#7652: Kesepakatan Antara Aliran-Aliran dalam Ahli Sunnah wa al-Jama’ah

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh jelaskan tentang apa yang menjadi kesepakatan antara aliran-aliran dalam Ahli Sunnah wa al-Jama’ah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَأَنَّ هَـٰذَا صِرَاطِي مُسْتَقِيمًا فَاتَّبِعُوهُ ۖ وَلَا تَتَّبِعُوا السُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمْ عَن سَبِيلِهِ ۚذَٰلِكُمْ وَصَّاكُم بِهِ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Maksudnya: “Dan bahawa sesungguhnya inilah jalanKu (agama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah, Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertaqwa.”

(Surah al-An‘am: 153)

Menurut Ibn ‘Abbas R.Anhuma, ayat di atas dan yang seumpama dengannya di dalam al-Qur’an adalah merujuk kepada perintah Allah SWT terhadap golongan Mukmin agar sentiasa berada dalam jamaah dan menegah mereka daripada perselisihan dan perpecahan yang menyesatkan. (Lihat Tafsir Ibn Kathir, 3/365)

Diriwayatkan oleh Imam Ahmad daripada ‘Abdullah bin Mas‘ud R.A berkata:

خَطَّ لَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَطًّا ثُمَّ قَالَ: هَذَا سَبِيلُ اللَّهِ ثُمَّ خَطَّ خُطُوطًا عَنْ يَمِينِهِ وَعَنْ شِمَالِهِ وَقَالَ هَذِهِ سُبُلٌ عَلَى كُلِّ سَبِيلٍ مِنْهَا شَيْطَانٌ يَدْعُو إِلَيْهِ، ثمَّ قَرَأَ {إِنَّ هَذَا صِرَاطِي مُسْتَقِيمًا فَاتَّبعُوهُ}

Maksudnya: “Rasulullah SAW membuat satu garis untuk kami, kemudian berkata: ‘Ini adalah jalan Allah.’ Kemudian baginda membuat garis-garis di sebelah kanan dan kiri dan berkata: ‘Ini adalah jalan-jalan, pada setiap jalan tersebut ada syaitan yang menyeru kepadanya.’ Kemudian baginda membaca: ‘Dan bahawa inilah jalan-Ku yang lurus, maka ikutilah ia’.”

Riwayat Ahmad (4437), al-Nasa’i dalam al-Sunan al-Kubra(11174). Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut dalam Takhrij Syarh al-Sunnah (97) menyatakan bahawa sanad hadith ini hasan

Diriwayatkan oleh Ibnu Majah daripada Al-‘Irbadh bin Sariyah R.A, berkata:

وَعَظَنَا رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَوْعِظَةً ذَرَفَتْ مِنْهَا الْعُيُونُ، وَوَجِلَتْ مِنْهَا الْقُلُوبُ، قُلْنَا: يَا رَسُولَ اللهِ، إِنَّ هَذِهِ لَمَوْعِظَةُ مُوَدِّعٍ، فَمَاذَا تَعْهَدُ إِلَيْنَا؟ قَالَ: ” قَدْ تَرَكْتُكُمْ عَلَى الْبَيْضَاءِ لَيْلُهَا كَنَهَارِهَا لَا يَزِيغُ عَنْهَا بَعْدِي إِلَّا هَالِكٌ، وَمَنْ يَعِشْ مِنْكُمْ، فَسَيَرَى اخْتِلَافًا كَثِيرًا، فَعَلَيْكُمْ بِمَا عَرَفْتُمْ مِنْ سُنَّتِي وَسُنَّةِ الْخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ الْمَهْدِيِّينَ، وَعَلَيْكُمْ بِالطَّاعَةِ، وَإِنْ عَبْدًا حَبَشِيًّا عَضُّوا عَلَيْهَا بِالنَّوَاجِذِ، فَإِنَّمَا الْمُؤْمِنُ كَالْجَمَلِ الْأَنِفِ حَيْثُمَا انْقِيدَ انْقَادَ

Maksudnya:Rasulullah SAW memberikan nasihat kepada kami dengan nasihat yang membuatkan mata menangis dan hati bergetar, maka kami berkata, ‘Wahai Rasulullah, ini seakan-akan nasihat perpisahan, maka apa yang engkau wasiatkan kepada kami?’ Baginda bersabda, ‘Aku tinggalkan kamu di atas jalan yang terang, malamnya seperti siangnya, tidak ada yang akan tersesat daripadanya selepas aku kecuali orang yang binasa. Sesiapa yang hidup di antara kamu akan melihat perselisihan yang banyak, maka wajib ke atas kamu berpegang dengan sunnahku dan sunnah para khalifah yang mendapat petunjuk. Gigitlah ia dengan gigi geraham. Dan wajib ke atas kamu taat, walaupun seorang hamba Habsyi, sesungguhnya orang mukmin itu seperti unta yang jinak, di mana sahaja ia diikat, di situlah ia tunduk.’

Riwayat Abu Dawud (4607), al-Tirmizi (2676), Ibn Majah (42) dan Ahmad (17144). Hadith ini dinilai sahih berdasarkan pengarang kitab Takhrij Kitab al-Sunnah (1037)

Oleh sebab itu, para salaf kita sering mengatakan: “Berpegang teguh dengan sunnah adalah keselamatan.” Imam Malik berkata: “Sunnah adalah seperti kapal Nabi Nuh; sesiapa yang menaikinya akan selamat, dan sesiapa yang tertinggal daripadanya akan tenggelam.” Segala puji bagi Allah, para sahabat telah menaiki kapal ini dan memerintahkan seluruh umat untuk menaikinya. Mereka telah menyampaikan sunnah kepada kita dan menyebarkannya kepada kita, sehingga tidak ada lagi alasan bagi sesiapa untuk menyimpang dari jalan mereka.

Nabi SAW telah memberitahu bahawa beberapa golongan daripada umatnya akan menyimpang dari jalan yang lurus ini. Diriwayatkan daripada ‘Auf bin Malik al-Asyja‘i R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

افْتَرَقَتِ الْيَهُودُ عَلَى إِحْدَى وَسَبْعِينَ فِرْقَةً، فَوَاحِدَةٌ فِي الْجَنَّةِ، وَسَبْعُونَ فِي النَّارِ، وَافْتَرَقَتِ النَّصَارَى عَلَى ثِنْتَيْنِ وَسَبْعِينَ فِرْقَةً، فَإِحْدَى وَسَبْعُونَ فِي النَّارِ، وَوَاحِدَةٌ فِي الْجَنَّةِ، وَالَّذِي نَفْسُ مُحَمَّدٍ بِيَدِهِ لَتَفْتَرِقَنَّ أُمَّتِي عَلَى ثَلَاثٍ وَسَبْعِينَ فِرْقَةً، وَاحِدَةٌ فِي الْجَنَّةِ، وَثِنْتَانِ وَسَبْعُونَ فِي النَّارِ» قِيلَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ مَنْ هُمْ؟ قَالَ: «الْجَمَاعَةُ»

Maksudnya: Yahudi berpecah kepada 71 golongan, di mana satu di dalam syurga dan 70 di dalam neraka, sementara Nasrani berpecah kepada 72 golongan, di mana 71 di dalam neraka dan satu di dalam syurga. Demi Zat yang jiwa Muhammad berada di tangan-Nya, sesungguhnya umatku akan berpecah kepada 73 golongan, di mana satu di dalam syurga dan 72 di dalam neraka. Ketika ditanya, Lalu baginda ditanya, ‘Wahai Rasulullah, siapakah mereka?’ Baginda menjawab, ‘al-Jama‘ah.’

Riwayat Ibn Majah (3241). Hadith ini dinilai sahih oleh al-Albani dalam Sahih Ibn Majah (3241)

Disebutkan juga bahawa baginda SAW menyatakan bahawa mereka ini ialah “مَنْ كَانَ عَلَى مِثْلِ مَا أَنَا عَلَيْهِ وَأَصْحَابِي, iaitu golongan yang berada di atas jalanku dan jalan sahabatku. Ini menunjukkan bahawa jalan yang lurus yang akan menyelamatkan sesiapa yang mengikutinya adalah jalan Nabi SAW dan para sahabatnya. Inilah jalan Ahli al-Sunnah wa al-Jama‘ah. Adapun sesiapa yang keluar daripada jalan ini, dia adalah daripada golongan-golongan yang diberitahu oleh Nabi SAW akan berada di dalam neraka.

Maka, disimpulkan di sini bahawa mazhab Ahli al-Sunnah wa al-Jama‘ah adalah mazhab yang selamat, dan menepati ciri-ciri yang dikemukakan dalam al-Qur’an dan hadith.

Berkenaan persoalan di atas, jalan tengah, atau wasatiyyah, bukan sahaja menjadi prinsip yang diajarkan oleh Islam, tetapi juga menjadi asas kepada pendekatan yang lebih sederhana, inklusif, dan penuh hormat terhadap perbezaan. Dalam menjawab persoalan ini, kita akan membincangkan pelbagai bentuk kesepakatan antara aliran-aliran dalam Ahli al-Sunnah wa al-Jama‘ah. Ini bertujuan untuk memberi kesedaran bahawa pada hakikatnya, persamaan dan titik temu jauh lebih banyak daripada perbezaan.

Adalah penting untuk kita sedari bahawa perbezaan pandangan dan pendekatan bukanlah alasan untuk perpecahan atau perselisihan. Sebaliknya, ia sepatutnya menjadi peluang untuk memperkayakan pemahaman kita dan mempereratkan hubungan sesama kita. Dengan mengambil jalan tengah sebagai jalan damai, kita dapat mengelakkan ekstremisme dan fanatisme, serta menyemai benih kasih sayang dan keharmonian dalam kalangan umat Islam.

Antara kesepakatan aliran-aliran dalam Ahli al-Sunnah wa al-Jama‘ah adalah:

Pertama: Meyakini bahawa Islam agama Allah SWT.

Kedua: Meyakini bahawa hakikat Islam terdiri dari iman, islam dan ihsan.

Ketiga: Ahli al-Sunnah wa al-Jama‘ah mensucikan Allah SWT daripada sebarang penyerupaan dengan makhluk. Kaedah-kaedah untuk mencapai ke arah berkenaan adalah pelbagai seperti ta’wil,tafwidh dan ithbat tetapi matlamat dan kesepakatannya adalah sama.

Keempat Meyakini bahawa segala apa yang berlaku menurut qadha’ dan qadar Allah SWT.

Kelima: Meyakini bahawa ahli kiblat tidak dikufurkan atas sebab kemaksiatan.

Keenam Meyakini Allah SWT dapat dilihat di akhirat kelak.

Ketujuh: Meyakini hakikat Nabi SAW akan memberi syafaat pada hari kiamat.

Kelapan:  Meyakini hakikat soalan malaikat dan azab kubur.

Kesembilan: Meyakini hakikat Nabi SAW akan memberi syafaat pada hari kiamat.

Kesepuluh: Meyakini bahawa menyatupadukan umat Islam adalah matlamat terbesar dalam Islam.

Kesebelas: Meninggalkan dan mengelak dalam konflik agama dan meninggalkan perdebatan dalam permasalahan yang boleh memecah belahkan umat.

Ini adalah antara kesepakatan yang sempat kami catatkan, dalam ruang yang ringkas ini. Kesepakatan aliran-aliran dalam Ahli al-Sunnah wa al-Jama‘ah menunjukkan bahawa terdapat asas-asas yang kukuh yang menyatukan umat Islam walaupun terdapat perbezaan pendekatan dan pandangan. Melihat kepada kesepakatan ini, jelas bahawa definisi Ahli al-Sunnah wa al-Jama‘ah perlu dilihat dalam konteks yang lebih luas dan berprinsip. Perbezaan pendekatan dalam memahami dan mengamalkan ajaran agama tidak seharusnya menjadi punca perpecahan, sebaliknya, ia harus dilihat sebagai kekayaan intelektual yang memperkayakan tradisi ilmu Islam yang berpaksikan al-Quran dan hadith. Dengan mengutamakan jalan tengah yang menekankan sikap sederhana, saling menghormati, dan kasih sayang, umat Islam dapat mencapai keharmonian dan kedamaian yang sebenar. (Lihat Ahli Sunnah wa al-Jama’ah: Siapakah Mereka, hlm. 82)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami sebagai pemimpin bagi orang yang bertaqwa. (Lihat Mazahib Ahl al-Sunnah oleh Ibn Syahin, no. 38, hlm 40;  Tafsir al-Quran al-’Azim, 3/75)