#7666: Pandangan Ulama’ Muta’akhirin Berkenaan Istilah Ahli Sunnah wal Jama’ah

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh jelaskan pandangan ulama’ mutaakhirin berkenaan istilah Ahli Sunnah wal Jama’ah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَأَنَّ هَـٰذَا صِرَاطِي مُسْتَقِيمًا فَاتَّبِعُوهُ ۖ وَلَا تَتَّبِعُوا السُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمْ عَن سَبِيلِهِ ۚذَٰلِكُمْ وَصَّاكُم بِهِ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Maksudnya: “Dan bahawa sesungguhnya inilah jalanKu (agama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah, Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertaqwa.”

(Surah al-An‘am: 153)

Menurut Ibn ‘Abbas R.Anhuma, ayat di atas dan yang seumpama dengannya di dalam al-Qur’an adalah merujuk kepada perintah Allah SWT terhadap golongan Mukmin agar sentiasa berada dalam jamaah dan menegah mereka daripada perselisihan dan perpecahan yang menyesatkan. (Lihat Tafsir Ibn Kathir, 3/365)

Diriwayatkan oleh Imam Ahmad daripada ‘Abdullah bin Mas‘ud R.A berkata:

خَطَّ لَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَطًّا ثُمَّ قَالَ: هَذَا سَبِيلُ اللَّهِ ثُمَّ خَطَّ خُطُوطًا عَنْ يَمِينِهِ وَعَنْ شِمَالِهِ وَقَالَ هَذِهِ سُبُلٌ عَلَى كُلِّ سَبِيلٍ مِنْهَا شَيْطَانٌ يَدْعُو إِلَيْهِ، ثمَّ قَرَأَ {إِنَّ هَذَا صِرَاطِي مُسْتَقِيمًا فَاتَّبعُوهُ}

Maksudnya: “Rasulullah SAW membuat satu garis untuk kami, kemudian berkata: ‘Ini adalah jalan Allah.’ Kemudian baginda membuat garis-garis di sebelah kanan dan kiri dan berkata: ‘Ini adalah jalan-jalan, pada setiap jalan tersebut ada syaitan yang menyeru kepadanya.’ Kemudian baginda membaca: ‘Dan bahawa inilah jalan-Ku yang lurus, maka ikutilah ia’.”

Riwayat Ahmad (4437), al-Nasa’i dalam al-Sunan al-Kubra(11174). Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut dalam Takhrij Syarh al-Sunnah (97) menyatakan bahawa sanad hadith ini hasan

Diriwayatkan oleh Ibnu Majah daripada Al-‘Irbadh bin Sariyah R.A, berkata:

وَعَظَنَا رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَوْعِظَةً ذَرَفَتْ مِنْهَا الْعُيُونُ، وَوَجِلَتْ مِنْهَا الْقُلُوبُ، قُلْنَا: يَا رَسُولَ اللهِ، إِنَّ هَذِهِ لَمَوْعِظَةُ مُوَدِّعٍ، فَمَاذَا تَعْهَدُ إِلَيْنَا؟ قَالَ: ” قَدْ تَرَكْتُكُمْ عَلَى الْبَيْضَاءِ لَيْلُهَا كَنَهَارِهَا لَا يَزِيغُ عَنْهَا بَعْدِي إِلَّا هَالِكٌ، وَمَنْ يَعِشْ مِنْكُمْ، فَسَيَرَى اخْتِلَافًا كَثِيرًا، فَعَلَيْكُمْ بِمَا عَرَفْتُمْ مِنْ سُنَّتِي وَسُنَّةِ الْخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ الْمَهْدِيِّينَ، وَعَلَيْكُمْ بِالطَّاعَةِ، وَإِنْ عَبْدًا حَبَشِيًّا عَضُّوا عَلَيْهَا بِالنَّوَاجِذِ، فَإِنَّمَا الْمُؤْمِنُ كَالْجَمَلِ الْأَنِفِ حَيْثُمَا انْقِيدَ انْقَادَ

Maksudnya:Rasulullah SAW memberikan nasihat kepada kami dengan nasihat yang membuatkan mata menangis dan hati bergetar, maka kami berkata, ‘Wahai Rasulullah, ini seakan-akan nasihat perpisahan, maka apa yang engkau wasiatkan kepada kami?’ Baginda bersabda, ‘Aku tinggalkan kamu di atas jalan yang terang, malamnya seperti siangnya, tidak ada yang akan tersesat daripadanya selepas aku kecuali orang yang binasa. Sesiapa yang hidup di antara kamu akan melihat perselisihan yang banyak, maka wajib ke atas kamu berpegang dengan sunnahku dan sunnah para khalifah yang mendapat petunjuk. Gigitlah ia dengan gigi geraham. Dan wajib ke atas kamu taat, walaupun seorang hamba Habsyi, sesungguhnya orang mukmin itu seperti unta yang jinak, di mana sahaja ia diikat, di situlah ia tunduk.’

Riwayat Abu Dawud (4607), al-Tirmizi (2676), Ibn Majah (42) dan Ahmad (17144). Hadith ini dinilai sahih berdasarkan pengarang kitab Takhrij Kitab al-Sunnah (1037)

Oleh sebab itu, para salaf kita sering mengatakan: “Berpegang teguh dengan sunnah adalah keselamatan.” Imam Malik berkata: “Sunnah adalah seperti kapal Nabi Nuh; sesiapa yang menaikinya akan selamat, dan sesiapa yang tertinggal daripadanya akan tenggelam.” Segala puji bagi Allah, para sahabat telah menaiki kapal ini dan memerintahkan seluruh umat untuk menaikinya. Mereka telah menyampaikan sunnah kepada kita dan menyebarkannya kepada kita, sehingga tidak ada lagi alasan bagi sesiapa untuk menyimpang dari jalan mereka.

Nabi SAW telah memberitahu bahawa beberapa golongan daripada umatnya akan menyimpang dari jalan yang lurus ini. Diriwayatkan daripada ‘Auf bin Malik al-Asyja‘i R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

افْتَرَقَتِ الْيَهُودُ عَلَى إِحْدَى وَسَبْعِينَ فِرْقَةً، فَوَاحِدَةٌ فِي الْجَنَّةِ، وَسَبْعُونَ فِي النَّارِ، وَافْتَرَقَتِ النَّصَارَى عَلَى ثِنْتَيْنِ وَسَبْعِينَ فِرْقَةً، فَإِحْدَى وَسَبْعُونَ فِي النَّارِ، وَوَاحِدَةٌ فِي الْجَنَّةِ، وَالَّذِي نَفْسُ مُحَمَّدٍ بِيَدِهِ لَتَفْتَرِقَنَّ أُمَّتِي عَلَى ثَلَاثٍ وَسَبْعِينَ فِرْقَةً، وَاحِدَةٌ فِي الْجَنَّةِ، وَثِنْتَانِ وَسَبْعُونَ فِي النَّارِ» قِيلَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ مَنْ هُمْ؟ قَالَ: «الْجَمَاعَةُ»

Maksudnya: Yahudi berpecah kepada 71 golongan, di mana satu di dalam syurga dan 70 di dalam neraka, sementara Nasrani berpecah kepada 72 golongan, di mana 71 di dalam neraka dan satu di dalam syurga. Demi Zat yang jiwa Muhammad berada di tangan-Nya, sesungguhnya umatku akan berpecah kepada 73 golongan, di mana satu di dalam syurga dan 72 di dalam neraka. Ketika ditanya, Lalu baginda ditanya, ‘Wahai Rasulullah, siapakah mereka?’ Baginda menjawab, ‘al-Jama‘ah.’

Riwayat Ibn Majah (3241). Hadith ini dinilai sahih oleh al-Albani dalam Sahih Ibn Majah (3241)

Disebutkan juga bahawa baginda SAW menyatakan bahawa mereka ini ialah “مَنْ كَانَ عَلَى مِثْلِ مَا أَنَا عَلَيْهِ وَأَصْحَابِي, iaitu golongan yang berada di atas jalanku dan jalan sahabatku. Ini menunjukkan bahawa jalan yang lurus yang akan menyelamatkan sesiapa yang mengikutinya adalah jalan Nabi SAW dan para sahabatnya. Inilah jalan Ahli al-Sunnah wa al-Jama‘ah. Adapun sesiapa yang keluar daripada jalan ini, dia adalah daripada golongan-golongan yang diberitahu oleh Nabi SAW akan berada di dalam neraka.

Maka, disimpulkan di sini bahawa mazhab Ahli al-Sunnah wa al-Jama‘ah adalah mazhab yang selamat, dan menepati ciri-ciri yang dikemukakan dalam al-Qur’an dan hadith.

Pandangan Ulama Muta’akkhirin Berkenaan Istilah Ahli Sunnah wa al-Jama’ah

Pembahagian ini sekadar menentukan apabila melebihi 1000 tahun hijrah sebagai golongan muta’akkhirin, tetapi sebenarnya perkara ini merupakan perkara yang khilaf kerana ada yang menyatakan ulama’ muta’akkhirin dikira selepas 300 hijrah dan ada yang menyatakan bahawa ulama muta’akkhirin dikira setelah 500 hijrah.

Justeru, ulama muta’akkhirin ini merujuk kepada ulama-ulama terkemudian dan kontemporari, dan antara yang dapat kami bawakan adalah:

  • Syeikh ‘Abd al-Baqi al-Ba‘li al-Hanbali[1] (m. 1071H)

Beliau berkata: “Ahli al-Sunnah terbahagi kepada tiga kelompok iaitu al-Asya‘irah, al-Hanabilah (Athariyyah) dan al-Maturidiyyah.” (Lihat al-‘Ain wa al-Athar, hlm. 59)

  • Syeikh ‘Abd al-Qadir al-Basri al-Hanbali (m. 1095)

Beliau berkata: “Ahli al-Sunnah wa al-Jama‘ah adalah para pengikut mazhab imam yang empat begitu juga pengikut Athariyyah iaitu majoriti al-Hanbaliyyah, kemudian Asya‘irah dan Maturidiyyah.” (Lihat al-Tariqah al-Athariyyah wa al-‘Aqidah al-Sunniyyah, hlm. 32)

  • Syeikh Syamsuddin Muhammad al-Safarini al-Hanbali[2] (m. 1188H)

Beliau menyatakan dalam kitabnya Lawami‘ al-Anwar al-Bahiyyah wa Sawati‘ al-Asrar al-Athariyyah (1/73): “Ahli al-Sunnah wa al-Jama‘ah itu tiga kumpulan, al-Athariyyah, imam mereka ialah Ahmad bin Hanbal, al-Asy‘ariyah, imam mereka Abu al-Hasan al-Asy‘ari dan al-Maturidiyyah, imam mereka Abu Mansur al-Maturidi.”

  • Syeikh Muhammad Ibn Mani‘ al-Hanbali[3] (m. 1275H)

Beliau berkata sepertimana yang dinukilkan di dalam Tabsir al-Qani‘ fi al-Jam‘ baina Syarhai Ibn Syati wa Ibn Mani‘ (hlm. 75): “Ahli al-Sunnah wa al-Jama‘ah itu terbahagi tiga kelompok seperti berikut:

  • Al-Athariyyah, imam mereka adalah Ahmad ibn Hanbal
  • Al-Asy‘ariyyah, imam mereka adalah Abu al-Hasan al-Asy‘ari
  • Al-Maturidiyyah, imam mereka adalah Abu Mansur al-Maturidi.”

  • Syeikh ‘Abdullah bin ‘Audah al-Qadumi al-Hanbali[4] (m. 1331H)

Beliau berkata: “Kelompok yang selamat iaitu Ahli al-Sunnah adalah Ahli Hadith yang digelar ahli Athar dan imam mereka ialah Imam Ahmad bin Hanbal, begitu juga dengan al-Asya‘irah dan al-Maturidiyyah.” (Lihat al-Manhaj al-Ahmad, hlm. 42)

  • Syeikh Dr Yusuf al-Qaradhawi (m. 2022)

Dalam sebuah artikel rasmi beliau yang bertajuk: “Perselisihan di Antara Ahli al-Sunnah Tidak Mengeluarkannya dari Kategori Ijtihad yang Diterima, Tidak Juga Membawa Kepada Kekufuran dan Kefasikan,”[5] beliau menyebut:

“Ahli al-Sunnah wa al-Jama‘ah itu adalah satu kata nama khas bagi umat Islam; yang mana dituntut agar disatukan, dihimpunkan, dan dieratkan hubungan atas dasar Islam yang agung, berpaksikan kepada Kitabullah, sunnah Rasulullah SAW, persepakatan para sahabat dan juga tabi‘in pada perkara-perkara kebaikan.

Boleh juga kita katakan, Ahli al-Sunnah ini merupakan lanjutan dari para sahabat, tabi‘in dan tabi‘ tabi‘in pada tiga kurun pertama. Mereka ini adalah asal yang terpecah darinya semua kumpulan-kumpulan lain.”

Kemudian, Dr. Yusuf al-Qaradhawi menyebutkan pula tiga kumpulan utama yang turut terangkum di bawah lembayung Ahli al-Sunnah wa al-Jama‘ah. Beliau berkata: “Sebagaimana Ahli al-Sunnah dalam fiqh itu boleh terpecah kepada beberapa aliran – dan yang paling masyhur adalah empat mazhab fiqh –, dalam aqidah boleh terpecah kepada tiga:

  • Aliran Ahli Hadith, dan hampir majoriti al-Hanabilah bersama aliran ini.
  • Aliran al-Mutakallimin dari kalangan al-Asy‘ariyyah dan al-Maturidiyyah.
  • Termasuk juga dalam Ahli al-Sunnah ini kesemua fuqaha’ al-Hanafiyyah, al-Syafi‘iyyah dan al-Malikiyyah.

Perkara ini kekal harmoni dalam kalangan ulama dari semua mazhab Ahli al-Sunnah tanpa ada perselisihan antara satu sama lain dari kalangan Ahli al-Sunnah yang luas. Tidak ada satu pun dari tiga aliran ini yang terhindar dari kesalahan, kerana tiada yang maksum dalam umat ini kecuali Nabi Muhammad SAW. Kesemua mereka ini telah berijtihad, dan mereka telah mencapai tahap ijtihad, serta mencapai kedudukan dalam memahami agama, ketakwaan, warak, dan ibadah yang melayakkan mereka untuk berijtihad. Sesiapa yang betul, maka dia mendapat dua pahala, dan sesiapa yang salah, maka dia mendapat satu pahala, dan semuanya diharapkan mendapat kebaikan.”

  • Fadhilatul Imam al-Akbar Prof. Dr. Ahmad al-Tayyib

Beliau menyebutkan dengan jelas dalam satu cuplikan video yang dimuat naik sendiri oleh laman rasmi al-Azhar al-Syarif berkenaan hakikat Ahli al-Sunnah wa al-Jama‘ah, katanya: “Kami telah mempelajari semasa berada di peringkat Pengajian Tinggi, bahawa Ahli al-Sunnah wa al-Jama‘ah itu adalah al-Asya‘irah, al-Maturidiyyah, Ahli Hadith, fuqaha’ al-Hanafiyyah, al-Malikiyyah, al-Syafi‘iyyah, dan mereka yang mu‘tadil dari kalangan fuqaha’ al-Hanabilah. Kesemua mereka ini tidak terkeluar dari ruang lingkup mazhab ini (Ahl    al-Sunnah), sepertimana yang disebutkan oleh Sultan al-‘Ulama’ ‘Izzuddin bin ‘Abd al-Salam.

Kefahaman bersifat umum ini yang mencakupi sekalian ulama muslimin dan para imam mereka dari kalangan ulama al-mutaqaddimin, fuqaha’, ahli hadith, ahli tasawwuf, mereka yang pakar dalam memberikan petunjuk serta memahiri soal hati, ulama nahu dan ahli bahasa; mereka inilah yang dikuatkan oleh ulama mutaqaddimin dari kalangan al-Asya‘irah sendiri semenjak dari zaman-zaman awal apabila muncul istilah ini setelah kewafatan Imam al-Asy‘ari, terutamanya sebagaimana yang dinyatakan oleh al-Imam al-Kabir Abu Mansur ‘Abd al-Qahir al-Baghdadi dalam dua karyanya [al-Farq baina al-Firaq] dan [Usuluddin]. Ini juga dinyatakan oleh Abu al-Muzaffar al-Isfirayini dalam kitabnya [al-Tabsir fi al-Din].

Ini jugalah yang telah diputuskan oleh jumhur ulama ummah sejak zaman-berzaman, bermula dengan Imam Abu al-Walid bin Rusyd al-Maliki al-Jadd, sehinggalah ke zaman ‘Allamah al-Safarini al-Hanbali yang mengatakan: ‘Ahli al-Sunnah itu ada tiga kumpulan; al-Athariyyah, dan imam mereka adalah Ahmad bin Hanbal, al-Asy‘ariyyah, dan imam mereka adalah Abu al-Hasan al-Asy‘ari, serta al-Maturidiyyah, dan imam mereka adalah Abu Mansur al-Maturidi.’”[6]

Kemudian, dalam potongan seterusnya, al-Imam al-Akbar menegaskan seraya berkata: “Seruan kepada kamu semua untuk berpegang teguh dengan mazhab Ahli al-Sunnah wa al-Jama‘ah, iaitu mazhab al-Asya‘irah, al-Maturidiyyah, Ahli Hadith, Ahli Tasawwuf dan ilmu Suluk. Satu mazhab ukhuwwah, mazhab yang damai sejahtera, saling mengenali, dan saling membantu sesama manusia. Gigitlah mazhab ini dengan gigi geraham (peganglah dengan kuat), ajarkanlah tentangnya kepada anak-anak lelaki dan anak-anak perempuan kamu. Jadikanlah ia satu manhaj dalam mentarbiah dan mendidik di setiap sekolah serta universiti. Berdirilah di atas hujah dan dalil dalam mendepani semua pihak yang memeranginya, bersikap biadap terhadapnya, melakukan cubaan untuk menjadikannya satu mazhab yang sesat lagi menyesatkan, suka mengada-adakan dan mereka-reka perkara baharu.

Suatu umat itu tidak akan melakukan jenayah dengan mengajak kepada perkara mungkar, kecuali dengan niat memerangi, menghancurkan, membinasakan, dan rasa dengki terhadap agama Islam, serta kebenciannya terhadap umat Islam.”[7]

Hal yang sama juga dihuraikan dengan lebih terperinci dalam buku kecilnya bertajuk Ahli al-Sunnah wa al-Jama’ah. Alhamdulillah, atas amanah dan kepercayaan beliau, kami telah selesai menterjemahkan kitab al-Qaul al-Tayyib sebanyak 3 jilid, yang turut memuatkan risalah kecil berkenaan definisi Ahli al-Sunnah wal Jama’ah dalam akidah.

  • Syeikh Muhammad al-Hasan al-Deddew

Beliau menyebut: Ahli al-Sunnah terangkum di dalamnya banyak mazhab, dan kebanyakan penggunaannya merujuk kepada empat mazhab yang utama antaranya:

Pertamanya adalah mazhab salaf iaitu golongan terawal yang mana tidak ada pada mereka sebarang penentangan. Mereka adalah sahabat, tabi‘in dan tabi‘ tabi‘in. Allah SWT berfirman:

فَإِنْ آمَنُوا بِمِثْلِ مَا آمَنتُم بِهِ فَقَدِ اهْتَدَوا

Maksudnya: “Maka kalau mereka beriman sebagaimana kamu beriman (dengan Kitab-kitab Allah dan Rasul-rasulnya), maka sesungguhnya mereka telah beroleh petunjuk.”

(Surah al-Baqarah: 137)

Mereka ini tahu bahawa apa yang dibawa oleh Rasulullah SAW adalah benar kesemuanya sama ada mereka memahaminya dengan baik ataupun tidak. Mereka tidak berlebih lebihan dalam memikirkanya iaitu takwilan dalil kerana mereka sendiri penutur jati bahasa Arab. Maka mereka ini secara semula jadinya memahami dalil-dalil dalam bahasa Arab. Mazhab pertama ini yang disebutkan sebagai mazhab al-Sukuti iaitu mereka diam dan terima sahaja dalil yang datang daripada syarak.

Kedua adalah golongan “al-Hanabilah” yang mana mereka ini mengisbatkan ayat-ayat sifat tanpa ditentukan secara terperinci bagaimanakah sifat itu. Mereka membenarkan sifat-sifat Allah sebagaimana yang layak baginya tanpa diserupakan dengan makhluk ciptaannya tanpa berlakunya tajsim dan tab‘idh, beginilah ijtihad mereka.

Ketiga adalah mazhab Abu al-Hasan ‘Ali bin Ismail al-Asy‘ari dari kalangan ulama al-Syafi‘iyyah membawakan satu ijtihad baru. Beliau mengatakan ayat-ayat sifat ini sebagaimana yang kita fahami dengan akal kerana para sahabat sendiri berbuat begitu. Telah sabit daripada Ummu Salamah dan Ibn ‘Abbas R.Anhuma bahawa apabila mereka ditanya tentang ‘kebersamaan Allah’ secara umumnya, kemudian ditakwilkan kepada ilmu Allah. Kemudian kebersamaan Allah secara khusus  pula ditakwilkan sebagai bantuan Allah. Beginilah ijtihad mereka.

Keempat Abu Mansur al-Maturidi yang merupakan salah seorang ulama al-Hanafiyyah, yang membawa satu ijtihad baru. Mereka ini menggunakan manhaj al-Tafwidh tanpa menisbahkan terlebih dahulu ilmu itu kepada diri mereka. Mereka tidak mengatakan “istiwa’ itu perkara yang telah diketahui”, sebaliknya mereka mengatakan Allah jualah yang maha tahu.

Mereka semua ini selamat di akhirat kelak dengan izin Allah SWT, mereka inilah Ahli al-Sunnah.[8]      

Pandangan Badan Berautoriti Berkenaan Istilah Ahli Sunnah wal Jama’ah

Kami juga menukilkan pandangan daripada badan berautoriti dalam menjelaskan hal ini, antaranya:

  • Majma‘ al-Fiqh al-Islami al-Duali

Pandangan Majma‘ al-Fiqhi menyatakan bahawa Ahli al-Sunnah wa al-Jama‘ah adalah semua yang bersaksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan Muhammad adalah utusan Allah, serta menghormati para sahabat Rasulullah SAW, memuliakan dan menyayangi ahli keluarganya (Ahlul Bait).

Majma‘ menegaskan bahawa Ahli al-Sunnah wa al-Jama‘ah adalah sesiapa sahaja yang beriman dengan rukun-rukun iman dan yakin dengan rukun-rukun Islam, serta tidak menafikan perkara yang diketahui umum dalam agama secara pasti, seperti menghalalkan perkara yang diharamkan syariat dengan tegas, seperti membunuh. Ini dijelaskan dengan jelas dalam keputusan majma‘ pada sesi ke-17 yang diadakan di Amman, Kerajaan Hasyimiah Jordan, pada 28 Jumada al-Awwal sehingga 2 Jumada al-Akhirah 1427H, bersamaan dengan 24-28 Jun 2006, yang ditegaskan oleh Mu‘tamar al-Qimmah al-Islami al-Istisnai kali ke ketiga, yang diadakan di Makkah pada 5-6 Zulkaedah 1426H, bersamaan dengan 7-8 Disember 2005, dan dinyatakan dalam Program Sepuluh Tahun Pertubuhan Kerjasama Islam.[9]

  • Dairah al-Ifta’ al-‘Am, Jordan

Mereka menyatakan: “Asya’irah adalah majoriti Ahil al-Sunnah wa al-Jama‘ah daripada kalangan Mazhab Maliki dan Syafi’i. Manakala Mazhab Hanafi adalah Maturidi yang mengikuti ajaran Abu Mansur al-Maturidi. Perbezaan antara mereka dengan Asy‘ariyah adalah terhad. Adapun Mazhab Hanbali, sebahagian daripada mereka adalah Asy‘ariyah dan sebahagian lagi dikenali sebagai “Hanabilah” yang kemudian disebut sebagai Salafiyyah. Kesemua mereka ini adalah Ahli Sunnah. Lawannya adalah Muktazilah dan Khawarij. Akidah yang dipegang oleh Ahli al-Sunnah diambil daripada asas al-Quran dan al-Sunnah. Beberapa perincian dalam ilmu kalam adalah isu ijtihad yang dibenarkan untuk berbeza pendapat, dan para ulama tidak saling menafikan antara satu sama lain dalam hal ini.”[10]

Inilah juga sepertimana yang kami jelaskan dalam buku kami,  Ahli Sunnah wa al-Jama’ah: Siapakah Mereka  (hlm. 53).

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami sebagai pemimpin bagi orang yang bertaqwa. (Lihat Mazahib Ahl al-Sunnah oleh Ibn Syahin, no. 38, hlm 40;  Tafsir al-Quran al-’Azim, 3/75)

Nota hujung:

[1] Beliau ialah Taqiy al-Din, ‘Abd al-Baqi bin ‘Abd al-Baqi bin ‘Abd al-Qadir al-Ba’li al-Azhari al-Dimasyqi. Beliau ialah seorang faqih dari mazhab Hanbali.

[2] Beliau ialah Syams al-Din Abu al-‘Aun Muhammad bin Ahmad bin Salim bin Sulaiman al-Saffarini, seorang yang faqih, muhaddith dan menguasai ilmu sejarah. Dilahirkan pada tahun 1114 H dan meninggal dunia pada tahun 1188 H.

[3] Beliau ialah Muhammad bin Mani’ al-Hanbali, faqih bermazhab Hanbali dan penulis Hasyiah Ibn Mani‘  ‘ala al-Dalil al-Talib oleh Imam Mar‘i bin Yusuf al-Kurmi.

[4] Beliau ialah Abdullah bin ‘Audah bin Abdullah al-Qadumi al-Nabulsi, seorang yang alim dan imam bagi ahl al-Hadith dan faqih yang bermazhab Hanbali.

[5] Lihat https://www.al-qaradawi.net/node/2171. Diakses pada 4 Julai 2024.

[6] Lihat https://www.youtube.com/watch?v=nn-zK7aOCaE. Diakses pada 3 Julai 2024.

[7] Lihat https://www.youtube.com/watch?v=7cA9HQ0hRYQ. Diakses pada 3 Julai 2024.

[8] Lihat https://www.youtube.com/watch?v=hM_hCQ6RUcc. Diakses pada 4 julai 2024.

[9] Lihat https://iifa-aifi.org/ar/4424.html Diakses pada 4 Julai 2024

[10] Lihat https://aliftaa.jo/fatwa/489/الأشاعرةهمجمهورأهلالسنةوالجماعة. Diakses pada 4 Julai 2024