#7690: Allah Tidak Mengazab Golongan yang Tidak Sampai kepada Mereka Risalah Islam

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ada sedikit kekeliruan, Allah tidak akan menimpakan azab pada seseorang yang tidak sampai kepadanya risalah Islam, tetapi dalam al-Quran juga ada menyebut bahawa setiap umat itu sudah dikirimkan kepada mereka seorang Rasul. Adakah ini bermaksud, risalah Islam telah sampai kepada semua orang?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Allah SWT menerangkan di dalam al-Quran bahawa Dia telah menegakkan hujjah ke atas sekalian hamba-Nya dengan pengutusan Rasul-rasul dan penurunan risalah-risalah kepada sekalian umat manusia. Ini sebagaimana dalam firman-Nya:

وَإِن مِّنْ أُمَّةٍ إِلَّا خَلَا فِيهَا نَذِيرٌ

Maksudnya: “Dan tidak ada suatu umat pun melainkan telah ada dalam kalangannya dahulu seorang Rasul pemberi ingatan dan amaran.”

(Surah Fatir: 24)

Yakni, tidak ada satu umat pun daripada kalangan anak-anak Nabi Adam A.S yang telah berlalu, melainkan Allah telah mengutuskan kepada mereka para Rasul yang memberi peringatan, dan telah menghilangkan daripada mereka segala alasan untuk tidak beriman kepada-Nya. (Lihat Tafsir al-Qur’an al-‘Azim, 6/481)

Begitu juga dapat kita lihat dalam ayat yang lain, Allah SWT berfirman:

وَلَقَدْ بَعَثْنَا فِى كُلِّ أُمَّةٍۢ رَّسُولًا

Maksudnya: “Dan sesungguhnya Kami telah mengutus dalam kalangan tiap-tiap umat seorang Rasul.”

(Surah al-Nahl: 36)

Kata Imam Fakhruddin al-Razi, ayat ini membuktikan bahawa Allah SWT telah memerintahkan untuk beriman kepadanya dan melarang dari kekufuran dalam semua kalangan umat manusia walau apa jua agama yang mereka anuti. (Lihat Mafatih al-Ghaib, 20/205)

Utusan Allah SWT kepada umat manusia itu amatlah ramai, dan tidaklah kesemuanya dikisahkan dalam al-Quran. Oleh yang demikian, boleh jadi ada dalam kalangan umat manusia yang kita sangka tidak sampai kepada mereka perintah untuk beriman kepada-Nya, tetapi pada hakikatnya Rasul yang diutuskan telah selesai menggalas tanggungjawab dalam menyampaikan peringatan. Allah SWT berfirman:

وَرُسُلًا قَدْ قَصَصْنَـٰهُمْ عَلَيْكَ مِن قَبْلُ وَرُسُلًا لَّمْ نَقْصُصْهُمْ عَلَيْكَ ۚ

Maksudnya: “Dan (Kami telah mengutuskan) beberapa orang Rasul yang telah Kami ceritakan kepadamu dahulu sebelum ini, dan Rasul-rasul yang tidak Kami ceritakan hal mereka kepadamu.”

(Surah al-Nisa’: 164)

Berbalik kepada kekeliruan yang timbul itu, ia bukanlah suatu percanggahan, bahkan al-Quran itu suci dari sebarang percanggahan pada intipatinya. Sebaliknya, Allah SWT menjelaskan sifat adil dan rahmat terhadap hamba-Nya dengan tidak menimpakan azab kepada mereka yang betul-betul tidak menerima risalah Islam atas faktor-faktor tertentu, seperti tinggal di kawasan yang terpencil dan jauh dari kemajuan teknologi, mengalami masalah pekak, orang gila dan seumpamanya. Firman-Nya:

وَمَا كُنَّا مُعَذِّبِينَ حَتَّىٰ نَبْعَثَ رَسُولًا

Maksudnya: “Dan tiadalah Kami mengazab sesiapa pun sebelum Kami mengutuskan seorang Rasul (untuk menerangkan yang benar dan yang salah).”

(Surah al-Isra’: 15)

Zahir ayat ini dengan jelas menunjukkan bahawa Allah SWT tidak akan mengazab sesiapa pun dari makhluk-Nya, sama ada di dunia atau di akhirat, sehingga Dia mengutuskan kepada mereka seorang Rasul yang memberikan peringatan dan amaran kepada mereka. Setelah peringatan itu disampaikan, jika Rasul itu tidak ditaati dan kekufuran serta maksiat berterusan selepas amaran dan peluang yang diberikan, barulah azab itu diturunkan.

Allah telah menjelaskan makna ini dalam banyak ayat lain, seperti firman-Nya:

رُّسُلًۭا مُّبَشِّرِينَ وَمُنذِرِينَ لِئَلَّا يَكُونَ لِلنَّاسِ عَلَى ٱللَّهِ حُجَّةٌۢ بَعْدَ ٱلرُّسُلِ ۚ

Maksudnya: “Rasul-rasul (yang Kami telah utuskan itu semuanya) pembawa khabar gembira (kepada orang-orang yang beriman), dan pembawa amaran (kepada orang-orang yang kafir dan yang berbuat maksiat), supaya tidak ada bagi manusia sesuatu hujah (atau sebarang alasan untuk berdalih pada hari kiamat kelak) terhadap Allah sesudah mengutuskan Rasul-rasul itu.”

(Surah an-Nisa’: 165)

Dalam ayat ini, dinyatakan dengan jelas bahawa Allah akan mematahkan alasan setiap manusia dengan mengutuskan para Rasul, yang membawa berita gembira kepada orang yang taat dengan balasan Syurga, serta memberi amaran kepada orang yang ingkar dengan azab neraka. (Lihat Adhwa’ al-Bayan, 3/66)

Oleh yang demikian, sekiranya benar masih wujud kelompok-kelompok manusia yang tidak sampai kepada mereka risalah Islam dan peringatan dari Rasulullah SAW, maka mereka tergolong dalam kalangan mereka yang tidak akan diazab oleh Allah SWT setelah meninggal dalam keadaan tidak beriman. Akan tetapi, mereka akan diuji oleh Allah SWT di akhirat kelak. Sekiranya mereka mentaati perintah-Nya, kelak mereka termasuk dalam kalangan orang beriman yang memperoleh kejayaan dan kesejahteraan. Dalam sebuah hadith, daripada al-Aswad bin Sari‘ R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَرْبَعَةٌ يَوْمَ الْقِيَامَةِ: رَجُلٌ أَصَمُّ لَا يَسْمَعُ شَيْئًا، وَرَجُلٌ أَحْمَقُ، وَرَجُلٌ هَرَمٌ، وَرَجُلٌ مَاتَ فِي فَتْرَةٍ، فَأَمَّا الْأَصَمُّ فَيَقُولُ: رَبِّ، لَقَدْ جَاءَ الْإِسْلَامُ وَمَا أَسْمَعُ شَيْئًا، وَأَمَّا الْأَحْمَقُ فَيَقُولُ: رَبِّ، لَقَدْ جَاءَ الْإِسْلَامُ وَالصِّبْيَانُ يَحْذِفُونِي بِالْبَعْرِ، وَأَمَّا الْهَرَمُ فَيَقُولُ: رَبِّ، لَقَدْ جَاءَ الْإِسْلَامُ وَمَا أَعْقِلُ شَيْئًا، وَأَمَّا الَّذِي مَاتَ فِي الْفَتْرَةِ، فَيَقُولُ: رَبِّ، مَا أَتَانِي لَكَ رَسُولٌ، فَيَأْخُذُ مَوَاثِيقَهُمْ لَيُطِيعُنَّهُ، فَيُرْسِلُ إِلَيْهِمْ أَنْ ادْخُلُوا النَّارَ، قَالَ: فَوَالَّذِي نَفْسُ مُحَمَّدٍ بِيَدِهِ، لَوْ دَخَلُوهَا لَكَانَتْ عَلَيْهِمْ بَرْدًا وَسَلَامًا

Maksudnya: “Empat golongan pada Hari Kiamat: Seorang lelaki yang tuli tidak mendengar apa-apa, seorang lelaki yang yang amat bodoh, seorang yang amat tua, dan seorang lelaki yang meninggal dunia pada masa fatrah (zaman tanpa Rasul).

Adapun lelaki yang tuli, dia berkata: ‘Wahai Tuhanku, Islam telah datang tetapi aku tidak mendengar apa-apa.’ Lelaki yang yang amat bodoh berkata: ‘Wahai Tuhanku, Islam telah datang tetapi kanak-kanak melempariku dengan najis binatang.’ Lelaki yang amat tua berkata: ‘Wahai Tuhanku, Islam telah datang sementara aku dalam keadaan tidak memahami apa-apa.’ Dan lelaki yang meninggal dunia pada masa fatrah berkata: ‘Wahai Tuhanku, tidak ada rasul yang datang kepadaku.’

Maka Allah mengambil perjanjian mereka bahawa mereka akan mentaatinya. Kemudian Allah mengutus utusan kepada mereka yang mengatakan: ‘Masuklah kamu ke dalam neraka.’ Demi Allah yang jiwa Muhammad berada di tangan-Nya, sekiranya mereka memasukinya, neraka itu akan menjadi dingin dan keselamatan bagi mereka.”

Riwayat Ahmad (16301), Ibn Hibban (7357), al-Tabarani (844) dan al-Bazzar (9597)

Natijahnya, memang benar risalah Islam itu telah sampai kepada seluruh umat manusia sepertimana yang dijelaskan dalam al-Quran, tetapi masih wujud kebarangkalian segelintir kecil individu dari kalangan umat-umat ini yang masih hidup dalam suasana yang jauh dari masyarakat, mundur jauh ke belakang dalam aspek teknologi, bahkan kekal dengan gaya hidup primitif. Wujud juga individu-individu yang diuji dengan masalah pekak dan juga buta, sehingga membataskan mereka dari memahami dan mengimani risalah Islam semasa di dunia. Maka, golongan-golongan inilah yang disebutkan oleh Allah SWT bahawa mereka tidak akan diazab, melainkan setelah diuji ketaatan mereka di akhirat kelak.

Semoga Allah SWT selamatkan kita di dunia dan di akhirat, serta teguhkan keimanan kita di atas landasan tauhid. Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً ، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً ، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”

Wallahu a‘lam.