#7691: Bolehkah Mimpi Bertemu Nabi SAW Menjadi Hujah?

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bolehkah mimpi bertemu Nabi SAW menjadi hujah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan hadith daripada Abu Hurairah, daripada Nabi SAW, Baginda bersabda:

وَمَنْ رَآنِي فِي المَنَامِ فَقَدْ رَآنِي، فَإِنَّ الشَّيْطَانَ لاَ يَتَمَثَّلُ فِي صُورَتِي

Maksudnya: “Sesiapa yang melihatku dalam mimpi, maka sesungguhnya dia telah melihatku. Sesungguhnya syaitan tidak mampu menyerupai rupaku.”

Riwayat al-Bukhari (110) (6197) dan Muslim (2134) (2266)

Imam al-Bukhari ada menyebutkan dalam kitab sahihnya sebuah riwayat lain daripada Abu Hurairah R.A, yang menyatakan bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda:

مَنْ رَآنِي فِي المَنَامِ فَسَيَرَانِي فِي اليَقَظَةِ، وَلاَ يَتَمَثَّلُ الشَّيْطَانُ بِي. قَالَ أَبُو عَبْدِ اللهِ: قَالَ ابْنُ سِيرِينَ: إِذَا رَآهُ فِي صُورَتِهِ.

Maksudnya: “Sesiapa yang bermimpi melihatku, maka dia akan melihatku dalam keadaan terjaga, dan syaitan tidak dapat menyerupaiku.” Abu ‘Abdillah (Imam al-Bukhari) berkata: Ibn Sirin berkata: “Maksudnya, apabila dia melihatnya dalam rupa bentuk Baginda.”

Riwayat al-Bukhari (6993) dan Muslim (2266)

Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani berkata, hadith ini mengandungi isyarat bahawa, meskipun Allah SWT membenarkan syaitan untuk menyerupai sesiapa sahaja yang dikehendaki, namun ia tetap terhalang dari menyerupai Nabi SAW. Beberapa ulama berpandangan, yang dimaksudkan dalam hadith ini adalah apabila seseorang melihat Baginda SAW dalam rupa yang sama seperti rupa asal Baginda. Ada juga yang menyempitkan syarat ini sehingga mengatakan seseorang mesti melihat Rasulullah SAW dalam bentuk fizikal Baginda yang tepat pada waktu Baginda wafat, termasuklah bilangan uban yang tidak melebihi dua puluh helai.

Akan tetapi, beliau lebih cenderung memilih pandangan yang bersifat umum, meliputi semua keadaan fizikal Baginda pada mana-mana peringkat kehidupan; sama ada pada usia muda, dewasa, usia pertengahan, atau pada akhir hayat Baginda, selagi mana ia menyerupai rupa sebenar Baginda pada masa tertentu. Kadangkala, perbezaan dalam bentuk mungkin berkaitan dengan tafsiran mimpi yang berhubung dengan keadaan orang yang bermimpi itu sendiri.

Beliau juga menukilkan kalam Ibn Battal: Sabda Baginda, “maka dia akan melihatku dalam keadaan terjaga,” yang dimaksudkan adalah tentang kebenaran mimpi itu ketika dalam keadaan terjaga. Ini bukan merujuk kepada melihat Baginda di akhirat, kerana di akhirat, Baginda akan dilihat oleh semua umatnya pada Hari Kiamat, tidak kira sama ada mereka pernah bermimpi melihat Baginda atau tidak.

Turut dinukilkan Ibn al-Tin menyatakan: “Maksudnya adalah individu yang telah beriman kepada Baginda SAW semasa Baginda masih hidup, tetapi belum berpeluang untuk berjumpa dengan Baginda. Ini merupakan berita baik bagi setiap individu yang beriman kepada Baginda tetapi belum berkesempatan untuk berjumpa dengannya, kerana mereka akan pasti berjumpa dan melihat Baginda dalam keadaan sedar sebelum Baginda meninggal dunia. Pendapat ini disebut oleh al-Qazzaz.” (Lihat Fath al-Bari, 12/386; 34/421)

Berkenaan persoalan di atas, hujah dan dalil syara‘ yang menjadi asas dan sumber hukum adalah terhad kepada al-Quran dan al-Sunnah, kemudian diikuti dengan ijma‘ ulama dan qiyas berdasarkan kesepakatan majoriti ulama. Seterusnya, diikuti dengan ‘urf (adat), istishab (pengekalan hukum asal), istihsan, maslahah mursalah (kemaslahatan umum yang tidak dinyatakan secara khusus), syariat umat terdahulu, pendapat sahabat, dan sad al-zara‘i’ (penutupan jalan-jalan yang membawa kepada kemungkaran), dengan perbezaan pandangan dalam kalangan majoriti para imam mengenai kedudukan dalil-dalil ini. Namun, tiada seorang pun dalam kalangan para ahli ilmu yang memasukkan mimpi sebagai salah satu daripada dalil-dalil ini.

Tidak syak lagi, syari‘at yang telah ditetapkan oleh Allah SWT ke atas kita melalui lisan Rasulullah SAW telah disempurnakan oleh-Nya, maka bagaimana mungkin mimpi seseorang yang datang ribuan tahun selepas disempurnakan agama ini boleh dijadikan sebagai hujjah. Allah SWT menjelaskan dalam firman-Nya:

ٱلْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ

Maksudnya: “Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu.”

(Surah al-Ma’idah: 3)

Imam al-Syaukani menyebutkan, tidak ada dalil yang menunjukkan bahawa melihat Rasulullah SAW dalam mimpi setelah kewafatannya – jika Baginda berkata sesuatu atau melakukan sesuatu dalam mimpi tersebut – ia boleh dianggap sebagai dalil atau hujjah. Setelah Allah SWT menyempurnakan syari‘at untuk umat ini melalui lisannya, Baginda SAW pun diwafatkan dan kembali ke hadrat Ilahi, dan umat tidak lagi memerlukan apa-apa tambahan dalam urusan agama mereka. Wahyu untuk menyampaikan syari‘at dan menjelaskannya telah terputus dengan kewafatan Baginda. Oleh itu, jika kita mengandaikan seorang yang bermimpi dapat mengingati sepenuhnya apa yang dilihatnya, apa yang dilihat dalam bentuk kata-kata atau tindakan Rasulullah dalam mimpi tersebut tidak boleh menjadi hujjah, baik bagi dirinya sendiri atau bagi umat yang lain. (Lihat Irsyad al-Fuhul, 2/202)

Imam Badruddin al-Zarkasyi sendiri pernah menyebutkan, yang paling tepat adalah tidak dibenarkan untuk menetapkan sesuatu perkara berdasarkan kepada mimpi sahaja, bahkan jika seseorang bermimpi bahawa Rasulullah SAW telah memerintahkannya dengan satu hukum, hal tersebut tidak mewajibkannya untuk mengikuti hukum itu. Hukum-hukum tidak ditetapkan berdasarkan mimpi kecuali bagi para nabi, atau dengan pengesahan daripada mereka. (Lihat al-Bahr al-Muhit, 1/89)

Dalam menjelaskan isu ini, Imam Abu al-Walid Ibn Rusyd al-Jadd berkata, adapun suatu hukum yang telah disaksikan oleh dua orang saksi yang dikenali dengan sifat adil, maka tidak boleh bagi seorang hakim untuk meninggalkan keputusan berdasarkan kesaksian mereka hanya kerana dia melihat dalam mimpinya bahawa Rasulullah SAW berkata kepadanya: “Janganlah engkau berhukum dengan kesaksian ini, kerana ia batil.” Ini kerana menolak hukum syara‘ hanya berdasarkan mimpi adalah batil dan tidak boleh diterima. Tidak dibenarkan untuk mempercayainya atau menyatakannya; kerana perkara ghaib hanya diketahui oleh para nabi yang menerima wahyu. Adapun orang selain mereka, mimpi mereka hanyalah sejuzuk daripada empat puluh enam tanda kenabian. (Lihat Masa’il Ibn Rusyd, 1/533)

Imam Abu Ishaq al-Syatibi juga menggariskan perbahasan ini di dalam sebuah topik yang khusus. Katanya, hujjah yang paling lemah oleh suatu golongan itu apabila mereka menyandarkan amal perbuatan yang dikerjakan itu kepada mimpi sebagai hujjah, bahkan mereka menerima suatu amalan atau menolaknya kerana mimpi tersebut. Mereka berkata: “Kami melihat si fulan seorang lelaki yang soleh berkata kepada kami: ‘Tinggalkan ini, lakukan ini’.”

Perkara begini sering berlaku dalam kalangan mereka yang mendakwa diri mereka sebagai pengamal tasawwuf – sedangkan hakikatnya tidak. Terkadang, seseorang mungkin mendakwa: “Aku melihat Rasulullah SAW di dalam mimpi dan Baginda menyuruhku melakukan sesuatu,” lalu dia melakukannya dan mengabaikan batasan syari‘at. Ini adalah satu kesilapan; kerana mimpi selain dari mimpi Rasulullah SAW sendiri tidak boleh dijadikan hujjah agama, melainkan amalan tersebut seiring dengan hukum-hukum syariat yang telah sedia ada. Jika mimpi itu selari, ia boleh diamalkan, jika tidak, ia mesti ditinggalkan. Kegunaan mimpi hanyalah sebagai khabar gembira atau amaran, tetapi bukan sebagai medium penetapan hukum agama. (Lihat al-I‘tisam, 1/331)

Imam Nawawi pula ada menukilkan daripada al-Qadhi ‘Iyadh bahawa bermimpi melihat Rasulullah SAW ini tidak menjadi hujjah yang membatalkan mana-mana sunnah sedia ada, dan ia juga tidak menetapkan satu sunnah yang tidak thabit. Beginilah yang disepakati oleh ulama, dan ia juga pendapat ulama lain dalam mazhab al-Syafi‘i serta selainnya. Mereka bersepakat bahawa apa yang telah ditetapkan dalam syari‘at tidak boleh diubah hanya berdasarkan mimpi seseorang. Hal ini kerana keadaan tidur bukanlah keadaan seseorang itu menekuni sesuatu, memastikan ketepatan atau pemahaman yang jelas terhadap apa yang didengari olehnya. Bahkan, ulama juga bersepakat bahawa syarat untuk menerima suatu riwayat dan kesaksian seseorang adalah dengan dia mempunyai kesedaran sepenuhnya, tidak lalai, tidak lemah hafalannya, tidak kerap melakukan kesilapan, dan tekun. Orang yang sedang tidur tidak mempunyai ciri-ciri ini, maka riwayatnya menerusi mimpi tidak diterima.

Adapun jika seseorang melihat Nabi SAW memerintahkannya melakukan sesuatu yang memang telah disunatkan, atau melarangnya daripada sesuatu yang memang telah dilarang, atau membimbingnya melakukan sesuatu yang bermanfaat, maka tidak ada perselisihan berkenaan tuntutan untuk mengikutnya; kerana itu bukanlah hukum semata-mata berdasarkan mimpi, tetapi telah ditetapkan daripada hukum asalnya. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 1/115)

Begini juga yang difahami menerusi kalam Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah. Menurut beliau, mimpi itu umpama kasyaf. Ada yang bersumber dari rahmat Allah dan ada pula yang bersumber dari syaitan. Mimpi para nabi adalah wahyu, kerana ia dilindungi dari campur tangan syaitan, dan ini adalah ijma‘ (kesepakatan) umat. Oleh yang demikian, Nabi Ibrahim A.S telah melaksanakan perintah untuk menyembelih anaknya Ismail A.S berdasarkan mimpinya. Adapun mimpi selain para Nabi dan Rasul perlu dirujuk kepada wahyu yang jelas, jika ia selari dengan wahyu, maka ia boleh diikuti. Sekiranya ia bertentangan dengan wahyu, maka ia tidak boleh diamalkan. (Lihat Madarij al-Salikin, 1/75)

Syeikh Hasan al-‘Attar menyatakan di dalam Hasyiyah beliau, kebenaran suatu mimpi itu tidak bererti ia boleh dijadikan sandaran untuk menetapkan hukum syara‘, kerana ada kemungkinan orang yang bermimpi itu tersalah atau tidak jelas.

Beliau kemudiannya membawakan sebuah riwayat berkenaan seorang lelaki yang mengaku telah melihat Rasulullah SAW dalam mimpi. Dikatakan, Baginda memberitahu kepadanya bahawa di tempat tertentu terdapat harta karun, lalu Baginda memerintahkan untuk lelaki tersebut mengambilnya tanpa perlu mengeluarkan satu perlima dari bahagiannya. Sekiranya kita melihat kepada hukum yang telah ditetapkan oleh Islam, harta sebelum zaman Jahiliyyah yang dijumpai atau disebutkan al-rikaz (الرِّكَازُ) hanya boleh diambil empat per lima sahaja dari bahagiannya. Adapun baki itu perlu dikeluarkan untuk kegunaan maslahah masyarakat Islam setempat. Ini sebagaimana yang thabit dalam hadith Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:

وَفِي الرِّكَازِ الخُمُسُ

Maksudnya: “Adapun harta yang dijumpai di dalam tanah, perlulah dikeluarkan satu per lima.”

Riwayat al-Bukhari (2355) dan Muslim (1710)

Alangkah takjubnya, lelaki itu benar-benar menemui harta tersebut, dan dia terus meminta pandangan ulama ketika itu. Sultan al-Ulama al-‘Izz ibn ‘Abd al-Salam mengatakan kepadanya agar mengeluarkan satu per lima darinya kerana hukum ini telah ditetapkan secara mutawatir, sedangkan mimpi lelaki itu meskipun benar, ia hanya bersifat ahad. Maka perintah untuk tidak mengeluarkan satu per lima dari harta al-rikaz itu tertolak dan tidak boleh dijadikan hujjah. (Lihat Hasyiah al-‘Attar, 2/467)

Tambahan pula, kefahaman terhadap suatu mimpi itu berkemungkinan disalah ertikan oleh orang yang bermimpi itu sendiri. Sedangkan ijtihad para ulama yang dipandu dengan penguasaan ilmu alat juga mungkin berlaku kesilapan, maka demikianlah mimpi yang mana ilmu penafsirannya itu terhad dan hanya dikurniakan kepada sebahagian kecil dari golongan cerdik pandai sahaja.

Dikisahkan pada zaman Rasulullah SAW dahulu, seorang lelaki bertemu Baginda untuk bercerita tentang mimpinya. Dia bermimpi melihat awan menitiskan lemak dan madu, lalu dia melihat orang ramai menadahnya dengan telapak tangan mereka. Sebahagian mereka memperolehi banyak dan ada yang sedikit. Tiba-tiba ada seutas tali yang memanjang dari bumi hingga ke langit. Lelaki tersebut melihat Rasulullah SAW meraihnya lalu naik, kemudian ada orang lain meraihnya lalu dia pun naik, setelah itu ada orang lain lagi yang meraih lalu dia pun naik, kemudian ada orang lain lagi meraihnya namun terputus, kemudian disambung kembali.

Mendengar kisah berkenaan mimpi ini, Saidina Abu Bakar al-Siddiq R.A meminta izin dari Rasulullah SAW untuk menafsirkannya. Setelah beliau selesai menafsirkannya, Rasulullah SAW bersabda:

أَصَبْتَ بَعْضًا وَأَخْطَأْتَ بَعْضًا

Maksudnya: “Engkau benar pada sebahagian dan tersilap pada sebahagian yang lain.”

Riwayat al-Bukhari (7046) dan Muslim (2269)

Justeru, berdasarkan hal ini, hukum syari‘ah tidak boleh diambil dan berhujjahkan mimpi bertemu dengan Rasulullah SAW semata-mata, sekalipun mimpi tersebut benar atau ditafsirkan oleh orang yang berkeahlian, melainkan perkara tersebut adalah perkara yang selari dengan syari‘at.

Kami juga ada menulis berkenaan isu ini dalam eBook kami bertajuk: Melihat Rasulullah SAW di Alam Mimpi: Antara Kebenaran dan Dakwaan.[1]

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami sebagai pemimpin bagi orang yang bertaqwa. (Lihat Mazahib Ahl al-Sunnah oleh Ibn Syahin, no. 38, hlm 40;  Tafsir al-Quran al-’Azim, 3/75)

 

Nota Hujung:

[1] Untuk bacaan lanjut, boleh mendapatkannya di pautan berikut: https://play.google.com/store/books/details?id=R6Q2EQAAQBAJ