#7644: Kesan Ilmu Terhadap Taubat dan Doa

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah kesan ilmu terhadap taubat dan doa?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Imam al-Ghazali menyebut: Wahai orang-orang yang ingin terbebas daripada segala mara bahaya dan yang ingin beribadah dengan benar, semoga Allah melimpahkan taufik-Nya kepada kita. Untuk itu, kita hendaklah membekalkan diri dengan ilmu. Kerana beribadah tanpa bekalan ilmu adalah sia-sia, kerana ilmu adalah pangkal daripada segala perbuatan.

Perlu diketahui bahawa ilmu dan ibadah adalah dua mata rantai yang saling berkait. Kerana, pada dasarnya, segala yang kita lihat, kita dengar dan kita pelajari adalah untuk ilmu dan ibadah. (Lihat Minhaj al-’Abidin, hlm. 24)

Menjawab persoalan di atas, antaranya ialah:

  • Diterima oleh Allah SWT

Seseorang yang bertaubat dengan sebenar-benar taubat, berdasarkan ilmu dan makrifah yang betul, sudah tentu Allah SWT akan menerima taubatnya dan menghapuskan kesalahannya. Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا تُوبُوا إِلَى اللَّـهِ تَوْبَةً نَّصُوحًا عَسَىٰ رَبُّكُمْ أَن يُكَفِّرَ عَنكُمْ سَيِّئَاتِكُمْ وَيُدْخِلَكُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِن تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan “Taubat Nasuha”, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai,

(Surah al-Tahrim: 8)

Ibn Kathir berkata: Iaitu taubat yang sebenarnya dengan tekad yang penuh, yang dapat menghapuskan pelbagai keburukan yang pernah ada sebelumnya, yang akan menyatukan dan mengumpulkan orang yang bertaubat, juga menahan dirinya daripada pelbagai perbuatan hina.

Disebabkan itu, para ulama menyebut: Taubat nasuha adalah bertekad untuk meninggalkan dosa yang akan datang dan menyesali dosa-dosa yang telah lalu, dan kemudian berazam bersungguh-sungguh untuk tidak mengerjakannya kembali pada masa depan. Kemudian, jika dosa tersebut berkait dengan hak manusia, hendaklah dia kembalikan (hak) apa yang telah dia ambil. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 14/60-61)

Syeikh Syihab al-Din Ibn Ruslan al-Ramli bersenandung di dalam matan beliau:

وَكُلُّ مَنْ بِغَيْرِ عِلْمٍ يَعْمَلُ                أَعْمَالُهُ مَرْدُودَةٌ لَا تُقْبَلُ

“Setiap siapa tanpa ilmu beramal

            Segala amalannya ditolak dan tidak diterima”

(Lihat al-Zubad fi Fiqh al-Syafi‘i, hlm. 4)

  • Dimakbulkan doa

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

ادْعُوا اللَّهَ وَأَنْتُمْ مُوقِنُونَ بِالإِجَابَةِ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ لاَ يَسْتَجِيبُ دُعَاءً مِنْ قَلْبٍ غَافِلٍ لاَهٍ

Maksudnya: “Berdoalah kepada Allah dalam keadaan kamu yakin bahawa ianya akan dimustajabkan. Dan ketahuilah kamu bahawa Allah SWT tidak akan memustajabkan doa yang datang daripada hati yang lalai lagi alpa.”

Riwayat al-Tirmizi (3479)

Al-Mubarakfuri mengatakan, hendaklah kita berada dalam keadaan yang layak dikabulkan hajatnya ketika sedang berdoa. Tetapi persoalannya bagaimanakah keadaan tersebut? Maka di sinilah ilmu itu berperanan penting dalam mempertingkatkan lagi usaha mendapatkan doa yang diperkenan oleh Allah SWT. Keadaan yang dimaksudkan oleh beliau adalah dengan melakukan kebaikan dan mencegah kemungkaran, serta meraikan syarat-syarat doa seperti menghayati doa tersebut, memperuntukkannya pada waktu dan tempat yang mustajab, beriringan dengan keadaan yang baik (dalam sujud dan selainnya). Sehinggakan hati kita itu merasakan bahawa berkemungkinan besar doa itu akan dimustajabkan.

Berkemungkinan juga yang dimaksudkan dalam sabda Rasulullah SAW adalah seseorang itu berdoa dalam keadaan dia beriktiqad bahawa Allah SWT tidak akan mengecewakannya, disebabkan kemurahan-Nya yang melimpah, kesempurnaan kekuasaan-Nya, dan pengetahuan-Nya yang meliputi segala sesuatu. Ini untuk memastikan kebenaran harapan dan keikhlasan dalam doa, kerana orang yang berdoa, selama mana harapannya tetap kuat, doanya akan menjadi jujur. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 9/316)

Dengan bertaubat juga, Allah SWT akan memakbulkan doa dan menurunkan rahmat-Nya:

فَقُلْتُ اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ إِنَّهُ كَانَ غَفَّارًا (10) يُرْسِلِ السَّمَاءَ عَلَيْكُم مِّدْرَارًا (11) وَيُمْدِدْكُم بِأَمْوَالٍ وَبَنِينَ وَيَجْعَل لَّكُمْ جَنَّاتٍ وَيَجْعَل لَّكُمْ أَنْهَارًا

Maksudnya: “Sehingga aku berkata (kepada mereka): ‘Mintalah keampunan daripada Tuhan kamu, sesungguhnya Dialah yang Maha Pengampun. (Sekiranya kamu berbuat demikian), Ia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah, kepada kamu; Dan Ia akan memberi kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak; dan Ia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya)’.”

(Surah Nuh: 10-12)

Ibn Kathir berkata: Maksudnya, jika kamu bertaubat kepada Allah, memohon ampun kepada-Nya dan kamu sentiasa mentaati-Nya, nescaya Dia akan membanyakkan rezeki kamu, menurunkan air hujan serta keberkatan dari langit, mengeluarkan keberkatan dari bumi, menumbuhkan tumbuh-tumbuhan untuk kamu, melimpahkan air perahan susu untuk kamu, membanyakkan harta dan anak-anak untuk kamu, menjadikan kebun-kebun yang di dalamnya terdapat pelbagai jenis buah-buahan untuk kamu, dan mengalirkan sungai-sungai di antara kebun-kebun itu. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 4/449)

Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ لَزِمَ الِاسْتِغْفَارَ، جَعَلَ اللَّهُ لَهُ مِنْ كُلِّ ضِيقٍ مَخْرَجًا، وَمِنْ كُلِّ هَمٍّ فَرَجًا، وَرَزَقَهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ

Maksudnya: “Barangsiapa yang sentiasa melazimi istighfar, Allah SWT menjadikan baginya setiap kesempitan itu jalan keluar, setiap keluh kesah itu kelapangan dan Allah juga mengurniakan kepadanya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka.”

Riwayat Abu Dawud (1518), Ibn Majah (3819), Ahmad (1/248), al-Tabarani dalam al-Ausat (6/240) dan al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (3/351)

  • Dijauhkan kemurkaan Tuhan

Dengan ilmu yang benar dalam bertaubat, serta mengakui dosa yang dilakukannya, maka Allah SWT akan mengampunkan dosanya sekaligus menjauhkannya daripada azab seksa-Nya.

Daripada Aisyah R.Anha, Nabi SAW bersabda:

إِنَّ الْعَبْدَ إِذَا اعْتَرَفَ بِذَنْبِهِ ثُمَّ تَابَ تَابَ اللَّهُ عَلَيْهِ

Maksudnya: “Sesungguhnya hamba, jika dia mengakui dosanya dan kemudian dia bertaubat, nescaya Allah SWT menerima taubatnya.”

Riwayat al-Bukhari (2661)

Mulla Ali al-Qari dalam Mirqat al-Mafatih (4/1616) menyebut: Iaitu seseorang yang menyedari keadaan dirinya yang berdosa, kemudian dia bertaubat dengan memenuhi segala rukun dan syarat-syaratnya seperti menyesal, meninggalkannya, berazam dan berusaha memperbaiki diri maka Allah SWT akan menerima taubatnya berdasarkan firman-Nya:

وَهُوَ الَّذِي يَقْبَلُ التَّوْبَةَ عَنْ عِبَادِهِ

Maksudnya: “Dan Dia lah Tuhan yang menerima taubat dari hamba-hamba-Nya (yang bertaubat).”

(Surah al-Syura: 25)

Al-Qurtubi berkata: Allah pasti mengampunkan sebarang bentuk dosa iaitu dari perlakuan syirik sebelum mereka Islam. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan dari kebaikan dan kejahatan. (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 7/27)

  • Dikukuhkan Istiqamah

Seseorang yang bertaubat dengan sebenar-benarnya, dengan memenuhi segala syaratnya, maka dosanya akan diampunkan oleh Allah SWT. Seterusnya, dia hendaklah beristiqamah di atas jalan yang diperintahkan.

Firman Allah SWT:

فَاسْتَقِمْ كَمَا أُمِرْتَ وَمَن تَابَ مَعَكَ وَلَا تَطْغَوْا ۚ إِنَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ

Maksudnya: “Oleh itu, hendaklah engkau (wahai Muhammad) sentiasa tetap teguh di atas jalan yang betul sebagaimana yang diperintahkan kepadamu, dan hendaklah orang-orang yang rujuk kembali kepada kebenaran mengikutmu berbuat demikian; dan janganlah kamu melampaui batas hukum-hukum Allah; sesungguhnya Allah Maha Melihat akan apa yang kamu kerjakan.”

(Surah Hud: 12)

Istiqamah pada bahasa dengan maksud berdiri teguh, terus-menerus, konsisten dan iltizam yang kukuh.

Saidina ‘Umar R.A pernah berkata, “Istiqamah ialah tetap dalam menurut perintah serta menjauhi larangan dan tidak menyimpang dari-Nya.”

Daripada Sufyan bin Abdillah al-Thaqafi, dia berkata kepada Rasulullah SAW:

يَا رَسُولَ اللَّهِ، قُلْ لِي فِي الْإِسْلَامِ قَوْلًا لَا أَسْأَلُ عَنْهُ أَحَدًا بَعْدَكَ، قَالَ: قُلْ: آمَنْتُ بِاَللَّهِ، ثُمَّ اسْتَقِمْ

Maksudnya: “Ya Rasulullah, beritahu saya dalam Islam perkataan yang saya tidak akan bertanya kepada siapa pun setelahmu. Baginda bersabda: Katakanlah: ‘Aku beriman kepada Allah’, kemudian istiqamahlah (pada suruhan dan larangan-Nya).”

Riwayat Muslim (38)

Hadith ini juga bertepatan dengan firman Allah SWT di dalam Surah al-Ahqaf ayat 13:

إِنَّ الَّذِينَ قَالُوا رَبُّنَا اللَّهُ ثُمَّ اسْتَقَامُوا فَلَا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ

Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: ‘Tuhan kami ialah Allah’, kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul (dengan pengakuan iman dan tauhidnya itu), maka tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.”

Ayat ini bermaksud, tauhidkanlah Allah dan berimanlah dengan-Nya, kemudian istiqamahlah dan jangan menyimpang daripada tauhid. Dan lazimilah dalam mentaati perintah Allah sehingga akhir hayat. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 2/9)

  • Diberikan Taufik dan Hidayah

Sebab utama untuk mendapatkan petunjuk atau hidayah adalah dengan bertaubat kepada Allah. Jika tidak melakukan tindakan ini, seseorang tidak akan mendapat petunjuk. Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang yang tidak bertaubat. Bayangkan jika ada seseorang yang terus melakukan kesalahan dan tidak bertaubat kepada Allah, bagaimana mungkin Allah akan memberinya petunjuk? Taubat harus dilakukan dengan cara yang benar, sesuai dengan ajaran agama dan ilmu yang benar menurut syariat. Allah hanya menerima taubat yang ikhlas dan dilakukan dengan cara yang betul. Firman Allah SWT:

 وَيَهْدِي إِلَيْهِ مَنْ أَنَابَ

Maksudnya:Dan memberi petunjuk ke jalan agamanya, sesiapa yang kembali kepadaNya

(Surah al-Ra’d: 27)

Syeikh Sa’id Bin Musfir menyatakan: “Tanpa pengetahuan, kamu tidak dapat dipandu dengan hidayah. Bagaimana mungkin kamu dapat dipandu dengan hidayah ketika kamu buta? Bagaimana mungkin kamu dapat dipandu dengan hidayah ketika kamu tidak tahu jalan? Kerana pengetahuan adalah cahaya. Firman Allah SWT:

وَمَنْ لَمْ يَجْعَلِ اللَّهُ لَهُ نُوراً فَمَا لَهُ مِنْ نُورٍ

Maksudnya: “Dan sesiapa yang Allah tidak menjadikan baginya cahaya, maka baginya tidak ada cahaya.”

(Surah al-Nur: 40)

Mengambil berat dengan ilmu adalah dengan merujuk kepada ilmu yang diwarisi daripada Rasulullah SAW, iaitu ilmu daripada Kitabullah dan Sunnah baginda. Oleh itu, kamu perlu belajar sesuatu daripada agama Allah agar Dia memandu kamu dengan hidayah-Nya.” (Lihat Durus Syeikh Sa’id Bin Musfir, 47/10)

Allah SWT turut merakamkan kata-kata Nabi Syu’aib AS:

وَمَا تَوْفِيقِي إِلَّا بِاللَّـهِ

Maksudnya: “Dan tiadalah aku akan beroleh taufik untuk menjayakannya melainkan dengan pertolongan Allah.”

(Surah Hud: 88)

Syeikh al-Maraghi berkata: “Taufik bererti kejayaan dan keberhasilan dalam melakukan segala amal dan usaha yang baik. Hal itu boleh terjadi apabila orang yang melakukan usaha dan mencari jalan yang dapat menyampaikan kepada keberhasilan tersebut, di samping dia mempersiapkan sebab-sebab yang dapat memudahkannya untuk mencapainya. Kesemua itu hanya daripada Allah SWT semata-mata. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 6/3250)

Justeru, apabila seseorang itu diberikan taufiq dan hidayah oleh Allah bersama dengan ilmu, pastilah seseorang itu akan melazimi dirinya untuk sentiasa bertaubat kepada Allah SWT.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”