Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh jelaskan berkenaan dalil pensyariatan solat Jamak?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Terdapat banyak hadith sahih yang menunjukkan kepada pensyariatan solat jamak antara dua solat ini iaitu menjamakkan antara solat Zohor dan Asar atau antara solat Maghrib dan Isyak, sama ada jamak taqdim atau jamak ta’khir.
Di antaranya hadith yang disepakati kesahihannya, daripada riwayat Anas bin Malik R.A, beliau berkata:
كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا ارْتَحَلَ قَبْلَ أَنْ تَزِيغَ الشَّمْسُ أَخَّرَ الظُّهْرَ إِلَى وَقْتِ العَصْرِ، ثُمَّ يَجْمَعُ بَيْنَهُمَا، فَإِذَا زَاغَتْ صَلَّى الظُّهْرَ ثُمَّ رَكِبَ
Maksudnya: “Rasulullah SAW apabila bertolak sebelum matahari tergelincir, maka Baginda melewatkan solat Zohor sehingga waktu Asar, kemudian Baginda menjamakkan antara keduanya. Sekiranya matahari telah tergelincir, Baginda mengerjakan solat Zohor, kemudian baru Baginda bertolak.”
Riwayat al-Bukhari (1111)
Dalam riwayat Muslim, riwayat Anas bin Malik R.A ini datang dengan lafaz:
كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا أَرَادَ أَنْ يَجْمَعَ بَيْنَ الصَّلاَتَيْنِ فِي السَّفَرِ أَخَّرَ الظُّهْرَ حَتَّى يَدْخُلَ أَوَّلُ وَقْتِ الْعَصْرِ ثُمَّ يَجْمَعُ بَيْنَهُمَا
Maksudnya: “Apabila Rasulullah SAW berniat untuk menjamakkan dua solat dalam perjalanan, beliau menangguhkan solat Zohor hingga ke waktu Asar, dan kemudian menjamakkan kedua-duanya.”
Riwayat Muslim (704)
Begitu juga hadith daripada Mu‘az bin Jabal R.A:
أَنَّ النَّبِىَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ فِى غَزْوَةِ تَبُوكَ إِذَا ارْتَحَلَ قَبْلَ أَنْ تَزِيغَ الشَّمْسُ أَخَّرَ الظُّهْرَ حَتَّى يَجْمَعَهَا إِلَى الْعَصْرِ فَيُصَلِّيهِمَا جَمِيعًا وَإِذَا ارْتَحَلَ بَعْدَ زَيْغِ الشَّمْسِ صَلَّى الظُّهْرَ وَالْعَصْرَ جَمِيعًا ثُمَّ سَارَ وَكَانَ إِذَا ارْتَحَلَ قَبْلَ الْمَغْرِبِ أَخَّرَ الْمَغْرِبَ حَتَّى يُصَلِّيَهَا مَعَ الْعِشَاءِ وَإِذَا ارْتَحَلَ بَعْدَ الْمَغْرِبِ عَجَّلَ الْعِشَاءَ فَصَلاَّهَا مَعَ الْمَغْرِبِ
Maksudnya: “Ketika Nabi SAW di peperangan Tabuk, apabila Baginda berangkat pergi sebelum matahari meninggi, Baginda melambatkan solat Zohor hingga menghimpunkannya ke solat Asar lalu Baginda menunaikan kedua-duanya sekali. Dan sebelum meneruskan perjalanan selepas matahari gelincir, Baginda mendirikan solat Zohor dan Asar secara jamak. Kemudian barulah Baginda bertolak pergi. Begitu juga apabila berangkat sebelum waktu Maghrib, Baginda melambatkan solat Maghrib hingga dilakukannya bersama-sama solat Isyak, dan sebelum meneruskan perjalanan selepas waktu Maghrib, Baginda menyegerakan solat Isyak bersama-sama solat Maghrib (secara jamak).”
Riwayat Abu Dawud (1220), al-Tirmizi (553) dan Ahmad (22094)
Ini adalah di antara dalil-dalil yang menunjukkan keharusan untuk jamak taqdim dan jamak ta’khir dalam permusafiran.
Adapun menjamakkan solat bagi orang yang bermukim kerana hujan atau sebab lain, terdapat hadith yang disepakati kesahihannya, daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma:
أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَلَّى بِالمَدِينَةِ سَبْعًا وَثَمَانِيًا: الظُّهْرَ وَالعَصْرَ وَالمَغْرِبَ وَالعِشَاءَ، فَقَالَ أَيُّوبُ: لَعَلَّهُ فِي لَيْلَةٍ مَطِيرَةٍ؟ قَالَ: عَسَى
Maksudnya: “Nabi SAW pernah menunaikan solat tujuh dan lapan rakaat di Madinah; iaitu Zohor, Asar, Maghrib dan Isyak. Lalu Ayyub berkata: ‘Boleh jadi itu dilakukan ketika hujan lebat pada waktu malam?’ Beliau menjawab: ‘Boleh jadi.’”
Riwayat al-Bukhari (543)
Selain itu, dalam riwayat yang lain, ia datang dengan lafaz:
جمعَ رسولُ اللَّهِ صلّى اللَّهُ عليهِ وسلَّمَ بينَ الظُّهرِ والعَصرِ، وبينَ المغربِ والعِشاءِ بالمدينةِ، من غيرِ خوفٍ ولا مطرٍ، قالَ: فقيلَ لابنِ عبّاسٍ: ما أرادَ بذلِكَ؟ قالَ: أرادَ أن لا يُحْرِجَ أمَّتَهُ
Maksudnya: “Rasulullah SAW telah menjamakkan (menghimpunkan) solat Zohor dan Asar, serta Maghrib dan Isyak di Madinah, bukan kerana takut mahupun hujan. Ibn Abbas R.Anhuma ditanya: ‘Apa tujuan Baginda melakukan perkara itu?’ Beliau menjawab: ‘Baginda ingin agar umatnya tidak menghadapi kesukaran.’”
Riwayat Muslim (705); Abu Dawud (1211); al-Nasa’i (602); Ahmad (2557); al-Tirmizi (187) dan lafaz hadith daripada Imam al-Tirmizi.
Kami akhiri dengan doa:
رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ
Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.