#7671: Al-Maslahah al-Mursalah (المَصْلَحَة المُرْسَلَة)

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah maksud maslahah mursalah dalam usul fiqh?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Menurut Imam al-Ghazali, al-Maslahah adalah mendatangkan manfaat dan menolak kemudharatan iaitu mafsadah. (Lihat al-Mustasfa min ‘Ilmi al-Usul, 2/139)

Maslahah terbahagi kepada tiga:

  • Al-Masalih al-Mu‘tabarah(المَصَالِح المُعْتَبَرَة) (maslahah-maslahah yang diambil kira): Iaitu apa yang Allah mengambil kira akannya dari sudut Dia mensyariatkan baginya hukum-hakam yang sampai kepadanya. Ini adalah seperti menjaga agama, nyawa, akal, maruah, dan juga harta.
  • Al-Masalih al-Mulghah(المَصَالِح المُلْغَاة) (maslahah yang tidak diambil kira): Sekalipun pada perkara-perkara ini dianggap ada kemaslahatan, akan tetapi syarak tidak mengambil kiranya sebagai maslahah. Contohnya hak sama rata di antara anak lelaki dan anak perempuan di dalam mirath (faraid). Demikian juga maslahah yang akan diperoleh daripada orang yang melakukan riba dalam menambahkan hartanya. Ini juga maslahah yang tidak diambil kira oleh syarak lalu ia dibatalkan.
  • Al-Masalih al-Mursalah (المَصَالِح المُرْسَلَة): Maslahah-maslahah ini tidak terdapat nas yang menyatakan ke atasnya. Tidak pula terdapat nas-nas yang membantahnya. Maka ia dianggap sebagai maslahah mursalah di sisi ahli usul.

Berdasarkan kenyataan di atas, dapat dilihat bahawa di samping terdapatnya maslahah yang diambil kira dan maslahah yang tidak diambil kira, ada suatu maslahah yang tidak dinaskan oleh syarak sama ada syarak membatalkannya atau syarak menerimanya. Inilah yang dinamakan sebagai maslahah mursalah di sisi ulama usul. Ia dianggap sebagai maslahah kerana ia mendatangkan manfaat dan menghalang kemudharatan. Manakala ia dinamakan sebagai mursalah kerana ia tidak disebutkan oleh syarak sama ada ia diambil kira ataupun ia dibatalkan — tidak diambil kira.

Syeikh ‘Abd al-Fattah bin Muhammad berkata: Ia dinamakan sebagai al-maslahah al-mursalah kerana ia merupakan manfaat yang tidak terdapat dalil yang menyatakan padanya. (Lihat al-I‘lam fi Usul al-Ahkam, hlm. 152).

Namun tidak dapat dinafikan bahawa usul-usul agama yang umum menyaksikan dan mengiktirafnya. Sekalipun maslahah mursalah ini bukanlah dalil yang mustaqil (bersendiri), ia adalah hujah dengan beberapa syarat berikut:

  • Ia mestilah berupa suatu permasalahan yang bermanfaat.
  • Permasalahan itu pula hendaklah bersifat umum.
  • Ia hendaklah tidak bercanggah dengan nas.

Manakala Imam al-Syatibi menambah beberapa syarat lain untuk membolehkan beramal dengan al-Maslahah al-Mursalah (المَصْلَحَة المُرْسَلَة) iaitu:

  • Hendaklah maslahah tersebut selari dengan maqasid syarak.
  • Ia mestilah boleh diterima oleh akal.
  • Hendaklah berpegang dengan maslahah itu demi menjaga perkara dharuri atau untuk mengangkat kesulitan. (Lihat al-I‘tisam, 2/308).

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ رَبَّ جِبْرِيلَ، وَمِيكَائِيلَ، وَإِسْرَافِيلَ، فَاطِرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ، عَالِمَ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ، أَنْتَ تَحْكُمُ بَيْنَ عِبَادِكَ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ، اهْدِنَا لِمَا اخْتُلِفَ فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِكَ، إِنَّكَ تَهْدِي مَنْ تَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ.

Maksudnya: “Ya Allah, Tuhan Jibril, Mikail, dan Israfil. Yang Menciptakan langit dan bumi, Yang Maha Mengetahui yang ghaib mahupun yang kelihatan. Engkaulah yang Menghakimi hamba-hamba-Mu di dalam apa yang mereka perselisihkan. Tunjukkanlah kami dengan izin-Mu kepada kebenaran di dalam apa yang diperselisihkan. Sesungguhnya Engkau memberi petunjuk ke arah Sirat al-Mustaqim kepada sesiapa yang Engkau Kehendaki.”