Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah yang dimaksudkan dengan hari syak, dan bolehkah berpuasa pada hari tersebut?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Hari Syak bermaksud hari yang ke-30 pada bulan Sya’ban. Hal ini kerana apabila anak bulan tidak kelihatan, orang ramai meragui hari itu sama ada dalam bulan Sya’ban atau Ramadan. Imam Al-Nawawi berkata:
قَالَ أَصْحَابُنَا يَوْمُ الشَّكِّ هُوَ يَوْمُ الثَّلَاثِينَ مِنْ شَعْبَانَ
Maksudnya: “Para ashab kami berkata bahawa hari syak adalah hari ke- 30 dari bulan Sya’ban.” (Lihat al-Majmu’, 6/401)
Ini yang dinamakan hari yang diragukan (kerana ia hari yang diragukan adakah ia merupakan hari terakhir bulan Sya’ban atau hari pertama bulan Ramadan). Puasa pada hari syak diharamkan berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
صُومُوا لِرُؤْيَتِهِ وَأَفْطِرُوا لِرُؤْيَتِهِ، فَإِنْ غُبِّيَ عَلَيْكُمْ فَأَكْمِلُوا عِدَّةَ شَعْبَانَ ثَلاَثِينَ
Maksudnya: “Berpuasalah kamu apabila melihatnya (anak bulan Ramadhan) dan berbukalah (berhentilah puasa) juga apabila melihatnya (anak bulan Syawal). Sekiranya ia terlindung daripada (penglihatan) kamu, maka sempurnakan jumlah bilangan bulan Syaaban tiga puluh hari.”
Riwayat al-Bukhari (1909) dan Muslim (1081)
Al-Sona’ani menyatakan bahawa hari yang meragukan ialah hari ke-30 Sya’ban jika anak bulan tidak kelihatan kerana adanya mendung atau penghalang lainnya. (Lihat Subul al-Salam, 2/151)
Pada asasnya, terdapat larangan daripada berpuasa pada sehari atau dua hari sebelum Ramadhan. Antaranya, daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:
لَا تَقَدَّمُوا رَمَضَانَ بِصَوْمِ يَوْمٍ وَلاَ يَوْمَيْنِ إِلاَّ رَجُلٌ كَانَ يَصُومُ صَوْمًا فَلْيَصُمْهُ
Maksudnya: “Janganlah kalian mendahulukan Ramadhan dengan sehari berpuasa atau dua hari kecuali bagi sesiapa yang telah terbiasa berpuasa sebelumnya.”
Riwayat Muslim (1812)
Dalam lafaz yang lain di dalam Sahih al-Bukhari:
لَا يَتَقَدَّمَنَّ أَحَدُكُمْ رَمَضَانَ بِصَوْمِ يَوْمٍ أَوْ يَوْمَيْنِ ، إِلَّا أَنْ يَكُوْنَ رَجُلٌ كَانَ يَصُوْمُ صَوْمَهُ ، فَلْيَصُمْ ذَلِكَ الْيَوْمَ
Maksudnya: “Janganlah seorang daripada kalian mendahului bulan Ramadhan dengan berpuasa sehari atau dua hari kecuali apabila seseorang itu sudah biasa berpuasa maka berpuasalah pada hari itu.”
Riwayat al-Bukhari (1781)
Maksud hadith di atas adalah, tidak dibolehkan berpuasa awal sehari atau dua hari apabila tiba bulan Ramadhan melainkan jika seseorang itu sentiasa melakukan puasa dan secara kebetulan hari yang biasanya dia berpuasa itu bersamaan dengan hari akhir dalam bulan Sya’ban. Contohnya seperti berpuasa hari Isnin pada setiap minggu dan hari isnin jatuh pada hari terakhir dalam bulan Sya’ban. Maka dalam masalah ini, dibolehkan untuk berpuasa sama ada sehari atau dua hari sebelum Ramadhan berdasarkan kebiasaan yang dilakukan. (Lihat Syarah Bulugh al-Maram, 1/151)
Silah bin Zufar pernah meriwayatkan, katanya: Kami pernah berada bersama Ammar, kemudian didatangkan hidangan kambing yang sudah dipanggang. Ammar pun berkata: “Silakan makan”. Namun sebahagian daripada mereka menolak dan berkata: “Sesungguhnya aku berpuasa” . Ammar RA berkata:
مَنْ صَامَ الْيَوْمَ الَّذِي يُشَكُّ فِيهِ فَقَدْ عَصَى أَبَا الْقَاسِمِ صَلَّى الله عَلَيْه وَسَلَّمَ
Maksudnya: “Sesiapa yang berpuasa pada hari syak (yang meragukan), maka dia telah bermaksiat kepada Abu al-Qasim[1] SAW.“
Riwayat Abu Dawud (2334), Ibn Majah (1342). Syeikh Syuaib al-Arnout menyatakan di dalam Takhrij Sunan Abi Dawud (2334) bahawa sanad hadith ini kuat.
Ibn Hajar al-‘Asqalani mengatakan, “Hadith ini merupakan dalil akan keharaman puasa hari yang diragukan (hari syak). Hal ini kerana para sahabat tidak akan mengatakan hal itu berdasarkan pendapat mereka, tetapi mereka mengatakan berdasarkan apa yang mereka dengar daripada Rasulullah SAW sehingga hukum hadith ini menjadi marfu’ kepada baginda. (Lihat Fath al-Bari, 4/120)
Bahkan, fatwa daripada al-Lajnah al-Daimah berkenaan puasa hari syak, ”Berdasarkan hadith ini, ia menunjukkan pengharaman puasa pada hari syak.” (Lihat Fatawa Al-Lajnah, 10/117)
Antara hikmah larangan mendahulukan puasa satu atau dua hari sebelum Ramadhan adalah agar dapat dibezakan antara puasa wajib dan puasa sunat. Ini kerana, memisahkan antara amalan yang wajib dan sunat adalah sesuatu yang disyariatkan, berdasarkan arahan Nabi SAW melarang seseorang itu menyambung solat yang wajib dengan solat sunat tanpa diselangi dengan salam atau zikir terlebih dahulu. (Lihat Lataif al-Ma’arif, 258-259)
Ini juga merupakan antara perkara yang disukai oleh Ibn Abbas dan juga disukai oleh golongan salaf iaitu memisahkan antara Sya’ban dan Ramadhan dengan tidak berpuasa sehari atau dua hari. (Lihat al-Istizkar, 3/271)
Kesimpulan
Sebagai kesimpulan, kami menyatakan bahawa Hari Syak bermaksud hari yang ke-30 pada bulan Sya’ban. Hal ini kerana apabila anak bulan tidak kelihatan disebabkan oleh faktor mendung atau selainnya, orang ramai meragui hari itu sama ada masih dalam bulan Sya’ban ataupun sudah memasuki Ramadhan. Maka tidak harus untuk berpuasa pada hari tersebut.
Namun begitu, larangan berpuasa pada hari syak merupakan langkah berhati-hati. Adapun apabila hari itu bertepatan dengan puasa sunat yang biasa dilakukan ataupun sedang menggantikan puasa wajib yang pernah ditinggalkan, maka hal itu tidak mengapa. Berkenaan puasa qadha’ pada hari syak, kami telah menjawabnya dalam artikel bertajuk Qadha’ Puasa Pada Hari Syak.
Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.
Wallahu a’lam
Bertarikh: 29 Mac 2022 bersamaan 26 Syaaban 1443H
[1] Abu al-Qasim ialah kuniah Nabi Muhammad SAW. Abu al-Qasim bermaksud bapa kepada al-Qasim. Al-Qasim adalah anak lelaki pertama Nabi SAW. (Lihat Zad al-Ma’ad oleh Ibn al-Qayyim, 1/100).