#7681: Dalil yang Sudah Jelas

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bagaimana sikap yang sepatutnya apabila mendapati dalil yang sudah jelas dan sahih?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَمَآ ءَاتَىٰكُمُ ٱلرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَىٰكُمْ عَنْهُ فَٱنتَهُوا۟ ۚ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ ۖ إِنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلْعِقَابِ

Maksudnya: “Apa yang dibawa oleh rasul kepada kamu semua, maka ambillah dan apa yang dilarang oleh rasul maka tinggalkanlah. Bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah amat dahsyat hukuman-Nya.”

(Surah al-Hasyr: 7)

Imam Ibn Kathir berkata selagi mana suruhan itu daripada Nabi hendaklah dilakukan dan apa yang dilarang hendaklah ditinggalkan. Sesungguhnya apa yang diperintahkan Baginda akan membawa kepada kebaikan dan apa yang dilarang itu akan membawa kepada keburukan. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 13/485)

Berkenaan persoalan di atas, selepas mendapati dalil dan ia sahih, maka tiada ruang dan peluang kecuali mengikutinya. Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah berkata, ketahuilah bahawa tidak ada seorang pun dari kalangan para imam – iaitu mereka yang diterima oleh umat Islam secara umumnya – yang secara sengaja ingin menyelisihi Rasulullah SAW dalam apa jua sunnah Baginda, sama ada sekecil-kecil perkara dan sebesar-besar perkara.

Mereka bersepakat dengan penuh yakin tentang kewajipan mengikut telunjuk Rasulullah SAW. Mungkin kata-kata dari orang lain boleh diambil atau ditinggalkan, tetapi tidak boleh berbuat demikian bagi Rasulullah SAW. Sekiranya benar seseorang itu mendapati adanya dalil sahih yang lain bercanggah dengan suatu dalil tertentu, dia boleh meninggalkan salah satu dari dalil tersebut dengan salah satu dari keuzuran tersebut:

  • Dalil yang ditinggalkan itu tidak diyakini datang dari Rasulullah SAW.
  • Dalil yang ditinggalkan itu atas sebab ketidaksesuaian dengan permasalahan yang dibincangkan.
  • Dalil itu telah dimansukhkan dengan dalil yang lain. (Lihat Raf‘ al-Malam, 8-9)

Justeru, apabila telah zahir kebenaran suatu dalil, maka wajib berpegang dengannya dan tidak boleh berpaling darinya. Begitu juga tiada keuzuran bagi sesiapa pun di sisi Allah SWT untuk mengikut mana-mana pandangan yang mana telah diketahui bahawa tertegaknya dalil lain yang thabit bertentangan dengannya. Sesiapa yang dengan sengaja hendak menyelisihi dalil yang thabit tersebut, dia tidak ada bezanya dengan golongan yang dicela oleh Allah SWT, sebagaimana firman-Nya:

اتَّخَذُوا أَحْبَارَهُمْ وَرُهْبَانَهُمْ أَرْبَابًا مِّن دُونِ اللَّهِ

Maksudnya: “Mereka menjadikan pendita-pendita dan ahli-ahli agama mereka sebagai pendidik-pendidik selain dari Allah, dan juga (mereka mempertuhankan).”

(Surah al-Taubah: 13)

Ayat ini pada asalnya ditujukan kepada golongan Yahudi dan Nasrani yang memperhambakan diri mereka terhadap pendeta serta rahib, sehingga tahap mendakwa bahawa mereka ini adalah anak-anak Allah SWT – Maha Suci Allah dari segala dakwaan tersebut. Celaan ini ditujukan kerana golongan Yahudi dan Nasrani ini tetap mengambil kata-kata pendeta serta rahib mereka, yang secara terang-terangan menyelisihi dengan hukum-hakam yang telah diketahui dalam agama Islam secara pasti. Mereka percaya bahawa pendeta dan rahib ini boleh menghalalkan apa sahaja yang Allah SWT haramkan, dan mereka juga boleh mengharamkan apa jua yang Allah SWT halalkan. Perkara ini cukup banyak berlaku dalam fahaman kedua-dua agama tersebut. (Lihat al-Tahrir wa al-Tanwir, 10/170)

Alhamdulillah, kita hidup di zaman wujudnya mazhab yang muktabar di mana imam-imam yang mujtahidin telah menggali, mengkaji dan mengistinbatkan dalil-dalil. Begitu juga, kesinambungan ini diteruskan lagi oleh Ashab dan pengikutnya sehingga ke hari ini. Maka wujudlah mazhab Hanafi, Maliki, Syafi’i dan Hanbali yang dianggap muktabar. Justeru, kami katakan, dengan mengikut mazhab juga termasuk dalam mengikut dalil kerana mereka bersandarkan kepada dalil sehingga kata Imam al-Syafi’i Rahimahullah dalam ucapannya yang masyhur:

إِذَا صَحَّ الْحَدِيثُ فَهُوَ مَذْهَبِيٌّ

Maksudnya: “Sekiranya sahih sesuatu hadith maka itulah mazhabku.

Para ulama muktabar telah menjelaskan makna dan maksud pernyataan Imam al-Syafie tersebut. Mereka mengatakan ia ditujukan kepada para mujtahid mazhab. Al-Hafiz Ibn al-Salah telah menulis perbahasan ini dalam Adab al-Mufti wa al-Mustafti, demikian juga murid beliau Imam al-Nawawi dalam muqadimah al-Majmu’, juga Imam al-Mujtahid Taqiyyuddin al-Subki menulis risalah khusus mengenai hal ini berjudul, Ma’na Qauli al-Imam Muttalibi: ‘إِذَا صَحَّ الْحَدِيثُ فَهُوَ مَذْهَبِيٌّ’.

Tidak ketinggalan juga para ulama mazhab lainnya juga menjelaskan apa maksud kenyataan itu ketika disampaikan oleh imam mazhab mereka. Ini kerana, menurut Ibn ‘Abd al-Barr dan al-Sya’rani, setiap imam dalam mazhab empat sememangnya berpegang dengan kaedah tersebut dalam mengatakan keharusan berpegang dengan hadith da’if dalam bab kelebihan beramal. (Lihat: al-Durr al-Mukhtar, 1/385)

Secara ringkasnya, para ulama bersepakat bahawa maksud daripada kenyataan Imam al-Syafie dan imam-imam lain, “Jika hadis itu sahih maka ia  adalah mazhabku”, ditujukan kepada para ulama yang mujtahid. Ia sekali-kali tidak ditujukan kepada orang awam yang bukan ahli ijtihad. Ini kerana, jika para ulama besar sendiri adakalanya kurang tepat dalam memahami ijtihad Imam al-Syafie disebabkan keterbatasan dalam kajian, bagaimana pula dengan kita yang tidak alim dan faqih, apatah lagi bukan ahli ijtihad atau mujtahid yang mampu untuk mengkritisi pendapat Imam al-Syafie, lalu meninggalkannya dengan sewenang-wenangnya.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami sebagai pemimpin bagi orang yang bertaqwa. (Lihat Mazahib Ahl al-Sunnah oleh Ibn Syahin, no. 38, hlm 40;  Tafsir al-Quran al-’Azim, 3/75)