#7663: Penggunaan Terawal Istilah Ahli Sunnah wal Jama’ah

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bilakah istilah Ahli Sunnah wal Jama’ah awal-awal sekali mula digunakan?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَأَنَّ هَـٰذَا صِرَاطِي مُسْتَقِيمًا فَاتَّبِعُوهُ ۖ وَلَا تَتَّبِعُوا السُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمْ عَن سَبِيلِهِ ۚذَٰلِكُمْ وَصَّاكُم بِهِ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Maksudnya: “Dan bahawa sesungguhnya inilah jalanKu (agama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah, Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertaqwa.”

(Surah al-An‘am: 153)

Menurut Ibn ‘Abbas R.Anhuma, ayat di atas dan yang seumpama dengannya di dalam al-Qur’an adalah merujuk kepada perintah Allah SWT terhadap golongan Mukmin agar sentiasa berada dalam jamaah dan menegah mereka daripada perselisihan dan perpecahan yang menyesatkan. (Lihat Tafsir Ibn Kathir, 3/365)

Diriwayatkan oleh Imam Ahmad daripada ‘Abdullah bin Mas‘ud R.A berkata:

خَطَّ لَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَطًّا ثُمَّ قَالَ: هَذَا سَبِيلُ اللَّهِ ثُمَّ خَطَّ خُطُوطًا عَنْ يَمِينِهِ وَعَنْ شِمَالِهِ وَقَالَ هَذِهِ سُبُلٌ عَلَى كُلِّ سَبِيلٍ مِنْهَا شَيْطَانٌ يَدْعُو إِلَيْهِ، ثمَّ قَرَأَ {إِنَّ هَذَا صِرَاطِي مُسْتَقِيمًا فَاتَّبعُوهُ}

Maksudnya: “Rasulullah SAW membuat satu garis untuk kami, kemudian berkata: ‘Ini adalah jalan Allah.’ Kemudian baginda membuat garis-garis di sebelah kanan dan kiri dan berkata: ‘Ini adalah jalan-jalan, pada setiap jalan tersebut ada syaitan yang menyeru kepadanya.’ Kemudian baginda membaca: ‘Dan bahawa inilah jalan-Ku yang lurus, maka ikutilah ia’.”

Riwayat Ahmad (4437), al-Nasa’i dalam al-Sunan al-Kubra(11174). Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut dalam Takhrij Syarh al-Sunnah (97) menyatakan bahawa sanad hadith ini hasan

Diriwayatkan oleh Ibnu Majah daripada Al-‘Irbadh bin Sariyah R.A, berkata:

وَعَظَنَا رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَوْعِظَةً ذَرَفَتْ مِنْهَا الْعُيُونُ، وَوَجِلَتْ مِنْهَا الْقُلُوبُ، قُلْنَا: يَا رَسُولَ اللهِ، إِنَّ هَذِهِ لَمَوْعِظَةُ مُوَدِّعٍ، فَمَاذَا تَعْهَدُ إِلَيْنَا؟ قَالَ: ” قَدْ تَرَكْتُكُمْ عَلَى الْبَيْضَاءِ لَيْلُهَا كَنَهَارِهَا لَا يَزِيغُ عَنْهَا بَعْدِي إِلَّا هَالِكٌ، وَمَنْ يَعِشْ مِنْكُمْ، فَسَيَرَى اخْتِلَافًا كَثِيرًا، فَعَلَيْكُمْ بِمَا عَرَفْتُمْ مِنْ سُنَّتِي وَسُنَّةِ الْخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ الْمَهْدِيِّينَ، وَعَلَيْكُمْ بِالطَّاعَةِ، وَإِنْ عَبْدًا حَبَشِيًّا عَضُّوا عَلَيْهَا بِالنَّوَاجِذِ، فَإِنَّمَا الْمُؤْمِنُ كَالْجَمَلِ الْأَنِفِ حَيْثُمَا انْقِيدَ انْقَادَ

Maksudnya:Rasulullah SAW memberikan nasihat kepada kami dengan nasihat yang membuatkan mata menangis dan hati bergetar, maka kami berkata, ‘Wahai Rasulullah, ini seakan-akan nasihat perpisahan, maka apa yang engkau wasiatkan kepada kami?’ Baginda bersabda, ‘Aku tinggalkan kamu di atas jalan yang terang, malamnya seperti siangnya, tidak ada yang akan tersesat daripadanya selepas aku kecuali orang yang binasa. Sesiapa yang hidup di antara kamu akan melihat perselisihan yang banyak, maka wajib ke atas kamu berpegang dengan sunnahku dan sunnah para khalifah yang mendapat petunjuk. Gigitlah ia dengan gigi geraham. Dan wajib ke atas kamu taat, walaupun seorang hamba Habsyi, sesungguhnya orang mukmin itu seperti unta yang jinak, di mana sahaja ia diikat, di situlah ia tunduk.’

Riwayat Abu Dawud (4607), al-Tirmizi (2676), Ibn Majah (42) dan Ahmad (17144). Hadith ini dinilai sahih berdasarkan pengarang kitab Takhrij Kitab al-Sunnah (1037)

Oleh sebab itu, para salaf kita sering mengatakan: “Berpegang teguh dengan sunnah adalah keselamatan.” Imam Malik berkata: “Sunnah adalah seperti kapal Nabi Nuh; sesiapa yang menaikinya akan selamat, dan sesiapa yang tertinggal daripadanya akan tenggelam.” Segala puji bagi Allah, para sahabat telah menaiki kapal ini dan memerintahkan seluruh umat untuk menaikinya. Mereka telah menyampaikan sunnah kepada kita dan menyebarkannya kepada kita, sehingga tidak ada lagi alasan bagi sesiapa untuk menyimpang dari jalan mereka.

Nabi SAW telah memberitahu bahawa beberapa golongan daripada umatnya akan menyimpang dari jalan yang lurus ini. Diriwayatkan daripada ‘Auf bin Malik al-Asyja‘i R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

افْتَرَقَتِ الْيَهُودُ عَلَى إِحْدَى وَسَبْعِينَ فِرْقَةً، فَوَاحِدَةٌ فِي الْجَنَّةِ، وَسَبْعُونَ فِي النَّارِ، وَافْتَرَقَتِ النَّصَارَى عَلَى ثِنْتَيْنِ وَسَبْعِينَ فِرْقَةً، فَإِحْدَى وَسَبْعُونَ فِي النَّارِ، وَوَاحِدَةٌ فِي الْجَنَّةِ، وَالَّذِي نَفْسُ مُحَمَّدٍ بِيَدِهِ لَتَفْتَرِقَنَّ أُمَّتِي عَلَى ثَلَاثٍ وَسَبْعِينَ فِرْقَةً، وَاحِدَةٌ فِي الْجَنَّةِ، وَثِنْتَانِ وَسَبْعُونَ فِي النَّارِ» قِيلَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ مَنْ هُمْ؟ قَالَ: «الْجَمَاعَةُ»

Maksudnya: Yahudi berpecah kepada 71 golongan, di mana satu di dalam syurga dan 70 di dalam neraka, sementara Nasrani berpecah kepada 72 golongan, di mana 71 di dalam neraka dan satu di dalam syurga. Demi Zat yang jiwa Muhammad berada di tangan-Nya, sesungguhnya umatku akan berpecah kepada 73 golongan, di mana satu di dalam syurga dan 72 di dalam neraka. Ketika ditanya, Lalu baginda ditanya, ‘Wahai Rasulullah, siapakah mereka?’ Baginda menjawab, ‘al-Jama‘ah.’

Riwayat Ibn Majah (3241). Hadith ini dinilai sahih oleh al-Albani dalam Sahih Ibn Majah (3241)

Disebutkan juga bahawa baginda SAW menyatakan bahawa mereka ini ialah “مَنْ كَانَ عَلَى مِثْلِ مَا أَنَا عَلَيْهِ وَأَصْحَابِي, iaitu golongan yang berada di atas jalanku dan jalan sahabatku. Ini menunjukkan bahawa jalan yang lurus yang akan menyelamatkan sesiapa yang mengikutinya adalah jalan Nabi SAW dan para sahabatnya. Inilah jalan Ahli al-Sunnah wa al-Jama‘ah. Adapun sesiapa yang keluar daripada jalan ini, dia adalah daripada golongan-golongan yang diberitahu oleh Nabi SAW akan berada di dalam neraka.

Maka, disimpulkan di sini bahawa mazhab Ahli al-Sunnah wa al-Jama‘ah adalah mazhab yang selamat, dan menepati ciri-ciri yang dikemukakan dalam al-Qur’an dan hadith.

Berkenaan persoalan di atas, mengenai penggunaan terawal istilah Ahli al-Sunnah wa al-Jama‘ah, ia didapati telah wujud sejak zaman para sahabat. Ini terbukti menerusi tafsiran Ibn ‘Abbаs terhadap surah Аli ‘Imrаn ayat 106:

يَوْمَ تَبْيَضُّ وُجُوهٌ وَتَسْوَدُّ وُجُوهٌ

Maksudnya: “(Ingatlah akan) hari (kiamat yang padanya) ada muka (orang-orang) menjadi putih berseri”.

Al-Jurjаnі, al-Аjurі dan al-Lаlakа’і menukilkan sanad daripada Ibn ‘Abbаs bahawa maksud, “muka (orang-orang) menjadi putih berseri”, adalah penganut Ahli al-Sunnah wa al-Jamа‘ah.

Penggunaannya juga semakin meluas pada zaman salafussoleh sebelum kemunculan Imam Ahmad bin Hanbal (w .241H) dan Imam Abu al-Hasan al-Asy‘arі (w. 324H). Antara para ulama salaf yang didapati telah pun menggunakan istilah Ahli al-Sunnah wa al-Jamа‘ah sebelum kemunculan Abu al-Hasan al-Ash‘arі adalah Ayyub al-Sakhtiyаnі (w. 131H). Beliau pernah berkata, “Aku diberitahu mengenai kematian seorang lelaki dalam kalangan Ahli al-Sunnah, (saat itu) aku merasa seakan-akan kehilangan sebahagian anggota tubuhku.” (Lihat Syarh Usul I’tiqad Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah, 1/59-60; Tarikh Jurjan, hlm. 132; al-Syari‘ah, 5/2562)

Seorang lagi ulama salaf iaitu Sufyаn al-Thaurі (w. 161H) yang pernah dinukilkan perkataannya mengenai Ahli al-Sunnah wa al-Jamа‘ah. Beliau berkata, “Berpesan-pesanlah dengan Ahli al-Sunnah dengan kebaikan, sesungguhnya mereka itu asing.” Di tempat lain beliau berkata, “Betapa sedikitnya Ahli al-Sunnah wa al-Jamа‘ah.” (Lihat Siyar A‘lam al-Nubala’, 7/273)

Al-Fudhail bin ‘Iyаdh (w. 187H) turut menyebut mengenai golongan Ahli al-Sunnah wa al-Jamа‘ah ketika membuat perbandingan dengan golongan Murji’ah dan Jahmiyyah. Beliau mengatakan, “Golongan Murji’ah berpendapat iman itu ialah perakuan dengan kata-kata tanpa amalan; Jahmiyyah pula berpendapat iman itu ialah makrifah tanpa perakuan dengan kata-kata dan amalan; manakala Ahli al-Sunnah pula mengatakan iman itu ialah makrifah, perakuan dengan kata-kata dan amalan.” (Lihat al-Sunnah, 1/306)

Manakala Ahmad bin Hanbal (w. 241h) pula diriwayatkan pernah menegaskan bahawa, “Ini adalah mazhab ahli ilmu, aѕhаb al-аthаr dan Ahli al-Sunnah yang berpegang teguh kepada al-Sunnah yang dikenali jejak langkahnya dan menjadi ikutan umat bermula daripada para al-sahаbah Nabi SAW hingga ke hari ini.” (Lihat Tabaqat al-Hanabilah, 1/204)

Berdasarkan beberapa ungkapan golongan salaf berkenaan, dapat difahami bahawa istilah Ahli al-Sunnah wa al-Jamа‘ah telah sedia digunakan oleh para sahabat dan salafussoleh. Ini menunjukkan kewujudannya bukan disebabkan oleh perpecahan politik ataupun digagaskan oleh para ulama terkemudian, namun ia pada hakikatnya merupakan suatu manhaj yang bersusur-galurkan daripada Rasulullah SAW sendiri.

Inilah juga sepertimana yang kami jelaskan dalam buku kami,  Ahli Sunnah wa al-Jama’ah: Siapakah Mereka  (hlm. 53).

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ زِدْنَا وَلَا تَنْقُصْنَا، وَأَكْرِمْنَا وَلَا تُهِنَّا، وَأَعْطِنَا وَلَا تَحْرِمْنَا، وَآثِرْنَا وَلَا تُؤْثِرْ عَلَيْنَا، وَارْضِنَا وَارْضَ عَنَّا

Maksudnya: “Wahai Allah! Tambahkanlah buat kami dan jangan Engkau kurangkan. Muliakanlah kami, jangan hinakan kami. Berilah buat kami, jangan dicegahnya. Pilihlah kami, jangan Engkau biarkan dan redhailah kami dan redhailah pula semua usaha kami.”