#7654: Memotong Ayat al-Quran untuk Bacaan Separuh dalam Visual

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Adakah dibolehkan untuk membaca sebahagian daripada ayat 82 surah al-Isra’, iaitu hanya hingga “…penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman,” tanpa membaca keseluruhan ayat? Begitu juga, adakah dibolehkan untuk memaparkan visual watak yang membaca hingga bahagian tersebut sahaja tanpa menyempurnakan ayat sepenuhnya? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami bawakan terlebih dahulu ayat 82 daripada Surah al-Isra’ yang menjadi persoalan di atas:

وَنُنَزِّلُ مِنَ الْقُرْآنِ مَا هُوَ شِفَاءٌ وَرَحْمَةٌ لِّلْمُؤْمِنِينَ ۙ وَلَا يَزِيدُ الظَّالِمِينَ إِلَّا خَسَارًا

Maksudnya: “Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari al-Quran ayat-ayat Suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya; dan (sebaliknya) al-Quran tidak menambahkan orang-orang yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian jua.

(Surah al-Isra’: 82)

Ayat ini menjelaskan bahawa al-Quran mengandungi elemen penyembuhan (syifa’) bagi jiwa dan tubuh, serta menjadi rahmat bagi orang-orang beriman. Para ulama seperti Qatadah menafsirkan bahawa ayat ini mendatangkan manfaat kepada orang beriman yang mendengarnya, menghafalnya, dan memerhatikannya. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 8/4014).

Dalam menjawab soalan di atas, secara umumnya tiada larangan bagi seseorang itu untuk membahagi-bahagikan satu surah, mahupun satu ayat kepada beberapa bahagian untuk dibaca di dalam rakaat solatnya selagi mana maknanya masih lagi sempurna. Lebih-lebih lagi, sekiranya ayat tersebut sangat panjang seperti ayat hutang yang terdapat dalam surah al-Baqarah, yang memenuhi sehingga satu muka surat penuh. Mengenai hal ini, Ahmad al-Nafrawi al-Maliki menyebutkan, selepas membaca surah al-Fatihah, bacalah selepasnya sesuatu daripada ayat-ayat al-Quran sekalipun ayat yang pendek seperti “ذَوَاتَا أَفْنَانٍ” atau “مُدْهَامَّتَانِ” atau sebahagian ayat yang panjang seperti ayat hutang — iaitu ayat 282 daripada surah al-Baqarah. Namun, afdhalnya adalah membaca surah secara sempurna — yakni lengkap.

Selain itu, Syeikh Sulaiman al-Bujairami jelas menyatakan bahawa asal pahala sunat — yakni selepas bacaan al-Fatihah — diperoleh dengan membaca sesuatu daripada ayat-ayat al-Quran dan secara zahirnya sekalipun membaca satu kalimah, tetapi padanya terdapat pertikaian. Namun, disyaratkan ia mestilah bermanfaat — yakni memberi makna. Jika seseorang itu membaca sebahagian ayat turut memperoleh asal sunnah — yakni pahala sunat — dan perkara itu barangkali jika ia memberi makna sepertimana ayat-ayat pendek yang memberi makna. (Lihat Tuhfah al-Habib ‘ala Syarh al-Khatib, 2/68).

Meskipun kami mengatakan bahawa tidak mengapa membahagikan satu ayat yang panjang kepada beberapa bahagian untuk dibaca. Akan tetapi dengan syarat, ia mestilah memberi makna yang dapat difahami. Tambahan pula setiap ayat itu maknanya saling berkait antara satu sama lain. Dengan memotong atau membahagikannya kepada beberapa bahagian, kebiasaannya akan menyebabkan maknanya tidak lagi tepat dan menyeluruh sebagaimana yang dikehendaki pada asalnya. Oleh sebab itu, para ulama terdahulu berpendapat bahawa membaca satu surah secara sempurna (lengkap) adalah lebih baik berbanding membaca sebahagiannya sahaja di dalam rakaat solat kerana ia lebih selamat dan berhati-hati dalam menjaga perkaitan dan topik yang dibawakan di dalam ayat-ayat al-Quran sebagaimana yang difahami menerusi kata-kata Imam al-Nawawi. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 4/174).

Selain itu, terdapat hadith yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Sa’ib, katanya:

صَلّى لنا النبيُّ صَلّى اللَّهُ عليه وسلَّمَ: الصُّبْحَ بمَكَّةَ فاسْتَفْتَحَ سُورَةَ المُؤْمِنِينَ حتّى جاءَ ذِكْرُ مُوسى، وهارُونَ، أوْ ذِكْرُ عِيسى أخَذَتِ النبيَّ صَلّى اللَّهُ عليه وسلَّمَ سَعْلَةٌ فَرَكَعَ

Maksudnya: “Nabi SAW pernah mengimamkan kami solat Subuh di Makkah dan memulakan bacaan Surah al-Mukminun. Namun, apabila Baginda sampai pada ayat yang menyebut tentang Nabi Musa dan Harun, atau ayat yang menyebut tentang Nabi Isa, Baginda batuk hingga tidak dapat meneruskan bacaannya, lalu Baginda rukuk.”

Riwayat Muslim (455)

Menurut Imam al-Nawawi, dalam hadith ini terdapatnya dalil bahawa dibolehkan memotong bacaan al-Quran dan membaca sebahagian daripada surah. Perkara ini dibenarkan tanpa khilaf (perselisihan) dan tidak dianggap makruh jika pemotongan dilakukan kerana ada uzur. Sekiranya pemotongan dilakukan tanpa sebab, ia juga tidak dianggap makruh, tetapi ia bertentangan dengan amalan yang lebih utama (khilaf al-aula). Inilah pendapat mazhab kami (mazhab al-Syafi‘i) dan mazhab jumhur ulama. Begitu juga Imam Malik turut menyokong pendapat ini dalam salah satu riwayat daripadanya, meskipun pendapat masyhur daripada beliau ialah memakruhkan perbuatan tersebut. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 4/177-178).

Seterusnya, berbalik kepada soalan di atas, kami katakan bahawa memotong bacaan ayat al-Quran di pertengahan ayat adalah dibolehkan dan tidak menjadi masalah dengan syarat ia tidak merosakkan maknanya, tidak menimbulkan kekeliruan dan menjaga adab dengan al-Quran.

Dalam erti kata lain, apabila memotong ayat, penting untuk memastikan bahawa potongan ayat tersebut tidak mengubah atau mengelirukan makna ayat. Oleh itu, jika ingin membaca atau memaparkan hanya sebahagian daripada ayat 82 surah al-Isra’, seperti hanya sampai, “Kami turunkan dengan beransur-ansur dari al-Quran ayat-ayat Suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman…” maka pastikan bahawa makna yang disampaikan tetap jelas dan tidak menimbulkan kekeliruan.

Dalam konteks visual, jika watak ditunjukkan membaca hingga bahagian tersebut sahaja, ia dibolehkan selagi tidak mengubah makna asal dan penonton memahami konteks penuh ayat tersebut. Namun, adalah lebih baik untuk membaca atau memaparkan keseluruhan ayat bagi menjaga keutuhan dan kefahaman yang tepat.

Kesimpulannya, memotong bacaan ayat al-Quran di pertengahan ayat dibolehkan dengan syarat tidak mengubah makna dan dilakukan dengan berhati-hati. Dalam konteks visual, jika perlu memotong ayat, pastikan makna asal terpelihara dan tidak menimbulkan kekeliruan kepada penonton.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا.

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”