#7684: Qadha Solat Sunat Sebelum Subuh

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah boleh mengqadhakan solat sunat sebelum subuh?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Solat Sunat Qabliyah Subuh boleh diqadha’kan jika seseorang itu tidak dapat melaksanakannya pada waktunya. Maka ia boleh dikerjakan setelah terbitnya matahari dengan niat qadha’. Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Abu Hurairah R.A, beliau berkata: Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ لَمْ يُصَلِّ رَكْعَتَيْ الْفَجْرِ فَلْيُصَلِّهِمَا بَعْدَ مَا تَطْلُعُ الشَّمْسُ

Maksudnya: “Sesiapa yang tidak sempat mengerjakan solat rawatib dua rakaat sebelum Subuh, maka hendaklah dia mengerjakannya setelah matahari terbit.”

Riwayat al-Tirmizi (388). Syeikh Syu’aib al- Arna’ut dalam Takhrij Syarh al-Sunnah (3/335) menilai sanad hadith ini sebagai hasan.

Selain itu, dibolehkan juga untuk mengqadha’kan solat Qabliyah Subuh itu sebaik sahaja selesai solat fardhu Subuh. Hal ini sebagaimana yang diriwayatkan daripada Qais al-Ansari R.A, katanya:

رَأَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَجُلًا يُصَلِّي بَعْدَ صَلَاةِ الصُّبْحِ رَكْعَتَيْنِ. فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: صَلَاةُ الصُّبْحِ رَكْعَتَانِ . فَقَالَ الرَّجُلُ : إِنِّي لَمْ أَكُنْ صَلَّيْتُ الرَّكْعَتَيْنِ اللَّتَيْنِ قَبْلَهُمَا فَصَلَّيْتُهُمَا الآنِ. فَسَكَتَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.

Maksudnya: “Rasulullah SAW telah melihat seseorang sedang mengerjakan solat sunat setelah mengerjakan solat Subuh. Baginda lalu bersabda: ‘Solat subuh itu hanya dua rakaat.’ Lelaki tersebut berkata: ‘Sesungguhnya tadi aku belum mengerjakan solat sunat dua rakaat sebelum Subuh, oleh itu aku mengerjakannya sekarang.’ Rasulullah SAW pun diam (menandakan Baginda bersetuju).”

Riwayat Abu Dawud (1267). Hadith ini dinilai sahih berdasarkan pengarang Sahih Abu Dawud (1267).

Namun begitu, solat sunat Qabliyah tidak boleh diqadha’kan disebabkan sengaja meninggalkannya. Solat sunat Qabliyah hanya boleh diqadha’kan sekiranya wujud keuzuran (alasan) yang tidak dapat dielakkan seperti terlupa, tertidur, pengsan, hilang akal dan terlalu sibuk dengan hal yang lebih penting. Sekiranya seseorang itu secara sengaja meninggalkan solat sama ada fardhu mahupun sunat tanpa alasan yang kukuh maka tidak dibenarkan baginya untuk menggadha’kannya.

Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita kefaqihan dalam beragama, kekuatan untuk melaksanakan amal soleh, serta kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Dialah jua yang menjaga dan memelihara orang-orang yang soleh.

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan dibolehkan untuk mengqadhakan solat sunat sebelum subuh dengan syarat ia bukan ditinggalkan dengan sengaja.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إني أسألُكَ مُوجِباتِ رَحْمَتِكَ، وَعَزَائِمَ مَغْفِرَتِكَ وَالسَّلامَةَ مِنْ كُلِّ إثْمٍ، وَالفَوْزَ بالجَنَّةِ، وَالنَّجاةَ مِنَ النَّارِ

Maksudnya: “Ya Allah! Aku memohon kepada-Mu segala asbab yang mewajibkan rahmat-Mu, dan segala sesuatu yang mendatangkan keampunan-Mu, keselamatan dari segala dosa, kejayaan dengan syurga dan berjaya selamat daripada api neraka.”

Wallahu a‘lam.