#7655: Maksud ‘al-Sunnah’ dan ‘al-Jama’ah’

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya selalu mendengar istilah Ahli Sunnah wal Jama’ah. Soalan saya, apakah maksud Sunnah dan Jama’ah dalam istilah itu?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَأَنَّ هَـٰذَا صِرَاطِي مُسْتَقِيمًا فَاتَّبِعُوهُ ۖ وَلَا تَتَّبِعُوا السُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمْ عَن سَبِيلِهِ ۚذَٰلِكُمْ وَصَّاكُم بِهِ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Maksudnya: “Dan bahawa sesungguhnya inilah jalanKu (agama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah, Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertaqwa.”

(Surah al-An‘am: 153)

Menurut Ibn ‘Abbas R.Anhuma, ayat di atas dan yang seumpama dengannya di dalam al-Qur’an adalah merujuk kepada perintah Allah SWT terhadap golongan Mukmin agar sentiasa berada dalam jamaah dan menegah mereka daripada perselisihan dan perpecahan yang menyesatkan. (Lihat Tafsir Ibn Kathir, 3/365)

Diriwayatkan oleh Imam Ahmad daripada ‘Abdullah bin Mas‘ud R.A berkata:

خَطَّ لَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَطًّا ثُمَّ قَالَ: هَذَا سَبِيلُ اللَّهِ ثُمَّ خَطَّ خُطُوطًا عَنْ يَمِينِهِ وَعَنْ شِمَالِهِ وَقَالَ هَذِهِ سُبُلٌ عَلَى كُلِّ سَبِيلٍ مِنْهَا شَيْطَانٌ يَدْعُو إِلَيْهِ، ثمَّ قَرَأَ {إِنَّ هَذَا صِرَاطِي مُسْتَقِيمًا فَاتَّبعُوهُ}

Maksudnya: “Rasulullah SAW membuat satu garis untuk kami, kemudian berkata: ‘Ini adalah jalan Allah.’ Kemudian baginda membuat garis-garis di sebelah kanan dan kiri dan berkata: ‘Ini adalah jalan-jalan, pada setiap jalan tersebut ada syaitan yang menyeru kepadanya.’ Kemudian baginda membaca: ‘Dan bahawa inilah jalan-Ku yang lurus, maka ikutilah ia’.”

Riwayat Ahmad (4437), al-Nasa’i dalam al-Sunan al-Kubra(11174). Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut dalam Takhrij Syarh al-Sunnah (97) menyatakan bahawa sanad hadith ini hasan

Diriwayatkan oleh Ibnu Majah daripada Al-‘Irbadh bin Sariyah R.A, berkata:

وَعَظَنَا رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَوْعِظَةً ذَرَفَتْ مِنْهَا الْعُيُونُ، وَوَجِلَتْ مِنْهَا الْقُلُوبُ، قُلْنَا: يَا رَسُولَ اللهِ، إِنَّ هَذِهِ لَمَوْعِظَةُ مُوَدِّعٍ، فَمَاذَا تَعْهَدُ إِلَيْنَا؟ قَالَ: ” قَدْ تَرَكْتُكُمْ عَلَى الْبَيْضَاءِ لَيْلُهَا كَنَهَارِهَا لَا يَزِيغُ عَنْهَا بَعْدِي إِلَّا هَالِكٌ، وَمَنْ يَعِشْ مِنْكُمْ، فَسَيَرَى اخْتِلَافًا كَثِيرًا، فَعَلَيْكُمْ بِمَا عَرَفْتُمْ مِنْ سُنَّتِي وَسُنَّةِ الْخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ الْمَهْدِيِّينَ، وَعَلَيْكُمْ بِالطَّاعَةِ، وَإِنْ عَبْدًا حَبَشِيًّا عَضُّوا عَلَيْهَا بِالنَّوَاجِذِ، فَإِنَّمَا الْمُؤْمِنُ كَالْجَمَلِ الْأَنِفِ حَيْثُمَا انْقِيدَ انْقَادَ

Maksudnya:Rasulullah SAW memberikan nasihat kepada kami dengan nasihat yang membuatkan mata menangis dan hati bergetar, maka kami berkata, ‘Wahai Rasulullah, ini seakan-akan nasihat perpisahan, maka apa yang engkau wasiatkan kepada kami?’ Baginda bersabda, ‘Aku tinggalkan kamu di atas jalan yang terang, malamnya seperti siangnya, tidak ada yang akan tersesat daripadanya selepas aku kecuali orang yang binasa. Sesiapa yang hidup di antara kamu akan melihat perselisihan yang banyak, maka wajib ke atas kamu berpegang dengan sunnahku dan sunnah para khalifah yang mendapat petunjuk. Gigitlah ia dengan gigi geraham. Dan wajib ke atas kamu taat, walaupun seorang hamba Habsyi, sesungguhnya orang mukmin itu seperti unta yang jinak, di mana sahaja ia diikat, di situlah ia tunduk.’

Riwayat Abu Dawud (4607), al-Tirmizi (2676), Ibn Majah (42) dan Ahmad (17144). Hadith ini dinilai sahih berdasarkan pengarang kitab Takhrij Kitab al-Sunnah (1037)

Oleh sebab itu, para salaf kita sering mengatakan: “Berpegang teguh dengan sunnah adalah keselamatan.” Imam Malik berkata: “Sunnah adalah seperti kapal Nabi Nuh; sesiapa yang menaikinya akan selamat, dan sesiapa yang tertinggal daripadanya akan tenggelam.” Segala puji bagi Allah, para sahabat telah menaiki kapal ini dan memerintahkan seluruh umat untuk menaikinya. Mereka telah menyampaikan sunnah kepada kita dan menyebarkannya kepada kita, sehingga tidak ada lagi alasan bagi sesiapa untuk menyimpang dari jalan mereka.

Nabi SAW telah memberitahu bahawa beberapa golongan daripada umatnya akan menyimpang dari jalan yang lurus ini. Diriwayatkan daripada ‘Auf bin Malik al-Asyja‘i R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

افْتَرَقَتِ الْيَهُودُ عَلَى إِحْدَى وَسَبْعِينَ فِرْقَةً، فَوَاحِدَةٌ فِي الْجَنَّةِ، وَسَبْعُونَ فِي النَّارِ، وَافْتَرَقَتِ النَّصَارَى عَلَى ثِنْتَيْنِ وَسَبْعِينَ فِرْقَةً، فَإِحْدَى وَسَبْعُونَ فِي النَّارِ، وَوَاحِدَةٌ فِي الْجَنَّةِ، وَالَّذِي نَفْسُ مُحَمَّدٍ بِيَدِهِ لَتَفْتَرِقَنَّ أُمَّتِي عَلَى ثَلَاثٍ وَسَبْعِينَ فِرْقَةً، وَاحِدَةٌ فِي الْجَنَّةِ، وَثِنْتَانِ وَسَبْعُونَ فِي النَّارِ» قِيلَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ مَنْ هُمْ؟ قَالَ: «الْجَمَاعَةُ»

Maksudnya: Yahudi berpecah kepada 71 golongan, di mana satu di dalam syurga dan 70 di dalam neraka, sementara Nasrani berpecah kepada 72 golongan, di mana 71 di dalam neraka dan satu di dalam syurga. Demi Zat yang jiwa Muhammad berada di tangan-Nya, sesungguhnya umatku akan berpecah kepada 73 golongan, di mana satu di dalam syurga dan 72 di dalam neraka. Ketika ditanya, Lalu baginda ditanya, ‘Wahai Rasulullah, siapakah mereka?’ Baginda menjawab, ‘al-Jama‘ah.’

Riwayat Ibn Majah (3241). Hadith ini dinilai sahih oleh al-Albani dalam Sahih Ibn Majah (3241)

Disebutkan juga bahawa baginda SAW menyatakan bahawa mereka ini ialah “مَنْ كَانَ عَلَى مِثْلِ مَا أَنَا عَلَيْهِ وَأَصْحَابِي, iaitu golongan yang berada di atas jalanku dan jalan sahabatku. Ini menunjukkan bahawa jalan yang lurus yang akan menyelamatkan sesiapa yang mengikutinya adalah jalan Nabi SAW dan para sahabatnya. Inilah jalan Ahli al-Sunnah wa al-Jama‘ah. Adapun sesiapa yang keluar daripada jalan ini, dia adalah daripada golongan-golongan yang diberitahu oleh Nabi SAW akan berada di dalam neraka.

Maka, disimpulkan di sini bahawa mazhab Ahli al-Sunnah wa al-Jama‘ah adalah mazhab yang selamat, dan menepati ciri-ciri yang dikemukakan dalam al-Qur’an dan hadith.

Berkenaan persoalan di atas, perkataan Sunnah menurut pengertian bahasa ialah tariqah atau sirah. Ia membawa maksud jalan atau cara yang dilalui atau diikuti, sama ada baik atau buruk, atau juga adat yang biasa dilakukan sama ada baik atau buruk. (Lihat Mu‘jam Maqayis al-Lughah, 3/60; Lisan al-‘Arab, 13/218).

Istilah Ahli al-Sunnah wa al-Jama‘ah bukanlah nama sebuah parti politik atau mazhab baharu yang diasaskan oleh ulama. Sebaliknya ia merupakan istilah yang berpunca daripada nas-nas syara‘ yang banyak. Bagi istilah al-Sunnah, Rasulullah SAW pernah mengungkapkannya dengan makna wahyu yang selain daripada al-Quran. Rasulullah SAW bersabda:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنِّى قَدْ تَرَكْتُ فِيكُمْ مَا إِنِ اعْتَصَمْتُمْ بِهِ فَلَنْ تَضِلُّوا أَبَدًا كِتَابَ اللَّهِ وَسُنَّةَ نَبِيِّهِ

Maksudnya: “Wahai sekalian manusia, sesungguhnya aku telah tinggalkan buat kamu (dua perkara) selagi mana kamu berpegang dengannya, maka kamu tidak akan sesat selama-lamanya, iaitu Kitabullah dan sunnah Nabi-Nya.”

Riwayat al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (20336) dan Riwayat al-Hakim dalam al-Mustadrak (322). Dinyatakan sebagai sahih dalam Sahih al-Targhib (40)

Istilah al-Sunnah juga digunakan untuk merujuk kepada perkara yang mempunyai dalil syarak, sama ada daripada al-Qur’an mahupun sunnah Rasulullah SAW dan ijtihad para sahаbat. Antaranya sabda Baginda SAW:

فَعَلَيْكُمْ بِسُنَّتِي وَسُنَّةِ الْخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ الْمَهْدِيِّينَ

Maksudnya: “Hendaklah kamu mengikuti sunnahku dan sunnah para Khulafа’ al-Rаsyidіn al-Mahdiyyіn.

Riwayat Abu Daud (4607), al-Tirmizi (2676), Ibn Majah (44) dan Ahmad (17144). Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut menilai sanadnya sebagai sahih dalam takhrij al-Musnad.

Pada ketika yang lain, al-Sunnah diucapkan oleh Rasulullah SAW bagi menyerlahkan maksud lawan kepada bid‘ah yang dilarang. Antaranya hadith yang menegah tiga orang sahаbat yang berhasrat untuk bersolat sepanjang malam, berpuasa sepanjang tahun dan menegah diri daripada berkahwin. Baginda SAW lalu bersabda:

أَمَا وَاللهِ إِنِّي لَأَخْشَاكُمْ لِلَّهِ وَأَتْقَاكُمْ لَهُ لَكِنِّي أَصُومُ وَأُفْطِرُ وَأُصَلِّي وَأَرْقُدُ وَأَتَزَوَّجُ النِّسَاءَ فَمَنْ رَغِبَ عَنْ سُنَّتِي فَلَيْسَ مِنِّي

Maksudnya: “Adapun demi Allah, sesungguhnya aku orang yang paling takut kepada Allah dalam kalangan kamu, paling bertaqwa dalam kalangan kamu kepada-Nya, namun begitu, aku berpuasa dan berbuka, bersolat dan tidur dan mengahwini wanita. Maka sesiapa yang membenci sunnahku, ia bukan daripada kalanganku.

Riwayat al-Bukhari (4776)

Demikian juga hadith Rasulullah SAW mengenai golongan yang menunggu bintang-bintang muncul sebagai waktu berbuka puasa menerusi sabdanya:

لَا تَزَالُ أُمَّتِي عَلَى سُنَّتِي مَا لَمْ تَنْتَظِرْ بِفِطْرِهَا النُّجُومَ

Maksudnya: “Umatku sentiasa berpegang dengan sunnahku selagi mana ia tidak menunggu bintang-bintang keluar untuk membuka puasanya.

Riwayat al-Bukhari (1957) dan Muslim (1098)

Berpandukan dalil-dalil tersebut, jelas menunjukkan perkataan al-Sunnah bukan istilah yang datang kemudian, sebaliknya ia bersumberkan lisan Rasulullah SAW sendiri. Walaupun istilah tersebut tidak terkandung dalam al-Qur’an, namun begitu, terdapat konotasi al-Sunnah yang jelas dalam setiap ayat yang merujuk kepada perintah mengikuti Rasulullah SAW sama ada berbentuk suruhan mahupun larangan. Antaranya, firman Allah SWT:

وَمَا آتَاكُمُ الرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَاكُمْ عَنْهُ فَانتَهُوا ۚوَاتَّقُوا اللَّـهَ ۖ إِنَّ اللَّـهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ

Maksudnya: “Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah (SAW) kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarang-Nya kamu melakukannya maka patuhilah larangan-Nya, dan bertaqwalah kamu kepada Allah; Sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksa-Nya (bagi orang yang melanggar perintah-Nya).

(Surah al-Hasyr: 7)

Adapun istilah al-Jamа‘ah, ia kerap kali digunakan oleh Rasulullah SAW dalam hadith-hadith Baginda. Hadith yang paling masyhur adalah sabda Baginda SAW:

وَإِنَّ هَذِهِ الْأُمَّةَ سَتَفْتَرِقُ عَلَى ثَلَاثٍ وَسَبْعِينَ مِلَّةً يَعْنِي الْأَهْوَاءَ كُلُّهَا فِي النَّارِ إِلَّا وَاحِدَةً وَهِيَ الْجَمَاعَةُ

Maksudnya: “Dan sesungguhnya umat ini akan berpecah kepada tujuh puluh tiga golongan (mengikut hawa nafsu), semuanya di dalam neraka kecuali satu iaitu al-Jamа‘ah.”

Riwayat Ibn Majah (3993)

Berdasarkan hadith ini dan beberapa hadith lain, para ulama telah menjelaskan siapakah golongan yang dimaksudkan dengan al-Jamа‘ah tersebut. Menurut al-Syаtibі, pada umumnya pendapat para ulama mengenai al-Jamа‘ah berkisar kepada beberapa pengertian.

Pertama, ia bererti golongan majoriti dalam kalangan umat Islam yang terdiri daripada imam mujtahid, para ulama dan ahli syariah dan umat yang mengikuti mereka. Sebahagian hadith menyebut mereka sebagai al-sawаd al-a‘zam (jumlah yang ramai).

Kedua, kumpulan para ulama mujtahid.

Ketiga, para sahabat Rasulullah SAW.

Keempat, umat Islam yang bersepakat atau berijma‘ atas sesuatu perkara. Ia juga kembali kepada golongan pertama atau kedua.

Kelima, umat Islam yang bersatu mentaati seorang pemimpin.

Setelah al-Syatibi menukilkan pendapat-pendapat tersebut, beliau merumuskan bahawa apa yang dimaksudkan dengan al-Jamа‘ah adalah merujuk kepada jumlah orang ramai yang bersatu di bawah pemimpin atau imam yang menepati petunjuk al-Quran dan al-Sunnah. (Lihat al-I‘tisam, 2/260-265).

Ini jelas menunjukkan bahawa jumlah yang ramai yang bersatu bukan atas dasar kedua-duanya, adalah terkeluar daripada apa yang dimaksudkan dengan al-Jamа‘ah. Dengan kata lain, seandainya sesebuah kumpulan yang ramai itu tidak berada di atas petunjuk al-Qur’an dan al-Sunnah, maka ia tidak boleh dikategorikan sebagai al-Jamа‘ah. Sebagaimana ungkapan Ibn Mas‘ud:

الجَمَاعَةُ مَا وَافَقَ الْحَقَّ؛ وَلَوْ كُنْتَ وَحْدَكَ

Maksudnya: “Al-Jamа‘ah adalah apa yang menepati kebenaran, sekalipun engkau berseorangan.”

Riwayat al-Tirmizi dalam Sunannya (4/467) dan al-Lalaka’i dalam Syarh Usul I‘tiqad Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah (1/122). Syeikh al-Albani dalam komentarnya terhadap Misykah al-Masabih (1/61) menilai sanad hadith tersebut sebagai sahih.

Walau bagaimanapun, ungkapan Ibn Mas‘ud tersebut dalam konteks sekiranya majoriti umat Islam benar-benar telah rosak dan terkeluar daripada mengikuti manhaj generasi terdahulu yang masih kekal di atas kebenaran. (Lihat I‘lam al-Muwaqqi‘іn, 3/397).

Hal ini mustahil berlaku apabila melibatkan kesepakatan para ulama mujtahid dalam kalangan umat Muhammad SAW sepertimana sabda Baginda SAW:

إنَّ اللَّهَ لا يَجْمَعُ أمَّتِي عَلَى ضَلَالَةٍ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah tidak menghimpunkan umatku dalam kesesatan.

Riwayat al-Tirmizi (2167) dan hadith ini merupakan lafaznya; al-Hakim (397), Abu Nu‘aim dalam Hilyah al-Auliya’ (3/37) dengan sedikit perbezaan lafaz. Dinilai sebagai sahih dalam Sahih al-Tirmizi.

Hadith ini menjadi dalil ke atas keautoritian ijma‘ para ulama sebagai salah satu daripada sumber hukum yang muktabar di sisi Ahli al-Sunnah wa al-Jamа‘ah. (Lihat al-Faqih wa al-Mutafaqqih, 1/408-410) Ini bermakna Ahli al-Sunnah wa al-Jamа‘ah tidak menjadikan bilangan majoriti semata-mata sebagai hujah kebenaran sesuatu golongan. Ini kerana, Ahli al-Sunnah wa al-Jamа‘ah tidak mengambil kira bilangan majoriti sekiranya ia bertentangan dengan petunjuk al-Quran dan al-Sunnah dan tidak diwakili oleh para ulama mujtahid.

Berdasarkan perbahasan ringkas di atas, dapat disimpulkan Ahli al-Sunnah wa al-Jamа‘ah itu secara umumnya adalah golongan yang bermanhaj seperti berikut:

هُمْ المُتَمَسِّكُونَ بِسُنَّةِ النَّبيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهُ وَعَلَى آلِهِ وَسَلَّمَ وَأَصْحابِهِ وَمَن تَبِعَهُمْ وَسَلَكَ سَبيلَهُمْ فِي الِاعْتِقادِ والْقَوْلِ والْعَمَلِ ، وَاَلَّذِينَ اسْتَقاموا عَلَى الِاتِّباعِ وَجَانِبُوا الِابْتِداعَ ، وَهُمْ بَاقُونَ ظاهِرونَ مَنْصورونَ إِلَى يَوْمِ القِيَامَةِ فَاتِّباعُهُمْ هُدًى، وَخِلافُهُمْ ضَلالٌ

Maksudnya:Mereka yang berpegang dengan sunnah Nabi SAW, para sahabatnya dan yang mengikut mereka serta berjalan mengikut perjalanan mereka dalam aqidah, ucapan dan amalan. Mereka juga beristiqamah dalam mengikut (sunnah) dan menjauhi bid’ah (munkarah). Mereka kekal, zahir dan didukung sehingga hari kiamat. Maka mengikuti mereka mendapat petunjuk sedangkan menyalahi mereka adalah kesesatan”. (Lihat al-Wajiz fi ‘Aqidah al-Salaf oleh Abdullah bin ‘Abd al-Hamid al-Athari, hlm. 36)

Inilah juga sepertimana yang kami jelaskan dalam buku kami,  Ahli Sunnah wa al-Jama’ah: Siapakah Mereka  (hlm. 53).

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami sebagai pemimpin bagi orang yang bertaqwa. (Lihat Mazahib Ahl al-Sunnah oleh Ibn Syahin, no. 38, hlm 40;  Tafsir al-Quran al-’Azim, 3/75)