#7688:  Konsep Rayuan dalam Kehakiman Islam

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh jelaskan berkenaan konsep rayuan dalam sistem kehakiman Islam?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Antara salah satu sistem yang wujud dalam perundangan Islam adalah rayuan terhadap keputusan yang telah dijatuhkan bagi memastikan sesuatu keputusan dan hukuman yang dijatuhkan itu benar-benar berlandaskan kepada kebenaran dan keadilan.

Konsep rayuan telah lama wujud dalam Islam. Hal ini dapat dilihat dalam firman Allah:

وَشَدَدْنَا مُلْكَهُ وَآتَيْنَاهُ الْحِكْمَةَ وَفَصْلَ الْخِطَابِ

Maksudnya: Dan Kami kuatkan kerajaannya, serta Kami kurniakan kepadanya hikmah kebijaksanaan dan kepetahan berkata-kata (dalam menjalankan hukum dan menjatuhkan hukuman).

(Surah Sad: 20)

Ayat di atas menerangkan tentang kemungkinan berlakunya kesilapan atau kesalahan dalam memutuskan sesuatu hukuman.

Syed Qutb dalam tafsirnya menyebut: Mereka semua itu manusia sebagaimana Nabi Muhammad SAW manusia dan mereka tidak terlepas daripada kelemahan sebagai manusia, dan Allah tidak membiarkan mereka dengan kelemahan tersebut tetapi Allah membimbing dan menunjukkan jalan kepada mereka dengan memberikan ujian untuk mengampunkan mereka dan memuliakan mereka. (Lihat Tafsir fi Zilal al-Quran, 6/206)

Sebagaimana yang dikatakan oleh Syed Qutb pada ayat tersebut, bahawa mereka semua adalah manusia, dan bahawasanya Nabi Muhammad SAW juga adalah manusia, dan terdapat juga pada mereka kelemahan sebagai seorang manusia. Namun Allah menjaga mereka dan tidak membiarkan mereka dalam keadaan lemah dan bersalah. Oleh yang demikian, bolehlah dibuat rayuan andainya berlaku kesilapan dan kesalahan.

Allah menceritakan bahawa Nabi Sulaiman AS telah menghukum satu kes, yang mana dalam keadaan tergesa-gesa beliau menjatuhkan hukuman sebelum mendengar keterangan dari sebelah pihak lagi yang berbalah itu. Firman Allah:

وَهَلْ أَتَاكَ نَبَأُ الْخَصْمِ إِذْ تَسَوَّرُوا الْمِحْرَابَ ‎﴿٢١﴾‏ إِذْ دَخَلُوا عَلَىٰ دَاوُودَ فَفَزِعَ مِنْهُمْ ۖ قَالُوا لَا تَخَفْ ۖ خَصْمَانِ بَغَىٰ بَعْضُنَا عَلَىٰ بَعْضٍ فَاحْكُم بَيْنَنَا بِالْحَقِّ وَلَا تُشْطِطْ وَاهْدِنَا إِلَىٰ سَوَاءِ الصِّرَاطِ ‎﴿٢٢﴾‏ إِنَّ هَٰذَا أَخِي لَهُ تِسْعٌ وَتِسْعُونَ نَعْجَةً وَلِيَ نَعْجَةٌ وَاحِدَةٌ فَقَالَ أَكْفِلْنِيهَا وَعَزَّنِي فِي الْخِطَابِ ‎﴿٢٣﴾‏ قَالَ لَقَدْ ظَلَمَكَ بِسُؤَالِ نَعْجَتِكَ إِلَىٰ نِعَاجِهِ ۖ وَإِنَّ كَثِيرًا مِّنَ الْخُلَطَاءِ لَيَبْغِي بَعْضُهُمْ عَلَىٰ بَعْضٍ إِلَّا الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَقَلِيلٌ مَّا هُمْ ۗ وَظَنَّ دَاوُودُ أَنَّمَا فَتَنَّاهُ فَاسْتَغْفَرَ رَبَّهُ وَخَرَّ رَاكِعًا وَأَنَابَ ۩ ‎﴿٢٤﴾‏ فَغَفَرْنَا لَهُ ذَٰلِكَ ۖ وَإِنَّ لَهُ عِندَنَا لَزُلْفَىٰ وَحُسْنَ مَآبٍ ‎﴿٢٥﴾‏ يَا دَاوُودُ إِنَّا جَعَلْنَاكَ خَلِيفَةً فِي الْأَرْضِ فَاحْكُم بَيْنَ النَّاسِ بِالْحَقِّ وَلَا تَتَّبِعِ الْهَوَىٰ فَيُضِلَّكَ عَن سَبِيلِ اللَّهِ ۚ إِنَّ الَّذِينَ يَضِلُّونَ عَن سَبِيلِ اللَّهِ لَهُمْ عَذَابٌ شَدِيدٌ بِمَا نَسُوا يَوْمَ الْحِسَابِ ‎

Maksudnya: Dan sudahkah sampai kepadamu (wahai Muhammad) berita (perbicaraan dua) orang yang berselisihan? Ketika mereka memanjat tembok tempat ibadat; Iaitu ketika mereka masuk kepada Nabi Daud, lalu ia terkejut melihat mereka; mereka berkata kepadanya: ” Janganlah takut, (kami ini) adalah dua orang yang berselisihan, salah seorang dari kami telah berlaku zalim kepada yang lain; oleh itu hukumkanlah di antara kami dengan adil, dan janganlah melampaui (batas keadilan), serta pimpinlah kami ke jalan yang lurus. ” Sebenarnya orang ini ialah (seorang sahabat sebagai) saudaraku; ia mempunyai sembilan puluh sembilan ekor kambing betina dan aku mempunyai seekor sahaja; dalam pada itu ia (mendesakku dengan) berkata: ‘ Serahkanlah yang seekor itu kepadaku ‘, dan dia telah mengalahkan daku dalam merundingkan perkara itu”. Nabi Daud berkata: ” Sesungguhnya ia telah berlaku zalim kepadamu dengan meminta kambingmu itu (sebagai tambahan) kepada kambing-kambingnya; dan sesungguhnya kebanyakan dari orang-orang yang bergaul dan berhubungan (dalam berbagai-bagai lapangan hidup), setengahnya berlaku zalim kepada setengahnya yang lain, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh; sedang mereka amatlah sedikit!” Dan Nabi Daud (setelah berfikir sejurus), mengetahui sebenarnya Kami telah mengujinya (dengan peristiwa itu), lalu ia memohon ampun kepada Tuhannya sambil merebahkan dirinya sujud, serta ia rujuk kembali (bertaubat). Maka Kami ampunkan kesalahannya itu; dan sesungguhnya ia mempunyai kedudukan yang dekat di sisi Kami serta tempat kembali yang sebaik-baiknya (pada hari akhirat kelak). Wahai Daud, sesungguhnya Kami telah menjadikanmu khalifah di bumi, maka jalankanlah hukum di antara manusia dengan (hukum syariat) yang benar (yang diwahyukan kepadamu); dan janganlah engkau menurut hawa nafsu, kerana yang demikian itu akan menyesatkanmu dari jalan Allah. Sesungguhnya orang-orang yang sesat dari jalan Allah, akan beroleh azab yang berat pada hari hitungan amal, disebabkan mereka melupakan (jalan Allah) itu.

 (Surah Sad: 21-26)

Rayuan terhadap perundangan telah diamalkan di zaman Rasulullah SAW. Sekalipun penubuhan mahkamah secara rasmi belum diadakan, tetapi perjalanan perbicaraan yang dilakukan membuktikan adanya sistem rayuan ketika itu. Sebagai contoh satu kes yang masyhur berlakunya rayuan di zaman Rasulullah SAW ialah kes yang dibicarakan oleh Saidina ‘Ali RA ketika beliau menjadi gabenor di Yaman. Keputusan yang dibuat oleh Saidina ‘Ali terhadap dua pihak yang bertelingkah tidak memberi kepuasan kepada kedua-dua pihak tersebut. Oleh yang demikian Saidina ‘Ali menasihatkan mereka supaya menyampaikan perkara ini kepada Rasulullah SAW sebagimana katanya: “Saya akan memutuskan perselisihan antara kamu sekiranya kamu redha, maka itulah keputusan saya. Namun, jika kamu tidak berpuas hati, keputusan itu terhenti sehingga Rasulullah SAW datang memberi keputusan kepada kamu”. Mendengar akan hal itu, pada musim haji mereka pergi menemui Rasulullah SAW yang pada ketika itu Baginda sedang berada di Makam Ibrahim AS. Mereka menceritakan kes tersebut kepada Baginda SAW. Kemudian Baginda SAW memutuskan bahawa keputusan dahulu oleh Saidina ‘Ali adalah benar dan sah. (Lihat Muhammad Salam Madkur, al-Qada’ fi al-Islam, 24)

Konsep rayuan ini juga dapat dilihat dalam risalah Khalifah Umar RA sebagaimana yang diutuskan kepada Qadi Abu Musa al-Ash’ari. Antara katanya: “Tidaklah menegah kamu keputusan yang telah kamu hukumkan semalam untuk kamu semak semula. Mudah-mudahan kamu diberi hidayat padanya untuk petunjuk yang membawa kepada kamu kembali kepada kebenaran. Ini kerana sifat benar itu sedia ada dan sesungguhnya kebenaran itu, tidak ada sesuatu pun yang dapat membatalkannya. Kembali kepada kebenaran itu lebih baik daripada berterusan dalam kebatilan.” (Lihat I’lam al-Muwaqqi’in, 1/110)

Saidina ‘Ali RA merupakan orang yang pertama membuat garis panduan dan peringatan kepada hakim-hakim supaya membuat penyemakan semula terhadap kes-kes yang didapati ada berlakunya kesilapan.

Pada zaman pemerintahan Umaiyyah, sistem kehakiman terus berkembang sehingga lahirnya kehakiman mazalim atau Mahkamah Mazalim. Ini urutan daripada berlakunya kes-kes kezaliman dan penyelewengan kuasa di kalangan pegawai yang memerintah orang pertama yang mendudukinya adalah Khalifah Abd. Malik Ibn Marwan. Kemudiannya ia menjadi bertambah masyhur di zaman Khalifah Umar ibn Abd al-‘Aziz. Beliau telah menetapkan satu hari khas bagi meneliti dan menyemak kes-kes yang berhubung dengan kehakiman Mazalim. Seterusnya diikuti oleh khalifah-khalifah Umayyah dan ‘Abbasiyah. Mahkamah Mazalim diketuai oleh khalifah atau gabenor atau sesiapa yang dilantik oleh mereka.

Kami pernah menulis berkenaan isu ini dalam eBook kami bertajuk: Keadilan Sistem Perundangan Islam. [1]

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِيْنِنَا وَدُنْيَانَا وَأَهْلِنَا وَمَالِنَا، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِنَا وَآمِنْ رَوْعَاتِنَا ، اللَّهُمَّ احْفَظْنَا مِنْ بَيْنِ أَيْدِيْنَا وَمِنْ خَلْفِنَا وَعَنْ أَيْمَانِنَا وَعَنْ شَمَائِلِنَا وَمِنْ فَوْقِنَا ، وَنَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ نُغْتَالَ مِنْ تَحْتِنَا

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) di dunia dan akhirat. Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) dalam agama, dunia, keluarga dan harta kami. Ya Allah, tutupilah aib kami dan berilah ketenteraman di hati kami. Ya Allah, jagalah kami dari depan, belakang, kanan, kiri, dan atas kami. Kami memohon perlindungan dengan keagungan-Mu agar tidak disambar dari bawah kami.”

 

Nota Hujung:

[1] Boleh dapatkan di pautan berikut: https://play.google.com/store/books/details?id=mm4hEQAAQBAJ