#7635: Ilmu Munasabat dalam ‘Ulum al-Quran

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Boleh ustaz jelaskan secara ringkas takrifan atau definisi berkenaan ilmu munasabat dalam ‘Ulum al-Quran? Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami bahagikan jawapan kami kepada dua bahagian; bahagian pertama berkenaan definisinya dari sudut bahasa dan bahagian kedua pula adalah berkenaan definisinya dari sudut istilah.

Berkenaan definisinya dari sudut bahasa, perkataan al-Munasabat (المناسبات) merupakan kata jamak (plural) kepada perkataan munasabah (مناسبة), yang merupakan kata terbitan daripada kata kerja nasaba (ناسب), yunasibu (يُناسب), munasabatan (مناسبة). Akar katanya adalah nasaba  (نَسَبَ), iaitu (nun, sin, ba), yang dalam penggunaannya merujuk kepada hubungan sesuatu dengan sesuatu yang lain. Daripada akar kata ini, lahirlah istilah al-Nasab (النَّسَب), dinamakan demikian kerana ia merujuk kepada hubungan dan keterkaitan antara sesuatu. (Lihat Maqayis al-Lughah, 5/423).

Daripada makna ini, terbitlah istilah al-Nasib (النسيب), iaitu orang yang dekat dan mempunyai hubungan, seperti dua saudara kandung, sepupu, dan seumpamanya. Mereka mempunyai hubungan yang saling berkaitan, maknanya adalah hubungan kekeluargaan (al-Qarabah). Daripada makna ini juga lahir istilah munasabah dalam ‘illah dalam bab qiyas, iaitu sifat yang berkait rapat dengan hukum. Ini kerana apabila sifat tersebut wujud dan hampir kepada hukum, maka dapat disangka bahawa hukum itu juga akan wujud bersama sifat tersebut. Oleh itu, dikatakan bahawa munasabah adalah sesuatu yang bersifat rasional (‘Amr Ma‘qul), yang apabila dipersembahkan kepada akal, ia diterima dengan baik. Demikian juga munasabah dalam pembukaan dan penutupan ayat al-Quran, di mana rujukannya adalah kepada kesinambungan dan hubungan antara makna ayat-ayat tersebut. (Lihat al-Burhan fi ‘Ulum al-Qur’an, 1/35).

Selain daripada itu, dari segi bahasa juga ia bermaksud keserupaan dan kemiripan. (Lihat al-Itqan fi ‘Ulum al-Qur’an oleh al-Suyuti, 3/371). Dikatakan: “فلانٌ يُنَاسِبُ فُلَانًا” iaitu bermaksud dia mendekati atau menyerupai sifatnya. Juga dikatakan: “ بينهما مناسبة” iaitu adanya hubungan keserasian. Selain itu, dikatakan: “ناسب الأمر أو الشيء فلانًا” (Perkara atau sesuatu itu sesuai dengan seseorang), yang bermaksud ia serasi dan sepadan dengan tabiat atau keinginannya/kecenderungannya. Tanāsub (التناسب) pula merujuk kepada kesamaan atau keserupaan. (Lihat al-Mu‘jam al-Wasit, 2/916).

Justeru, berdasarkan kepada perbincangan yang lalu, kita dapat memahami bahawa perkataan nasab (نسب) dapat digunakan untuk dua makna:

  1. Hubungan sesuatu dengan sesuatu yang lain.
  2. Keserupaan dan kemiripan.

Kemudian, Fayez bin Sayyaf al-Suraih dalam kitabnya menjelaskan, tidak terdapat perbezaan yang ketara antara kedua-dua makna tersebut, kerana makna kedua merupakan cabang daripada makna pertama. Hal ini kerana keserupaan dan kemiripan adalah salah satu bentuk hubungan atau sebab kepada hubungan tersebut. Sebagai contoh, apabila sesuatu mendekati atau menyerupai sesuatu yang lain, ia menjadi sebab kepada hubungan antara keduanya. (Lihat al-Bayyinat fi ‘Ilm al-Munasabat, hlm. 7-8).

Seterusnya, berkenaan definisinya dari sudut istilah, ia telah didefinisikan dengan pelbagai definisi oleh ulama yang menulis dalam bidang ini. Salah satunya ialah definisi yang diberikan oleh Imam Badruddin al-Biqa‘i, yang menyatakan:

عِلْمٌ تُعْرَفُ مِنْهُ عِلَلُ التَّرْتِيبِ

Maksudnya: “Ilmu yang daripadanya dapat diketahui sebab-sebab susunan.[1] (Lihat Nazm al-Durar fi Tanasub al-Ayat wa al-Suwar, 1/5).

Begitu juga al-Suyuti ada menyatakan:

وَمَرْجِعُهَا فِي الْآيَاتِ وَنَحْوِهَا إِلَى مَعْنى رَابِطٍ بَيْنَهَا؛ عَامٍّ أَوْ خَاصٍّ، عَقْلِيٍّ أَوْ حِسِّيٍّ أَوْ خَيَالِيٍّ، أَوْ غَيْرِ ذَلِكَ مِنْ أَنْوَاعِ الْعَلَاقَاتِ أَوِ التَّلَازُمِ الذِّهْنِيِّ؛ كَالسَّبَبِ وَالْمُسَبَّبِ، وَالْعِلَّةِ وَالْمَعْلُولِ، وَالنَّظِيرَيْنِ وَالضِّدَّيْنِ وَنَحْوِهِ۔

Maksudnya: “Hubungannya dalam ayat-ayat dan seumpamanya merujuk kepada makna yang menghubungkan antara ayat-ayat tersebut, sama ada secara umum atau khusus, bersifat logik, pancaindera, imaginasi, atau selain daripada itu, yang terdiri daripada pelbagai jenis hubungan atau kaitan pemikiran; seperti sebab dan musabab (kesan/akibat), ‘illah dan ma‘lul, keserupaan pada dua benda, pertentangan antara dua benda, dan seumpamanya.” (Lihat al-Itqan fi ‘Ulum al-Qur’an oleh al-Suyuti, 3/371).

Selain daripada itu, Ibn al-‘Arabi juga ada menyebutkan berkenaan definisinya dalam Siraj al-Muridinbahawa:

اِرْتِبَاطُ آيِ الْقُرْآنِ بَعْضُهَا بِبَعْضٍ حَتَّى تَكُونَ كَالْكَلِمَةِ الْوَاحِدَةِ؛ مُتَّسِقَةَ الْمَعَانِي، مُنْتَظِمَةَ الْمَبَانِي

Maksudnya: “Hubungan antara ayat-ayat al-Quran, di mana setiap satunya saling berkait sehingga menjadi seperti satu perkataan, dengan makna yang selaras dan struktur yang teratur.” (Lihat al-Itqan fi ‘Ulum al-Qur’an oleh al-Suyuti, 3/369).

Selain itu, ada yang berpendapat, ia merujuk kepada hubungan antara ayat-ayat al-Quran atau antara surah-surah, disebabkan adanya perkara yang menyerupai atau mendekatkan antara keduanya. (Lihat ‘Ilm al-Munasabat wa Ahammiyatuhu fi Tafsir al-Quran al-Karim wa Kasyf I‘jazihi oleh Nuruddin ‘Itr, hlm. 6).

Selain itu, dikatakan juga ia bermaksud:

عِلْمٌ يَبْحَثُ فِي الْمَعَانِي الرَّابِطَةِ بَيْنَ الْآيَاتِ بَعْضِهَا بِبَعْضٍ، وَبَيْنَ السُّوَرِ بَعْضِهَا بِبَعْضٍ، حَتَّى تُعْرَفَ عِلَلُ تَرْتِيبِ أَجْزَاءِ الْقُرْآنِ الْكَرِيمِ

Maksudnya: “Ilmu yang mengkaji makna-makna yang menghubungkan antara ayat-ayat sesama ayat, dan antara surah-surah sesama surah, sehingga dapat diketahui sebab-sebab susunan bahagian-bahagian al-Quran.” (Lihat Masabih al-Durar fi Tanasub al-Ayat wa al-Suwar oleh ‘Adil Abu al-‘Ala’, hlm. 18).

Menurut Fayez bin Sayyaf al-Suraih, definisi di atas ini merupakan salah satu definisi terbaik untuk ilmu ini kerana ia mendefinisikannya sebagai suatu cabang ilmu. (Lihat al-Bayyinat fi ‘Ilm al-Munasabat, hlm. 8-9).

Manakala dalam kitab Mabahith fi al-Tafsir al-Maudhu‘i oleh Mustafa Muslim (hlm. 58) dinyatakan bahawa ia bermaksud hubungan surah dengan surah sebelumnya dan selepasnya, manakala dalam ayat pula, ia bermaksud kaitan setiap ayat dengan ayat sebelumnya dan selepasnya.

Kesimpulannya

Sebagai penutupnya, kami katakan bahawa ilmu munasabat dalam ‘Ulum al-Quran adalah salah satu cabang ilmu yang menunjukkan keindahan dan keajaiban susunan al-Quran. Ia memberikan gambaran tentang hubungan mendalam antara ayat-ayat dan surah-surah al-Quran, sama ada dari segi makna, konteks, atau susunannya yang penuh dengan hikmah. Ilmu ini tidak hanya membuktikan kesempurnaan mukjizat al-Quran tetapi juga memberikan kefahaman yang lebih mendalam kepada umat Islam dalam merenungi isi kandungan kitab suci ini.

Dengan memahami ilmu ini, kita bukan sahaja dapat mengenali hikmah di sebalik susunan ayat dan surah, tetapi juga mendekatkan diri kepada al-Quran sebagai kitab petunjuk yang sempurna.

Semoga penjelasan ringkas ini menjadi dorongan kepada kita untuk terus memperdalam ilmu al-Quran dan menjadikannya panduan dalam kehidupan. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا.

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”

 

[1] yakni susunan surah-surah al-Quran, ayat-ayatnya, dan bahagian-bahagiannya.