#7640: Pengharaman Meminta Hujan Melalui Bintang

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah, terdapat pengharaman meminta hujan melalui bintang?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

فَقُلْتُ اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ إِنَّهُ كَانَ غَفَّارًا (10) يُرْسِلِ السَّمَاءَ عَلَيْكُم مِّدْرَارًا

Maksudnya: Sehingga Aku berkata (kepada mereka): “Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Dia Maha Pengampun. (Sekiranya kamu berbuat demikian), Dia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah, kepada kamu.”

(Surah Nuh: 10-11)

Menjawab persoalan di atas, diriwayatkan daripada Zaid bin Khalid al-Juhani bahawa beliau berkata:

 صَلّى لَنا رَسولُ اللَّهِ صَلّى اللهُ عليه وسلَّمَ صَلاةَ الصُّبْحِ بالحُدَيْبِيَةِ على إثْرِ سَماءٍ كانَتْ مِنَ اللَّيْلَةِ، فَلَمّا انْصَرَفَ أقْبَلَ على النّاسِ، فَقالَ: هلْ تَدْرُونَ ماذا قالَ رَبُّكُمْ؟ قالوا: اللَّهُ ورَسولُهُ أعْلَمُ، قالَ: أصْبَحَ مِن عِبادِي مُؤْمِنٌ بي وكافِرٌ، فأمّا مَن قالَ: مُطِرْنا بفَضْلِ اللَّهِ ورَحْمَتِهِ، فَذلكَ مُؤْمِنٌ بي وكافِرٌ بالكَوْكَبِ، وأَمّا مَن قالَ: بنَوْءِ كَذا وكَذا، فَذلكَ كافِرٌ بي ومُؤْمِنٌ بالكَوْكَبِ.

Maksudnya: “Rasulullah SAW mengimami kami solat Subuh di Hudaibiyah sesudah turun hujan pada malam harinya. Selesai solat, Baginda menghadapkan (wajahnya) kepada orang ramai, lalu bersabda: “Adakah kamu tahu apa yang difirmankan oleh Tuhan kamu?” Mereka menjawab: “Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui.” Baginda bersabda: “Pagi ini, ada daripada kalangan hamba-hamba-Ku yang beriman kepadaku dan kufur kepada-Ku.” Adapun yang mengatakan: “Hujan diturunkan kepada kami disebabkan kurniaan Allah dan rahmat-Nya, maka itulah orang yang beriman kepadaku, dan kufur kepada bintang-bintang.” Dan adapun yang mengatakan: “(Diturunkan hujan) disebabkan bintang itu dan ini, maka itulah  orang yang kufur (mendustakan) kepadaku dan beriman kepada bintang  bintang.”

Riwayat al-Bukhari (836) dan Muslim (71)

Yang dimaksudkan dengan “على إثْرِ سَماءٍ ” iaitu:  setelah turunnya hujan; dan “النوء” ialah bentuk tunggal bagi “الأنواء”, yang merujuk kepada 28 bintang yang merupakan kedudukan (manzilah) bulan. Mereka mendakwa bahawa jika bulan berada pada kedudukan beberapa bintang tersebut, maka hujan akan turun. Dakwaan ini telah dibatalkan, dan hujan ditetapkan sebagai ketentuan daripada Allah SWT tanpa melibatkan perbuatan selain-Nya. (Lihat Ma‘alim al-Sunan, 3/76)

Abu al-‘Abbas al-Qurtubi  berkata: Dan firman-Nya: ‘Telah menjadi di antara hamba-Ku ada yang beriman kepada-Ku dan ada yang kufur,’ secara zahirnya merujuk kepada kekufuran yang sebenar, kerana ia diungkapkan bertentangan dengan keimanan yang sebenar. Maka, ia ditujukan kepada mereka yang mempercayai bahawa hujan adalah hasil perbuatan dan ciptaan bintang-bintang, bukan daripada perbuatan Allah SWT, sebagaimana yang dipercayai oleh sebahagian jahil ahli nujum, ahli falsafah alam, dan orang Arab. Adapun mereka yang meyakini bahawa Allah Ta‘ala adalah Pencipta dan Pengatur hujan, tetapi mengungkapkan kata-kata tersebut (yang merujuk kepada bintang), maka dia tidak kafir, tetapi telah melakukan kesalahan dari dua sudut:

Pertama:  Dia telah melanggar syariat, kerana telah diingatkan agar tidak menggunakan ungkapan tersebut.

Kedua:  Bahawa dia telah menyerupai golongan kafir dalam ucapan mereka, dan itu tidak dibenarkan; kerana kita diperintahkan untuk berbeza dengan mereka, sebagaimana disebutkan: “Berbezalah dengan kaum musyrik” dan “Berbezalah dengan kaum Yahudi.” (Lihat al-Mufhim Lima Asykala min Talkhis Kitab Muslim, 1/259)

Diriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas bahawa beliau berkata:

مُطِرَ النّاسُ على عَهْدِ النبيِّ ﷺ، فقالَ: النبيُّ ﷺ: أصْبَحَ مِنَ النّاسِ شاكِرٌ ومِنْهُمْ كافِرٌ، قالوا: هذِه رَحْمَةُ اللهِ، وقالَ بَعْضُهُمْ: لقَدْ صَدَقَ نَوْءُ كَذا وكَذا قالَ: فَنَزَلَتْ هذِه الآيَةُ: ﴿فَلا أُقْسِمُ بمَواقِعِ النُّجُومِ﴾، حتّى بَلَغَ: ﴿وَتَجْعَلُونَ رِزْقَكُمْ أنَّكُمْ تُكَذِّبُون﴾

Maksudnya: “Suatu ketika manusia diturunkan hujan pada zaman Nabi SAW, lalu Baginda Bersabda: “Dengan hujan ini di antara manusia ada yang berubah menjadi hamba yang bersyukur dan ada pula yang kufur. Sebahagian mereka berkata: Hujan ini adalah sebuah bukti dari rahmat Allah. Namun sebahagian yang lain berkata: Bintang ini dan ini sungguh telah benar. Ibnu  ‘Abbas berkata: Kemudian turunlah ayat ini: (. Lalu Aku bersumpah dengan tempat peredaran bintang-bintang), sampai ayat: (Dan kamu jadikan rezeki yang dikurniakan kepadamu untuk mendustakan-Nya.) ”

Riwayat Muslim (73)

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A daripada Rasulullah SAW bahawa Baginda bersabda:

ما أَنْزَلَ اللَّهُ مِنَ السَّماءِ مِن بَرَكَةٍ إِلّا أَصْبَحَ فَرِيقٌ مِنَ النّاسِ بِها كافِرِينَ، يُنْزِلُ اللَّهُ الغَيْثَ فيَقولونَ: الكَوْكَبُ كَذا وَكَذا. وفي حَديثِ المُرادِيِّ: بِكَوْكَبِ كَذا وَكَذا.

Maksudnya: “Tiada keberkatan yang Allah turunkan dari langit melainkan sebahagian manusia menjadi kafir disebabkan keberkatan itu. Allah menurunkan hujan, tetapi mereka berkata: Hujan ini disebabkan oleh bintang tertentu. Dalam riwayat al-Muradi, disebut: ‘Disebabkan oleh bintang tertentu.”

Riwayat Muslim (72)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نسْأَلُكَ الْهُدَى ، وَالتُّقَى ، وَالْعَفَافَ ، وَالْغِنَى

Maksudnya: “Wahai Allah! Sesungguhnya kami memohon kepada-Mu petunjuk, ketakwaan, sifat iffah dan kekayaan.”