#7662: Jenis-Jenis Mimpi dalam Islam

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah terdapat beberapa jenis mimpi dalam Islam?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, mimpi didefinisikan sebagai sesuatu yang terlihat atau dialami dalam tidur.[1] Dalam bahasa Arab, mimpi disebut sebagai al-Ru’a (الرُّؤَى). Perkataan al-Ru’a dari segi bahasa merupakan kata majmuk (plural) kepada ru’ya (رُؤْيَا) yang bermaksud apa yang dilihat oleh seseorang dalam mimpinya. Perkataan ini adalah mengikut wazan fu‘la (فُعْلى) yang sama dengan perkataan sukya (السُّقْيَا) dan busyra (الْبُشْرَى).

Menurut al-‘Allamah Ibn Manzur, perkataan al-Ru’ya (الرُّؤْيَا) bermaksud apa yang kamu lihat dalam mimpimu, dan ia adalah al-Ru’a (الرُّؤى) — yakni kata majmuknya. (Dikatakan) “وَرَأَيْتُ عَنْكَ رُؤَى حَسَنَة” (Aku melihat mimpi yang baik tentang kamu) yakni Aku telah bermimpi tentangnya. Seseorang yang banyak mimpinya disebut sebagai ar’a (أرْأى) dengan wazan ru‘ah (رُعَاه) iaitu sama seperti ahlamuhu (أحْلامه), kata majmuk kepada al-ru’ya (الرُّؤْيَا). (Lihat Lisan al-‘Arab, 14/297; Mukhtar al-Sihah, 6/2349; al-Qamus al-Muhit, hlm. 1658)

Selain itu juga, al-Raghib al-Asfahani dalam Mu‘jam Mufradat Alfaz al-Quran (hlm.188)menyebutkan:  Al-Ru’ya (الرُّؤْيَا) ialah apa yang dilihat dalam mimpi.

Dari sudut istilah pula ia membawa maksud: Apa yang dilihat oleh seseorang dalam mimpinya. Hakikatnya ialah gambaran atau seumpanya yang dilihat oleh orang yang bermimpi, yang menjadi petunjuk kepada perkara yang serupa dengannya. Maka, orang yang bermimpi mungkin melihat seseorang yang berbicara dengannya dan menyaksikannya, sedangkan orang yang dilihat itu sebenarnya berada di rumahnya atau telah meninggal dunia di dalam kuburnya. Dia tidak melihatnya secara nyata, tetapi hanya melihat seumpamanya. Allah SWT berfirman:

لَّقَدْ صَدَقَ اللَّهُ رَسُولَهُ الرُّؤْيَا بِالْحَقِّ

Maksudnya: “Demi sesungguhnya! Allah tetap menyatakan benar RasulNya dalam perkara mimpi itu dengan kenyataan yang sebenar.”

(Surah al-Fath: 27)

Mimpi yang baik itu datangnya daripada Allah, sementara mimpi buruk adalah daripada syaitan. Mimpi boleh menjadi berita gembira tentang sesuatu yang baik, atau amaran tentang sesuatu yang buruk. Salah satu contohnya adalah terbatalnya wuduk seseorang yang tertidur jika dia mengalami mimpi. (Lihat Minhaj al-Sunnah oleh Ibn Taimiyyah, 5/378)

Islam meletakkan mimpi sebagai fenomena yang tidak harus diabaikan sepenuhnya tetapi juga tidak perlu dibesar-besarkan. Mimpi yang baik (ru‘ya solehah) memberi motivasi kepada seseorang untuk menjadi lebih baik, sementara mimpi buruk mengingatkan kita untuk terus berdoa dan meminta perlindungan Allah SWT dari godaan syaitan. Mimpi yang berasal dari fikiran sendiri juga diakui sebagai sebahagian daripada keadaan mental manusia, mencerminkan tekanan atau kecemasan yang mungkin dialami dalam kehidupan harian.

Berkenaan persoalan di atas, menurut perspektif islam, terdapat beberapa jenis mimpi yang dialami oleh seorang muslim. Yang demikian sebagaimana yang dijelaskan dalam sebuah hadith daripada ‘Auf bin Malik R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

إِنَّ الرُّؤْيَا ثَلاَثٌ: مِنْهَا أَهَاوِيلُ مِنَ الشَّيْطَانِ لِيَحْزُنَ بِهَا ابْنَ آدَمَ، وَمِنْهَا مَا يَهُمُّ بِهِ الرَّجُلُ فِي يَقَظَتِهِ، فَيَرَاهُ فِي مَنَامِهِ، وَمِنْهَا جُزْءٌ مِنْ سِتَّةٍ وَأَرْبَعِينَ جُزْءًا مِنَ النُّبُوَّةِ

Maksudnya: “Mimpi itu ada tiga jenis: Mimpi yang merupakan gangguan syaitan untuk meresahkan anak Adam; Mimpi yang pada asalnya perkara yang difikirkan manusia ketika jaga lalu terbawa hingga ke dalam tidur dan mimpi yang merupakan satu bahagian daripada 46 bahagian kenabian.”

Riwayat Ibn Majah (3907)

Guru kami, Syeikh ‘Atiyyah Salim, pernah berkata: ‘46 juzuk kenabian’ merujuk kepada tempoh risalah Nabi Muhammad SAW yang berlangsung selama 23 tahun. Wahyu pertama diterima dalam bentuk mimpi selama 6 bulan, iaitu ketika berada di Gua Hira’. Oleh itu, 6 bulan tersebut mewakili setengah tahun. Justeru, mimpi tersebut dianggap sebagai 1/46 daripada juzuk kenabian. (Lihat Mengungkap Rahsia Mimpi, hlm. 12)

Begitu juga disebutkan dalam hadith yang lain sebagaimana hadith  yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:

الرُؤْيَا ثَلَاثَةٌ، فَرُؤْيَا صَالِحَة بُشْرَى مِنَ اللهِ، وَرُؤْيَا تَحْزِين مِنَ الشَّيْطَانِ، وَرُؤْيَا مِمَّا يَحْدُثُ المَرْءُ نَفْسَهُ، فَإِنْ رَأَى أَحَدُكُمْ مَا يُكْرِهُ فَلْيَقُمْ فَلْيُصَلِّ وَلَا يُحَدِّثْ بِهَا النَّاسَ

Maksudnya: “Sesungguhnya mimpi itu mempunyai tiga jenis. Mimpi yang baik itu merupakan berita gembira itu yang datang daripada Allah SWT. Mimpi yang buruk dan membawa kesedihan itu adalah daripada syaitan. Dan mimpi yang disebabkan oleh apa yang berlaku ke atas seseorang itu. Jika sekiranya sesiapa dalam kalangan kamu bermimpi sesuatu yang buruk, hendaklah dia berdiri dan mendirikan solat sunat, serta janganlah dia memberitahu mimpinya itu kepada orang lain.”

Riwayat Muslim (2263)

Daripada hadith di atas dapat difahami bahawa mimpi yang datang kepada seseorang itu terbahagi kepada tiga jenis iaitu:

  • Al-Ru’ya al-Hasanah (mimpi yang baik dan benar): Mimpi yang merupakan satu bahagian daripada 46 bahagian kenabian. Atau mimpi ketuhanan iaitu yang datang dan ilham daripada Tuhan.
  • Al-Ru’ya al-Sayyi’ah (mimpi yang buruk dan dusta): Mimpi yang merupakan gangguan syaitan untuk menimbulkan keresahan kepada seseorang.

Firman Allah SWT di dalam al-Quran:

إِنَّمَا النَّجْوَىٰ مِنَ الشَّيْطَانِ لِيَحْزُنَ الَّذِينَ آمَنُوا وَلَيْسَ بِضَارِّهِمْ شَيْئًا إِلَّا بِإِذْنِ اللَّـهِ ۚ وَعَلَى اللَّـهِ فَلْيَتَوَكَّلِ الْمُؤْمِنُونَ

Maksudnya: “Sesungguhnya perbuatan berbisik (dengan kejahatan) itu adalah dari (hasutan) Syaitan, untuk menjadikan orang-orang yang beriman berdukacita; sedang bisikan itu tidak akan dapat membahayakan mereka sedikitpun melainkan dengan izin Allah; dan kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman berserah diri.”

(Surah al-Mujadalah: 10)

Mereka yang mengalami mimpi buruk ini, Nabi SAW telah ajarkan untuk mendirikan solat dan tidak menceritakan mimpi buruk tersebut kepada orang lain.

  • Mimpi berdasarkan adat kelakuan seseorang: Mimpi yang pada asalnya perkara yang difikirkan oleh seseorang ketika jaga. Apabila tidur lalu terbawa-bawa perkara tersebut dalam mimpinya. (Lihat Tafsir al-Ahlam, 3-4)

Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani pula menukilkan daripada Ibn Battal, katanya bahawa mimpi terbahagi  kepada dua jenis:

  • Pertama, mimpi yang jelas-jelas menjadi nyata, seperti seseorang yang bermimpi memberi seseorang kurma, dan pada siang harinya ia memberi seseorang kurma. Mimpi seperti ini tidak memerlukan takwil.
  • Kedua, mimpi yang hadir dengan beberapa petanda. Untuk memahami mimpi seperti ini harus ada seseorang yang memiliki ilmu dan pengalaman mentakwil mimpi untuk memahaminya kerana kadang-kadang petanda tersebut sangat halus dan rumit. (Lihat Fath al-Bari, 19/451)

Kami akhiri dengan doa:

يَا حَيُّ يَا قَيُّومُ بِرَحْمَتِكَ نَسْتَغِيثُ، أَصْلِحْ لَنَا شَأْنَنَا كُلَّهُ، وَلاَ تَكِلْنَا إِلَى أَنْفُسِنَا طَرْفَةَ عَيْنٍ

Maksudnya: “Wahai Tuhan Yang Maha Hidup, wahai Tuhan Yang Maha Berdiri Sendiri (tidak perlu segala sesuatu), dengan rahmat-Mu kami memohon pertolongan, perbaikilah urusan kami semuanya dan janganlah Engkau serahkan kami kepada diri kami walau sekelip mata.”

Nota hujung:

[1] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=mimpi. Diakses pada 4 November 2024.