#7687: Kelebihan Solat Sunat Sebelum dan Selepas Isyak

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah fadhilat solat sunat sebelum dan selepas isyak?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Amalan menunaikan Solat Sunat Rawatib sama ada qabliyyah (sebelum Solat Fardhu) atau ba‘diyyah (selepas Solat Fardhu) adalah amalan sunat muakkad iaitu sunat yang dituntut dan amat digalakkan. Ummul Mukminin Aisyah R.Anha meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ ثَابَرَ عَلَى ثِنْتَيْ عَشْرَةَ رَكْعَةٍ مِنَ السُّنَّةِ؛ بَنَى اللهُ لَهُ بَيْتًا فِي الْجَنَّةِ: أَرْبَعِ رَكَعَاتٍ قَبْلَ الظُّهْرِ، وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَهَا، وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَ الْمَغْرِبِ، وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَ الْعِشَاءِ، وَرَكْعَتَيْنِ قَبْلَ الْفَجْرِ

Maksudnya: “Sesiapa yang melazimi amalan Solat Sunat sebanyak 12 rakaat ini, Allah akan membinakan sebuah rumah di dalam syurga untuk dirinya. 4 rakaat sebelum Zohor, 2 rakaat selepas Zohor. 2 rakaat selepas Maghrib, 2 rakaat selepas Isya’ dan 2 rakaat sebelum Subuh.”

Riwayat al-Nasa’i (1471); al-Tirmizi (414); Ibn Majah (1140); dan dinilai gharib oleh Imam al-Tirmizi dalam al-Jami’ (1/439) kerana kewujudan perawi bernama Mughirah bin Ziyad. Namun hadith ini mempunyai sokongan daripada jalur yang lain.

Imam Ibn al-Mulaqqin al-Syafi‘i memberi ulasan ketika mensyarahkan hadith di atas: “Bahawa hikmah pensyariatan solat-solat sunat ini adalah untuk menyempurnakan ibadah fardhu. Sekiranya ada sebarang kekurangan dalam melaksanakan ibadah fardhu, ibadat sunat akan menampungnya sepertimana yang diriwayatkan di dalam Sunan Abu Daud dan lain-lain. Amalan solat sunat ini juga dapat membiasakan diri beribadah sebelum melakukan solat wajib, menghadirkan keaktifan semangat untuk melakukannya, dan persediaan hati yang lebih khusyuk untuknya. Oleh yang demikian, dianjurkan untuk memulakan solat malam (qiyamullail) dengan dua rakaat solat sunat yang ringan. Apabila penulis menggandingkan solat-solat ini dengan solat berjemaah, ia terbina di atas konsep al-sabiq dan al-lahiq (qabliyyah dan ba’diyyah); semua ini bertujuan sebagai pelengkap dan penampung kepada ibadat fardhu.” (Lihat al-I‘lam fi Fawa’id ‘Umdah al-Ahkam, 2/396)

Fadhilat Solat Sunat Sebelum dan Selepas Isyak

Sunat bersolat dua rakaat yang ringkas sebelum dan sekurang-kurangnya dua rakaat selepas solat fardhu Isyak atau lebih. Hal ini berdasarkan beberapa hadith, antaranya:

* Seperti mendirikan dan menghidupkan malam al-Qadr.

Daripada Anas bin Malik berkata: Rasulullah SAW telah bersabda:

أَرْبَعٌ قَبْلَ الظُّهْرِ كَعِدْلِهِنَّ بَعْدَ الْعِشَاءِ، وَأَرْبَعُ بَعْدَ الْعِشَاءِ كَعِدْلِهِنَّ مِنْ لَيْلَةِ الْقَدْرِ

Maksudnya: “Empat rakaat sunat sebelum Zuhur menyamai selepas Isyakn dan empat rakaat sunat selepas Isyak menyamai malam qadr.”

Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-H Ausat (2733). Al-Haithami dalam Majma’ al-Zawaid (2/233) menyatakan bahawa pada sanad ini terdapat Yahya bin Abi al-‘Airaz, dan dia seorang perawi yang sangat dhaif.

  • Kelebihan solat Isyak berjemaah dan disertai dengan empat rakaat ba’diah Isyak.

Daripada Ibn Umar R. Anhuma telah berkata: Rasulullah SAW telah bersabda:

مَنْ صَلَّى الْعِشَاءَ الْآخِرَةَ فِي جَمَاعَةٍ وَصَلَّى أَرْبَعَ رَكَعَاتٍ قَبْلَ أَنْ يَخْرُجَ مِنَ الْمَسْجِدِ كَانَ كَعِدْلِ لَيْلَةِ الْقَدْرِ

Maksudnya: “Siapa yang solat Isyak secara berjemaah dan solat empat rakaat sunat sebelum keluar daripada masjid nescaya samalah seperti malam qadr.”

Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir (13800). Hadith ini dinilai dhaif berdasarkan Dhaif al-Targhib (337)

Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita kefaqihan dalam beragama, kekuatan untuk melaksanakan amal soleh, serta kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Dialah jua yang menjaga dan memelihara orang-orang yang soleh.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إني أسألُكَ مُوجِباتِ رَحْمَتِكَ، وَعَزَائِمَ مَغْفِرَتِكَ وَالسَّلامَةَ مِنْ كُلِّ إثْمٍ، وَالفَوْزَ بالجَنَّةِ، وَالنَّجاةَ مِنَ النَّارِ

Maksudnya: “Ya Allah! Aku memohon kepada-Mu segala asbab yang mewajibkan rahmat-Mu, dan segala sesuatu yang mendatangkan keampunan-Mu, keselamatan dari segala dosa, kejayaan dengan syurga dan berjaya selamat daripada api neraka.”

Wallahu a‘lam.