#7659: Istilah Ahli Sunnah wal Jama’ah Mengikut Pandangan Para Ulama’ Mutaqaddimin

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah yang disebutkan oleh para ulama’ mutaqaddimin mengenai istilah Ahli Sunnah wal Jama’ah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَأَنَّ هَـٰذَا صِرَاطِي مُسْتَقِيمًا فَاتَّبِعُوهُ ۖ وَلَا تَتَّبِعُوا السُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمْ عَن سَبِيلِهِ ۚذَٰلِكُمْ وَصَّاكُم بِهِ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Maksudnya: “Dan bahawa sesungguhnya inilah jalanKu (agama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah, Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertaqwa.”

(Surah al-An‘am: 153)

Menurut Ibn ‘Abbas R.Anhuma, ayat di atas dan yang seumpama dengannya di dalam al-Qur’an adalah merujuk kepada perintah Allah SWT terhadap golongan Mukmin agar sentiasa berada dalam jamaah dan menegah mereka daripada perselisihan dan perpecahan yang menyesatkan. (Lihat Tafsir Ibn Kathir, 3/365)

Diriwayatkan oleh Imam Ahmad daripada ‘Abdullah bin Mas‘ud R.A berkata:

خَطَّ لَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَطًّا ثُمَّ قَالَ: هَذَا سَبِيلُ اللَّهِ ثُمَّ خَطَّ خُطُوطًا عَنْ يَمِينِهِ وَعَنْ شِمَالِهِ وَقَالَ هَذِهِ سُبُلٌ عَلَى كُلِّ سَبِيلٍ مِنْهَا شَيْطَانٌ يَدْعُو إِلَيْهِ، ثمَّ قَرَأَ {إِنَّ هَذَا صِرَاطِي مُسْتَقِيمًا فَاتَّبعُوهُ}

Maksudnya: “Rasulullah SAW membuat satu garis untuk kami, kemudian berkata: ‘Ini adalah jalan Allah.’ Kemudian baginda membuat garis-garis di sebelah kanan dan kiri dan berkata: ‘Ini adalah jalan-jalan, pada setiap jalan tersebut ada syaitan yang menyeru kepadanya.’ Kemudian baginda membaca: ‘Dan bahawa inilah jalan-Ku yang lurus, maka ikutilah ia’.”

Riwayat Ahmad (4437), al-Nasa’i dalam al-Sunan al-Kubra(11174). Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut dalam Takhrij Syarh al-Sunnah (97) menyatakan bahawa sanad hadith ini hasan

Diriwayatkan oleh Ibnu Majah daripada Al-‘Irbadh bin Sariyah R.A, berkata:

وَعَظَنَا رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَوْعِظَةً ذَرَفَتْ مِنْهَا الْعُيُونُ، وَوَجِلَتْ مِنْهَا الْقُلُوبُ، قُلْنَا: يَا رَسُولَ اللهِ، إِنَّ هَذِهِ لَمَوْعِظَةُ مُوَدِّعٍ، فَمَاذَا تَعْهَدُ إِلَيْنَا؟ قَالَ: ” قَدْ تَرَكْتُكُمْ عَلَى الْبَيْضَاءِ لَيْلُهَا كَنَهَارِهَا لَا يَزِيغُ عَنْهَا بَعْدِي إِلَّا هَالِكٌ، وَمَنْ يَعِشْ مِنْكُمْ، فَسَيَرَى اخْتِلَافًا كَثِيرًا، فَعَلَيْكُمْ بِمَا عَرَفْتُمْ مِنْ سُنَّتِي وَسُنَّةِ الْخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ الْمَهْدِيِّينَ، وَعَلَيْكُمْ بِالطَّاعَةِ، وَإِنْ عَبْدًا حَبَشِيًّا عَضُّوا عَلَيْهَا بِالنَّوَاجِذِ، فَإِنَّمَا الْمُؤْمِنُ كَالْجَمَلِ الْأَنِفِ حَيْثُمَا انْقِيدَ انْقَادَ

Maksudnya:Rasulullah SAW memberikan nasihat kepada kami dengan nasihat yang membuatkan mata menangis dan hati bergetar, maka kami berkata, ‘Wahai Rasulullah, ini seakan-akan nasihat perpisahan, maka apa yang engkau wasiatkan kepada kami?’ Baginda bersabda, ‘Aku tinggalkan kamu di atas jalan yang terang, malamnya seperti siangnya, tidak ada yang akan tersesat daripadanya selepas aku kecuali orang yang binasa. Sesiapa yang hidup di antara kamu akan melihat perselisihan yang banyak, maka wajib ke atas kamu berpegang dengan sunnahku dan sunnah para khalifah yang mendapat petunjuk. Gigitlah ia dengan gigi geraham. Dan wajib ke atas kamu taat, walaupun seorang hamba Habsyi, sesungguhnya orang mukmin itu seperti unta yang jinak, di mana sahaja ia diikat, di situlah ia tunduk.’

Riwayat Abu Dawud (4607), al-Tirmizi (2676), Ibn Majah (42) dan Ahmad (17144). Hadith ini dinilai sahih berdasarkan pengarang kitab Takhrij Kitab al-Sunnah (1037)

Oleh sebab itu, para salaf kita sering mengatakan: “Berpegang teguh dengan sunnah adalah keselamatan.” Imam Malik berkata: “Sunnah adalah seperti kapal Nabi Nuh; sesiapa yang menaikinya akan selamat, dan sesiapa yang tertinggal daripadanya akan tenggelam.” Segala puji bagi Allah, para sahabat telah menaiki kapal ini dan memerintahkan seluruh umat untuk menaikinya. Mereka telah menyampaikan sunnah kepada kita dan menyebarkannya kepada kita, sehingga tidak ada lagi alasan bagi sesiapa untuk menyimpang dari jalan mereka.

Nabi SAW telah memberitahu bahawa beberapa golongan daripada umatnya akan menyimpang dari jalan yang lurus ini. Diriwayatkan daripada ‘Auf bin Malik al-Asyja‘i R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

افْتَرَقَتِ الْيَهُودُ عَلَى إِحْدَى وَسَبْعِينَ فِرْقَةً، فَوَاحِدَةٌ فِي الْجَنَّةِ، وَسَبْعُونَ فِي النَّارِ، وَافْتَرَقَتِ النَّصَارَى عَلَى ثِنْتَيْنِ وَسَبْعِينَ فِرْقَةً، فَإِحْدَى وَسَبْعُونَ فِي النَّارِ، وَوَاحِدَةٌ فِي الْجَنَّةِ، وَالَّذِي نَفْسُ مُحَمَّدٍ بِيَدِهِ لَتَفْتَرِقَنَّ أُمَّتِي عَلَى ثَلَاثٍ وَسَبْعِينَ فِرْقَةً، وَاحِدَةٌ فِي الْجَنَّةِ، وَثِنْتَانِ وَسَبْعُونَ فِي النَّارِ» قِيلَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ مَنْ هُمْ؟ قَالَ: «الْجَمَاعَةُ»

Maksudnya: Yahudi berpecah kepada 71 golongan, di mana satu di dalam syurga dan 70 di dalam neraka, sementara Nasrani berpecah kepada 72 golongan, di mana 71 di dalam neraka dan satu di dalam syurga. Demi Zat yang jiwa Muhammad berada di tangan-Nya, sesungguhnya umatku akan berpecah kepada 73 golongan, di mana satu di dalam syurga dan 72 di dalam neraka. Ketika ditanya, Lalu baginda ditanya, ‘Wahai Rasulullah, siapakah mereka?’ Baginda menjawab, ‘al-Jama‘ah.’

Riwayat Ibn Majah (3241). Hadith ini dinilai sahih oleh al-Albani dalam Sahih Ibn Majah (3241)

Disebutkan juga bahawa baginda SAW menyatakan bahawa mereka ini ialah “مَنْ كَانَ عَلَى مِثْلِ مَا أَنَا عَلَيْهِ وَأَصْحَابِي, iaitu golongan yang berada di atas jalanku dan jalan sahabatku. Ini menunjukkan bahawa jalan yang lurus yang akan menyelamatkan sesiapa yang mengikutinya adalah jalan Nabi SAW dan para sahabatnya. Inilah jalan Ahli al-Sunnah wa al-Jama‘ah. Adapun sesiapa yang keluar daripada jalan ini, dia adalah daripada golongan-golongan yang diberitahu oleh Nabi SAW akan berada di dalam neraka.

Maka, disimpulkan di sini bahawa mazhab Ahli al-Sunnah wa al-Jama‘ah adalah mazhab yang selamat, dan menepati ciri-ciri yang dikemukakan dalam al-Qur’an dan hadith.

Mengenai persoalan di atas, istilah Ahli al-Sunnah wa al-Jama‘ah telah lama dibincangkan oleh ulama Islam semenjak dahulu lagi. Pelbagai bentuk takrifan dibawakan oleh mereka dengan satu tujuan yang sama, iaitu menghimpunkan seramai mungkin umat Islam dalam ruang lingkup Ahli al-Sunnah ini. Mereka tidak secara bermudah-mudahan mengeluarkan kelompok yang berbeza pegangan aliran, dan mereka juga tidak memasukkan dengan sesuka hati sesiapa sahaja yang dipersetujui manhajnya. Bagi menginsafi erti sebenar Ahli al-Sunnah menurut ahli ilmu, kami bawakan sebahagian dari pandangan ulama mutaqaddimin, ulama muta’akkhirin dan keputusan badan-badan berautoriti dunia.

Ulama Mutaqaddimin

Ulama mutaqaddimin ini merujuk kepada ulama-ulama terawal dan terdahulu. Kami cuba membawakan sebanyak mungkin pandangan mereka sekadar kemampuan dan pembacaan kami, antaranya seperti berikut:

  • Imam Muhammad bin Sirin[1] (m. 110H)

Beliau mengisyaratkan bahawa Ahli al-Sunnah adalah orang-orang yang berkelayakan dan berkemahiran dalam meriwayatkan hadith-hadith. Jelas di sisi beliau, Ahli al-Sunnah adalah Ashab al-Hadith. Imam Muhammad bin Sirin berkata: “Dahulu, masyarakat tidak bertanya tentang sanad. Namun apabila berlakunya fitnah (pertelingkahan para Sahabat), mereka (para ulama) akan berkata: “Namakan guru-guru kamu itu, jika guru kamu itu termasuk dalam kalangan Ahli al-Sunnah maka hadithnya boleh diterima. Jika guru mereka termasuk dalam kalangan ahli bida‘ah, maka hadithnya tidak boleh diterima.” (Lihat Muqaddimah Sahih Muslim, 1/12)

  • Imam Ayyub bin Abi Tamimah al-Sakhtiyani[2] (m. 131H)

Beliau mengisyaratkan bahawa Ahli al-Sunnah ialah kelompok yang paling mengasihi dan menyayangi sesama umat Islam dan pengikut Rasulullah SAW. Imam Ayyub al-Sakhtiyani mengungkapkan: “Apabila aku diberitahu tentang khabar kematian salah seorang Ahli al-Sunnah, seakan-akan aku kehilangan salah satu anggota tubuh badanku sendiri.” (Lihat Hilyah al-Auliya’ wa Tabaqat al-Asfiya’, 3/9)

Beliau juga turut mengatakan Ahli al-Sunnah adalah ilmuan-ilmuan agama yang mampu mendidik umat manusia dengan ilmu yang sahih dan benar, bertepatan dengan al-Quran dan al-Sunnah. Ujar beliau: “Sesungguhnya antara kebahagiaan seorang pemuda dan orang bukan Arab: adalah apabila direzekikan untuk berguru dengan ilmuan Ahli al-Sunnah.” (Lihat Syarh Usul I‘tiqad Ahl al-Sunnah, 1/30)

Imam Ayyub al-Sakhtiyani juga menegaskan bahawa Ahli al-Sunnah adalah penegak agama Allah SWT serta hukum-hakam-Nya, yang akan dibenci oleh musuh Islam seperti ahli bida‘ah dan kesesatan. Beliau berkata: “Orang yang menghendaki kematian salah seorang Ahli al-Sunnah adalah ibarat orang yang menghendaki untuk memadam cahaya agama Allah dengan lidah mereka, sedangkan Allah berkehendak untuk menyempurnakan cahaya-Nya, meskipun dibenci oleh orang-orang kafir.” (Lihat Syarh Usul I‘tiqad Ahl al-Sunnah, 1/35)

  • Imam Sufyan bin Sa‘id al-Thauri[3] (m. 161H)

Ahli al-Sunnah wa al-Jama‘ah telah wujud sejak zaman beliau lagi. Imam al-Lalaka’i meriwayatkan di dalam Syarh Usul I‘tiqad Ahl al-Sunnah (1/49-50) bahawa Imam Sufyan al-Thauri berkata: “Aku wasiatkan kepada kamu agar berbuat baik dan memuliakan Ahli al-Sunnah, kerana mereka itu menjadi semakin asing.” Beliau berkata lagi: “Betapa sedikitnya Ahli al-Sunnah wa al-Jama‘ah.”

Kami nyatakan, yang dimaksudkan dengan “sedikitnya Ahli al-Sunnah” ini adalah para ulama yang mahir dalam membela Ahli al-Sunnah wa al-Jama‘ah menghadapi syubhat kesesatan, bukan penganutnya. Penganutnya ramai, manakala alim yang mahir lebih sedikit berbanding bilangan masyarakat awam.

  • Imam Fudhail bin ‘Iyadh[4] (m. 187H)

Beliau berpendapat bahawa Ahli al-Sunnah itu mempercayai bahawa Iman itu ada kaitan yang rapat dengan kepercayaan hati, amalan anggota dan pengakuan lisan. Imam Fudhail bin ‘Iyadh mengatakan: “Ahli al-Sunnah itu percaya bahawa Iman adalah makrifat (kepercayaan hati), kata-kata dan amalan.” (Lihat al-Sunnah li ‘Abdillah ibn Ahmad, hlm. 594)

Ini membuktikan entiti Ahli al-Sunnah telah pun wujud sejak seawal kurun ke-2H, lebih awal sebelum kelahiran dua orang tokoh Imam Ahli al-Sunnah iaitu Imam Abu al-Hasan al-Asy‘ari dan Imam Abu Mansur al-Maturidi.

  • Imam Waki‘ bin al-Jarrah[5] (m. 197H)

Beliau menyatakan bahawa: “Ahli al-Sunnah berpendirian bahawa iman itu mempunyai kaitan yang rapat dan kesan yang besar dengan kata-kata dan perbuatan manusia. Manakala, Murji’ah mengatakan Iman itu kata-kata sahaja tanpa memerlukan kepada perbuatan. Jahmiyyah pula mendakwa: Iman itu kepercayaan sahaja.” (Lihat al-Iman oleh Ibn Abi ‘Umar al-‘Adni, hlm. 29)

Ini bermakna, Ahli al-Sunnah mempunyai pegangan tersendiri yang berbeza dengan ahli bida‘ah seperti aliran Murji’ah dan Khawarij. Ahli al-Sunnah berada di pertengahan antara dua kutub kemelampauan, penuh kesederhanaan dan ketertiban.

  • Imam Muhammad bin Idris al-Syafi‘i[6] (m. 204H)

Ahli al-Sunnah di sisi Imam al-Syafi‘i adalah kelompok yang melazimi dua kalimah syahadah dan beriman dengan sekalian sifat-sifat Allah dengan makna yang dikehendaki oleh Allah SWT, bukan makna yang dikehendaki oleh ahli kesesatan dan para pelampau.

Beliau berkata: “Pendirian Ahli al-Sunnah yang aku anuti, dan dianuti jua oleh ulama sebelumku, begitu juga dipegang erat oleh Malik bin Anas, Sufyan dan lain-lain adalah: bersaksi bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah, dan Nabi Muhammad SAW itu adalah utusan Allah. Dan Allah “atas” Arasy-Nya, “dekat” dengan sekalian hamba-Nya menurut kehendak-Nya. “Turun” ke langit dunia menurut kehendak-Nya.” (Lihat al-‘Uluw li al-‘Aliy al-Ghaffar, hlm. 176)

Beliau menegaskan lagi tentang pegangan beliau dan alirannya tentang Ahli al-Sunnah: “Aku (dan sekalian Ahli al-Sunnah) beriman dengan kewujudan Allah, dan setiap perkara yang Allah khabarkan, dengan makna yang Allah hendaki. Aku (dan sekalian Ahli al-Sunnah) beriman dengan Rasulullah, dan setiap perkara yang Rasulullah khabarkan, dengan makna yang Rasulullah kehendaki.” (lihat Lum‘ah al-I‘tiqad, hlm. 7)

  • Imam Abu ‘Ubaid al-Qasim bin Sallam[7] (m. 224H)

Imam Abu ‘Ubaid al-Qasim bin Sallam merupakan salah seorang ilmuwan Hadith dan ilmuwan Bahasa Arab dalam kalangan ulama Salaf. Beliau berkata: “Jika engkau bertanya kepadaku tentang hakikat Iman dan perselisihan pendapat dalam kalangan umat Islam berkenaannya, tentang pertambahan, penurunan dan kesempurnaannya; hendaklah engkau menerima pendirian Ahli al-Sunnah tentang perkara tersebut yang bakal aku perincikan di dalam karyaku ini.” (Lihat Kitab al-Iman, hlm. 9)

  • Imam Ahmad bin bin Muhammad bin Hanbal[8] (m. 241H)

Imam Ahmad bin Hanbal menjelaskan bahawa intipati utama Ahli al-Sunnah adalah memasuki Islam, mentaati Allah dan menghindari segala jenis kekufuran. Beliau berkata ketika menjelaskan takrif Iman dan Islam: “Ahli al-Sunnah wa al-Jama‘ah berpendirian bahawa akidah keimanan yang Allah arahkan kepada hamba-Nya adalah memasuki agama Islam yang Dia redhai sebagai agama buat sekalian hamba-Nya. Islam ini adalah lawan bagi kekufuran yang dimurkai oleh-Nya.” (Lihat Ta‘zim Qadr al-Solah, 2/531)

Imam Ahmad bin Hanbal turut menjelaskan: “Inilah mazhab dan pegangan ahli ilmu, ahli athar, Ahli al-Sunnah yang berpegang teguh dengan tali Islam, terkenal dengannya, yang diikuti menjadi panutan, mengikuti jejak langkah para Sahabat Nabi Muhammad SAW hingga ke hari ini.” (Lihat Tabaqat al-Hanabilah, 1/24)

  • Imam Muhammad ibn Jarir al-Tabari[9] (m. 310H)

Beliau merupakan tokoh ilmu Tafsir dalam kalangan Salaf, ketika menceritakan tentang isu rukyatullah (melihat Allah di hari akhirat), beliau menyatakan: “Inilah pegangan yang kita anuti sehingga kita bertemu Allah SWT kelak, berupa pegangan Ahli al-Sunnah wa al-Jama‘ah, bahawa orang-orang beriman akan dapat melihat Allah SWT kelak di dalam syurga sepertimana yang telah sahih diriwayatkan di dalam hadith-hadith.” (Lihat Syarh Usul I‘tiqad Ahl al-Sunnah, 1/206)

  • Imam Abu ‘Amr ‘Uthman bin Sa‘id al-Dani[10] (m. 444H)

Beliau merupakan salah seorang ilmuan al-Quran dan Qiraat yang berakidah al-Asya‘irah. Beliau menegaskan bahawa majoriti ulama Hadith, ulama Fiqh dan ulama Ahli Kalam adalah termasuk dalam kalangan Ahli al-Sunnah wa al-Jama‘ah. Beliau berkata: “Ketahuilah olehmu semoga Allah membantumu dengan kurniaan taufik daripada-Nya bahawa pendirian Ahli al-Sunnah wa al-Jama‘ah, iaitu kelompok yang terdiri daripada kalangan umat Islam zaman dahulu (mutaqaddimin), begitu juga umat zaman kini (muta’akhkhirin); dalam kalangan ulama-ulama Hadith, ulama-ulama Fiqh dan ahli Kalam.” (Lihat al-Risalah al-Wafiah, hlm. 117)

  • Imam Ibn Hazm[11] (m. 456H)

Ahli Sunnah yang kami sebutkan adalah Ahli Hak, manakala selain mereka adalah Ahli Bid‘ah. Mereka adalah: Para sahabat R.Anhum, dan semua yang mengikuti jalan mereka daripada kalangan tabi‘in, kemudian para ulama hadith dan yang mengikuti mereka daripada kalangan para fuqaha generasi demi generasi hingga ke hari ini, serta sesiapa yang meneladani mereka dari kalangan orang awam di timur dan barat. (Lihat Wasatiyyah Ahl Sunnah Baina al-Firaq, hlm. 48)

  • Imam al-Haramain: Abu al-Ma‘ali al-Juwaini[12] (m. 478H)

Imam Abu al-Ma‘ali al-Juwaini atau digelar sebagai Imam al-Haramain menegaskan prinsip akidah Ahli al-Sunnah wa al-Jama‘ah di dalam karya beliau Luma‘ al-Adillah fi Qawa‘id  ‘Aqa’id Ahli al-Sunnah wa al-Jama‘ah. Beliau cenderung menafsirkan bahawa akidah Ahli al-Sunnah adalah akidah al-Asya‘irah, dan beliau cenderung memilih aliran Khalaf untuk memahami ayat-ayat Sifat seperti isu istiwa’, kalam Allah dan lain-lain. (Lihat Luma‘ al-Adillah, hlm. 105-110)

Bahkan beliau menulis beberapa kitab akidah yang lain, kesemuanya untuk membela mazhab al-Asya‘irah seperti kitab al-Syamil, al-Irsyad, al-Luma‘ dan al-Nizamiyyah.

Imam al-Haramain amat teguh membela prinsip akidah al-Asya‘irah, dan ini begitu terzahir ketika beliau berdebat dengan Abu al-Qasim ibn Burhan tentang isu Kasb dan af‘al al- ‘Ibad. (Lihat Siyar A‘lam al-Nubala’, 18/469)

  • Imam al-Ghazali[13] (m. 505H)

Imam Abu Hamid al-Ghazali mengatakan akidah Ahli al-Sunnah yang sebenar adalah menuruti sunnah Rasulullah SAW dan athar para Sahabat. Beliau berkata: “Para sahabat bertanya kepada Rasulullah SAW: “Siapakah Ahli al-Sunnah wa al-Jama‘ah?” Baginda menjawab: “Jalan yang ditempuh oleh aku sekarang dan para Sahabatku.” Mereka (Ahli al-Sunnah) itu hanya mengikuti jalan Rasul dan Sahabat serta mengajarkan Sunnah Nabi. Mereka hanya kembali merujuk Nabi dan mengikuti baginda dalam setiap perkara yang berlaku dalam kalangan mereka, mereka tidak mengikuti akal atau pendapat mereka sendiri. Ini membuktikan, kebenaran itu ada pada mengikuti Sunnah Rasulullah SAW, bukan pada akal pendapat manusia semata.” (Lihat Fadha’ih al-Batiniyyah, hlm. 79)

Beliau menjulang martabat para Sahabat Rasulullah SAW sebagai sumber akidah dan manhaj: “Akidah Ahli al-Sunnah adalah membersihkan semua para Sahabat Rasulullah SAW daripada tuduhan buruk dan memuji mereka sepertimana Allah SWT dan Rasulullah SAW telah memuji mereka.” (Lihat Qawa‘id al-‘Aqa’id, hlm. 227)

Imam al-Ghazali berpendapat ilmu Kalam yang baik adalah ilmu Kalam yang membela sunnah dan tidak bertentangan dengan Sunnah dan Athar. Demikian itu merupakan kelompok ahli Kalam dalam kalangan Ahli al-Sunnah wa al-Jama‘ah. Beliau berkata: “Ilmu Kalam yang benar adalah apabila ia digunakan untuk  membela Sunnah Rasulullah SAW serta memelihara akidah Ahli al-Sunnah daripada kesesatan ahli bida‘ah. Syaitan meniupkan waswas kesesatan kepada ahli bida‘ah, kemudian bangkitlah sebahagian ahli Kalam membela manhaj Sunnah dengan hujah yang lebih tersusun dan sistematik.” (Lihat al-Munqiz min al-Dhalal, hlm. 121)

  • Sultan al-‘Ulama’ ‘Izz al-Din ‘Abd al-Salam[14] (m. 660H)

Imam ‘Izz al-Din ibn ‘Abd al-Salam menjelaskan akidah Ahli al-Sunnah di sisi beliau adalah mazhab al-Asya‘irah di dalam karya beliau, Qawa‘id al-Ahkam fi Masalih al-Anam.

Bahkan beliau mempunyai pendirian yang keras dengan kelompok Athariyyah dan Hanabilah. Imam al-Subki menceritakan bahawa: “Beliau (al-‘Izz) meminta kepada Sultan al-Malik al-‘Adil untuk menjatuhkan hukuman takzir yang berat dan keras kepada tokoh-tokoh Hanbali yang didakwa terpengaruh dengan bidaah (Hasyawiyyah).” (Lihat Tabaqat al-Syafi‘iyyah al-Kubra, 8/230)

Namun begitu beliau masih belum mengeluarkan mereka daripada daerah Islam dan menfatwakan bahawa orang-orang terkena syubhat tajsim (di sisi beliau) adalah masih Muslim. Beliau mengatakan: “Kebanyakan mereka adalah orang awam yang tidak direzekikan untuk melihat kebenaran, kita masih menilai mereka sebagai orang Islam. Allah memaafkan dan mengampunkan mereka, jika tidak, nescaya begitu sukar sekali untuk kita memisahkan diri daripada masyarakat ramai. Syara‘ memaafkan unsur Mujassimah dalam kalangan orang awam kerana tajsim ini begitu sebati dengan orang awam, mereka tidak mampu mencerap sesuatu yang wujud melainkan wujud itu pasti memerlukan tempat atau hayyiz.” (Lihat Qawa‘id al-Ahkam fi Masalih al-Anam, 1/202)

  • Imam al-Nawawi[15] (m. 676H)

Imam al-Nawawi berkata: “Ulama Ahli al-Sunnah wa al-Jama‘ah daripada kalangan ahli hadith, fuqaha’ dan mutakallimin telah bersepakat bahawa seorang Mukmin yang dihukumkan sebagai ahli kiblat yang mana dia tidak akan kekal dalam neraka, mereka ini tidak lain adalah tergolong dalam kalangan orang yang benar-benar memiliki keyakinan dalam hatinya terhadap agama Islam, dengan keyakinan yang bersih daripada sebarang keraguan, dan dia pun telah (jelas) mengucapkan dua kalimah syahadah.” (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 1/149)

  • Imam Tajuddin al-Subki al-Syafi‘i[16] (m. 756H)

Beliau menegaskan: “Semua pengikut mazhab Hanafi, mazhab Maliki, mazhab al-Syafi‘i dan fudhala’ al-Hanabilah (pengikut mazhab Hanbali) semuanya bersatu di atas satu akidah, iaitu landasan akidah Ahli al-Sunnah wa al-Jama‘ah, melaksanakan agama Allah SWT berdasarkan jalan yang dirintiskan oleh Imam Abu al-Hasan al-Asy‘ari. Tiada yang menyimpang daripadanya melainkan segelintir daripada kalangan al-Hanafiyyah dan al-Syafi‘iyyah yang cenderung ke arah aliran Muktazilah, dan segelintir dalam kalangan al-Hanabilah yang terjerumus ke dalam aliran Tajsim. Manakala, tiada dalam kalangan ulama mazhab Maliki yang terpengaruh dengan aliran sesat yang lain.” (Lihat Mu‘id al-Ni‘am wa Mubid al-Naqam, hlm. 75)

  • Imam Syihabuddin Ibn Hajar al-Haitami al-Syafi‘i[17] (m. 974H)

Beliau berkata: “Yang dimaksudkan dengan ahli bid’ah adalah sesiapa yang menyelisihi pendirian Ahli al-Sunnah wa al-Jama‘ah. Yang dimaksudkan dengan Ahli al-Sunnah wa al-Jama‘ah adalah pengikut Syeikh Abu al-Hasan al-Asy‘ari dan Abu Mansur al-Maturidi, dua orang ini merupakan imam Ahli al-Sunnah.” (Lihat al-Fatawa al-Hadithiyyah, hlm. 370)

Imam Ibn Hajar al-Haitami berkata lagi: “Ketahuilah bahawa asal muasal bagi pegangan akidah, tidak lain tidak bukan, hanyalah pegangan Ahli al-Sunnah wa al-Jama‘ah iaitu Abu al-Hasan al-Asy‘ari dan Abu Mansur al-Maturidi serta pengikut mereka berdua, iaitu aliran al-Asy‘ariyyah dan al-Maturidiyyah. Apabila kedua-duanya saling berbeza, maka yang tahqiq dan yang diamalkan adalah pendapat al-Asya‘irah seperti yang ditegaskan di dalam kitab-kitab Usul.” (Lihat al-Maulid al-Syarif, hlm. 65-66)

Inilah juga sepertimana yang kami jelaskan dalam buku kami,  Ahli Sunnah wa al-Jama’ah: Siapakah Mereka  (hlm. 53).

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami sebagai pemimpin bagi orang yang bertaqwa. (Lihat Mazahib Ahl al-Sunnah oleh Ibn Syahin, no. 38, hlm 40;  Tafsir al-Quran al-’Azim, 3/75)

Nota hujung:

[1] Nama penuh beliau ialah Muhammad bin Sirin al-Ansari. Beliau merupakan seorang ahli fiqh yang zuhud dan tekun beribadah. Muhammad bin Sirin dilahirkan pada tahun 33 H semasa pemerintahan Saidina Uthman iaitu 2 tahun sebelum Saidina Uthman bin Affan wafat. Beliau wafat pada 9 Syawal tahun 110 H selepas wafatnya al-Hasan al-Basri selama 100 hari. Sedangkan usianya ketika itu 77 tahun. Beliau dikebumikan di Basrah. Kuburnya sekarang berada pada binaan Marqad al-Hasan al-Basri.

[2] Imam al-Nawawi berkata: Beliau ialah Ayyub bin Abi Tamimah, iaitu Ayyub al-Sakhtiyani – dengan huruf sin berbaris fathah – Merupakan seorang tokoh ulama yang masyhur, tabi’in yang agung dari kalangan ahli Basrah. Meninggal dunia pada tahun 131 H menurut pendapat majoriti. (Lihat Tahzib al-Asma’ wa al-Lughat, hlm. 896)

[3] Nama beliau ialah Sufyan bin Said bin Masruq bin Habib bin Rafi’ bin Abdillah bin Muhibah bin Abi Abdillah bin Munqiz bin Nasr bin al-Harith. Beliau lahir pada tahun 97 Hijrah di Kufah pada zaman khalifah Sulaiman bin Abdul Malik. Ayahnya juga merupakan seorang ahli hadith yang masyhur, iaitu Said bin Masruq Al-Thauri. Sufyan al-Thauri wafat pada bulan Sya‘ban tahun 161 Hijrah.

[4] Nama penuh beliau ialah Abu Ali Fudhail bin ‘Iyadh bin Mas’ud bin Bisyir al-Tamimi al-Yarbu’i al-Hurasani berasal dari pinggiran kota Muru. Fudhail bin ‘Iyadh dilahirkan pada tahun 105 H di bandar Samarkand. Beliau digelar sebagai ‘Abid al-Haramain kerana teguhnya beliau dalam melakukan ibadah di dua tanah suci iaitu di kota Makkah dan Madinah. Beliau menulis riwayat-riwayat hadith di kota Kufah kemudian berpindah ke Makkah dan bermukim di sana sehingga beliau wafat. Beliau wafat dalam bulan Muharram tahun 187 H.

[5] Beliau ialah Waki’ bin al-Jarrah bin Malih bin ‘Adi bin Fars al-Ru’asi al-Kufi. Seorang tokoh ulama’, al-Hafiz dan Muhaddith Iraq. Kuniyahnya ialah Abu Sufyan. Beliau lahir pada tahun 129 Hijrah. (Lihat al-Tarikh al-Kabir oleh al-Bukhari, 6/179) Waki’ bin al-Jarrah meninggal pada tahun 197 Hijrah ketika pemerintahan Muhammad bin Harun. Ketika itu usianya 66 tahun. (Lihat al-Tarikh al-Kabir, 6/179 dan al-Tabaqat al-Kubra, 6/394)

[6] Imam al-Syafi‘i dilahirkan pada tahun 150 H di Gaza. Kemudian ibunya membawa ke Makkah sewaktu beliau berusia dua tahun. Imam al-Syafi‘i adalah imam yang ketiga mengikut susunan tarikh kelahiran. Beliau adalah pendokong kepada ilmu hadith dan pembaharu agama (mujaddid) bagi abad ke-2 Hijrah. Imam al-Syafi‘i meninggal dunia di Mesir pada malam Khamis selepas Maghrib, iaitu pada malam akhir bagi bulan Rejab tahun 204 Hijrah.

[7] Abu ‘Ubaid al-Qasim bin Sallam bin Abdillah dikenali sebagai al-Adib al-Faqih al-Muhaddith. Beliau telah menghasilkan banyak karya dalam bidang qiraat, fiqh, bahasa, dan syair. Menurut al-Zahabi, beliau dilahirkan pada tahun 157 Hijriah. Abu Ubaid berasal dari daerah Hirah, Khurasan, yang terletak di barat laut Afghanistan. Beliau adalah seorang imam yang memiliki pendirian yang kukuh, rajin dalam urusan agama, dan berwibawa. Abu Ubaid menguasai pelbagai disiplin ilmu, seperti al-Quran, fiqh, sejarah, bahasa Arab, dan hadith.

[8] Ahmad bin Muhammad bin Hanbal atau Ahmad bin Hanbal adalah imam yang keempat di dalam fuqaha Islam. Beliau adalah seorang yang mempunyai sifat-sifat yang luhur dan tinggi, sepertimana yang dikatakan oleh orang-orang yang hidup sezaman dengannya dan juga yang mengenalinya. Beliau adalah imam bagi umat Islam seluruh dunia, juga imam bagi Dar al-Islam dan mufti bagi negara Iraq. Beliau juga terkenal sebagai seorang yang arif tentang hadith-hadith Rasulullah SAW, penerang untuk dunia, sebagai contoh dan tauladan bagi ahli sunnah, seorang yang sabar ketika menghadapi percubaan, soleh dan zuhud. Imam Ahmad bin Hanbal meninggal dunia pada pagi hari Jumaat, 12 Rabiul Awal, tahun 241 Hijrah.

[9] Beliau dilahirkan pada 224 Hijrah dan meninggal pada 310 Hijrah. Beliau hidup pada zaman pemerintahan khilafah Abbasiyyah. Beliau dilahirkan pada awal pemerintahan Khalifah al-Zahabi dan meninggal dunia pada zaman pemerintahan Khalifah al-Muqtadir Billah. (Lihat al-Imam al-Tabari oleh Muhammad al-Zuhaili, hlm. 31) Dikatakan beliau meninggal dunia pada waktu Isya’, hari Ahad bersamaan 28 Syawal tahun 310 Hijrah pada usia 85 tahun, atau setengah pendapat menyebut 60 tahun. (Lihat al-Bidayah wa al-Nihayah oleh Ibn Kathir, 11/146)

[10] Beliau ialah Abu ‘Amr al-Dani, atau lebih dikenali pada zamannya dengan Ibn al-Sairafi. Merupakan seorang yang alim dalam ilmu qira’at, muhaddith dan mufassir dari Andalus.

[11] Beliau ialah Ali bin Ahmad bin Sa’ad bin Hazm, dilahirkan pada 384 H dan meninggal dunia pada tahun 456 H.

[12] Beliau merupakan seorang ulama terkemuka yang dilahirkan pada tahun 419 H dan meninggal dunia pada tahun 478 H.

[13] Beliau ialah Abu Hamid Muhammad al-Ghazzali al-Tusi al-Naisaburi al-Syafi’i, dilahirkan pada tahun 450 H dan meninggal dunia pada tahun 505 H.

[14] Beliau dilahirkan pada tahun 577 H dan meninggal dunia di Mesir pada tahun 660 H.

[15] Beliau ialah Yahya bin Syaraf bin Hasan bin Husain al-Nawawi al-Dimasyqi. Beliau dilahirkan pada tahun 631 H di Nawa, sebuah perkampungan di Dimasyq. Beliau meninggal dunia pada tahun 676 H.

[16] Beliau ialah ‘Abd al-Wahhab bin ‘Ali bin ‘Abd al-Kafi bin ‘Ali bin Tamam al-Subki. Digelar dengan Tajuddin al-Subki. Lahir pada tahun 727 H dan meninggal dunia pada tahun 771 H, iaitu pada usia 43 tahun.

[17] Beliau ialah Syihabuddin Ahmad bin Muhammad bin Muhammad bin Ali bin Hajar al-Haitami al-Syafi‘i, yang merupakan seorang Imam, faqih dan mujtahid. Beliau dilahirkan di Mahallah Abi al-Haitam, Mesir pada tahun 909 H dan meninggal dunia pada tahun 974 H.