#765: Maksud Hadith Aisyah – Larangan Perempuan Ke Masjid

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bolehlah terangkan tentang hadith berkenaan “kalau Rasullullah SAW menemui apa yang dilakukan para wanita sekarang, nescaya dilarangnya wanita-wanita itu pergi ke masjid, seperti larangan terhadap wanita Bani Israel”. Mengapa Saidatina Aisyah R.Anha menyatakan sedemikian?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Terdapat sebuah riwayat daripada Yahya bin Sa‘id, daripada ‘Amrah, daripada Aisyah R.Anha, katanya:

لَوْ أَدْرَكَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا أَحْدَثَ النِّسَاءُ لَمَنَعَهُنَّ المَسْجِدَ كَمَا مُنِعَتْ نِسَاءُ بَنِي إِسْرَائِيلَ. قُلْتُ لِعَمْرَةَ: أَوَمُنِعْنَ؟ قَالَتْ: نَعَمْ

Maksudnya: Jika Rasulullah SAW mengetahui apa yang terjadi dengan kaum wanita sekarang, nescaya Baginda akan melarang mereka keluar ke masjid sebagaimana dilarangnya kaum wanita Bani Israil. Aku bertanya kepada ‘Amrah: ‘Adakah mereka dilarang keluar?’ Dia menjawab: ‘Benar.’”

Riwayat al-Bukhari (869) dan Muslim (445)

Ibn Hajar al-‘Asqalani di dalam Fath al-Bari menyatakan: Sebahagian ulama berpegang dengan perkataan Aisyah R.Anha untuk melarang kaum wanita secara mutlak datang ke masjid. Tapi hal ini perlu diteliti, kerana kata-kata Aisyah R.Anha tersebut tidak memiliki pengaruh dalam mengubah suatu hukum. Beliau R.Anha mengaitkannya dengan suatu syarat berdasarkan dugaan semata-mata, yang mana katanya: “Jika Rasulullah SAW mengetahui apa yang terjadi dengan kaum wanita sekarang, nescaya Baginda akan melarang‘. Maka dikatakan kepadanya, “Baginda SAW tidak melihatnya dan tidak pula melarangnya, sehingga hukum keharusannya kekal sebagaimana sedia ada“. Bahkan Aisyah R.Anha sendiri tidak tegas melarangnya, walaupun perkataannya memberi tanggapan bahawa baginda melarang wanita keluar untuk pergi ke masjid.

Di samping itu, Allah SWT sebenarnya telah mengetahui apa yang akan dilakukan oleh kaum wanita di kemudian hari, namun Allah SWT tidak mewahyukan kepada Nabi-Nya untuk melarang mereka pergi ke masjid. Seandainya perbuatan yang mereka lakukan itu menyebabkan adanya larangan bagi mereka untuk pergi ke masjid, pasti perbuatan tersebut adalah lebih berhak untuk dijadikan sebab untuk melarang mereka keluar ke tempat lain, seperti ke pasar.

Sebenarnya perbuatan yang tidak baik itu hanyalah dilakukan oleh sebahagian wanita dan bukan keseluruhannya, sehingga apabila perkara tersebut menjadi harus dan  bukannya larangan, maka ia tetapi dibatasi kepada mereka yang berperilaku tidak baik sahaja. Lebih tepatnya adalah dengan memerhatikan pada perkara yang menimbulkan kerosakan serta fitnah dan segera menjauhinya berdasarkan isyarat daripada Nabi SAW yang melarang memakai harumharuman serta berdandan, demikian pula pembatasan pada waktu malam. (Lihat Fath al-Bari, 2/349)

Imam al-Nawawi berkata: “Jika Rasulullah SAW mengetahui apa yang terjadi dengan kaum wanita sekarang, nescaya Baginda akan melarang” bermaksud perhiasan, wangian dan juga pakaian yang cantik. Wallahu’alam” (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 4/164)

Oleh itu, difahami daripada hadith ini terdapat sebab lain yang menghalang daripada membenarkan kaum wanita untuk pergi ke masjid sama ada daripada faktor wanita itu sendiri seperti berhias dan memakai wangi-wangian secara berlebih-lebihan, atau faktor luar seperti tidak selamat daripada timbulnya fitnah, jalan yang dilalui tidak selamat atau sebagainya. Justeru, terdapat dalam kalangan ulama yang meletakkan syarat-syarat atau garis panduan bagi kaum perempuan yang mahu pergi ke masjid, iaitu:

  • Tidak memakai wangi-wangian
  • Tidak berhias-hias (tabarruj)
  • Tidak membunyikan gelang kaki sehingga didengari oleh lelaki ajnabi.
  • Tidak memakai pakaian yang boleh menarik perhatian.
  • Tiada percampuran antara lelaki dan perempuan.
  • Selamat daripada fitnah.
  • Jalan yang dilalui selamat dan tidak berbahaya. (Lihat al-Dibaj ‘ala Sahih Muslim, 2/156)

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami menyatakan bahawa hadith ini bukan melarang orang perempuan sama ada yang sekarang ataupun yang dahulu untuk ke masjid, tetapi apa yang dikatakan oleh Aisyah R.Anha adalah kerisauannya terhadap perempuan yang berwangian, berhias dan memakai pakaian yang cantik pergi ke masjid dalam keadaan sedemikian sehingga menimbulkan fitnah yang tidak sepatutnya. Bahkan, tiada larangan bagi perempuan untuk pergi ke masjid selagimana mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh syara’. Berkenaan suami melarang isteri pergi ke masjid, kami telahpun menjawab persoalan tersebut dalam artikel bertajuk #699 Suami Halang Isteri ke Masjid. [1]

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahu a’lam

Bertarikh: 29 Mac 2022 bersamaan 26 Syaaban 1443H

 

[1] Lihat https://maktabahalbakri.com/699-suami-halang-isteri-ke-masjid/#_ftn4