Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh jelaskan berkenaan kelompok-kelompok yang ada dalam Ahli Sunnah wa al-Jama’ah?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
وَأَنَّ هَـٰذَا صِرَاطِي مُسْتَقِيمًا فَاتَّبِعُوهُ ۖ وَلَا تَتَّبِعُوا السُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمْ عَن سَبِيلِهِ ۚذَٰلِكُمْ وَصَّاكُم بِهِ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
Maksudnya: “Dan bahawa sesungguhnya inilah jalanKu (agama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah, Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertaqwa.”
(Surah al-An‘am: 153)
Menurut Ibn ‘Abbas R.Anhuma, ayat di atas dan yang seumpama dengannya di dalam al-Qur’an adalah merujuk kepada perintah Allah SWT terhadap golongan Mukmin agar sentiasa berada dalam jamaah dan menegah mereka daripada perselisihan dan perpecahan yang menyesatkan. (Lihat Tafsir Ibn Kathir, 3/365)
Diriwayatkan oleh Imam Ahmad daripada ‘Abdullah bin Mas‘ud R.A berkata:
خَطَّ لَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَطًّا ثُمَّ قَالَ: هَذَا سَبِيلُ اللَّهِ ثُمَّ خَطَّ خُطُوطًا عَنْ يَمِينِهِ وَعَنْ شِمَالِهِ وَقَالَ هَذِهِ سُبُلٌ عَلَى كُلِّ سَبِيلٍ مِنْهَا شَيْطَانٌ يَدْعُو إِلَيْهِ، ثمَّ قَرَأَ {إِنَّ هَذَا صِرَاطِي مُسْتَقِيمًا فَاتَّبعُوهُ}
Maksudnya: “Rasulullah SAW membuat satu garis untuk kami, kemudian berkata: ‘Ini adalah jalan Allah.’ Kemudian baginda membuat garis-garis di sebelah kanan dan kiri dan berkata: ‘Ini adalah jalan-jalan, pada setiap jalan tersebut ada syaitan yang menyeru kepadanya.’ Kemudian baginda membaca: ‘Dan bahawa inilah jalan-Ku yang lurus, maka ikutilah ia’.”
Riwayat Ahmad (4437), al-Nasa’i dalam al-Sunan al-Kubra (11174). Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut dalam Takhrij Syarh al-Sunnah (97) menyatakan bahawa sanad hadith ini hasan
Diriwayatkan oleh Ibnu Majah daripada Al-‘Irbadh bin Sariyah R.A, berkata:
وَعَظَنَا رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَوْعِظَةً ذَرَفَتْ مِنْهَا الْعُيُونُ، وَوَجِلَتْ مِنْهَا الْقُلُوبُ، قُلْنَا: يَا رَسُولَ اللهِ، إِنَّ هَذِهِ لَمَوْعِظَةُ مُوَدِّعٍ، فَمَاذَا تَعْهَدُ إِلَيْنَا؟ قَالَ: ” قَدْ تَرَكْتُكُمْ عَلَى الْبَيْضَاءِ لَيْلُهَا كَنَهَارِهَا لَا يَزِيغُ عَنْهَا بَعْدِي إِلَّا هَالِكٌ، وَمَنْ يَعِشْ مِنْكُمْ، فَسَيَرَى اخْتِلَافًا كَثِيرًا، فَعَلَيْكُمْ بِمَا عَرَفْتُمْ مِنْ سُنَّتِي وَسُنَّةِ الْخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ الْمَهْدِيِّينَ، وَعَلَيْكُمْ بِالطَّاعَةِ، وَإِنْ عَبْدًا حَبَشِيًّا عَضُّوا عَلَيْهَا بِالنَّوَاجِذِ، فَإِنَّمَا الْمُؤْمِنُ كَالْجَمَلِ الْأَنِفِ حَيْثُمَا انْقِيدَ انْقَادَ
Maksudnya: “Rasulullah SAW memberikan nasihat kepada kami dengan nasihat yang membuatkan mata menangis dan hati bergetar, maka kami berkata, ‘Wahai Rasulullah, ini seakan-akan nasihat perpisahan, maka apa yang engkau wasiatkan kepada kami?’ Baginda bersabda, ‘Aku tinggalkan kamu di atas jalan yang terang, malamnya seperti siangnya, tidak ada yang akan tersesat daripadanya selepas aku kecuali orang yang binasa. Sesiapa yang hidup di antara kamu akan melihat perselisihan yang banyak, maka wajib ke atas kamu berpegang dengan sunnahku dan sunnah para khalifah yang mendapat petunjuk. Gigitlah ia dengan gigi geraham. Dan wajib ke atas kamu taat, walaupun seorang hamba Habsyi, sesungguhnya orang mukmin itu seperti unta yang jinak, di mana sahaja ia diikat, di situlah ia tunduk.’”
Riwayat Abu Dawud (4607), al-Tirmizi (2676), Ibn Majah (42) dan Ahmad (17144). Hadith ini dinilai sahih berdasarkan pengarang kitab Takhrij Kitab al-Sunnah (1037)
Oleh sebab itu, para salaf kita sering mengatakan: “Berpegang teguh dengan sunnah adalah keselamatan.” Imam Malik berkata: “Sunnah adalah seperti kapal Nabi Nuh; sesiapa yang menaikinya akan selamat, dan sesiapa yang tertinggal daripadanya akan tenggelam.” Segala puji bagi Allah, para sahabat telah menaiki kapal ini dan memerintahkan seluruh umat untuk menaikinya. Mereka telah menyampaikan sunnah kepada kita dan menyebarkannya kepada kita, sehingga tidak ada lagi alasan bagi sesiapa untuk menyimpang dari jalan mereka.
Nabi SAW telah memberitahu bahawa beberapa golongan daripada umatnya akan menyimpang dari jalan yang lurus ini. Diriwayatkan daripada ‘Auf bin Malik al-Asyja‘i R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:
افْتَرَقَتِ الْيَهُودُ عَلَى إِحْدَى وَسَبْعِينَ فِرْقَةً، فَوَاحِدَةٌ فِي الْجَنَّةِ، وَسَبْعُونَ فِي النَّارِ، وَافْتَرَقَتِ النَّصَارَى عَلَى ثِنْتَيْنِ وَسَبْعِينَ فِرْقَةً، فَإِحْدَى وَسَبْعُونَ فِي النَّارِ، وَوَاحِدَةٌ فِي الْجَنَّةِ، وَالَّذِي نَفْسُ مُحَمَّدٍ بِيَدِهِ لَتَفْتَرِقَنَّ أُمَّتِي عَلَى ثَلَاثٍ وَسَبْعِينَ فِرْقَةً، وَاحِدَةٌ فِي الْجَنَّةِ، وَثِنْتَانِ وَسَبْعُونَ فِي النَّارِ» قِيلَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ مَنْ هُمْ؟ قَالَ: «الْجَمَاعَةُ»
Maksudnya: “Yahudi berpecah kepada 71 golongan, di mana satu di dalam syurga dan 70 di dalam neraka, sementara Nasrani berpecah kepada 72 golongan, di mana 71 di dalam neraka dan satu di dalam syurga. Demi Zat yang jiwa Muhammad berada di tangan-Nya, sesungguhnya umatku akan berpecah kepada 73 golongan, di mana satu di dalam syurga dan 72 di dalam neraka. Ketika ditanya, Lalu baginda ditanya, ‘Wahai Rasulullah, siapakah mereka?’ Baginda menjawab, ‘al-Jama‘ah.’”
Riwayat Ibn Majah (3241). Hadith ini dinilai sahih oleh al-Albani dalam Sahih Ibn Majah (3241)
Disebutkan juga bahawa baginda SAW menyatakan bahawa mereka ini ialah “مَنْ كَانَ عَلَى مِثْلِ مَا أَنَا عَلَيْهِ وَأَصْحَابِي, iaitu golongan yang berada di atas jalanku dan jalan sahabatku. Ini menunjukkan bahawa jalan yang lurus yang akan menyelamatkan sesiapa yang mengikutinya adalah jalan Nabi SAW dan para sahabatnya. Inilah jalan Ahli al-Sunnah wa al-Jama‘ah. Adapun sesiapa yang keluar daripada jalan ini, dia adalah daripada golongan-golongan yang diberitahu oleh Nabi SAW akan berada di dalam neraka.
Maka, disimpulkan di sini bahawa mazhab Ahli al-Sunnah wa al-Jama‘ah adalah mazhab yang selamat, dan menepati ciri-ciri yang dikemukakan dalam al-Qur’an dan hadith.
Berkenaan persoalan di atas, penyandaran istilah Ahli al-Sunnah wa al-Jamа‘ah terhadap Imam Abu al-Hasan al-Asy‘arі, bukan bermakna beliau merupakan pengasas Ahli al-Sunnah wa al-Jamа‘ah, sebaliknya ia sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan beliau dalam mempertahankan kesinambungan akidah Ahli al-Sunnah wa al-Jamа‘ah sebagaimana yang dibawa oleh Rasulullah SAW, para sahabat dan salafussoleh daripada segala penyelewengan dan kesesatan. Demikian juga Abu Manѕur al-Mаturіdі dan Mаturіdiyyah yang hampir seiring dengan kemunculan Asyа‘irah, turut membawa manhaj yang sama. Kedua-dua tokoh dan kumpulan ini kemudiannya telah menjadi pegangan majoriti umat Islam selepas mereka sehingga apabila disebut istilah Ahli al-Sunnah wa al-Jamа‘ah secara mutlak, maka mereka yang dimaksudkan adalah golongan Asyа‘irah dan Mаturіdiyyah. (Lihat Ithaf al-Sadah al-Muttaqin, 2/5)
Menurut Tаj al-Dіn al-Subkі, seluruh Ahli al-Sunnah wa al-Jamа‘ah bersepakat bahawa iktikad mereka adalah satu, walaupun berbeza dari sudut pendekatan dan disiplin yang disusun. Mereka boleh dirumuskan kepada tiga kelompok utama:
Pertama, ahl al-hadіth yang prinsip pegangan mereka adalah berteraskan dalil-dalil naqli iaitu al-Qur’an, al-Sunnah dan ijma‘.
Kedua, ahl al-nazar al-‘aqlі wa al-ѕinа‘ah al-fikriyyah yang terdiri daripada golongan Asyа‘irah pimpinan Abu al-Hasan al-Asy‘arі dan golongan Mаturіdiyyah pimpinan Abu Manѕur al-Mаturіdі.
Ketiga, ahl al-wujdаn wa al-kasyf yang terdiri daripada golongan sufi yang pada dasarnya turut berpegang kepada prinsip kumpulan pertama dan kedua. (Lihat Ithaf al-Sadah al-Muttaqin, 2/5)
Al-Baghdаdі ketika menjelaskan mengenai maksud hadith kumpulan yang selamat (al-firqah al-nаjiyah) mengatakan mereka adalah kelompok Ahli Sunnah Wa al-Jamа‘ah. Ia terdiri daripada kedua-dua madrasah ahli al-ra’y dan ahli hadith sama ada daripada kalangan fuqahа’, muhaddithіn, qurrа’ dan mutakallimin yang bersepakat di atas prinsip akidah yang sama. Keimanan mereka tidak dicemari dengan pegangan ahli bid‘ah seperti golongan Khawаrij, Rаfidah, Qadariyyah dan keseluruhan pengikut hawa nafsu yang lain. Termasuk dalam kelompok ini adalah jumhur umat Islam yang mengikuti imam-imam mazhab fiqh seperti al-Syаfi‘і, Mаlik, Abu Hanіfah, al-Auzа‘і dan lain-lain. (Lihat al-Farq baina al-Firaq, hlm. 19-20)
Walau bagaimanapun, mazhab Ahli al-Sunnah wa al-Jamа‘ah menjadi semakin terkenal dengan kemunculan Abu al-Hasan al-Asya‘arі yang digelar sebagai Syeikh al-Nazar dan imam dalam ilmu perbahasan dan tahqіq. Beliau berjaya mematahkan hujah-hujah golongan bid‘ah seperti Qadariyyah, Najjаriyyah, Jahmiyyah, Jismiyyah, Rawаfidh dan Khawаrij. Karya-karya beliau bertebaran ke serata tempat dan menjadi rujukan ramai ulama selepasnya. Di samping itu, beliau dikurniakan dengan pengikut yang ramai sehingga keseluruhan ahli hadith dan ahli al-ra’y yang tidak terpengaruh dengan Mu‘tazilah berada di atas mazhab beliau. (Lihat Usul al-Din, hlm. 309-310)
Menurut Abdul Qahir al-Baghdadi, bahawa pembahagian Ahli al-Sunnah wa al-Jama’ah boleh dibahagikan kepada lapan bahagian iaitu:
- Mereka yang terdiri daripada ahli ilmu tauhid dan ilmu kalam termasuklah yang dikatakan sebagai sifatiyyah yang bebas dari segala unsur seperti bid’ah, tasybih, ta’til dan golongan Najjariah, Rafidhah, Khawarij, Jahmiyyah dan sebagainya.
- Mereka yang terdiri daripada imam fiqh sama ada yang cenderung kepada aliran ahli al-Ra’yi mahupun aliran ahli al-Hadith. Mereka ini berkeyakinan kepada perkara usuluddin dengan aliran sifatiyah yang membicarakan sifat-sifat-Nya yang azali tanpa tasybih dan ta’til yang bebas daripada unsur Qadariyah dan Mu‘tazilah. Mereka ini termasuklah Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam al-Syafi’i, al-Auza’i, al-Thauri, Ibn Abi Laila, pengikut Abu al-Thaur, pengikut Ahmad bin Hanbal, ahli al-Zahir. Dan mereka ini tidak mencampurkannya dengan apa-apa daripada ahli bid’ah dan hawa nafsu.
- Mereka yang menguasai bidang ilmu periwayatan hadith dan sunnah Nabi SAW. Mereka boleh membezakan perkara yang sahih dan batil, mengetahui sebab al-jarh wa ta’dil (kredibiliti perawi), dan mereka tidak memasukkan apa-apa pun ke dalam ilmu mereka daripada perkara bid’ah yang menyesatkan.
- Mereka yang menguasai ilmu berkenaan bahasa Arab dan sastera, antaranya ilmu Nahu dan Saraf. Mereka adalah pakar bahasa antaranya ialah Sibawaih, al-Khalil, Abu ‘Amr bin al-‘Ala’, al-Akhfasy, al-Asma’i, Abu ‘Ubaid dan seluruh imam nahu sama ada ulama Basrah mahupun Kufah yang tidak mencampurkan sesuatu ke dalam ilmu mereka sesuatu daripada bid’ah Qadariyah, Rafidhah atau Khawarij. Maka, sekiranya mereka cenderung ke arah nafsu dan kesesatan, maka ia bukanlah termasuk golongan Ahli al-Sunnah wa al-Jama’ah, walaupun kata-katanya adalah hujah dalam ilmu bahasa.
- Mereka yang menguasai ilmu berkaitan qiraat untuk al-Quran dan tafsir al-Quran, penakwilannya adalah berasaskan mazhab-mazhab ahli sunnah tanpa berpegang dengan takwilan ahli nafsu yang sesat.
- Mereka adalah para zuhud yang memerhatikan, maka ia mendapat ilmu, yang diuji maka diambil iktibar daripadanya, mengetahui bahawa segala penglihatan, pendengaran dan hati akan dipertanggungjawabkan dan dihisab dengan neraca kelak. Mereka menafikan tasybih, mazhab mereka adalah tafwidh (penyerahan terhadap Allah) kepada Allah, bertawakal kepada-Nya, penyerahan kepada-Nya, tenang dengan apa yang direzekikan-Nya.
- Mereka yang berada di barisan hadapan dalam jihad melawan musuh-musuh Islam, menjaga kesucian Islam, sanggup meninggalkan rumah dan isteri mereka dan jelas pada mereka mazhab Ahli al-Sunnah wa al-Jama’ah.
- Negara yang zahir kebanyakan syiar Ahli al-Sunnah wa al-Jama’ah di dalamnya, bukannya syiar ahli hawa nafsu yang menyesatkan.
Justeru, menurut al-Baghdadi, beliau menyimpulkan bahawa Ahli al-Sunnah wa al-Jama’ah itu adalah para imam dan pengikut mereka dalam pelbagai bidang keilmuan Islam yang berpegang dengan ajaran Nabi Muhammad SAW, para sahabat, salafussoleh, dan kekal dengan manhajnya sehingga kini. (Lihat al-Farq Baina al-Firaq, hlm. 299-303)
Tarjih
Selepas menekuni definisi, dalil-dalil, dan banyak lagi perbahasan berkenaan istilah Ahli al-Sunnah wa al-Jama‘ah, kami katakan bahawa mereka yang berpegang teguh dengan Kitab Allah, Sunnah Nabi SAW dan berjalan mengikut perjalanan para sahabat serta yang mengikut jejak langkah mereka daripada kalangan ulama sama ada mereka ahli hadith, fuqaha’, tasawuf dan mereka yang benar keimanannya.
Pendapat Fadhilatul Imam al-Akbar Prof. Dr. Ahmad al-Tayyib juga hendaklah dijadikan rujukan dalam menafsirkan golongan Ahli al-Sunnah wa al-Jama‘ah. Menurutnya, Ahli al-Sunnah wa al-Jama‘ah ialah:
- Al-Asya‘irah
- Al-Maturidiyyah
- Ahli Hadith
- Ahli Tasawwuf dan ilmu Suluk
- Fuqaha’ al-Hanafiyyah
- Fuqaha’ al-Malikiyyah
- Fuqaha’ al-Syafi‘iyyah
- Mereka yang mu‘tadil daripada kalangan fuqaha’ al-Hanabilah/al-Athariyyah.
- Ulama nahu dan ahli bahasa
Begitu juga, boleh ditambah sebagai pelengkap kepada golongan ini mengikut apa yang disebut oleh Abu Mansur ‘Abd al-Qahir al-Baghdadi, antara lain menyebut:
- Mereka yang menguasai ilmu berkaitan qiraat dan tafsir al-Quran, serta takwilannya yang berasaskan mazhab-mazhab Ahli Sunnah tanpa berpegang dengan takwilan ahli nafsu yang sesat.
- Mereka yang berada di barisan hadapan dalam berjihad melawan musuh-musuh Islam, menjaga kesucian agama, dan sanggup meninggalkan rumah serta keluarga mereka. Mereka juga berpegang teguh kepada mazhab Ahli al-Sunnah wa al-Jama‘ah.
- Negara yang menonjolkan syiar-syiar Ahli al-Sunnah wa al-Jama‘ah, dan bukan syiar golongan yang sesat dan mengikuti hawa nafsu.
Istilah Ahli al-Sunnah wa al-Jama‘ah ini juga menurut Syeikh Dr Yusuf al-Qaradhawi, tujuan utama daripadanya adalah untuk menyatukan majoriti umat di bawah satu payung, bukan untuk menjadikan nama ini sebagai alat untuk bertelagah dan berpecah belah, dengan sesetengah pihak dalam kalangan Ahli al-Sunnah cuba memonopoli nama ini dan mengeluarkan yang lain dari payungnya yang bersifat menyeluruh.
Oleh itu, beliau mengkritik sebahagian salafi kerana keterlaluan mereka dalam menuduh bid‘ah dan fasik terhadap mereka yang berbeza pendapat dari kalangan Ahli al-Sunnah seperti golongan al-Asya‘irah dan al-Maturidiyyah. Beliau juga mengkritik sebahagian dalam kalangan al-Asya‘irah yang keterlaluan dalam menuduh salafi dengan kesesatan dan penyelewengan, menuduh mereka dengan perkara yang tidak mereka katakan dalam agama Allah, dan menuduh mereka dengan tajsim (menganggap Allah sebagai makhluk) dan tasybih (menyerupakan Allah dengan makhluk), padahal mereka berlepas diri dari kedua-duanya dalam semua tulisan mereka. Sehinggakan sebahagian al-Asya‘irah ini berkata buruk tentang al-Imam al-Rabbani Ulama al-Ummah dan Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah. Ini perkara yang tidak wajar dan tidak boleh diterima dalam apa jua keadaan.
Dalam kesimpulan kenyataannya, beliau menegaskan bahawa Ahli al-Sunnah wa al-Jama‘ah adalah umat Islam secara keseluruhannya dan majoritinya. Mereka bukan hanya satu aliran sahaja dari berbagai aliran-aliran yang ada, atau satu mazhab sahaja dari banyak mazhab yang ada. Sekalipun mungkin terdapat sebahagian kecil daripada setiap aliran ini yang sesat atau menyimpang, Allah telah melindungi umat Islam secara keseluruhannya agar tidak bersatu dalam kesesatan.[1]
Bahkan, Majma‘ al- Fiqh al-Islami al-Duali juga menyatakan bahawa Ahli al-Sunnah wa al-Jama‘ah adalah semua yang bersaksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan Muhammad adalah utusan Allah, serta menghormati para sahabat Rasulullah SAW, memuliakan dan menyayangi ahli keluarga Baginda. Mereka juga menegaskan bahawa Ahli al-Sunnah wa al-Jama‘ah adalah sesiapa sahaja yang beriman dengan rukun-rukun iman dan yakin dengan rukun-rukun Islam, serta tidak menafikan perkara yang diketahui umum dalam agama secara pasti, seperti menghalalkan perkara yang diharamkan syariat dengan tegas, seperti membunuh.
Beginilah kefahaman terhadap istilah Ahli al-Sunnah wa al-Jama‘ah yang sepatutnya dibawakan oleh ahli ilmu, terutamanya badan-badan berautoriti agama yang bertanggungjawab mengharmonikan masyarakat Islam di sesebuah negara itu. Kefahaman ini juga selari dengan hadith yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ صَلَّى صَلَاتَنَا وَاسْتَقْبَلَ قِبْلَتَنَا وَأَكَلَ ذَبِيحَتَنَا فَذَلِكَ الْمُسْلِمُ الَّذِي لَهُ ذِمَّةُ اللَّهِ وَذِمَّةُ رَسُولِهِ
Maksudnya: “Sesiapa yang bersolat seperti solat kita, menghadap (sebagaimana kita menghadap) ke kiblat kita, makan (sebagaimana kita makan) sembelihan kita, maka dia adalah Muslim. Baginya jaminan Allah dan Rasul-Nya.”
Riwayat al-Bukhari (391), al-Tirmizi (2608), Abu Daud (2641), al-Nasa’ie (4997)
Imam al-Tahawi berkata: “Dan kami menamakan ahli kiblat sebagai muslimin dan mukminin, selama mana mereka mengiktiraf dan membenarkan apa yang dibawa dan dikhabarkan oleh Baginda Nabi Muhammad SAW.” (Lihat al-Aqidah al-Tahawiyyah tahqiq al-Arnauth, 2/432)
Imam Ibn Abi al-‘Izz al-Hanafi ketika mensyarahkan kata-kata Imam al-Tahawi menyebut: “Dalam kata-katanya ini, Syeikh al-Tahawi memberitahu bahawa Islam dan iman adalah satu dan seorang Muslim tidak keluar dari Islam disebabkan melakukan dosa selagi dia tidak menghalalkannya.
Maksud ahl al-qiblah ialah orang yang mengaku sebagai Islam dan menghadap ke Kaabah sekalipun daripada kalangan orang yang suka mengikut hawa nafsu atau daripada kalangan ahli maksiat selagi dia tidak mendustakan sesuatu daripada ajaran yang dibawa oleh Nabi SAW.” (Lihat Syarh al-‘Aqidah al-Tahawiyyah oleh Ibn Abi al-‘Izz al-Hanafi, 2/78)
Perkara yang memasukkan seseorang dalam keimanan ialah membenarkan dalam hati dengan teguh, akur dengan penuh mendalam dan penyerahan hati terhadap apa yang diturunkan Allah dan diwahyukan kepada rasul-Nya. Maka ucapan tauhid adalah merupakan bukti terhadap perkara tersebut. (Lihat al-Syarh al-Kabir ‘ala al-‘Aqidah al-Tahawiyyah, hlm. 953)
Inilah juga sepertimana yang kami jelaskan dalam buku kami, Ahli Sunnah wa al-Jama’ah: Siapakah Mereka (hlm. 53)
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami sebagai pemimpin bagi orang yang bertaqwa. (Lihat Mazahib Ahl al-Sunnah oleh Ibn Syahin, no. 38, hlm 40; Tafsir al-Quran al-’Azim, 3/75)
Nota Hujung:
[1] Lihat https://www.al-qaradawi.net/node/2171. Diakses 4 Julai 2024.