Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Adakah benar kita disunatkan untuk bersiwak atau berus gigi sebelum membaca al-Quran? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ التَّوَّابِينَ وَيُحِبُّ الْمُتَطَهِّرِينَ
Maksudnya: “Sesungguh-Nya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri.”
(Surah al-Baqarah: 222)
Al-Baidhawi ketika menafsirkan ayat ini menyatakan, sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang bertaubat daripada dosa-dosa, dan Dia mencintai orang-orang yang menyucikan diri, iaitu mereka yang menjauhkan diri daripada perbuatan keji dan perkara yang kotor, seperti bersetubuh dengan wanita dalam keadaan haid dan melakukan hubungan di tempat yang tidak sepatutnya. (Lihat Anwar al-Tanzil wa Asrar al-Ta’wil, 1/139).
Secara umumnya, siwak merujuk kepada penggunaan kayu atau seumpamanya pada gigi untuk menghilangkan perubahan (dari segi kebersihan atau warna gigi) dan yang seumpamanya. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 1/269-270). Begitu juga di dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (4/135-136) turut mendefinisikan bersiwak sebagai perbuatan menggunakan kayu siwak untuk membersihkan gigi dan mulut daripada kotoran.
Dr. Muhammad al-Zuhaili pula ketika menjelaskan berkenaan definisi siwak, beliau turut memberikan contoh alat yang biasanya digunakan bagi melakukannya pada masa kini. Beliau menyebutkan, siwak dari segi syarak adalah menggunakan kayu atau seumpamanya, seperti berus gigi pada masa kini, untuk membersihkan gigi dan kawasan sekitarnya seperti lidah dan gusi, bagi menghilangkan perubahan (warna atau bau) serta kesan makanan. (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 1/59).
Berbalik kepada soalan yang diajukan, kami katakan bahawa benar, kita disunatkan untuk bersiwak atau berus gigi sebelum membaca al-Quran.
Ini adalah sebagaimana yang disebutkan oleh Imam al-Nawawi bahawa seseorang disyorkan untuk membersihkan mulutnya dengan siwak atau alat lain apabila ingin membaca (al-Quran). Pilihan terbaik untuk bersiwak adalah dengan menggunakan kayu arak, tetapi dibolehkan juga menggunakan selain daripadanya seperti kayu-kayu lain, kain kasar, atau apa sahaja yang dapat membersihkan mulut. (Lihat al-Azkar, hlm. 106).
Begitu juga dalam kitabnya yang lain, beliau turut menyatakan, disunatkan untuk membersihkan mulut sebelum memulakan bacaan (al-Quran) dengan siwak atau seumpamanya, menghadap kiblat, serta duduk dengan penuh khusyuk, tenang, dan tidak tergopoh gapah. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/164).
Dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (4/139) dinyatakan bahawa disunatkan juga menggunakan siwak ketika membaca hadith atau ilmu. Begitu juga, disunatkan bersiwak sebelum melakukan sujud tilawah, dan waktunya adalah selepas selesai membaca ayat sajadah dan sebelum turun untuk sujud. Hal ini terpakai jika bacaan dilakukan di luar solat. Jika dilakukan dalam solat, maka tidak disyariatkan kerana amalan bersiwak dalam solat telah mencakupi semua perbuatan tersebut, termasuk bacaan dan sujud.
Disunatkan juga membersihkan kotoran dan sisa dalam mulut dengan siwak ketika berzikir kepada Allah ta‘ala, kerana para malaikat hadir di majlis zikir dan mereka terganggu oleh bau yang tidak menyenangkan, sebagaimana manusia juga terganggu olehnya. Oleh sebab itu, para fuqaha menyarankan agar orang yang sedang menghadapi sakaratul maut menggunakan siwak, kerana ia dikatakan dapat mempermudah keluarnya roh disebabkan oleh alasan yang sama.
Demikianlah juga disunatkan menggunakan siwak ketika bangun malam untuk beribadah (qiamullail). Ini berdasarkan riwayat daripada Huzaifah R.A, katanya:
كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا قَامَ مِنَ اللَّيْلِ، يَشُوصُ فَاهُ بِالسِّوَاكِ.
Maksudnya: “Biasanya Nabi SAW apabila bangun di waktu malam, Baginda menggosok mulutnya dengan kayu sugi.”
Riwayat al-Bukhari (245) dan Muslim (255)
Menurut al-Syaukani, hadith ini menunjukkan disunatkan bersiwak ketika bangun dari tidur kerana mulut cenderung berubah keadaannya akibat gas yang naik dari perut, dan bersiwak dapat membersihkannya. Oleh itu, disarankan untuk melakukannya. Zahir lafaz “dari malam” dan “dari tidur” (yang terdapat dalam hadith) menunjukkan maksud umum untuk semua waktu.
Ibnu Daqiq al-‘Id menyebutkan, ia mungkin dikhususkan kepada keadaan bangun untuk solat. Al-Hafiz Ibn Hajar pula menjelaskan, dalilnya terdapat dalam riwayat al-Bukhari dengan lafaz: “Jika baginda bangun untuk bertahajud,” dan riwayat Muslim yang hampir sama dengannya.
Maka, lafaz yang mutlak (umum) boleh dibawa kepada lafaz yang muqayyad (terikat), tetapi setelah memahami bahawa sebabnya adalah untuk membersihkan mulut, tidak semestinya terhad kepada keadaan tersebut, kerana bersiwak adalah perkara yang disunatkan dalam semua keadaan. (Lihat Nail al-Autar, 1/405).
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ اجْعَلْنَا مِنَ التَّوَّابِينَ، وَاجْعَلْنَا مِنَ الْمُتَطَهِّرِينَ، وَاجْعَلْنَا مِنْ عِبَادِكَ الصَّالِحِيْنَ
Maksudnya: “Ya Allah, jadikan kami termasuk daripada kalangan orang yang bertaubat. Jadikanlah juga kami termasuk daripada kalangan orang yang bersuci. Dan jadikan juga kami termasuk daripada kalangan hamba-hambaMu yang soleh.”