaikan, pasti Allah akan mengabulkannya, sebagaimana yang telah dinyatakan dalam hadith-hadith sahih.
Telah sabit bahawa umat-umat sebelum kita juga telah diperintahkan untuk memuliakan hari Jumaat, tetapi mereka menyimpang daripadanya. Orang Yahudi memilih hari Sabtu, iaitu hari di mana tidak ada penciptaan yang berlaku. Sementara orang Nasrani memilih hari Ahad, iaitu hari permulaan penciptaan. Allah SWT pula memilih hari Jumaat untuk umat Islam, iaitu hari di mana Dia menyempurnakan penciptaan sekalian makhluk. (Lihat Tafsir al-Qur’an al-‘Azim, 8/145)
Menjawab persoalan di atas, solat Jumaat tidak dituntut kewajipannya secara umum kepada semua orang yang beragama Islam, bahkan ia ditujukan kepada mukallaf yang tertentu seperti yang disebutkan oleh Imam Ibn Ruslan:
وَرَكْعَتَانِ فَرْضُهَا لِمُؤْمِنٍ كُلِّفَ حُرٍّ ذَكَرٍ مُسْتَوْطِنٍ
ذِي صِحَّةٍ …
“Dan dua rakaat (Solat Jumaat) kefardhuannya bagi orang beriman,
ditaklifkan bagi orang yang merdeka, lelaki, bermastautin,
dan mempunyai kesihatan…”
Imam Syamsuddin al-Ramli berkata ketika mensyarahkan rangkap syair di atas: “Setiap orang yang beriman yang ditaklifkan, iaitu seorang yang baligh, berakal, merdeka, lelaki, dan bermastautin (yakni orang bermukim) yang mana terangkat darinya hukum musafir di kawasan solat Jumaat itu, meskipun pada asalnya dia tidak bermastautin di sana, atau berada dalam lingkungan kawasan yang terdengar seruan azan solat Jumaat. Ibn Ruslan menggunakan istilah ‘bermastautin’ ini sebagai ringkasan, walaupun syarat di sini sebenarnya adalah ‘bermukim’ sebagaimana dijelaskan dalam penjelasannya. Syarat lain pula memiliki kesihatan.
Maka, tidak wajib solat Jumaat ke atas orang kafir, kanak-kanak, orang gila (sebagaimana solat lain tidak diwajibkan ke atas mereka), begitu juga orang yang pengsan yang dianggap seperti orang gila. Berbeza pula situasinya dengan orang yang mabuk, dia wajib menggantikan solat Jumaat dengan solat Zuhur sebagaimana solat-solat lain.
Solat Jumaat juga tidak diwajibkan ke atas hamba sahaya, meskipun dia adalah seorang mukatab(hamba yang sedang menebus kemerdekaan), hamba separa merdeka, atau yang sedang dalam perjanjian giliran kerja, walaupun masanya jatuh pada waktu giliran tersebut. Begitu juga, tidak wajib ke atas wanita, khunsa (individu interseks), musafir dengan perjalanan yang dibenarkan (walaupun pendek), dan orang sakit atau yang uzur daripada menunaikan solat berjemaah.” (Lihat Ghayah al-Bayan, hlm. 183-184)
Kami akhiri dengan doa:
رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ
Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”