Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, adakah terdapat amalan atau doa yang disyariatkan dan dinyatakan dalam sunnah Nabi SAW untuk dibaca ketika berlaku gempa bumi atau bencana alam? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
قُلِ اللَّهُ يُنَجِّيكُم مِّنْهَا وَمِن كُلِّ كَرْبٍ ثُمَّ أَنتُمْ تُشْرِكُونَ
Maksudnya: Katakanlah: “Allah jualah yang menyelamatkan kamu dari bencana itu dan dari segala jenis kesusahan; dalam pada itu, kamu (masih) mempersekutukan (Allah dengan sesuatu yang lain)”
(Surah al-’An‘am:64)
Ibn Jarir al-Tabari menyatakan: Allah SWT berfirman kepada Nabi Muhammad SAW: Katakanlah kepada mereka yang menyekutukan Tuhan mereka dengan selain-Nya, iaitu berhala-berhala dan tuhan-tuhan palsu: Apabila kamu bertanya kepada mereka tentang siapa yang mereka mohon pertolongan ketika menghadapi kesulitan di daratan dan lautan, jawapan mereka adalah: Allah. Dialah yang berkuasa menyelamatkan kamu daripada kesusahan yang menimpa, membebaskan kamu daripada musibah besar yang melanda di darat dan laut, sama ada ia berupa kebingungan, ketakutan terhadap kematian, atau apa sahaja kesulitan lain. Bukanlah tuhan-tuhan yang kamu sekutukan dengan-Nya, bukan pula berhala-berhala yang kamu sembah selain-Nya, yang tidak mampu memberikan manfaat atau mudarat kepada kamu.
Namun, setelah Allah melebihkan kamu dengan menghilangkan kesulitan yang menimpa dan menjauhkan musibah besar yang membebankan, kamu tetap menyamakan Allah dengan tuhan-tuhan dan berhala-berhala kamu. Kamu mempersekutukan mereka dalam ibadah kepada Allah. Ini menunjukkan kejahilan kamu terhadap hak-Nya yang wajib kamu tunaikan, kekufuran terhadap nikmat-nikmat-Nya ke atas kamu, dan tindakan kamu yang mengundang kemurkaan serta azab-Nya dengan segera. (Lihat Jami’ al-Bayan, 11/415)
Dalam menjawab bagi persoalan di atas, dalam menghadapi situasi bencana, Nabi SAW telah mengajarkan umat Islam beberapa doa dan zikir yang dapat diamalkan. Doa-doa ini berfungsi untuk memohon perlindungan kepada Allah SWT, sambil menzahirkan rasa kebergantungan dan tawakal sepenuhnya kepada-Nya. Amalan ini diajarkan untuk menenangkan hati dan menguatkan keyakinan ketika berhadapan dengan situasi mencabar atau bencana alam. Antara doa yang dianjurkan adalah sebagaimana berikut:
- Diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Umar bahawa beliau berkata:
كانَ إِِذَا سَمِعَ صَوتَ الرَّعدِ والصَّواعقِ قالَ اللَّهمَّ لا تقتُلْنا بغضبِكَ ولا تُهْلِكْنا بعذابِكَ وعافنا قبلَ ذلِكَ
Maksudnya: “Apabila Baginda SAW mendengar bunyi guruh dan petir, Baginda berdoa: “Ya Allah, janganlah Engkau membinasakan kami dengan kemurkaan-Mu, janganlah Engkau membinasakan kami dengan azab-Mu, dan berikanlah keselamatan kepada kami sebelum itu.”
Riwayat al-Tirmizi (3450)
- Diriwayatkan daripada Thauban Maula Rasulullah SAW bahawa beliau berkata:
أنَّ النَّبيَّ صلّى اللهُ عليه وسلَّم كان إذا راعه شيءٌ قال: هو اللهُ، اللهُ رَبِّي لا شريكَ له
Maksudnya: “Sesungguhnya Nabi SAW, apabila Baginda merasa takut akan sesuatu, Baginda akan mengucapkan: “Dia adalah Allah, Allah Tuhanku, tiada sekutu bagi-Nya.”
Riwayat al-Nasa’i dalam Sunan al-Kubra (10418)
- Diriwayatkan daripada ‘Aisyah R.Anha bahawa beliau berkata:
كَانَ النبيُّ ﷺ إذا عَصَفَتِ الرِّيحُ، قالَ: اللَّهُمَّ إنِّي أَسْأَلُكَ خَيْرَها، وَخَيْرَ ما فِيها، وَخَيْرَ ما أُرْسِلَتْ به، وَأَعُوذُ بكَ مِن شَرِّها، وَشَرِّ ما فِيها، وَشَرِّ ما أُرْسِلَتْ به، قالَتْ: وإذا تَخَيَّلَتِ السَّماءُ، تَغَيَّرَ لَوْنُهُ، وَخَرَجَ وَدَخَلَ، وَأَقْبَلَ وَأَدْبَرَ، فَإِذا مَطَرَتْ، سُرِّيَ عنْه، فَعَرَفْتُ ذلكَ في وَجْهِهِ، قالَتْ عائِشَةُ: فَسَأَلْتُهُ، فَقالَ: لَعَلَّهُ، يا عائِشَةُ كما قالَ قَوْمُ عادٍ: ﴿فَلَمّا رَأَوْهُ عارِضًا مُسْتَقْبِلَ أَوْدِيَتِهِمْ قالوا هذا عارِضٌ مُمْطِرُنا﴾[الأحقاف:٢٤]
Maksudnya: “Rasulullah SAW, apabila angin bertiup kencang, Baginda berdoa: “Ya Allah, aku memohon kepada-Mu kebaikan angin ini, kebaikan yang terkandung di dalamnya, dan kebaikan tujuan ia diutuskan. Aku berlindung kepada-Mu daripada keburukannya, keburukan yang terkandung di dalamnya, dan keburukan tujuan ia diutuskan.”
Aisyah R.A berkata: “Apabila langit mulai gelap (mendung), warna wajah Baginda berubah, Baginda keluar masuk rumah, ke depan dan ke belakang. Namun, apabila hujan turun, kegelisahan Baginda redha, dan aku dapat melihat keceriaan di wajahnya.”
Aisyah bertanya kepada Baginda tentang hal itu, lalu Baginda bersabda: “Wahai Aisyah, mungkin keadaannya seperti apa yang telah dikatakan oleh kaum ‘Ad: “Maka apabila mereka melihat azab itu sebagai awan yang menghala ke lembah-lembah mereka, mereka berkata: “Ini ialah awan yang akan membawa hujan kepada kita!” (Surah al-Ahqaf:24)
Riwayat Muslim (899)
Hadith-hadith ini dan yang seumpamanya menunjukkan bahawa disunatkan untuk berdoa ketika berlakunya gempa bumi atau kejadian lain yang menimbulkan ketakutan atau kegelisahan akibat bencana dan malapetaka. Yang demikian juga sebagaimana yang dinyatakan oleh al-Khatib al-Syarbini iaitu: Disunatkan bagi setiap individu untuk merendahkan diri dan berdoa serta melakukan amalan seumpamanya ketika berlaku gempa bumi dan kejadian lain seperti petir, angin kencang, dan tanah runtuh. Juga disunatkan untuk menunaikan solat secara bersendirian di rumah, sebagaimana yang dinyatakan oleh Ibn al-Muqri, agar tidak termasuk dalam golongan yang lalai. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/602)
Selain itu juga, Syeikh al-Islam Zakariya al-Ansari menyatakan bahawa: Disunatkan bagi hamba-hamba Allah untuk menunaikan solat ketika berlakunya gempa bumi atau kejadian seumpamanya, seperti gerhana bulan, petir, atau angin kencang, agar mereka tidak tergolong dalam golongan yang lalai. Ini juga kerana Saidina Umar R.A pernah menganjurkan untuk menunaikan solat ketika berlakunya gempa bumi. (Lihat al-Ghurar al-Bahiyyah fi Syarh al-Bahjah al-Wardiyyah, 2/66)
Kesimpulan
Islam menganjurkan umatnya untuk sentiasa bergantung kepada Allah SWT ketika menghadapi kesulitan, bencana, atau perkara yang menimbulkan kegelisahan. Dengan mengamalkan doa dan zikir yang diajarkan oleh Rasulullah SAW, seseorang dapat memupuk rasa tawakal dan kebergantungan kepada Allah, selain memohon perlindungan dan kebaikan daripada-Nya. Keadaan seperti gempa bumi, angin kencang, atau bencana lain seharusnya menjadi peringatan kepada manusia tentang kekuasaan Allah serta mendorong mereka untuk bertaubat, merendahkan diri, dan memperbanyakkan ibadah seperti solat, zikir, dan doa. Tindakan ini bukan sahaja mencerminkan keimanan yang teguh, tetapi juga membantu individu dan masyarakat menghadapinya dengan ketenangan jiwa dan keyakinan kepada rahmat Allah SWT.
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا ظَلَمْنَا أَنْفُسَنَا ظُلْمًا كَثِيرًا، ولَا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إلَّا أنْتَ، فَاغْفِرْ لَنَا مَغْفِرَةً مِنْ عِنْدِكَ، وَارْحَمْنَا، إِنَّكَ أَنْتَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ
Maksudnya: “Ya Allah! Sungguh kami telah menzalimi diri kami dengan kezaliman yang banyak, sedangkan tidak ada yang dapat mengampuni dosa-dosa kecuali Engkau. Maka ampunilah kami dengan suatu pengampunan dari sisi-Mu, dan rahmatilah kami. Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”
Wallahua‘lam