#7680: Cucu-cucu Rasulullah SAW Selain daripada Keturunan Ali dan Fatimah R.Anhuma

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Siapakah cucu-cucu Nabi Muhammad SAW selain daripada keturunan Saidina Ali R.A dengan Fatimah R.Anha? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Sesungguhnya, Rasulullah SAW bukan sahaja rahmat bagi sekalian alam, tetapi keluarganya juga adalah pelita terang yang membawa cahaya iman, akhlak mulia, dan kesabaran luar biasa. Anak-anak dan cucu-cucu Baginda bukan sekadar penerus keturunan, tetapi simbol keagungan nilai Islam yang kekal sepanjang zaman. Allah SWT sendiri mengabadikan pujian-Nya kepada mereka dengan firman-Nya:

إِنَّمَا يُرِيدُ اللَّهُ لِيُذْهِبَ عَنكُمُ الرِّجْسَ أَهْلَ الْبَيْتِ وَيُطَهِّرَكُمْ تَطْهِيرًا

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah (perintahkan kamu dengan semuanya itu) hanyalah kerana hendak menghapuskan perkara-perkara yang mencemarkan diri kamu — wahai Ahlul Bait dan hendak membersihkan kamu sebersih-bersihnya (dari segala perkara yang keji).”

(Surah al-Ahzab: 33)

Seterusnya, berbalik kepada soalan di atas, kami katakan bahawa cucu-cucu Rasulullah SAW yang bukan daripada keturunan Ali dan Fatimah R.Anhuma adalah seramai tiga orang. Mereka ialah Ali bin Abu al-‘As R.Anhuma, Umamah binti Abu al-‘As R.Anhuma dan Abdullah bin Uthman.

Kami sebutkan juga di sini secara ringkas biodata mereka bertiga.

Pertama: Ali bin Abu al-‘As R.Anhuma

Beliau ialah Ali bin Abu al-‘As bin Rabi‘ bin ‘Abd al-‘Uzza bin ‘Abd Syams bin Umayyah al-Qurasyi al-‘Absyami. Ibunya pula bernama Zainab R.Anha. Terdapat riwayat menceritakan bahawa Ali bin al-‘As meninggal dunia ketika hampir mencapai usia baligh, dan Nabi SAW memboncengnya di atas tunggangan Baginda pada hari Pembukaan Kota Makkah. Justeru, Ali bin Abu al-‘As memasuki Makkah, dan beliau ketika itu sedang berada di belakang Rasulullah SAW di atas tunggangan Baginda. Namun, sebahagian ahli ilmu nasab menyebutkan, beliau terbunuh pada hari peperangan Yarmuk. (Lihat al-Isabah fi Tamyiz al-Sahabah, 4/469; al-Isti‘ab fi Ma‘rifah al-Ashab, 3/1134).

Kedua: Umamah binti Abu al-‘As R.Anhuma

Beliau ialah Umamah binti Abu al-‘As bin Rabi‘ bin ‘Abd al-‘Uzza bin ‘Abd Syams bin ‘Abd Manaf al-‘Absyamiyyah. Beliaulah yang didukung oleh Rasulullah SAW ketika dalam solat Baginda. Beliau adalah anak kepada puteri Rasulullah SAW, Zainab R.Anha.

Umamah R.Anha telah berkahwin dengan Ali bin Abu Talib R.A selepas kewafatan Fatimah R.Anha. Hal ini kerana bapanya, Abu al-As telah mewasiatkannya agar menikahi Ali R.A. Ali bin Abu Talib R.A telah bernikah dengan Umamah R.Anha pada zaman pemerintahan Umar, dan beliau telah tinggal bersama Ali dalam suatu tempoh. Kemudian beliau telah meneruskan hidupnya selepas kematian suaminya, Ali R.A, sehinggalah beliau mengahwini al-Mughirah bin Naufal bin al-Harith bin ‘Abd al-Muttalib al-Hasyimi.

Umamah R.Anha telah meninggal dunia di sisi suaminya, al-Mughirah selepas melahirkan anak hasil daripada perkahwinan tersebut, bernama Yahya bin al-Mughirah. Beliau meninggal dunia pada zaman pemerintahan Mu‘awiyah bin Abu Sufyan. Menurut al-Zahabi, tidak terdapat apa-apa riwayat daripada jalurnya. (Lihat Siyar A‘lam al-Nubala’, 1/335; al-Isabah fi Tamyiz al-Sahabah, 8/24-26; al-Isti‘ab fi Ma‘rifah al-Ashab, 4/1788-1790).

Ketiga: Abdullah bin Uthman R.Anhuma

Bapanya ialah Uthman bin ‘Affan R.A dan ibunya pula ialah Ruqayyah binti Rasulullah SAW. Abdullah lahir di Habasyah ketika ibu bapanya berhijrah ke sana.

Walau bagaimanapun, Abdullah bin Uthman R.Anhuma hanya sempat hidup selama 6 tahun. Menurut Mus‘ab, ketika usianya 6 tahun, dia telah ditimpa musibah di mana seekor ayam jantan telah mematuk (mukanya) di bahagian mata, lalu mukanya menjadi bengkak dan dia jatuh sakit. Setelah itu, dia meninggal dunia.

Sebahagian ulama menyebutkan, beliau meninggal dunia pada bulan Jamadil Awal tahun 4 Hijrah ketika berusia 6 tahun. Rasulullah SAW sendiri telah mendirikan (mengimamkan) solat jenazah ke atasnya, dan jenazahnya pula telah dibawa turun ke dalam liang lahad oleh bapanya sendiri, Uthman bin ‘Affan R.A. (Lihat al-Isti‘ab fi Ma‘rifah al-Ashab, 4/1840; Siyar A‘lam al-Nubala’, 2/251).

Bagi mereka yang ingin mendapatkan penjelasan dan maklumat tambahan berkenaan biodata cucu-cucu Rasulullah SAW, bolehlah merujuk kepada buku kami, Garis Masa Hayat al-Rasul SAW, (hlm. 340-353).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu.”