#7639: Istisqa’ Ketika Kemarau

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh jelaskan, kisah-kisah istisqa’ yang dilakukan ketika kemarau yang panjang?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

فَقُلْتُ اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ إِنَّهُ كَانَ غَفَّارًا (10) يُرْسِلِ السَّمَاءَ عَلَيْكُم مِّدْرَارًا

Maksudnya: Sehingga Aku berkata (kepada mereka): “Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Dia Maha Pengampun. (Sekiranya kamu berbuat demikian), Dia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah, kepada kamu.”

(Surah Nuh: 10-11)

Sebelum menjawab persoalan di atas, kami mengemukakan terlebih dahulu takrifan istisqa’. Istisqa’ ialah memohon kepada Allah SWT agar diturunkan hujan ketika berlakunya kemarau dan kekeringan serta nampak kesan-kesan buruk daripada perkara tersebut. Istisqa’ boleh dilakukan sama ada dengan doa semata-mata atau boleh juga dengan doa selepas solat. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/76).

Menurut pengarang al-Fiqh al-Manhaji, solat Istisqa’ ialah solat yang disyariatkan apabila berlaku kemarau. Ia sunat dilakukan apabila ada sebab tersebut, dan tidak sunat lagi apabila hujan turun atau mata air mengalir kerana sebab-sebabnya telah luput. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/585).

Syeikh Abdullah al-Bassam menyatakan, sebaik-baiknya (adfhalnya) ia dilakukan dengan solat dua rakaat seperti mana solat hari raya dari segi waktunya, tempatnya, takbirnya dan bacaannya. Kemudian, Imam berkhutbah selepas solat tersebut dengan satu khutbah; (sebagaimana) khutbah solat hari raya dengan dimulakan dengan takbir, memperbanyakkan beristighfar, selawat dan salam ke atas Nabi SAW dan kemudiannya berdoa dengan doa yang mathur di dalamnya.

Sebahagian ulama menyatakan, terdapat tiga jenis istisqa’:

Pertama: Solat didirikan secara berjemaah atau secara bersendirian berdasarkan sifat-sifat tertentu yang disyariatkan , dan inilah yang paling sempurna (paling baik).

Kedua: Imam memohon hujan pada hari Jumaat dalam khutbahnya; sebagai mengikuti perbuatan Nabi SAW. Begitu juga kerana padanya terdapat satu waktu yang diharapkan padanya doa dimakbulkan. Inilah kategori yang disunatkan (mustahab) secara ijma‘ dan yang menjadi amalan kaum Muslimin.

Ketiga: Doa kaum Muslimin seusai mendirikan solat-solat mereka dan begitu juga ketika mereka sedang bersendirian. Tidak ada khilaf berkenaan keharusan memohon hujan dengan doa tanpa didahulukan dengan solat. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/76).

Seterusnya, berkenaan hukumnya pula Ibn ‘Abd al-Barr ada menyatakan bahawa para ulama telah berijma‘ bahawa keluar beramai-ramai untuk solat Istisqa’ dengan berdoa dan memohon kepada Allah untuk menurunkan hujan ketika musim kemarau dan kekeringan melanda hukumnya adalah sunat, yang telah disunnahkan oleh Rasulullah SAW tanpa ada perbezaan pendapat oleh para ulama dalam hal ini. (Lihat al-Tamhid, 17/172).

Berkenaan persoalan di atas, Rasulullah SAW dan kaum Muslimin, apabila menghadapi kesulitan yang berat, mereka akan berlindung kepada Allah SWT dan memohon pertolongan daripada-Nya. Maka Allah SWT akan mengabulkan permintaan mereka dan melimpahkan kebaikan serta kemurahan-Nya, sebagaimana firman-Nya tentang peristiwa Perang Badar:

إِذْ تَسْتَغِيثُونَ رَبَّكُمْ فَاسْتَجَابَ لَكُمْ أَنِّي مُمِدُّكُم بِأَلْفٍ مِّنَ الْمَلَائِكَةِ مُرْدِفِينَ

Maksudnya: “(Ingatlah) ketika kamu memohon pertolongan kepada tuhan kamu, lalu Dia perkenankan permohonan kamu (dengan firman-Nya): ‘Sesungguhnya Aku akan membantu kamu dengan seribu (bala tentera) dari malaikat yang datang berturut-turut.’

(Surah al-Anfal: 9)

Doa ini menunjukkan bagaimana kaum Muslimin yang soleh memohon hujan dan pertolongan, dengan Muhammad Rasulullah SAW, penghulu orang-orang yang soleh, sebagai teladan utama mereka.

  1. Istisqa’ Nabi SAW

Aisyah R.Anha berkata: “Orang ramai mengadu kepada Rasulullah SAW tentang kekeringan hujan (kemarau). Maka Baginda memerintahkan sebuah mimbar diletakkan untuknya di kawasan lapang, dan Baginda menjanjikan satu hari tertentu untuk mereka keluar (melakukan solat istisqa’).” Aisyah berkata lagi: “Rasulullah SAW keluar ketika matahari mula terbit sedikit, kemudian Baginda duduk di atas mimbar, bertakbir, dan memuji Allah ‘Azza wa Jalla. Setelah itu Baginda bersabda: ‘Sesungguhnya kamu mengadu tentang kekeringan (kemarau) di kawasan tempat tinggalmu dan penangguhan hujan daripada turun pada waktu yang sepatutnya. Allah ‘Azza wa Jalla telah memerintahkan kamu untuk berdoa kepada-Nya, dan Dia telah berjanji untuk mengabulkan permintaanmu.’

Kemudian Baginda membaca:

الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ، الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ، مَالِكِ يَوْمِ الدِّينِ، لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ، يَفْعَلُ مَا يُرِيدُ، اللَّهُمَّ أَنْتَ اللَّهُ، لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ، الْغَنِيُّ، وَنَحْنُ الْفُقَرَاءُ، أَنْزِلْ عَلَيْنَا الْغَيْثَ، وَاجْعَلْ مَا أَنْزَلْتَ لَنَا قُوَّةً وَبَلَاغًا إِلَى حِينٍ

Maksudnya: “Segala puji bagi Allah, Tuhan seluruh alam, Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, Pemilik Hari Pembalasan. Tiada Tuhan yang sebenar-benarnya berhak untuk disembah melainkan Allah, yang melakukan apa sahaja yang Dia kehendaki. Ya Allah, Engkaulah Allah, tiada Tuhan selain Engkau, Yang Maha Kaya, sedangkan kami adalah orang-orang fakir. Turunkanlah hujan kepada kami, dan jadikanlah apa yang Engkau turunkan itu sebagai kekuatan dan bekalan kepada kami hingga waktu tertentu.

Kemudian Baginda mengangkat kedua tangannya sehingga kelihatan putih ketiaknya. Baginda kemudian berpaling membelakangi orang ramai, membalikkan atau mengubah selendangnya, dan terus mengangkat tangannya. Setelah itu, Baginda berpaling kepada orang ramai, turun dari mimbar, dan mendirikan solat dua rakaat.

Lalu Allah pun menciptakan awan yang berarak, bergemuruh, dan memancarkan kilat, lalu hujan pun turun dengan izin Allah SWT. Air hujan begitu deras sehingga aliran air memenuhi kawasan sehingga Baginda belum sempat kembali ke masjid. Apabila Rasulullah SAW melihat orang ramai tergesa-gesa mencari tempat perlindungan dari hujan, Baginda tersenyum (atau ketawa ringan) hingga tampak gigi gerahamnya dan bersabda: “Aku bersaksi bahawa Allah yang Maha Berkuasa atas segala sesuatu dan bahawa aku adalah hamba Allah dan utusan-Nya.”

Riwayat Abu Dawud (992); al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam Bulugh al-Maram (hlm. 143) menilai sanadnya sebagai baik (jayyid).

  1. Umar bin al-Khattab R.A

Terdapat riwayat daripada Anas R.A bahawa:

أَنَّ عُمَرَ بْنَ الخَطَّابِ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ، كَانَ إِذَا قَحَطُوا اسْتَسْقَى بِالعَبَّاسِ بْنِ عَبْدِ المُطَّلِبِ، فَقَالَ: اللَّهُمَّ إِنَّا كُنَّا نَتَوَسَّلُ إِلَيْكَ بِنَبِيِّنَا فَتَسْقِينَا، وَإِنَّا نَتَوَسَّلُ إِلَيْكَ بِعَمِّ نَبِيِّنَا فَاسْقِنَا، قَالَ: فَيُسْقَوْنَ.

Maksudnya: “Umar bin al-Khattab R.A ketika mereka ditimpa musim kemarau, beliau meminta hujan dengan perantara al-‘Abbas bin ‘Abd al-Muttalib, dengan berdoa: “Ya Allah, sesungguhnya kami dahulu memohon kepada-Mu dengan perantaraan Nabi kami, maka Engkau menurunkan hujan kepada kami. Kini kami memohon kepada-Mu dengan perantaraan bapa saudara Nabi kami, maka turunkanlah hujan kepada kami.” Anas berkata: “Lalu diturunkan hujan kepada mereka.

Riwayat al-Bukhari (1010)

Begitu juga terdapat riwayat daripada Abdullah bin Umar R.Anhuma bahawa:

أَنَّ عُمَرَ بْنَ الْخَطَّابِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ عَامَ الرَّمَادَةِ – وَكَانَتْ سَنَةً شَدِيدَةً مُلِمَّةً، بَعْدَمَا اجْتَهَدَ عُمَرُ فِي إِمْدَادِ الْأَعْرَابِ بِالْإِبِلِ وَالْقَمْحِ وَالزَّيْتِ مِنَ الْأَرْيَافِ كُلِّهَا، حَتَّى بَلَحَتِ الْأَرْيَافُ كُلُّهَا مِمَّا جَهَدَهَا ذَلِكَ – فَقَامَ عُمَرُ يَدْعُو فَقَالَ: اللَّهُمَّ اجْعَلْ رِزْقَهُمْ عَلَى رُءُوسِ الْجِبَالِ، فَاسْتَجَابَ اللَّهُ لَهُ وَلِلْمُسْلِمِينَ، فَقَالَ حِينَ نَزَلَ بِهِ الْغَيْثُ: الْحَمْدُ لِلَّهِ، فَوَاللَّهِ لَوْ أَنَّ اللَّهَ لَمْ يُفْرِجْهَا مَا تَرَكْتُ بِأَهْلِ بَيْتٍ مِنَ الْمُسْلِمِينَ لَهُمْ سَعَةٌ إِلَّا أَدْخَلْتُ مَعَهُمْ أَعْدَادَهُمْ مِنَ الْفُقَرَاءِ، فَلَمْ يَكُنِ اثْنَانِ يَهْلِكَانِ مِنَ الطَّعَامِ عَلَى مَا يُقِيمُ وَاحِدًا

Maksudnya: “Umar bin al-Khattab R.A berkata pada tahun al-Ramadah (tahun tersebut ialah tahun kemarau yang sangat dahsyat dan genting). Setelah Umar berusaha membantu orang Arab Badwi dengan unta, tepung dan minyak (zaitun) daripada keseluruhan tanaman, sehinggalah kering keseluruhan tanaman yang diusahakan. Lantas, Umar berdoa dengan berkata: ‘Wahai Tuhan, jadikan rezeki mereka di atas puncak-puncak bukit.’ Allah pun mengabulkan doanya dan doa orang-orang Islam. Umar berkata ketika turunnya hujan: ‘Segala puji bagi Allah. Demi Allah! Sekiranya Allah tidak melenyapkan kesusahan ini, sudah tentu aku tidak akan membiarkan ahli keluarga Islam yang mempunyai kelapangan rezeki, melainkan aku akan memasukkan bersama mereka sebilangan orang fakir. Maka, tidak sekali ada dua orang yang mati kelaparan disebabkan adanya makanan yang mencukupi bagi seorang.’

Riwayat al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad (562) dan ia dinilai sebagai sahih oleh al-Albani.

  1. Abdullah bin Yazid al-Ansari R.A

Abu Ishaq al-Sabi‘i berkata:

خَرَجَ عَبْدُ اللهِ بْنُ يَزِيدَ الأَنْصَارِيُّ وَخَرَجَ مَعَهُ البَرَاءُ بْنُ عَازِبٍ، وَزَيْدُ بْنُ أَرْقَمَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمْ، فَاسْتَسْقَى، فَقَامَ لَهُمْ عَلَى رِجْلَيْهِ عَلَى غَيْرِ مِنْبَرٍ، فَاسْتَسْقَى، ثُمَّ صَلَّى رَكْعَتَيْنِ يَجْهَرُ بِالقِرَاءَةِ، وَلَمْ يُؤَذِّنْ وَلَمْ يُقِمْ.

Maksudnya: “Abdullah bin Yazid al-Ansari keluar dan turut keluar bersamanya al-Bara’ bin ‘Azib dan Zaid bin Arqam R.Anhum, lalu beliau berdoa meminta hujan turun. Lalu beliau (Abdullah bin Yazid) berdiri di hadapan mereka di atas kedua kakinya, tanpa berdiri di atas mimbar. Lalu beliau berdoa meminta hujan turun. Kemudian beliau mengerjakan solat dua rakaat dan menguatkan bacaannya (di dalam solat itu). Beliau tidak melaungkan azan mahupun iqamat (sebelum memulakan solat).”

Riwayat al-Bukhari (1022) dan Muslim (1254), dan lafaz hadith daripada Imam al-Bukhari.

Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani menyatakan, peristiwa ini berlaku ketika beliau menjadi pemimpin di Kufah atas perlantikan Abdullah bin al-Zubair pada tahun 64 Hijrah. (Lihat Fath al-Bari, 3/459).

  1. Abu Musa al-Asy‘ari R.A

Terdapat riwayat daripada Harithah bin Mudharrib al-‘Abdi, beliau berkata:

خَرَجْنَا مَعَ أَبِي مُوسَى نَسْتَسْقِي فَصَلَّى بِنَا رَكْعَتَيْنِ مِنْ غَيْرِ أَذَانٍ وَلَا إِقَامَةٍ

Maksudnya: “Kami keluar bersama Abu Musa untuk memohon hujan (istisqa’), lalu beliau mendirikan solat dua rakaat bersama kami tanpa (didahulukan) azan mahupun iqamah.

Riwayat Ibn Abi Syaibah dalam al-Musannaf (8559); Abu Habib Sa‘ad bin Nasir al-Syathri yang merupakan pentahqiq kitab ini (5/321) menilainya sebagai sahih.

  1. Abu Muslim al-Khaulani

Dalam kitab Karamat al-Awliya’ (hlm. 209) oleh al-Lalaka’ie menyebut tentang karamah Abu Muslim al-Khaulani:

حدثنا عَبْدُ الْمـَلِكِ بْنُ عُمَيْرٍ قَالَ: كَانَ أَبُو مُسْلِمٍ الْـخَوْلَانِيُّ إِذَا اسْتَسْقَى سُقِيَ

Maksudnya: “ Abd Malik Bin Umair menyampaikan kepada kami dengan berkata: “Adalah Abu Muslim al-Khaulani, apabila bersolat Istisqa’ dan memohon hujan, maka turunlah hujan.”

“Daripada Muhammad bin Syu’aib dan Said bin Abd Aziz berkata: “Pada masa pemerintahan Mu’awiyah terjadi kemarau panjang. Mu’awiyah keluar untuk solat Istisqa’ bersama masyarakat. Ketika mereka tiba di tempat yang akan digunakan untuk solat Istisqa’, Mu’awiyah berkata kepada Abu Muslim: “Bukankah engkau mengetahui apa yang dikehendaki masyarakat ini?”

Abu Muslim menjawab: “Mungkinkah aku melakukannya sementara aku mempunyai banyak kekurangan.”

Kemudian beliau bangkit, di atas kepalanya beliau memakai sejenis tutup kepala. Lalu tutup kepala itu dibuka, selanjutnya beliau mengangkat kedua tangannya seraya berdoa: “Ya Allah, sesungguhnya hanya kepadaMu-lah kami meminta hujan. Aku datang mengadap-Mu dengan segenap dosaku. Janganlah Engkau tolak permohonanku ini.” Maka sebelum orang ramai berlalu pergi, hujan pun turun.” (Lihat kitab al-Zuhd, oleh Imam Ahmad, hlm. 392)

  1. Yazid bin al-Aswad al-Jurasyi[1]

Seorang tabi‘in Sulaim bin ‘Amir al-Khaba’iri meriwayatkan bahawa ketika langit tidak menurunkan hujan (kemarau), Mu‘awiyah bin Abu Sufyan dan penduduk Damsyik keluar untuk memohon hujan (istisqa’). Ketika Mu‘awiyah duduk di atas mimbar, beliau bertanya: “Di manakah Yazid bin al-Aswad al-Jurasyi?” Orang ramai memanggilnya, lalu beliau datang melangkah ke hadapan. Mu‘awiyah memintanya untuk naik ke mimbar dan duduk di sisi kedua kakinya. Kemudian Mu‘awiyah berdoa: “Ya Allah, hari ini kami memohon syafaat kepada-Mu dengan orang yang terbaik dan paling utama dalam kalangan kami. Ya Allah, kami memohon syafaat kepada-Mu melalui Yazid bin al-Aswad al-Jurasyi. Wahai Yazid, angkatlah kedua tanganmu kepada Allah.”

Maka Yazid mengangkat kedua tangannya, dan orang ramai turut mengangkat tangan mereka. Tidak lama kemudian, awan tebal muncul dari arah barat, dan angin bertiup membawa awan itu sehingga hujan pun turun. Hujan turun begitu lebat sehingga hampir-hampir orang ramai tidak dapat kembali ke rumah mereka. (Lihat al-Tabaqat oleh Ibn Sa‘ad, 7/444; al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani menilai sanadnya sebagai sahih dalam al-Isabah, 6/358)

Ibn Qudamah pernah menyebutkan bahawa digalakkan atau disunatkan untuk memohon hujan (istisqa’) melalui orang yang diketahui kesolehannya, kerana doanya lebih dekat untuk diterima. Kemudian beliau menyebutkan perbuatan Umar dan Mu‘awiyah R.Anhum. (Lihat al-Mughni, 2/293).

  1. Umar bin ‘Abd al-‘Aziz

Imam ‘Abd al-Razzaq meriwayatkan dengan sanadnya dalam al-Musannaf (3/87) bahawa Umar bin ‘Abd al-‘Aziz menulis kepada Maimun bin Mihran: “Aku telah menulis kepada penduduk setiap negeri agar mereka keluar pada hari tertentu dalam bulan tertentu untuk melakukan istisqa’ (memohon hujan). Sesiapa yang mampu untuk berpuasa dan bersedekah, maka hendaklah dia melakukannya. Sesungguhnya Allah berfirman:

قَدْ أَفْلَحَ مَن تَزَكَّىٰ ‎﴿١٤﴾‏ وَذَكَرَ اسْمَ رَبِّهِ فَصَلَّىٰ

Maksudnya: “Sesungguhnya berjayalah orang yang – setelah menerima peringatan itu – berusaha membersihkan dirinya (dengan taat dan amal yang soleh). Dan menyebut-nyebut dengan lidah dan hatinya akan nama Tuhannya serta mengerjakan solat (dengan khusyuk).”

(Surah al-A‘la: 14-15).

Begitu juga ucapkanlah sebagaimana yang diucapkan oleh kedua ibu bapa kamu:

رَبَّنَا ظَلَمْنَا أَنفُسَنَا وَإِن لَّمْ تَغْفِرْ لَنَا وَتَرْحَمْنَا لَنَكُونَنَّ مِنَ الْخَاسِرِينَ

Maksudnya: “Mereka berdua merayu: ‘Wahai Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan kalau Engkau tidak mengampunkan kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya menjadilah kami dari orang-orang yang rugi.’

(Surah al-A‘raf: 23)

Begitu juga ucapkanlah sebagaimana yang diucapkan oleh Nabi Nuh A.S:

إِلَّا تَغْفِرْ لِي وَتَرْحَمْنِي أَكُن مِّنَ الْخَاسِرِينَ

Maksudnya: “Jika Engkau tidak mengampunkan dosaku, dan memberi rahmat kepadaku, nescaya menjadilah aku dari orang-orang yang rugi.”

(Surah Hud: 47)

Begitu juga ucapkanlah sebagaimana yang diucapkan oleh Nabi Musa A.S:

إِنِّي ظَلَمْتُ نَفْسِي فَاغْفِرْ لِي فَغَفَرَ لَهُ ۚ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

Maksudnya: “Sesungguhnya aku telah menganiaya diri sendiri; oleh itu ampunkanlah — apalah jua kiranya — akan dosaku. (Maka Allah ta‘ala menerima taubatnya) lalu mengampunkan dosanya; sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

(Surah al-Qasas: 16)

Begitu juga ucapkanlah sebagaimana yang diucapkan oleh Nabi Yunus A.S dalam kegelapan:

لَّا إِلَٰهَ إِلَّا أَنتَ سُبْحَانَكَ إِنِّي كُنتُ مِنَ الظَّالِمِينَ

Maksudnya: “Sesungguhnya tiada Tuhan (yang dapat menolong) melainkan Engkau (Ya Allah)! Maha Suci Engkau (daripada melakukan aniaya, tolongkanlah daku)! Sesungguhnya aku adalah daripada orang-orang yang menganiaya diri sendiri.”

(Surah al-Anbiya: 87)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ زَوَالِ نِعْمَتِكَ، وَتَحَوُّلِ عَافِيَتِكَ، وَفُجَاءَةِ نِقْمَتِكَ، وَجَمِيعِ سَخَطِكَ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada hilangnya kenikmatan yang telah Engkau berikan, daripada berubahnya kesihatan yang telah Engkau anugerahkan, daripada seksa-Mu (bencana) yang datang secara tiba-tiba, dan daripada segala bentuk kemurkaan-Mu.”

Nota hujung:

[1] Yazid bin al-Aswad al-Jurasyi termasuk salah seorang tokoh terkemuka dalam kalangan tabi‘in. Terdapat perbezaan pendapat mengenai sama ada beliau pernah bertemu dengan Rasulullah SAW (menjadi sahabat). Beliau sempat hidup pada zaman Jahiliyyah, seorang ahli ibadah, zuhud, dan soleh. Beliau menetap di Syam dan meninggal dunia di sana pada tahun 71 Hijrah. (Lihat al-Isti‘ab fi Ma‘rifah al-Ashab, 1/497; al-Bidayah wa al-Nihayah, 8/393).