Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah mimpi bertemu Rasulullah SAW itu benar? Apakah dalil-dalil yang menyokong hal ini?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Sebahagian kita mungkin menzahirkan rasa takjub apabila mendengar seseorang itu pernah bermimpi melihat Rasulullah SAW, kerana ia merupakan satu peristiwa yang pastinya diinginkan oleh setiap insan yang bergelar Muslim.
Hakikatnya, mimpi ini adalah satu peristiwa yang didukung dengan riwayat-riwayat yang sahih juga mutawatir dari al-Sunnah. Antara hadith-hadith tersebut adalah seperti berikut:
Daripada Abu Hurairah, daripada Nabi SAW, Baginda bersabda:
وَمَنْ رَآنِي فِي المَنَامِ فَقَدْ رَآنِي، فَإِنَّ الشَّيْطَانَ لاَ يَتَمَثَّلُ فِي صُورَتِي
Maksudnya: “Sesiapa yang melihatku dalam mimpi, maka sesungguhnya dia telah melihatku. Sesungguhnya syaitan tidak mampu menyerupai rupaku.”
Riwayat al-Bukhari (110) (6197) dan Muslim (2134) (2266)
Imam al-Bukhari ada menyebutkan dalam kitab sahihnya sebuah riwayat lain daripada Abu Hurairah R.A, yang menyatakan bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda:
مَنْ رَآنِي فِي المَنَامِ فَسَيَرَانِي فِي اليَقَظَةِ، وَلاَ يَتَمَثَّلُ الشَّيْطَانُ بِي. قَالَ أَبُو عَبْدِ اللهِ: قَالَ ابْنُ سِيرِينَ: إِذَا رَآهُ فِي صُورَتِهِ.
Maksudnya: “Sesiapa yang bermimpi melihatku, maka dia akan melihatku dalam keadaan terjaga, dan syaitan tidak dapat menyerupaiku.” Abu ‘Abdillah (Imam al-Bukhari) berkata: Ibn Sirin berkata: “Maksudnya, apabila dia melihatnya dalam rupa bentuk Baginda.”
Riwayat al-Bukhari (6993) dan Muslim (2266)
Terdapat juga lafaz hadith yang sedikit berbeza, sebagaimana yang diriwayatkan daripada Anas R.A, beliau berkata: Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ رَآنِي فِي المَنَامِ فَقَدْ رَآنِي، فَإِنَّ الشَّيْطَانَ لَا يَتَخَيَّلُ بِي
Maksudnya: “Sesiapa mimpi melihatku, maka dia telah melihatku kerana sesungguhnya syaitan tidak dapat menyerupaiku.”
Riwayat al-Bukhari (6994)
Dalam riwayat Abu Qatadah R.A pula, katanya: Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ رَآنِي فَقَدْ رَأَى الحَقَّ
Maksudnya: “Sesiapa (bermimpi) melihatku, maka dia telah melihat kebenaran.”
Riwayat al-Bukhari (6996)
Thabit juga daripada Abu Sa‘id al-Khudri, beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ رَآنِي فَقَدْ رَأَى الْحَقَّ، فَإِنَّ الشَّيْطَانَ لَا يَتَكَوَّنُنِي
Maksudnya: “Sesiapa (bermimpi) melihatku, maka dia telah melihat kebenaran kerana sesungguhnya syaitan tidak boleh menjadi seperti rupa bentukku.”
Riwayat al-Bukhari (6997)
Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani berkata, hadith ini mengandungi isyarat bahawa, meskipun Allah SWT membenarkan syaitan untuk menyerupai sesiapa sahaja yang dikehendaki, namun ia tetap terhalang dari menyerupai Nabi SAW. Beberapa ulama berpandangan, yang dimaksudkan dalam hadith ini adalah apabila seseorang melihat Baginda SAW dalam rupa yang sama seperti rupa asal Baginda. Ada juga yang menyempitkan syarat ini sehingga mengatakan seseorang mesti melihat Rasulullah SAW dalam bentuk fizikal Baginda yang tepat pada waktu Baginda wafat, termasuklah bilangan uban yang tidak melebihi dua puluh helai.
Akan tetapi, beliau lebih cenderung memilih pandangan yang bersifat umum, meliputi semua keadaan fizikal Baginda pada mana-mana peringkat kehidupan; sama ada pada usia muda, dewasa, usia pertengahan, atau pada akhir hayat Baginda, selagi mana ia menyerupai rupa sebenar Baginda pada masa tertentu. Kadangkala, perbezaan dalam bentuk mungkin berkaitan dengan tafsiran mimpi yang berhubung dengan keadaan orang yang bermimpi itu sendiri.
Beliau juga menukilkan kalam Ibn Battal: Sabda Baginda, “maka dia akan melihatku dalam keadaan terjaga,” yang dimaksudkan adalah tentang kebenaran mimpi itu ketika dalam keadaan terjaga. Ini bukan merujuk kepada melihat Baginda di akhirat, kerana di akhirat, Baginda akan dilihat oleh semua umatnya pada Hari Kiamat, tidak kira sama ada mereka pernah bermimpi melihat Baginda atau tidak.
Turut dinukilkan Ibn al-Tin menyatakan: “Maksudnya adalah individu yang telah beriman kepada Baginda SAW semasa Baginda masih hidup, tetapi belum berpeluang untuk berjumpa dengan Baginda. Ini merupakan berita baik bagi setiap individu yang beriman kepada Baginda tetapi belum berkesempatan untuk berjumpa dengannya, kerana mereka akan pasti berjumpa dan melihat Baginda dalam keadaan sedar sebelum Baginda meninggal dunia. Pendapat ini disebut oleh al-Qazzaz.” (Lihat Fath al-Bari, 12/386; 34/421)
Menurut Ibn Battal, khabar dari Rasulullah SAW ini menceritakan berkenaan perkara ghaib, dan sebagai khabar bahawa Allah SWT melarang syaitan dari menyerupai rupa paras Baginda. (Lihat Syarh Sahih al-Bukhari, 9/527)
Al-Mulla ‘Ali al-Qari pula menyebut, yang dimaksudkan oleh Baginda dalam hadith-hadith ini: “Tidaklah mimpi tentangku itu daripada mimpi yang sama-samar.” (Lihat Jam‘ al-Wasa’il, 2/237)
Pengarang kitab Masabih al-Tanwir menyebutkan, yang dimaksudkan oleh Rasulullah SAW dengan “melihat kebenaran” itu, mimpi melihat Baginda adalah suatu perkara yang benar lagi sahih, yang diperlihatkan oleh malaikat yang diutus untuk menyampaikan pelbagai bentuk perumpamaan sebagai hikmah; baik sebagai khabar gembira, peringatan, atau teguran, agar orang tersebut memiliki kesedaran dan bimbingan dari Tuhannya. (Lihat Masabih al-Tanwir ‘ala Sahih al-Jami‘ al-Saghir, 1/248)
Ketika mensyarahkan potongan hadith: “maka dia telah melihat kebenaran,” Syeikh al-Islam Zakariyya al-Ansari mengatakan bahawa dia telah melihat Baginda dengan penglihatan yang benar dan nyata, bukan sekadar mimpi yang samar-samar. (Lihat Minhah al-Bari, 10/106)
Menurut Imam Badruddin al-‘Aini pula, lafaz “melihat kebenaran” ini bermakna, mimpi tersebut bukanlah mimpi yang samar-samar atau sebuah khayalan yang dusta. Beliau menukilkan kalam Imam al-Tibi, katanya, maksud ‘kebenaran’ itu sebagai kata penguat atau tegasan, yakni mimpi tersebut sememangnya benar. Manakala lafaz (لَا يَتَكَوَّنُنِي) di sisi Badruddin al-‘Aini, ia merupakan pelengkap makna dan sebagai ‘illah kepada hukum tersebut. Maknanya, syaitan tidak mampu membentuk dirinya seperti bentukku. (Lihat ‘Umdah al-Qari, 24/142)
Kami juga ada menulis berkenaan isu ini dalam eBook kami bertajuk: Melihat Rasulullah SAW di Alam Mimpi: Antara Kebenaran dan Dakwaan.[1]
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”
Nota Hujung:
[1] Untuk bacaan lanjut, boleh mendapatkannya di pautan berikut: https://play.google.com/store/books/details?id=R6Q2EQAAQBAJ