#769: Lelaki Menggunakan Sejadah Daripada Sutera

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apa hukum seorang lelaki menggunakan sejadah daripada sutera ketika mendirikan solat?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Pada asasnya, hukum lelaki memakai sutera adalah haram. Hal ini berdasarkan  sabda Nabi SAW :

أحلَّ الذهبُ والحريرُ لإناثِ أُمتي، وحُرِّم على ذكورِها

Maksudnya“Dihalalkan emas dan sutera bagi wanita dalam kalangan umatku, dan diharamkan bagi kaum lelakinya.”

Riwayat al-Nasa’ie (5163)

Imam al-Ramli berkata: “(Diharamkan ke atas lelaki) memakai sutera tulen atau sutera  bercampur  yang kadar suteranya  lebih  banyak melainkan ke atas kanak-kanak.”

Menurut beliau lagi: Diharamkan  lelaki dan khunsa memakai sutera tulen atau sutera. Sekiranya sutera tulen atau kadar suteranya lebih banyak (dominan) daripada campuran kain lain,  mereka (lelaki dan khunsa)  tidak boleh memakai sutera dan dibaj (sejenis sutera). Berbeza pula material kain yang selainnya lebih banyak atau kadar kainnya sama  rata  dengan sutera, maka  tidak haram  kerana tidak dinamakan  baju sutera.

Seterusnya memakai sutera dibenarkan hanya pada situasi darurat seperti tiada baju melainkan sutera dan pada situasi keperluan seperti  mengalami penyakit kulit. Kanak-kanak lelaki boleh memakai sutera  dan  penjaganya boleh   menggayakan anak lelakinya walaupun sudah mencapai had umur mumayyiz. (Lihat Ghayah al-Bayan fi Syarh Zubad Ibn Ruslan, hlm. 183)

Pengecualian bagi kaum lelaki  untuk  membolehkan memakai  kain sutera  disebabkan penyakit kulit berdasarkan hadis  daripada Anas bin Malik R.A:

رَخَّصَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِلزُّبَيْرِ وَعَبْدِ الرَّحْمَنِ فِي لُبْسِ الْحَرِيرِ لِحِكَّةٍ بِهِمَا

Maksudnya: “Nabi  SAW memberikan kelonggaran untuk Zubair dan Abd Rahman untuk memakai sutera karana penyakit gatal yang mereka derita.”

Riwayat al-Bukhari (5829) dan Muslim (2076)

Al-Hafiz Ibn Hajar ketika mensyarahkan hadith di atas, menukilkan pandangan al-Tabari, di mana beliau menyatakan dalil hadis yang menunjukkan  larangan bagi kaum lelaki yang menggunakan sutera tidak termasuk orang yang mempunyai  penyakit yang boleh berkurangan  dengan hanya  memakai pakaian sutera. (Lihat Fath al-Bari, 10/295)

Pengharaman Menyerupai Jantina Berlawanan

Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, katanya:

أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ  لَعَنَ الرَّجُلَ يَلْبَسُ لُبْسَةَ الْمَرْأَةِ، وَالْمَرْأَةَ تَلْبَسُ لُبْسَةَ الرَّجُلِ

Maksudnya“Sesungguhnya Rasulullah SAW melaknat seorang lelaki yang memakai pakaian wanita, dan seorang wanita yang memakai pakaian lelaki.”

Riwayat al-Bukhari (5435) dan Ahmad (8309)

Syeikh Badr al-Din al-‘Aini dalam menjelaskan hadith ini, menyebut: (Celaan ini) adalah pada perbuatan orang lelaki menyerupai orang perempuan dari sudut pakaian dan juga perhiasan yang khusus buat orang perempuan seperti memakai serkup kepala, rantai, gelang, gelang kaki, dan juga anting-anting. (Lihat ‘Umdah al-Qari, 22/41)

Jelas daripada hadith ini bahawa adalah haram hukumnya bagi seseorang untuk memakai pakaian mahupun perhiasan yang khas bagi jantina yang berlawanan dengannya.

Dinyatakan di dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah bahawa tiada khilaf dalam kalangan fuqaha’ akan pengharaman bagi lelaki menyerupai wanita dari sudut pergerakan badan, kelembutan kata-kata, perhiasan, pakaian dan lain-lain yang khas bagi wanita dari sudut adat dan tabiat. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 11/267)

Ibnu Hajar al-Haitami pula menyatakan bahawa antara bentuk menyerupai wanita ialah memakai perhiasan yang dikhususkan kepada wanita dan yang dilazimi oleh mereka, seperti gelang tangan dan gelang kaki; adapun cincin maka diharuskan bagi lelaki memakainya. (Lihat al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra, 1/261)

Hukum Pemakaian Sutera

Sepertiman yang telah dijelaskan di awal perbincangan, hukum memakai sutera adalah haram bagi kaum lelaki dan halal bagi kaum wanita. Hal ini berdasarkan hadith nabi SAW:

أحلَّ الذهبُ والحريرُ لإناثِ أُمتي، وحُرِّم على ذكورِها

Maksudnya“Dihalalkan emas dan sutera bagi wanita dalam kalangan umatku, dan diharamkan bagi kaum lelakinya.”

Riwayat al-Nasa’ie (5163)

Imam al-Syaukani menyatakan hadis ini merupakan dalil yang digunakan oleh jumhur ulama’ yang berpendapat bahawa sutera dan emas adalah haram bagi lelaki dan harus bagi wanita. (Lihat Nail al-Autar, 2/98)

Dalam riwayat lain, Nabi SAW bersabda:

أَنَّهُ – صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ – أَخَذَ فِي يَمِينِهِ قِطْعَةَ حَرِيرٍ وَفِي شِمَالِهِ قِطْعَةَ ذَهَبٍ وَقَالَ: هَذَانِ حَرَامٌ عَلَى ذُكُورِ أُمَّتِي حِلٌّ لِإِنَاثِهِمْ

Maksudnya: “Nabi Muhammad SAW mengambil sutera dan dipegangnya dengan tangan kanan. Lalu baginda mengambil emas dan dipegangnya dengan tangan kiri. Kemudian baginda bersabda, “Kedua-duanya ini (sutera dan emas) haram untuk kaum lelaki dalam kalangan umatku, dan halal untuk kaum wanitanya.”

Riwayat al-Bukhari (2921) dan Muslim (2076)

Saidina ‘Ali bin Abi Thalib R.A menyatakan: “Nabi SAW pernah memberiku pakaian daripada sutera bergaris maka aku pun keluar mengenakannya. Ketika Rasulullah SAW melihatnya, tampaklah kemarahan di wajah baginda. Maka aku pun membahagikan pakaian sutera tersebut di antara wanita-wanitaku.”

Riwayat al-Bukhari (5840)

Selain itu, para ulama’ menyatakan hikmah pengharaman sutera bagi lelaki kerana kerana Islam adalah agama jihad dan kekuatan. Maka Islam juga menjaga sifat kelelakian kaum lelaki daripada segala perkara yang menunjukkan kelemahan dan kelembutan. Sedangkan sutera itu sifatnya lembut dan melambangkan kewanitaan. Hal ini  berbeza dengan wanita yang dihalalkan memakai sutera kerana Allah menciptakannya dengan sifat kelembutan yang sukakan kecantikan dan kewajipannya untuk berhias demi kesenangan suaminya. (Lihat Nihayah al-Muhtaj, 373-374)

Penggunaan Sutera Selain daripada Pakaian

Kita sedia maklum bahawa hukum pemakaian sutera adalah haram bagi kaum lelaki dan harus bagi kaum wanita. Justeru, apakah hukum mengambil sutera sebagai alas untuk solat atau duduk dan sebagainya?

Hukum menggunakan sutera sebagai selimut, cadar atau alas untuk solat adalah seperti hukum memakai sutera iaitu diharamkan bagi lelaki dan diharuskan bagi wanita. Ini adalah pandangan jumhur ulama’ daripada mazhab Syafi’e, Maliki dan Hanbali. (Lihat Umdah al-Qari’, 22/13-14; al-Iqna’, 1/198, Kasysyaf al-Qina’, 1/273)

Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani berkata dalam bab ‘mengambil sutera sebagai alas’: “Hukumnya (menjadikan sutera sebagai alas) adalah sama seperti hukum (memakai sutera) dari sudut pengharaman dan keharusan.” (Lihat Fath al-Bari, 10/291; Irsyad al-Sari, 8/440)

Imam Ibn Hajar al-Haitami berkata: “Dan diharamkan bagi lelaki untuk menjadikan sutera sebagai pakaian, alas untuk duduk atau bersandar, alas untuk tidur dan segala jenis penggunaan.” (Lihat Tuhfah al-Muhtaj, 3/20 dan al-Iqna’, 1/198)

Hal ini bersandarkan hadith Nabi SAW yang diriwayatkan daripada Huzaifah:

نَهَانَا رَسُول الله صلى الله عَلَيْهِ وَسلم عَن لبس الْحَرِير والديباج وَأَن نجلس عَلَيْهِ

Maksudnya: “Nabi SAW melarang kita daripada memakai sutera dan dibaj (sejenis sutera) serta duduk di atasnya.”

Riwayat al-Bukhari (5837) dan Muslim (2067)

Imam al-Mawardi menyebut ketika menjawab pandangan daripada Abu Hanifah yang mengharuskan pemakaian sutera sebagai alas: “Pandangan ini adalah suatu pandangan yang bersalahan kerana keumuman hadis nabi SAW yang menyatakan “Dihalalkan emas dan sutera bagi wanita dalam kalangan umatku, dan diharamkan bagi kaum lelakinya”, oleh yang demikian mengambil sutera sebagai alas adalah suatu perkara yang berlebih-lebihan dalam mempamerkan kemewahan, justeru hukumnya lebih berat daripada hukum memakai sutera, maka lebih utama ia diharamkan.” (Lihat al-Hawi al-Kabir, 2/478)

Justeru, diharamkan bagi kaum lelaki menggunakan sutera selain daripada pakaian seperti  sejadah, selimut, cadar dan sebagainya. Hal ini berdasarkan keumuman hadis nabi SAW yang melarang pemakaian sutera bagi lelaki. Tambahan pula ia merupakan simbol kemegahan dan berlebih-lebihan dalam mempamerkan kemewahan.

Hukum Sembahyang dengan Pakaian Sutera

Meskipun diharamkan bagi lelaki untuk memakai pakaian sutera atau menjadikannya alas ketika solat, namun sekiranya dia solat dalam keadaan sedemikian solatnya itu tetap sah di sisi jumhur ulama’.

Ibn al-Mulaqqin berkata: “Diharamkan mengerjakan solat dengan mengenakan pakaian yang diperbuat daripada sutera, dan barangsiapa yang melakukan hal sedemikian, maka solatnya sah tetapi dia berdosa, dan ini adalah pendapat jumhur ulama’. Dan berkata Imam Syafie dan Abu Thaur: “Perbuatan (mengenakan pakaian sutera) ketika solat itu haram, tetapi solatnya sah.” (Lihat al-Taudhih li Syarh al-Jami’ al-Sahih, 5/353)

Ibn Nujaim berkata: “Dan sekiranya dia menutupi dirinya dengan pakaian daripada sutera dan menunaikan solat (dalam keadaan itu), maka solatnya sah tetapi dia menanggung dosa sama seperti hukum orang yang solat di tanah yang dirampas.” (Lihat al-Bahr al-Ra’iq Syarh Kanz al-Daqaiq, 1/28)

Imam al-Rajihi ketika mengulas tentang hukum solat dengan mengenakan pakaian daripada sutera berkata: “hukum solatnya sah tetapi dia mendapat dosa, kerana kaedah fiqh menyebutkan, sekiranya larangan itu merujuk kepada zat (syarat dan rukun), maka hukumnya boleh membatalkan solat, namun sekiranya larangan itu merujuk kepada faktor luaran, maka hal tersebut tidak membatalkan solat. Seorang Muslim hanya dituntut untuk memastikan pakaian dan badannya bersih ketika solat”. Sekiranya dia memakai pakaian bernajis maka solatnya tidak sah, namun sekiranya dia bersolat memakai pakaian daripada sutera, maka solatnya sah tetapi berdosa kerana mengenakan pakaian yang diharamkan.” (Lihat Syarh Umdah al-Fiqh, 1/15)

Kesimpulan

Berdasarkan keterangan di atas, dapat difahami bahawa hukum memakai sutera adalah haram bagi kaum lelaki dan halal bagi kaum perempuan selagi tidak melanggar batas syariat. Namun begitu, kaum lelaki diharuskan memakai sutera ketika dalam keadaan darurat seperti memakainya ketika tiada pakaian yang boleh menutupinya pada musim sejuk atau untuk tujuan perubatan. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 4/437)

Selain itu, dalam menjawab persoalan di atas berkenaan hukum menggunakan sutera selain daripada pakaian sama ada di dalam solat seperti sejadah atau di luar solat seperti selimut, cadar, dan sebagainya adalah sama seperti hukum memakai sutera iaitu haram bagi kaum lelaki dan halal bagi kaum perempuan.

Manakala bagi lelaki yang memakai sutera atau menggunakannya sebagai alas untuk solat, dia menanggung dosa kerana melakukan perbuatan yang haram tetapi solatnya tetap sah di sisi jumhur ulama’. Hal ini kerana perkara tersebut tidak memberi apa-apa kesan dari sudut sah dan batalnya solat mengikut hukum syarak.

Wallahu a’lam

Bertarikh: 29 Mac 2022 bersamaan 26 Syaaban 1443H