Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah mimpi baik adalah satu berita gembira bagi para auliya’ di dunia dan merupakan sebahagian daripada kenabian?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Allah SWT berfirman:
أَلَا إِنَّ أَوْلِيَاءَ اللَّهِ لَا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ ﴿٦٢﴾ الَّذِينَ آمَنُوا وَكَانُوا يَتَّقُونَ ﴿٦٣﴾ لَهُمُ الْبُشْرَىٰ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَفِي الْآخِرَةِ ۚ لَا تَبْدِيلَ لِكَلِمَاتِ اللَّهِ ۚ ذَٰلِكَ هُوَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ
Maksudnya: “Ketahuilah! Sesungguhnya wali-wali Allah, tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita (62). (Wali-wali Allah itu ialah) orang-orang yang beriman serta mereka pula sentiasa bertaqwa (63). Untuk mereka sahajalah kebahagiaan yang menggembirakan di dunia dan di akhirat; tidak ada (sebarang perubahan pada janji-janji Allah yang demikian itulah kejayaan yang besar.”
(Surah Yunus: 62-64).
Selain itu, terdapat riwayat daripada ‘Ata’ bin Yasar, daripada seorang lelaki dalam kalangan penduduk Mesir, dia berkata: Aku bertanya kepada Abu al-Darda’ tentang firman Allah SWT: “لَهُمُ الْبُشْرَى فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا” (Untuk mereka sahajalah kebahagiaan yang menggembirakan di dunia). Abu al-Darda’ berkata:
مَا سألَني عَنْها أحدٌ غَيْرُكَ إلَّا رَجُلٌ واحدٌ مُنْذُ سَألْتُ رَسولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، سَألْتُ رَسولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فقال: ما سَألَني عَنْها أحدٌ غَيْرُكَ مُنْذُ أُنْزِلَتْ، هِي الرُّؤْيا الصَّالحةُ يَراهَا المُسْلمُ أو تُرَى لهُ
Maksudnya: “Tidak ada orang lain yang pernah bertanya kepadaku mengenainya kecuali seorang lelaki sejak aku bertanya kepada Rasulullah SAW. Aku bertanya kepada Rasulullah SAW (mengenainya), lalu Baginda SAW bersabda: ‘Tidak ada orang lain yang pernah bertanya kepadaku mengenainya sejak ia diturunkan, (dan berita gembira itu ialah) mimpi yang baik yang dilihat oleh seorang Muslim atau diperlihatkan kepadanya.’”
Riwayat al-Tirmizi (2426) dan beliau menilainya sebagai hasan. Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut menilainya sebagai sahih li ghairihi.
Begitu juga riwayat daripada ‘Ubadah bin al-Samit R.A, katanya: Aku bertanya kepada Rasulullah SAW berkenaan firman-Nya: “لَهُمُ الْبُشْرَى فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا” (Untuk mereka sahajalah kebahagiaan yang menggembirakan di dunia). Baginda bersabda:
هِيَ الرُّؤْيَا الصَّالِحَةُ يَرَاهَا الْمُؤْمِنُ أَوْ تُرى له
Maksudnya: “(Berita gembira itu ialah) mimpi baik yang dilihat oleh seorang Mukmin atau diperlihatkan kepadanya.”
Riwayat al-Tirmizi (2428). Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut menilainya sebagai sahih li ghairihi.
Demikian juga riwayat daripada Abu Hurairah R.A, beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:
لَمْ يَبْقَ مِنَ النُّبُوَّةِ إِلَّا المُبَشِّرَاتُ قَالُوا: وَمَا المـُبَشِّرَاتُ؟ قَالَ: الرُّؤْيَا الصَّالِحَةُ
Maksudnya: “Tiada yang berbaki daripada kenabian selain berita gembira. Mereka bertanya: ‘Apa itu berita gembira?’ Baginda menjawab: ‘Mimpi yang baik.’”
Riwayat al-Bukhari (6990)
Fakhruddin al-Razi ketika menafsirkan ayat 64 dalam Surah Yunus di atas, iaitu pada “هُمُ الْبُشْرى فِي الْحَياةِ الدُّنْيا وَفِي الْآخِرَةِ” beliau menyatakan bahawa terdapat beberapa pendapat ulama mengenai tafsirannya dan salah satu pandangan menyatakan bahawa ia merujuk kepada mimpi yang baik (ru’ya solehah). Ini adalah berdasarkan kepada beberapa hadith Nabi SAW yang menafsirkan al-busyraatau khabar gembira itu adalah merujuk kepada mimpi yang baik seperti mana sebahagian hadith yang sudah pun kami sebutkan di atas.
Selain itu, pendapat ini juga adalah berdasarkan kepada riwayat daripada Abu Qatadah, beliau berkata: Nabi SAW bersabda:
الرُّؤْيَا الصَّالِحَةُ مِنَ اللَّهِ، وَالحُلُمُ مِنَ الشَّيْطَانِ، فَإِذَا حَلَمَ أَحَدُكُمْ حُلُمًا يَخَافُهُ فَلْيَبْصُقْ عَنْ يَسَارِهِ، وَلْيَتَعَوَّذْ بِاللَّهِ مِنْ شَرِّهَا، فَإِنَّهَا لاَ تَضُرُّهُ
Maksudnya: “Mimpi yang baik itu daripada Allah, sedangkan mimpi buruk itu daripada syaitan. Apabila salah seorang daripada kamu bermimpi buruk yang menakutkannya, maka hendaklah dia meludah ke arah kirinya dan meminta perlindungan dengan Allah daripada keburukannya kerana sesungguhnya mimpi itu tidak boleh memudaratkannya.”
Riwayat al-Bukhari (3292) dan Muslim (2261)
Selain itu, beliau juga menyatakan bahawa pendapat ini adalah berdasarkan kepada riwayat daripada Ibn Mas‘ud, beliau menyebutkan bahawa mimpi itu terbahagi kepada tiga jenis:
- Mimpi yang muncul daripada perkara yang difikirkan seseorang pada siang hari, kemudian dilihatnya dalam tidur pada waktu malam.
- Kehadiran syaitan (iaitu mimpi yang datang daripada gangguan syaitan).
- Mimpi yang benar.
Begitu juga riwayat daripada Ibrahim, di mana beliau turut menyatakan bahawa mimpi terbahagi kepada tiga jenis:
- Mimpi yang membawa berita gembira daripada Allah; ia merupakan satu bahagian daripada tujuh puluh bahagian kenabian.
- Sesuatu yang menjadi kebimbangan pada waktu siang sehingga mungkin dilihat dalam tidur pada waktu malam.
- Ketakutan daripada syaitan. Maka, jika salah seorang daripada kalian melihat mimpi yang menyedihkan hatinya, hendaklah dia mengucapkan:
أَعُوذُ بِمَا عَاذَتْ بِهِ مَلَائِكَةُ اللَّه مِنْ شَرِّ رُؤْيَايَ الَّتِي رَأَيْتُهَا أَنْ تَضُرَّنِي فِي دُنْيَايَ أَوْ فِي آخِرَتِي
Maksudnya: “Aku berlindung dengan apa yang menjadi perlindungan para malaikat Allah daripada keburukan mimpiku ini yang aku telah lihat, agar ia tidak memudaratkan aku dalam kehidupan dunia atau akhiratku.”
Seterusnya, setelah al-Razi menyebutkan dalil serta sandaran kepada pendapat ini, beliau menyebutkan, jika kita menafsirkannya sebagai mimpi yang benar, maka makna zahir ayat ini menunjukkan bahawa keadaan ini hanya berlaku bagi mereka sahaja, dan akal juga menunjukkan/menyokong kepada hal itu. Hal tersebut kerana wali Allah ialah seseorang yang hatinya dan rohnya tenggelam dalam mengingati Allah. Sesiapa yang berada dalam keadaan sedemikian, maka apabila dia tidur, rohnya hanya dipenuhi dengan ma‘rifatullah (pengetahuan tentang Allah). Sebagaimana diketahui bahawa ma‘rifatullah dan cahaya keagungan-Nya hanya mendatangkan kebenaran dan kejujuran. Adapun orang yang fikirannya terpecah pada urusan dunia yang keruh lagi gelap, apabila dia tidur, dia kekal dalam keadaan sedemikian. Oleh itu, mimpinya dalam keadaan sebegini tidak boleh dipercayai. (Lihat Mafatih al-Ghaib, 17/277).
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ أَلْهِمْنَا رُشْدَنَا، وَأَعِذْنَا مِنْ شَرِّ أَنْفُسِنَا
Maksudnya: “Wahai Allah! Ilhamkanlah kepada kami kecerdasan dan petunjuk serta lindungilah kami daripada kejahatan nafsu kami.”