#7637: Jamak Taqdim dan Jamak Ta’khir Serta Syarat-Syaratnya

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan berkenaan syarat-syarat solat jamak taqdim dan jamak ta’khir?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَالَّذِينَ هُمْ عَلَىٰ صَلَوَاتِهِمْ يُحَافِظُونَ

Maksudnya: “Dan mereka yang tetap memelihara sembahyangnya.”

(Surah al-Mu’minun: 9)

Antara maksud ‘يُحَافِظُونَ’ adalah memelihara solat dalam waktunya. Ibn Mas’ud, Masruq, Ikrimah dan Said bin Jubair berkata: “Yakni, orang-orang yang memelihara solatnya, dan menjaga waktu-waktu solat.”  (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 4/714)

Sebagaimana yang diketahui, jamak terbahagi kepada dua, iaitu jamak taqdim dan jamak ta’khir. Jamak taqdim bermaksud membawa solat yang kedua untuk ditunaikan di dalam waktu solat yang pertama, manakala jamak ta’khir pula bermaksud membawa solat yang pertama untuk ditunaikan di dalam waktu solat yang kedua. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/188). Hal ini adalah berdasarkan kepada hadith-hadith yang kami sudah sebutkan sebelum ini.

Selain itu, tidak semua solat boleh untuk dijamakkan. Solat yang boleh dijamakkan ialah solat Zohor dengan solat Asar dan begitu juga solat Maghrib dengan solat Isyak. Oleh itu, tidak boleh dan tidak sah untuk menjamakkan solat Subuh dengan solat sebelum atau selepasnya. Begitu juga tidak sah untuk menjamakkan solat Asar dengan solat Maghrib. Ini kerana setiap jamak taqdim dan jamak ta’khir mempunyai beberapa syarat yang perlu dipatuhi.

Syarat-syarat Jamak Taqdim

Antaranya:

  • Kedua-dua solat dilakukan mengikut urutannya iaitu dimulai dengan solat pertama yang empunya waktu kemudian barulah diikuti solat yang kedua.
  • Berniat menjamakkan solat yang kedua dengan yang pertama sebelum selesai solat yang pertama. Walau bagaimanapun niat tersebut sunat disertakan bersama takbiratul ihram.
  • Kedua-dua solat dilakukan secara berturutan, iaitu memulakan solat yang kedua dengan segera sebaik sahaja selesai salam solat yang pertama tanpa dipisahkan dengan berzikir, mengerjakan solat sunat dan sebagainya. Jika dipisahkan di antara kedua-duanya dengan masa yang lama pada anggapan umum atau melengah-lengahkan solat yang kedua tanpa sebab, batallah jamak tersebut dan solat yang kedua itu wajib ditangguhkan sehingga waktunya tiba.

Hal ini adalah kerana mengikut perbuatan Nabi SAW dalam semua perkara tersebut sebagaimana hadith, daripada Ibn Umar R.Anhuma, katanya:

رَأَيْتُ النَّبِىَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا أَعْجَلَهُ السَّيْرُ يُؤَخِّرُ الْمَغْرِبَ، فَيُصَلِّيهَا ثَلاَثًا ثُمَّ يُسَلِّمُ، ثُمَّ قَلَّمَا يَلْبَثُ حَتَّى يُقِيمَ الْعِشَاءَ فَيُصَلِّيَهَا رَكْعَتَيْنِ ثُمَّ يُسَلِّمُ

Maksudnya: Aku melihat Nabi SAW melambatkan solat Maghrib apabila Baginda hendak segera berjalan. Kemudian Baginda menunaikannya sebanyak 3 rakaat. Selepas salam Baginda duduk sekejap lalu mendirikan solat Isyak sebanyak 2 rakaat. Kemudian Baginda memberi salam.

Riwayat al-Bukhari (1041)

  • Masih dalam musafir sehingga memulakan solat yang kedua. Oleh itu tidak menjadi masalah sekiranya sampai semula ke tempat asalnya ketika solat yang kedua masih belum selesai. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/188-189).

Syarat-syarat Jamak Ta’khir

Antaranya:

  • Berniat menjamakkan solat yang pertama dalam waktunya yang asal kepada solat yang kedua. Sekiranya tamat waktu Zohor tanpa berniat menjamakkan solat Zohor kepada Asar maka solat Zohor wajib diqadha’ serta berdosa oleh sebab melengah-lengahkannya.
  • Perjalanan mestilah berterusan sehingga selesai mengerjakan kedua-dua solat tersebut secara keseluruhan. Jika dia telah sampai (bermukim/bermastautin) sebelum selesai sepenuhnya kedua-dua solat itu, maka solat yang ditangguhkan menjadi solat qadha’.
  • Tidak disyaratkan tertib antara kedua-dua solat dalam kes ini. Seseorang boleh memulakan dengan mana-mana solat yang dikehendaki. Begitu juga syarat berturutan antara dua solat hanya sunat dan bukannya syarat sah jamak tersebut. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/189).

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.