Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah fadhilat solat sunat sebelum asar?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Antara fadhilat solat sunat sebelum Asar ialah:
Pertama: Dibina istana dalam syurga
Daripada Ummu Habibah binti Abu Sufyan R.Anha berkata: Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ حَافَظَ عَلَى أَرْبَعِ رَكَعَاتٍ قَبْلَ الْعَصْرِ بَنَى اللَّهُ لَهُ بَيْتًا فِي الْجَنَّةِ
Maksudnya: “Sesiapa yang memelihara empat rakaat sunat sebelum Asar, nescaya Allah SWT membina untuknya sebuah istana di Syurga.”
Riwayat Abu Ya’la dalam Musnadnya (7137) dan al-Munziri dalam al-Targhib wa al-Tarhib (1/275). Al-Albani dalam Dhaif al-Targhib (327) menilai hadith ini sebagai dhaif.
Daripada Abdullah bin ‘Amr R.Anhuma, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ صَلَّى أَرْبَعَ رَكَعَاتٍ قَبْلَ الْعَصْرِ لَمْ تَمَسَّهُ النَّارُ
Maksudnya: “Siapa yang solat sunat empat rakaat sebelum Asar nescaya tidak disentuh oleh api neraka.”
Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Ausat (2580) dan al-‘Uqaili dalam al- Dhu’afa’ al-Kabir (4/463). Al-Haithami berkata dalam Majma’ al- Zawaid (2/225): Padanya terdapat perawi bernama Hajjaj bin Nasr dan ramai dalam kalangan ulama’ yang mendhaifkannya.
Kedua: Terpelihara daripada api neraka
Daripada Ummu Salamah R. Anha, daripada Nabi SAW bersabda:
مَنْ صَلَّى أَرْبَعَ رَكَعَاتٍ قَبْلَ الْعَصْرِ حَرَّمَ اللهُ بَدَنَهُ عَلَى النَّارِ، قُلْتُ : يَا رَسُولَ اللهِ قَدْ رَأَيْتُكَ تُصَلِّي وَتَدَعُ، قَالَ: لَسْتُ كَأَحَدِهِمْ
Maksudnya: “Sesiapa yang bersolat empat rakaat sunat sebelum Asar, nescaya Allah mengharamkan badannya daripada api neraka. Aku bertanya: Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku melihat engkau bersolat dan meninggalkannya? Jawabnya: Aku tidak seperti kamu.”
Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al- Kabir (611). al-Haithami dalam Majmal al-Zawaid (Surah al-Ma’un: 4-5) (2/225) menyatakan bahawa dalam saanadnya terdapat Nafi bin Mehran dan selainnya dan beliau tidak menjumpai sesiapa pun yang menyebutkan tentang mereka.
Ketiga: Mendapat keampunan Allah
Daripada Ali bin Abu Talib R.A berkata: Rasulullah SAW bersabda:
لَا تَزَالُ أُمَّتِي يُصَلُّونَ هَذِهِ الْأَرْبَعَ رَكَعَاتٍ قَبْلَ الْعَصْرِ حَتَّى تَمْشِيَ عَلَى الْأَرْضِ مَغْفُورًا لَهَا مَغْفِرَةً حَتْمًا
Maksudnya: “Selagi umatku bersolat sunat empat rakaat sebelum Asar, nescaya dia akan berjalan di atas bumi dalam keadaan diampunkan Allah, tidak syak lagi.”
Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al- Ausat (5131). Al-Haithami dalam Majma’ al-Zawaid (2/225) berkata, pada hadith ini terdapat ‘Abd al-Malik bin Harun dan dia adalah seorang yang ditinggalkan (Matruk).
Berkenaan dengan hadith solat sunat Asar maka riwayat-riwayatnya adalah dhaif kecuali riwayat Ahmad dan al-Tirmizi, sebahagian ulama’ mensahihkan- nya seperti Ibn Hibban dan yang lainnya menganggap hadith mengenainya adalah lemah.
Ibn Qayim berkata: “Adapun empat rakaat sebelum Asar, maka tiada yang sahih daripada Nabi SAW kecuali hadith Asim Damurah daripada Ali.” (Lihat Zad al-Ma’ad, 1/362).
Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita kefaqihan dalam beragama, kekuatan untuk melaksanakan amal soleh, serta kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Dialah jua yang menjaga dan memelihara orang-orang yang soleh.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إني أسألُكَ مُوجِباتِ رَحْمَتِكَ، وَعَزَائِمَ مَغْفِرَتِكَ وَالسَّلامَةَ مِنْ كُلِّ إثْمٍ، وَالفَوْزَ بالجَنَّةِ، وَالنَّجاةَ مِنَ النَّارِ
Maksudnya: “Ya Allah! Aku memohon kepada-Mu segala asbab yang mewajibkan rahmat-Mu, dan segala sesuatu yang mendatangkan keampunan-Mu, keselamatan dari segala dosa, kejayaan dengan syurga dan berjaya selamat daripada api neraka.”
Wallahu a‘lam.