#7667: Maksud Dalil

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya sering mendengar orang menyebut berkenaan dalil. Apakah maksud dalil?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan perbahasan ini dengan membawakan firman Allah SWT:

فَاسْأَلُوا أَهْلَ الذِّكْرِ إِن كُنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Oleh itu bertanyalah kamu (wahai golongan musyrik) kepada orang-orang yang berpengetahuan agama jika kamu tidak mengetahui.”

(Surah al-Nahl: 43)

Mengenai tafsir bagi ayat di atas, Abu Hayyan menukilkan daripada al-Zajjaj, katanya, Ahlu al-Zikr (أَهْلُ الذِّكْرِ) ini merujuk kepada umum, iaitu setiap orang yang disandarkan dengannya ilmu pengetahuan mengenai sesuatu. (Lihat al-Bahr al-Muhit, 6/533)

Firman Allah SWT:

قُلْ هَاتُوا بُرْهَانَكُمْ إِن كُنتُمْ صَادِقِينَ

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Bawalah kemari keterangan-keterangan kamu, jika betul kamu orang-orang yang benar’.”

(Surah al-Baqarah: 111)

Syeikh ‘Abd al-Rahman bin Nasir al-Sa‘di berkata, beginilah yang sepatutnya dilakukan oleh setiap individu yang mendakwa akan satu-satu kenyataan, dia hendaklah  menyertakan bukti akan kebenaran dakwaan tersebut. Jika dia tidak membawakan sebarang bukti atau hujjah, kemudian datang pula individu lain yang membawakan kenyataan yang bertentangan tanpa sebarang bukti, nescaya kedua-dua mereka itu tidak ada bezanya. Bukti itulah yang akan membenarkan sebarang dakwaan atau mendustakannya. Apabila tidak ada pada tangan mereka sebarang bukti, maka terbongkarlah penipuan mereka dengan sekadar dakwa-dakwi tersebut. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm. 62)

Berkenaan persoalan di atas, dalil (الدَّلِيلُ) ialah satu kata pinjaman bahasa Arab yang berasal dari kata kerja (دَلَّ – يَدُلُّ – دَلَالَةً), yang bermaksud petunjuk, bukti atau sesuatu yang dijadikan sebagai sandaran. (Lihat al-Mu‘jam al-Wasit, 1/294; Mukhtar al-Sihah, hlm. 106)

Kalimah ini turut disebutkan pada beberapa tempat dalam al-Quran, sebagai contoh firman Allah SWT:

أَلَمْ تَرَ إِلَىٰ رَبِّكَ كَيْفَ مَدَّ الظِّلَّ وَلَوْ شَاءَ لَجَعَلَهُ سَاكِنًا ثُمَّ جَعَلْنَا الشَّمْسَ عَلَيْهِ دَلِيلًا

Maksudnya: “Tidak kamu perhatikan kekuasaan Tuhanmu bagaimana Dia memanjangkan dan memendekkan bayang-bayang, jika Dia kehendaki, tentulah bayang-bayang itu kekal di suatu tempat sahaja. Kemudian Kami jadikan matahari sebagai dalil (petunjuk).”

(Surah al-Furqan: 45)

Syeikh Muhammad al-Hasan Walid al-Deddew berkata, “dalil” dalam ayat ini bermaksud tanda-tanda serta bukti kewujudan Allah SWT. (Lihat Syarh al-Waraqat fi Usul al-Fiqh, 1/7)

Dari sudut istilah, ia bermaksud sesuatu yang memberikan petunjuk kepada pandangan yang benar mengenai hukum syara‘ yang amali, sama ada dalam bentuk pasti (qat‘i) atau tidak pasti (zanni).

Jalaluddin al-Mahalli pula mendefinisikannya sebagai suatu perkara, yang mana sudut pandang yang benar terhadap perkara itu akan memungkinkan kita untuk sampai pada kebenaran perkhabaran yang diinginkan. (Lihat al-Ihkam fi Usul al-Ahkam oleh al-Amidi, 1/5; Hasyiah al-‘Attar ‘ala Syarh al-Jalal al-Mahalli, 1/167)

Syeikh Muhammad ‘Eid al-Mahlawi menghuraikan maksud “kebenaran perkhabaran yang diinginkan,” katanya, ia adalah kebarangkalian benarnya pada suatu perkhabaran, meskipun boleh jadi ia benar atau dusta. (Lihat Tashil al-Wusul, hlm. 14)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نسْأَلُكَ الْهُدَى ، وَالتُّقَى ، وَالْعَفَافَ ، وَالْغِنَى

Maksudnya: “Wahai Allah! Sesungguhnya kami memohon kepada-Mu petunjuk, ketakwaan, sifat iffah dan kekayaan.”