Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, boleh Dato’ jelaskan maksud hadith: “Sesiapa yang melihat ke dalam kitab (tulisan atau surat) saudaranya tanpa izinnya, maka seolah-olah dia melihat ke dalam neraka”. Benarkah tindakan melihat rahsia orang lain tanpa izin diumpamakan seperti melihat ke dalam neraka. ? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
وَ لَا تَجَسَّسُواْ وَلَا يَغۡتَب بَّعۡضُكُم بَعۡضًا
Maksudnya: “Dan janganlah kalian melakukan tajassus serta janganlah kalian saling mengumpat antara satu sama lain.”
(Surah Al-Hujurat : 12)
Al-Maraghi berkata: Tajassus adalah mencari-cari keaiban yang tersembunyi. Beliau turut menambah: Sebaliknya kamu hendaklah berpuas hati dengan apa yang nyata bagimu mengenai dirinya. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 13/6506)
Ibn Juzai menafsirkan dengan menyatakan:Janganlah kamu menyelidiki rahsia-rahsia orang lain. (Lihat al-Tahil li ‘Ulum al-Tanzil, 2/297)
Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami kemukakan terlebih dahulu hadith yang diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Abbas bahawa Rasulullah SAW bersabda:
لَا تَسْتُروا الْجُدُرَ، مَنْ نَظَرَ فِي كِتَابِ أَخِيْهِ بِغَيْرِ إذْنِهِ فإنَّمَا يَنْظُرُ فِي النَّارِ، سَلُوا اللهَ بِبُطونِ أَكُفِّكُمْ، وَلَا تَسْأَلُوهُ بِظُهُورِهَا، فَإِذَا فَرَغْتُمْ فَامْسَحُوا بِهَا وُجُوهَكُمْ.
Maksudnya: “Janganlah kamu menutup dinding-dinding (dengan kain secara berlebihan). Sesiapa yang melihat ke dalam kitab (surat atau tulisan) saudaranya tanpa izinnya, maka seolah-olah dia melihat ke dalam neraka. Mohonlah kepada Allah dengan bahagian dalam telapak tanganmu, dan janganlah memohon dengan bahagian. belakangnya. Apabila kamu selesai (berdoa), sapulah wajahmu dengan tangan tersebut.”
Riwayat Abu Dawud (1485) dan al-Baihaqi (3276). Al-Albani menilai hadith ini sebagai Dhaif dalam Irwa’ al-Ghalil(2/180)
Ini adalah suatu perumpamaan: iaitu, sebagaimana seseorang merasa takut terhadap api, dia juga hendaklah takut terhadap perbuatan ini. Ada yang mengatakan maksudnya adalah seolah-olah dia melihat sesuatu yang mewajibkannya masuk ke dalam neraka. Kemungkinan lain ialah ia merujuk kepada hukuman terhadap pandangan mata, kerana kesalahan itu berpunca daripadanya, sebagaimana telinga dihukum apabila mendengar percakapan mengenai sesuatu kaum yang mereka sendiri tidak menyukainya. Hadith ini diterapkan kepada kitab (tulisan) yang mengandungi rahsia dan amanah yang pemiliknya tidak suka jika ia dibaca. Ada juga pendapat yang menyatakan ia bersifat umum bagi setiap kitab. (Lihat al-Nihayah fi al-Gharib al-Hadith wa al-Athar, 1/147-148)
Dapat difahami juga daripadanya bahawa jika seseorang mengetahui rahsia orang lain yang tertulis di atas kertas atau dalam buku peribadi, dia wajib untuk tidak mendedahkan apa yang diketahuinya itu kepada orang lain.[1]
Selain itu juga, al-Ramli dalam Asna al-Matalib (2/479) menyebutkan: jika terdapat rahsia di dalamnya (iaitu dalam kitab tersebut), maka tidak dibenarkan bagi penerima tulisan itu untuk mendedahkannya, memperlihatkannya kepada orang lain, atau menunjukkan lembaran tersebut.
Islam sangat menekankan kepentingan menghormati hak privasi individu sebagai elemen utama dalam menjaga keharmonian dan kestabilan hubungan sesama Muslim. Larangan mencerobohi privasi orang lain tidak hanya untuk mengelakkan permusuhan dan perpecahan, tetapi juga bagi menegakkan akhlak mulia yang menjadi teras ajaran Islam. Yang demikian, ia menunjukkan bahawa privasi seseorang adalah hak yang wajib dihormati. Melanggar privasi individu tanpa sebab yang sah bukan sahaja dilarang tetapi juga bercanggah dengan matlamat utama syariat, iaitu memelihara maruah dan kehormatan setiap individu.
Ingatlah sabda Nabi SAW: Daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:
مَن سَتَرَ مُسْلِمًا، سَتَرَهُ اللَّهُ في الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ
Maksudnya: “Siapa yang menutup aib saudaranya yang Islam maka Allah akan menutup aibnya di dunia dan akhirat.”
Riwayat Muslim (2699), Abu Daud (4946), al-Tirmizi (2945), Ibn Majah (225), Ahmad (7427), al-Nasa’i dalam al-Sunan al-Kubra (7285)
Syeikh al-Mubarakfuri berkata: “Barangsiapa yang menutupi aib seorang Muslim, sama ada melindungi tubuhnya atau menjaga rahsianya dengan tidak mendedahkan keaibannya dan melindungi maruahnya daripada celaan, maka Allah akan menutupi aibnya di akhirat.” (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 4/574)
Kesimpulan
Islam sangat menekankan pentingnya menjaga hak privasi sebagai asas untuk mewujudkan keharmonian dalam hubungan sesama Muslim. Larangan terhadap perbuatan menceroboh privasi, seperti mengintip tulisan atau rahsia orang lain tanpa izin, digambarkan dalam hadith sebagai perbuatan yang sangat tercela, bahkan disamakan dengan melihat ke dalam api neraka. Ini mengingatkan kita bahawa privasi adalah amanah yang perlu dihormati, dan melanggar hak tersebut bukan hanya mendatangkan dosa, tetapi juga merosakkan akhlak mulia. Penegasan ini sejajar dengan tujuan syariat untuk menjaga maruah, kehormatan, dan kesejahteraan setiap individu dalam masyarakat.
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِيْنِنَا وَدُنْيَانَا وَأَهْلِنَا وَمَالِنَا، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِنَا وَآمِنْ رَوْعَاتِنَا ، اللَّهُمَّ احْفَظْنَا مِنْ بَيْنِ أَيْدِيْنَا وَمِنْ خَلْفِنَا وَعَنْ أَيْمَانِنَا وَعَنْ شَمَائِلِنَا وَمِنْ فَوْقِنَا ، وَنَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ نُغْتَالَ مِنْ تَحْتِنَا
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) di dunia dan akhirat. Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) dalam agama, dunia, keluarga dan harta kami. Ya Allah, tutupilah aib kami dan berilah ketenteraman di hati kami. Ya Allah, jagalah kami dari depan, belakang, kanan, kiri, dan atas kami. Kami memohon perlindungan dengan keagungan-Mu agar tidak disambar dari bawah kami.”
Wallahu‘alam
Nota Hujung:
[1] Lihat https://www.dar-alifta.org/ar/fatawa/17801/%D8%A8%D9%8A%D8%A7%D9%86-%D8% Diakses pada 9 Disember 2024