#7634: Dalil Pensyariatan Solat Jumaat

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan berkenaan dalil-dalil pensyariatan Solat Jumaat?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Secara asasnya, solat Jumaat merupakan salah satu tuntutan syara‘ yang diwajibkan ke atas setiap lelaki muslim yang mukallaf, serta ia termasuk dalam salah satu daripada syiar agama Islam. Begitu banyak nas yang menunjukkan kepada pensyariatan solat Jumaat serta larangan yang tegas ke atas mereka yang meninggalkannya dengan sengaja. Allah SWT berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَاةِ مِن يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَىٰ ذِكْرِ اللَّهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Wahai orang yang beriman, apabila diserukan azan untuk solat pada hari Jumaat hendaklah kamu bersegera ke arah mengingati Allah dan meninggalkan jual beli. Yang demikian itu adalah baik buat kamu sekiranya kamu mengetahuinya.”

(Surah al-Jumu‘ah: 9)

Berdasarkan ayat ini, kita dapati bahawa ia datang dengan kata majmuk dan dalam bentuk kata perintah kepada orang-orang yang beriman, maka tuntutan taklif ini mestilah dilakukan secara berjemaah dan hukum-hakamnya juga terkait dengan seluruh jemaahnya. Kalimah (فَاسْعَوْا) atau “pergilah” ini adalah kata perintah yang membawa maksud wajib, dan kewajipan untuk pergi itu sudah pasti untuk menuju kepada perkara yang diwajibkan juga iaitu Solat Jumaat. Larangan untuk berjual-beli ketika itu pula agar manusia tidak disibukkan dengannya sehingga tidak pergi Solat Jumaat. Sekiranya benar hukum solat ini hanyalah sunat dan bukan fardhu, maka mengapa perlu dilarang untuk berjual-beli semata-mata untuk solat tersebut. (Lihat al-Mughni, 2/218)

Hari Jumaat dinamakan sebagai al-Jumu‘ah (الجُمُعَةُ) kerana ia berasal daripada perkataan al-jam‘(الجَمْعُ), yakni berkumpul. Umat Islam berhimpun setiap minggu pada hari ini di masjid-masjid besar. Hari ini juga dianggap istimewa kerana ia merupakan hari di mana Allah menciptakan langit dan bumi, begitu juga disempurnakan pada hari ini penciptaan Nabi Adam A.S, lalu baginda dimasukkan ke dalam Syurga, dan hari ini juga baginda dikeluarkan daripadanya. Selain itu, hari Jumaat adalah hari yang dijanjikan akan berlakunya Kiamat. Pada hari ini juga terdapat satu saat istimewa di mana apabila seorang hamba yang beriman berdoa kepada Allah SWT, memohon sesuatu kebaikan, pasti Allah akan mengabulkannya, sebagaimana yang telah dinyatakan dalam hadith-hadith sahih.

Telah sabit bahawa umat-umat sebelum kita juga telah diperintahkan untuk memuliakan hari Jumaat, tetapi mereka menyimpang daripadanya. Orang Yahudi memilih hari Sabtu, iaitu hari di mana tidak ada penciptaan yang berlaku. Sementara orang Nasrani memilih hari Ahad, iaitu hari permulaan penciptaan. Allah SWT pula memilih hari Jumaat untuk umat Islam, iaitu hari di mana Dia menyempurnakan penciptaan sekalian makhluk. (Lihat Tafsir al-Qur’an al-‘Azim, 8/145)

Abu Hurairah R.A menyampaikan daripada Rasulullah SAW, sabda baginda:

نَحْنُ الآخِرُونَ السَّابِقُونَ يَوْمَ القِيَامَةِ، بَيْدَ أَنَّهُمْ أُوتُوا الكِتَابَ مِنْ قَبْلِنَا، ثُمَّ هَذَا يَوْمُهُمُ الَّذِي فُرِضَ عَلَيْهِمْ، فَاخْتَلَفُوا فِيهِ، فَهَدَانَا اللهُ لَهُ، فَالنَّاسُ لَنَا فِيهِ تَبَعٌ اليَهُودُ غَدًا، وَالنَّصَارَى بَعْدَ غَدٍ

Maksudnya: “Kita adalah umat terakhir (datang ke dunia) tetapi yang terawal (diadili) pada hari Kiamat, meskipun mereka diberikan Kitab sebelum daripada kita. Kemudian, ini (Jumaat) merupakan hari mereka yang telah diwajibkan ke atas mereka, namun mereka berselisih tentangnya. Maka Allah memberi petunjuk kepada kita kepadanya (hari Jumaat). Umat Islam mengikuti kita; Yahudi pula keesokannya (hari Sabtu), manakala Nasrani pada hari lusa (hari Ahad).”

Riwayat al-Bukhari (876) dan Muslim (855)

Warid juga di dalam al-Sunnah al-Nabawiyyah akan kewajipan ini, sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ummul Mukminin Hafsah R.Anha bahawa Rasulullah SAW menyebutkan secara jelas:

رَوَاحُ الْجُمُعَةِ وَاجِبٌ عَلَى كُلِّ مُحْتَلِمٍ

Maksudnya: “Berangkat (untuk menunaikan) Jumaat diwajibkan ke atas semua yang telah baligh.”

Riwayat al-Nasa’i (1371) dan Abu Dawud (342)

Disebutkan juga dalam hadith daripada Abu Musa al-Asy‘ari R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

الْجُمُعَةُ حَقٌّ وَاجِبٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ فِي جَمَاعَةٍ إِلاَّ أَرْبَعَةً عَبْدٌ مَمْلُوكٌ أَوِ امْرَأَةٌ أَوْ صَبِيٌّ أَوْ مَرِيضٌ

Maksudnya: “Solat Jumaat adalah hak yang wajib ke atas setiap muslim secara berjemaah, melainkan empat orang: Hamba, orang perempuan, kanak-kanak, atau orang yang sakit.”

Riwayat Abu Dawud (1067), al-Hakim (1076) dalam al-Mustadrak, al-Tabarani (5679) dalam al-Mu‘jam al-Ausat, dan al-Baihaqi (5578) dalam al-Sunan al-Kubra.

Ibn al-Munzir berkata: “Para ulama’ telah berijma’ bahawa solat Jumaat wajib ke atas orang yang merdeka, baligh, bermukim yang tiada uzur bagi mereka.” (Lihat al-Ijma’, hlm. 40)

Begitu juga, Dr. Wahbah al-Zuhaili turut menyatakan dalam kitabnya bahawa telah berlaku Ijma‘ ulama mengenai kewajipan menunaikan solat Jumaat secara berjemaah. (Lihat Mausu‘ah al-Fiqh al-Islami wa al-Qadhaya al-Mu‘asirah, 2/248).

Imam Muhammad al-Tahir bin ‘Asyur pula menukilkan persepakatan ulama bahawa solat Jumaat ini menggantikan solat Zuhur pada hari Jumaat. Oleh itu, sesiapa yang telah menunaikan solat Jumaat, dia tidak perlu lagi menunaikan solat Zuhur. Namun, bagi mereka yang tidak menunaikan solat Jumaat atas dasar keuzuran atau sebab lain, maka wajib ke atas mereka untuk menunaikan solat Zuhur. (Lihat al-Tahrir wa al-Tanwir, 28/223)

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.