#7650: Tidur Tanpa Pakaian

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah kita boleh tidur dalam keadaan tidak berpakaian langsung?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Secara umumnya, kita sememangnya dituntut untuk menutup aurat mughallazah (aurat berat) pada setiap masa kecuali ketika adanya hajat, seperti hendak membersihkan diri, semasa bersama suami isteri, membuang hadas dan seumpamanya. Ini sebagaimana yang disebutkan dalam hadith Mu‘awiyah bin Haidah al-Qurasyi R.A, katanya:

يَا رَسُولَ اللَّهِ، عَوْرَاتُنَا مَا نَأْتِي مِنْهَا وَمَا نَذَرُ؟ قَالَ: احْفَظْ عَوْرَتَكَ إِلَّا مِنْ زَوْجَتِكَ أَوْ مِمَّا مَلَكَتْ يَمِينُكَ‏.‏ فَقَالَ: الرَّجُلُ يَكُونُ مَعَ الرَّجُلِ؟ قَالَ:‏ إِنِ اسْتَطَعْتَ أَنْ لَا يَرَاهَا أَحَدٌ، فَافْعَلْ‏.‏ قُلْتُ: وَالرَّجُلُ يَكُونُ خَالِيًا‏.‏ قَالَ:‏ فَاللَّهُ أَحَقُّ أَنْ يُسْتَحْيَا مِنْهُ.

Maksudnya: “‘Wahai Rasulullah, bagaimana dengan aurat kami, apa yang perlu kami tutupi dan apa yang boleh kami biarkan? Baginda menjawab: ‘Jagalah auratmu kecuali daripada isteri atau hamba sahayamu.’ (Mu‘awiyah) bertanya lagi: ‘Bagaimana jika seorang lelaki bersama lelaki lain?’ Baginda menjawab: ‘Jika engkau mampu agar auratmu tidak dilihat oleh sesiapa pun, maka lakukanlah.’ Beliau bertanya lagi: ‘Bagaimana jika seseorang itu berada bersendirian?’ Baginda menjawab: ‘Allah lebih berhak untuk engkau merasa malu kepada-Nya’.”

Riwayat Abu Dawud (4017), al-Tirmizi (2769), al-Nasa’i (8972) dalam al-Sunan al-Kubra, Ibn Majah (1920) dan Ahmad (20034)

Al-Mubarakfuri menukilkan dari al-Faqih Abu al-Hasan al-Sindi, katanya, yang dimaksudkan dalam hadith di atas adalah menutup aurat sebagai tanda ketaatan kepada-Nya dan untuk mencari apa yang Dia sukai daripadamu serta yang diredhai-Nya. Ia bukanlah bererti untuk menutup aurat daripada-Nya, kerana mustahil untuk bersembunyi daripada Allah SWT. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 8/43)

Tuntutan menutup aurat semasa bersendirian ini juga disebutkan oleh fuqaha. Disebutkan dalam kitab al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (24/176), sebagaimana diperintahkan menutup aurat dari pandangan mata manusia, begitu juga ia diperintahkan meskipun semasa sedang bersendirian, yakni semasa berada di suatu tempat yang tiada orang. Antara yang mewajibkannya adalah salah satu pendapat sahih dalam mazhab al-Hanafi, dan inilah pegangan mazhab al-Syafi‘i dan al-Hanbali. Mazhab al-Maliki pula berkata, disunatkan sahaja menutup aurat ketika bersendirian.

Mungkin sebahagian individu menimbulkan tanda tanya, apakah faedah kita menutup aurat semasa bersendirian, sedangkan Allah SWT tidak terhijab dari sebarang apa pun? Ini dijawab oleh al-Khatib al-Syirbini, bahawa Allah SWT melihat hamba-Nya yang menutup aurat dengan adab, berbeza dengan mereka yang tidak melakukannya. Tidak wajib menutup aurat daripada dirinya sendiri, tetapi makruh baginya untuk melihat auratnya tanpa keperluan.

Aurat yang dituntut agar ditutup ini ialah aurat mughallazah, iaitu qubul juga dubur bagi lelaki dan hamba sahaya, manakala bagi wanita antara pusat hingga lutut. Khunsa pula mengambil hukum yang sama seperti wanita dalam isu ini. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/397; Tuhfah al-Muhtaj, 2/110; Nihayah al-Muhtaj, 2/6)

Kami katakan, seandainya seseorang itu hendak tidur tanpa berpakaian, sebaik-baiknya tutuplah aurat mughallazah dengan kain selimut. Antara salah satu cara yang boleh seseorang hamba itu tunjukkan sebagai adab dan tanda kesyukurannya terhadap Allah SWT adalah dengan menzahirkan nikmat tersebut. Dikisahkan bahawa Malik bin Nadhlah al-Jusyami R.A pernah datang bertemu Rasulullah SAW dalam keadaan rambut kusut dan penampilan yang tidak elok. Maka Rasulullah SAW bertanya kepadanya: “Adakah engkau memiliki harta?” Beliau menjawab: “Aku memiliki segala jenis harta yang telah dikurniakan oleh Allah kepadaku.” Rasulullah SAW bersabda:

فَإِنَّ اللهَ عَزَّ وَجَلَّ، إِذَا أَنْعَمَ عَلَى عَبْدٍ نِعْمَةً أَحَبَّ أَنْ تُرَى عَلَيْهِ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah ‘Azza wa Jalla, apabila Dia mengurniakan nikmat kepada seorang hamba, Dia suka agar nikmat tersebut terlihat pada dirinya”

Riwayat Ahmad (15892). Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut mengatakan sanadnya berstatus sahih seperti syarat Imam Muslim.

Oleh yang demikian, gunakanlah pakaian yang sesuai dan baik mengikut kesesuaian masa dan keadaannya, agar penampilan kita sentiasa kelihatan baik di sisi Allah SWT dan sebagai bentuk adab terhadap makhluk lain di sekeliling kita yang mungkin tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Semoga kita tergolong dalam kalangan mereka yang sentiasa memelihara adab dan etika meskipun ketika bersendirian. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ، وَالأَهْوَاءِ، وَالأَسْوَاءِ، وَالأَدْوَاءِ

Maksudnya:  “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”

Wallahu a‘lam.