#7648: Membaca Ayat al-Quran Secara Terbalik

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, adakah dibolehkan membaca al-Quran tidak mengikut tertib ayat iaitu baca al-Quran secara terbalik? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

إِنَّا نَحْنُ نَزَّلْنَا الذِّكْرَ وَإِنَّا لَهُ لَحَافِظُونَ‎

Maksudnya: “Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Quran, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya.”

(Surah al-Hijr: 9)

Kata Imam al-Tabari ketika menafsirkan ayat ini: al-Zikr adalah al-Quran. Kata beliau lagi: Dan Kami (Allah) sangat memeliharanya daripada sebarang tokok tambah sebarang kebatilan yang bukan daripadanya. Ataupun dari sebarang kekurangan daripadanya dari sudut hukum-hakam, hudud, serta kefardhuan-kefardhuannya. (Lihat  Jami’ al-Bayan, 17/68)

Membaca al-Quran merupakan amalan yang sangat dituntut di dalam Islam. Begitu juga, akan diberi pelbagai ganjaran dan kelebihan bagi sesiapa yang membaca al-Quran sepertimana hadith yang diriwayatkan oleh Muhammad bin Ka’ab al-Qurazi menyebut, aku mendengar daripada Abdullah bin Mas’ud RA berkata, Nabi SAW bersabda:

مَنْ قَرَأَ حَرْفًا مِنْ كِتَابِ اللَّهِ فَلَهُ بِهِ حَسَنَةٌ

Maksudnya: “Sesiapa yang membaca satu huruf daripada Kitabullah (al-Quran) maka baginya satu kebaikan.”

 Riwayat al-Tirmizi (2910)

Selain itu Rasulullah SAW mengkhabarkan bahawa al-Quran boleh memberi syafaat kepada pembacanya sebagaimana hadith yang diriwayatkan daripada Abu Umamah R.A bahawa Baginda bersabda:

اقْرَءُوا الْقُرْآنَ فَإِنَّهُ يَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ شَفِيعًا لأَصْحَابِهِ

Maksudnya: “Bacalah al-Quran, kerana sesunggunhnya ia akan datang pada hari kiamat memberi syafaat kepada sesiapa yang membacanya.”

Riwayat Muslim (804)

Al-San‘ani menyatakan bahawa: Mereka adalah orang-orang yang membaca al-Quran dengan merenunginya serta mengamalkan apa yang terkandung di dalamnya. (Lihat al-Tahbir li Idah Ma‘ani al-Taisir, 2/9)

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami nyatakan bahawa membaca ayat al-Quran secara tertib merupakan satu kewajipan yang tidak boleh diabaikan. Tertib dalam bacaan bermaksud membaca ayat-ayat al-Quran mengikut susunan seperti yang diturunkan dan disusun dalam mushaf, sebagaimana yang diajarkan oleh Rasulullah SAW.

Al-Suyuti menyatakan: Telah sepakat bahawa susunan ayat-ayat al-Quran adalah secara tawqifi (berdasarkan ketetapan wahyu), tanpa sebarang keraguan tentang hal ini. Adapun mengenai ijmak, ia telah dinukilkan oleh ramai ulama, antaranya al-Zarkasyi dalam al-Burhan dan Abu Ja‘far bin al-Zubair. Kata-kata beliau adalah: “Susunan ayat-ayat dalam surah-surahnya ditetapkan melalui petunjuk Rasulullah SAW dan perintah baginda, tanpa sebarang perselisihan dalam hal ini di kalangan umat Islam.” (Lihat Muhadarat fi ‘Ulum al-Quran, hlm.69)

Ijmak para ulama menyatakan bahawa susunan ayat-ayat al-Quran adalah berdasarkan ketetapan wahyu (tawqifi), yang disokong oleh nas-nas al-Quran dan hadith Nabi SAW. Antara dalil yang mengukuhkan hal ini ialah sebagaiman hadith yang diriwayatkan daripada Uthman bin Abu al-’As al-Thaqafi bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَتَانِي جِبرِيلُ، فَأَمَرَنِي أَن أَضَعَ هَذِهِ الآيةَ بِهَذَا المَوْضِعِ مِن هَذِهِ السُّورَةِ إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ والْإِحْسانِ.

Maksudnya: “Jibril A.s telah datang kepadaku, lalu beliau menyuruhku supaya meletakkan ayat ini di tempat ini pada surah ini, iaitu ayat: (Sesungguhnya Allah menyuruh supaya berlaku adil dan ihsan, memberikan kepada ahli kerabat, menegah terhadap perkara keji, mungkar dan melampaui. Dia menasihatkan kamu semoga kamu mengambil pelajaran)”

Riwayat Ahmad(17947) al-Albani menilai hadith ini sebagai lemah dalam Dhaif al-Jami’ (66)

Hadith ini menunjukkan bahawa susunan ayat-ayat dalam al-Quran bukanlah hasil ijtihad Rasulullah SAW atau para sahabat, tetapi ditentukan berdasarkan arahan Jibril A.S yang membawa wahyu daripada Allah SWT. Ini memastikan bahawa setiap ayat berada pada tempat yang dikehendaki oleh Allah.

Justeru, membaca ayat al-Quran secara terbalik adalah tidak dibenarkan dan bahkan diharamkan oleh para ulama. Hal ini sebagaimana dinyatakan oleh Syeikh Zakariya al-Ansari: Diharamkan membaca dengan membalikkan susunan ayat, kerana ia akan menghilangkan mukjizat al-Quran dan merosakkan hikmah susunan ayat tersebut. Membalikkan susunan surah pula adalah makruh kerana menghilangkan tertib, kecuali dalam pengajaran, maka ia tidak dimakruhkan kerana pengajaran biasanya dilakukan secara berasingan dan cara itu lebih memudahkan pembelajaran. (Lihat Asna al-Matalib, 1/63)

Kesimpulan

Membaca al-Quran dengan mematuhi susunan ayat seperti yang terdapat dalam mushaf adalah suatu kewajipan yang mesti dijaga. Susunan ini ditentukan melalui wahyu Allah SWT, yang disampaikan oleh Jibril AS kepada Rasulullah SAW, menjadikannya tidak boleh diubah atau diabaikan. Membaca secara tidak tertib akan menghilangkan hikmah susunan dan mukjizat al-Quran, selain berisiko mengganggu pemahaman mesejnya. Justeru, umat Islam perlu menjaga tertib bacaan al-Quran sebagai sebahagian daripada penghormatan terhadap keagungannya dan memastikan wahyu ilahi disampaikan dengan tepat dan berkesan.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اَللَّهُمَّ اجْعَلِ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِناَ، وَنُوْرَ صُدُوْرِناَ، وَجلاَءَ أَحْزَانِناَ، وَذهَابَ هُمُوْمِناَ

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah al-Qur’an sebagai penyejuk hati kami, cahaya yang menyinari dada kami, penghibur duka kami dan penghapus kesedihan kami.”

Wallahua’lam.