#7638: Solat Jumaat di Rumah atau Kediaman

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bolehkah solat Jumaat ditunaikan di rumah atau kediaman kerana beralasan bahawa ada pendapat mazhab Hanafi dalam had minimum jemaah solat Jumaat?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَاةِ مِن يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَىٰ ذِكْرِ اللَّهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Wahai orang yang beriman, apabila diserukan azan untuk solat pada hari Jumaat hendaklah kamu bersegera ke arah mengingati Allah dan meninggalkan jual beli. Yang demikian itu adalah baik buat kamu sekiranya kamu mengetahuinya.”

(Surah al-Jumu‘ah: 9)

Berdasarkan ayat ini, kita dapati bahawa ia datang dengan kata majmuk dan dalam bentuk kata perintah kepada orang-orang yang beriman, maka tuntutan taklif ini mestilah dilakukan secara berjemaah dan hukum-hakamnya juga terkait dengan seluruh jemaahnya. Kalimah (فَاسْعَوْا) atau “pergilah” ini adalah kata perintah yang membawa maksud wajib, dan kewajipan untuk pergi itu sudah pasti untuk menuju kepada perkara yang diwajibkan juga iaitu Solat Jumaat. Larangan untuk berjual-beli ketika itu pula agar manusia tidak disibukkan dengannya sehingga tidak pergi Solat Jumaat. Sekiranya benar hukum solat ini hanyalah sunat dan bukan fardhu, maka mengapa perlu dilarang untuk berjual-beli semata-mata untuk solat tersebut. (Lihat al-Mughni, 2/218)

Berkenaan isu ini, meskipun seseorang itu ingin menunaikan solat Jumaat di rumahnya dengan mengambil pendapat ulama mazhab Hanafi pada soal bilangan minima jemaah solat, harus diingat ulama mazhab Hanafi juga telah meletakkan syarat sah solat Jumaat ialah mendapat keizinan pemerintah. Juga mendapat keizinan am untuk  melaksanakan solat Jumaat. (Lihat Mausu‘ah al-Fiqh al-Islami wa al-Qadhaya al-Mu‘asirah, 2/250).

Ibn Nujaim al-Misri al-Hanafi menyebutkan bahawa syarat sah solat Jumaat adalah pelaksanaannya mestilah diumumkan sehinggakan kalau pemerintah menutup pintu kubunya (tidak membenarkan orang luar) dan menunaikan solat Jumaat di dalamnya bersama ahli-ahlinya serta askar-askarnya sahaja, maka solat Jumaat tersebut tidak sah (jika ia dilakukan oleh orang luar). Namun, sekiranya pintu dibuka dan diberi keizinan untuk orang ramai masuk (menunaikan solat Jumaat bersama), solat Jumaat tersebut sah tetapi makruh kerana ia tidak menunaikan hak Masjid Jamek. (Lihat al-Bahr al-Raiq, 2/162-163)

Dr. Wahbah al-Zuhaili mengatakan bahawa perlunya kepada keizinan am bagi menunaikan solat Jumaat (menurut mazhab Hanafi) kerana setiap perhimpunan memerlukan keizinan (pemerintah) bagi menghadirinya. Oleh itu, tidak akan berlaku sesuatu perhimpunan melainkan dengan keizinan (pemerintah). Begitu juga, solat Jumaat ini adalah merupakan syiar Islam dan keistimewaan umat ini, maka pelaksanaannya mestilah diumumkan (kepada orang ramai). (Lihat Mausu‘ah al-Fiqh al-Islami wa al-Qadhaya al-Mu‘asirah, 2/250).

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.