#7657: Sebab Injil Dinamakan Sedemikian

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Apakah sebab kitab Injil dinamakan dengan nama tersebut? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan Allah SWT:

ثُمَّ قَفَّيْنَا عَلَىٰ آثَارِهِم بِرُسُلِنَا وَقَفَّيْنَا بِعِيسَى ابْنِ مَرْيَمَ وَآتَيْنَاهُ الْإِنجِيلَ وَجَعَلْنَا فِي قُلُوبِ الَّذِينَ اتَّبَعُوهُ رَأْفَةً وَرَحْمَةً

Maksudnya: “Kemudian Kami iringi sesudah – mereka: Rasul-rasul Kami silih berganti, dan Kami iringi lagi dengan Nabi Isa Ibn Maryam, serta Kami berikan kepadanya: Kitab Injil; dan Kami jadikan dalam hati orang-orang yang mengikutnya perasaan belas kasihan (sesama sendiri).”

(Surah al-Hadid: 27)

Menurut Syeikh al-Sa‘di, Allah SWT menyebut secara khusus Nabi Isa A.S kerana ayat ini berhubung dengan golongan Nasrani, yang mendakwa mereka mengikuti Nabi Isa A.S. Seterusnya, Allah SWT mengkhabarkan bahawa Dia memberikan kepada Nabi Isa Injil iaitu salah satu kitab Allah yang mulia. Begitu juga turut dinyatakan bahawa Allah SWT menjadikan dalam hati orang-orang yang mengikutinya sifat belas kasihan dan rahmat. Hal ini adalah sebagaimana  firman Allah SWT dalam ayat lain:

لَتَجِدَنَّ أَشَدَّ النَّاسِ عَدَاوَةً لِّلَّذِينَ آمَنُوا الْيَهُودَ وَالَّذِينَ أَشْرَكُوا ۖ وَلَتَجِدَنَّ أَقْرَبَهُم مَّوَدَّةً لِّلَّذِينَ آمَنُوا الَّذِينَ قَالُوا إِنَّا نَصَارَىٰ ۚ ذَٰلِكَ بِأَنَّ مِنْهُمْ قِسِّيسِينَ وَرُهْبَانًا وَأَنَّهُمْ لَا يَسْتَكْبِرُونَ

Maksudnya: “Demi sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) akan dapati manusia yang keras sekali permusuhannya kepada orang-orang yang beriman ialah orang-orang Yahudi dan orang-orang musyrik. Dan demi sesungguhnya engkau akan dapati orang-orang yang dekat sekali kasih mesranya kepada orang-orang yang beriman ialah orang-orang yang berkata: ‘Bahawa kami ini ialah orang-orang Nasrani’ yang demikian itu, disebabkan ada di antara mereka pendeta-pendeta dan ahli-ahli ibadat, dan kerana mereka pula tidak berlaku sombong.”

(Surah al-Ma’idah: 82)

Oleh sebab itu, golongan Nasrani lebih lembut hati mereka berbanding golongan yang lain ketika mereka masih berpegang kepada syariat Nabi Isa A.S. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman fi Tafsir Kalam al-Mannan, 1/842).

Berbalik kepada soalan yang diajukan, istilah “Injil” dikatakan berasal daripada bahasa ‘Ibrani atau Suryani. Namun ada juga yang berpendapat bahawa ia adalah perkataan Arab yang berasal daripada maksud menzahirkan, mengeluarkan, atau makna lain yang seumpamanya.

Hal ini adalah sebagaimana yang dinyatakan oleh al-Zabidi bahawa terdapat perbezaan pendapat tentang istilah Injil. Ada yang mengatakan ia adalah nama dalam bahasa ‘Ibrani, ada juga yang mengatakan ia berasal daripada bahasa Suryani, dan ada yang berpendapat ia adalah istilah Arab. Jika ia adalah istilah Arab, ada yang mengatakan ia berasal daripada perkataan Najl (النَّجْل), yang bermaksud asal atau sumber, atau daripada najaltu al-syai’ (نَجَلْتُ الشيءَ) yang bermaksud aku menzahirkan sesuatu, atau daripada najalahu (نَجَلَه) yang bermaksud apabila dia mengeluarkannya. Terdapat juga pendapat-pendapat lain selain daripada itu. (Lihat Taj al-‘Arus min Jawahir al-Qamus, 30/458).

Ibn Manzur menyebutkan, Injil ialah kitab Nabi Isa A.S Ia boleh dirujuk sebagai kata nama bagi perempuan (muannath) ataupun lelaki (muzakkar). Sesiapa yang menggunakannya sebagai muannath adalah merujuk kepada sahifah (lembaran), manakala yang menggunakannya sebagai muzakkar adalah merujuk kepada kitab. Disebut juga dalam sifat para sahabat R.Anhuma:

مَعَهُ قومٌ صُدورُهم أَناجِيلُهم

Maksudnya: “Bersamanya ada kaum yang dada mereka adalah Injil mereka.

Perkataan Anajil ( أَناجِيلُ) ialah kata jamak (plural) kepada Injil (إِنْجِيل) iaitu nama kitab Allah yang diturunkan kepada Nabi Isa A.S. Nama ini dikatakan berasal daripada bahasa ‘Ibrani atau Suryani. Akan tetapi ada juga pendapat yang mengatakan istilah ini berasal dari bahasa Arab, yang membawa maksud bahawa mereka membaca kitab Allah dengan hafalan dari hati mereka, serta mengumpulkannya dalam dada mereka melalui hafalan. Sebaliknya, Ahli Kitab membaca kitab-kitab mereka melalui lembaran-lembaran sahaja, dan hampir tiada di antara mereka yang menghafalnya sepenuhnya kecuali sebilangan kecil.

Dalam riwayat lain disebutkan:

وأَناجِيلهم فِي صُدُورِهِمْ

Maksudnya: “Dan Injil mereka berada dalam dada mereka.”

Dalam erti kata lain, kitab-kitab mereka dihafal dan disimpan dalam hati mereka.

Perkataan Injil menyerupai bentuk kata seperti iklil (الإِكْلِيل) atau ikhrīt (الإِخْرِيط). Ada yang berpendapat bahawa ia berasal daripada perkataan najl (النَّجْل), yang bermaksud asal. Contohnya, dikatakan: “هُوَ كَرِيمُ النَّجْل” (Dia adalah seorang yang mulia asalnya) yakni merujuk kepada asal-usul atau sifat semula jadinya. (Lihat Lisan al-‘Arab, 11/648)

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, jelaslah bahawa terdapat perselisihan dalam kalangan ulama berkenaan asal usul perkataan “Injil” kepada sekurang-kurangnya tiga pendapat sama ada ia berasal dari bahasa ‘Ibrani atau Suryani atau Arab seperti mana yang kami sudah jelaskan di atas. Namun, apa yang penting dan lebih utama bagi kita sebagai seorang Mukmin adalah mengetahui bahawa Injil termasuk dalam salah satu kitab samawi dan ia ialah kitab Allah yang diturunkan kepada Nabi Isa A.S. Seterusnya wajib ke atas kita untuk mengimani kitab ini, yang bukan apa yang telah dimasukkan kepadanya beberapa penyelewengan atau perubahan oleh kaum Yahudi kemudian.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا.

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”