#7675: Sadd al-Zara’i‘ (سَدُّ الذَّرَائِع)

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah maksud dan makna sadd al-zara’i’ dalam perbincangan usul fiqh?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَلَا تَسُبُّوا الَّذِينَ يَدْعُونَ مِن دُونِ اللَّهِ فَيَسُبُّوا اللَّهَ عَدْوًا بِغَيْرِ عِلْمٍ

Maksudnya: “Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan.”

(Surah al-An’am: 108)

Al-Sabuni ketika menafsirkan ayat di atas menyatakan, maknanya adalah: janganlah kamu memaki atau mencela sembahan-sembahan orang Musyrikin dan berhala-berhala mereka kerana mereka kelak akan membalasnya dengan celaan kepada Allah dalam keadaan jahil dan bersifat melampau disebabkan mereka tidak mengetahui kebesaran Allah SWT. Beliau menukilkan sebuah riwayat daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma bahawa orang-orang Musyrikin berkata: “Berhentilah daripada menghina tuhan-tuhan kami ataupun kami akan menghina Tuhan kamu.” Maka Allah SWT melarang orang-orang beriman daripada mencela atau memaki berhala-berhala mereka. (Lihat Safwah al-Tafasir, hlm. 380)

Menjawab persoalan di atas, dalam bahasa Arab, perkataan sadd bermaksud menutup, menegah, menghalang, menyekat atau menyumbat. (Lihat Lisan al-‘Arab, 4/190).

Manakala perkataan al-Zara’i‘ merupakan lafaz jamak daripada al-Zari‘ah, yang bermaksud jalan-jalan atau lorong-lorong. (Lihat Usul al-Fiqh oleh ‘Abbas Mutawalli Hamadah, hlm. 265)

Al-Zara’i‘ merupakan jalan yang membawa kepada sesuatu, sama ada kebaikan atau keburukan, yang bersifat hissi (dapat dirasai) atau maknawi. (Lihat ‘Ilm Usul al-Fiqh oleh Ibrahim ‘Abd al-Rahman, hlm. 131). Selain itu, al-Zara’i‘ juga membawa maksud perantara yang menjadi penghubung kepada sesuatu, sama ada sesuatu yang boleh dicapai dengan pancaindera atau makna, sama ada baik atau buruk. (Lihat Usul al-Fiqh oleh Badran Abu al-‘Ainain, hlm. 333). Dalam erti kata lain, ia adalah jalan yang boleh membawa kepada mafsadah (kerosakan) ataupun maslahah.

Akan tetapi, penggunaan lafaz al-Zara’i‘ lebih banyak kepada jalan yang membawa kepada kerosakan dan keburukan. (Lihat al-Wajiz fi Usul al-Fiqh oleh ‘Abd al-Karim Zaidan, hlm. 195). Oleh itu, sadd al-Zara’i‘ adalah menutup jalan-jalan yang boleh membawa kepada kerosakan ataupun keburukan.

Menurut ulama usul, Sadd al-Zara’i‘ (سَدُّ الذَّرَائِع) ialah jalan yang membawa kepada sesuatu yang dilarang, yang merangkumi sesuatu yang menyebabkan kerosakan. Contohnya, melihat aurat wanita ajnabi. Sesungguhnya, ia boleh membawa kepada zina. Maka mencegah daripada melihat aurat itu dinamakan sebagai Sadd al-Zara’i‘ (سَدُّ الذَّرَائِع). (Lihat Usul al-Fiqh oleh Badran Abu al-‘Ainain, hlm. 333).

Para ulama usul telah membahagikan pengertiannya dari sudut istilah, kepada dua maksud, iaitu:

  • Sadd al-Zara’i‘ (سَدُّ الذَّرَائِع): Iaitu menyekat atau mencegah setiap jalan atau perantaraan yang harus dilakukan, sekiranya ia membawa kepada kerosakan dan kemudharatan.
  • Fath al-Zara’i‘ (فَتْحُ الذَّرَائِع): Iaitu membuka atau menerima setiap jalan atau perantaraan yang membawa kepada kebaikan dan kemaslahatan. (Lihat Usul al-Fiqh al-Islami oleh Dr. Wahbah al-Zuhaili, 2/567).

Antara contoh-contoh Sadd al-Zara’i‘ (سَدُّ الذَّرَائِع) ialah:

  • Pengharaman berkhalwat dengan ajnabi untuk mengelakkan berzina.
  • Larangan untuk seorang lelaki meminang pinangan orang lain. Untuk mengelakkan permusuhan dan kebencian.
  • Larangan untuk melakukan ihtikar(monopoli). Hal ini kerana ia merupakan satu jalan untuk menyempitkan urusan manusia dalam makanan asasi mereka.

Para ulama berselisih pandangan dalam menerima Sadd al-Zara’i‘ (سَدُّ الذَّرَائِع) sebagai sumber hukum. Antara mereka yang menerimanya sebagai sumber hukum ialah ulama mazhab Maliki dan Hanbali. Manakala, ulama yang menolak Sadd al-Zara’i‘ (سَدُّ الذَّرَائِع) sebagai sumber hukum ialah ulama mazhab al-Syafi‘i dan Zahiri.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami sebagai pemimpin bagi orang yang bertaqwa. (Lihat Mazahib Ahl al-Sunnah oleh Ibn Syahin, no. 38, hlm 40;  Tafsir al-Quran al-’Azim, 3/75)