#7673: Al-Istishab (الاسْتِصْحَاب)

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah maksud dan makna al-istishab dalam usul fiqh?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Rasulullah SAW pernah bertanya kepada Mu’az bin Jabal R.A apabila dihantar ke Yaman:

كَيْفَ تَقْضِي؟ فَقَالَ: أَقْضِي بِمَا فِي كِتَابِ اللهِ، قَالَ: فَإِنْ لَمْ يَكُنْ فِي كِتَابِ اللهِ؟ قَالَ: فَبِسُنَّةِ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، قَالَ: فَإِنْ لَمْ يَكُنْ فِي سُنَّةِ رَسُولِ اللهِ؟ قَالَ: أَجْتَهِدُ رَأْيِي، قَالَ: الْحَمْدُ لِلهِ الَّذِي وَفَّقَ رَسُولَ رَسُولِ اللهِ

Maksudnya: Dengan apakah kamu akan berhukum? Maka Muaz menjawab: Aku akan berhukum dengan apa yang terdapat di dalam Kitabullah. Baginda bersabda: Sekiranya ia tidak terdapat di dalam Kitabullah? Maka jawab Muaz: Aku akan berhukum dengan Sunnah Rasulullah SAW. Baginda bertanya lagi: Sekiranya tidak terdapat di dalam Sunnah Rasulullah SAW? Jawab Muaz: Aku akan berijtihad dengan pendapatku. Maka Rasulullah SAW bersabda: Segala puji bagi Allah yang telah memberikan taufiq kepada utusan Rasulullah SAW.”

Riwayat al-Tirmizi (1327)

Menjawab persoalan di atas, kami nukilkan beberapa pandangan ulama’:

Menurut Ibn al-Qayyim, istishab  (الاسْتِصْحَاب) dari sudut istilah adalah: Berterusan mengisbatkan apa-apa yang telah sabit ataupun menafikan apa-apa yang telah ternafi. (Lihat I‘lam al-Muwaqqi‘in, 1/294).

Al-Amidi mendefinisikannya sebagai mengekalkan hukum asal yang thabit melalui dalil syarak sehinggalah datangnya dalil syarak lain mengubahnya. (Lihat al-Ihkam fi Usul al-Ahkam, 5/590). Hal ini juga seperti mana dijelaskan oleh al-Syaukani yang menyebut, istishab (الاسْتِصْحَاب) adalah mengekalkan hukum bagi sesuatu perkara mengikut keadaan sebelumnya, selagi mana tiada sebarang dalil syarak lain yang mengubahnya. (Lihat Irsyad al-Fuhul ila Tahqiq al-Haq min al-‘Ilm al-Usul, hlm. 20).

Al-Istishab  (الاسْتِصْحَاب) adalah sesuatu keputusan yang dilakukan oleh ulama mujtahid dalam sesuatu perkara yang telah dikaji daripada al-Quran dan al-Sunnah, setelah mereka tidak menemui sesuatu dalil yang boleh mengubah hukumnya. Dalam keadaan tersebut, ulama mengekalkan sesuatu hukum itu dengan berasaskan hukum yang telah sedia ada kerana tiada sebarang dalil pun yang dapat mengubah hukum tersebut. (Lihat Usul al-Fiqh al-Islami, hlm. 113).

Berkenaan kehujahan al-istishab (الاسْتِصْحَاب), para ulama usul berpendapat bahawa kaedah ini hanya boleh dijadikan sebagai hujah dalam menetapkan hukum atau menafikannya apabila sudah tiada dalil daripada mana-mana sumber syarak yang berautoriti. (Lihat Irsyad al-Fuhul, hlm. 508).

Dalam maksud lain, al-istishab  (الاسْتِصْحَاب) dijadikan dalil alternatif atau sekunder oleh para mujtahid dalam berijtihad apabila ketiadaan dalil syarak yang berautoriti (mustaqil). Disebabkan itu, para mujtahid menganggap al-istishab sebagai dalil rujukan terakhir mereka dalam berfatwa. (Lihat Usul al-Fiqh al-Islami oleh Dr. Wahbah al-Zuhaili, 2/889)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ رَبَّ جِبْرِيلَ، وَمِيكَائِيلَ، وَإِسْرَافِيلَ، فَاطِرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ، عَالِمَ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ، أَنْتَ تَحْكُمُ بَيْنَ عِبَادِكَ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ، اهْدِنَا لِمَا اخْتُلِفَ فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِكَ، إِنَّكَ تَهْدِي مَنْ تَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ.

Maksudnya: “Ya Allah, Tuhan Jibril, Mikail, dan Israfil. Yang Menciptakan langit dan bumi, Yang Maha Mengetahui yang ghaib mahupun yang kelihatan. Engkaulah yang Menghakimi hamba-hamba-Mu di dalam apa yang mereka perselisihkan. Tunjukkanlah kami dengan izin-Mu kepada kebenaran di dalam apa yang diperselisihkan. Sesungguhnya Engkau memberi petunjuk ke arah Sirat al-Mustaqim kepada sesiapa yang Engkau Kehendaki.”