#7695: Amalan Doa ketika Solat Tahajud

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah doa yang boleh saya amalkan ketika solat Tahajud?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Menjadi kelaziman mereka yang melaksanakan solat malam akan mengakhiri ibadat tersebut dengan berdoa kepada Allah. Hal ini ber- tepatan dengan firman Allah SWT:

تَتَجَافَى جُنُوبُهُمْ عَنِ الْمَضَاجِعِ يَدْعُونَ رَبَّهُمْ خَوْفًا وَطَمَعًا وَمِمَّا رَزَقْنَاهُمْ يُنفِقُونَ

Maksudnya: “Mereka merenggangkan diri dari tempat tidur, (sedikit sangat tidur kerana mengerjakan solat Tahajjud dan amal-amal soleh), mereka sentiasa berdoa kepada Tuhan mereka dengan perasaan takut (akan kemurkaan-Nya) serta dengan perasaan ingin memperoleh lagi (keredhaan-Nya), dan mereka selalu pula mendermakan sebahagian daripada apa yang Kami beri kepada mereka.”

(Surah al-Sajdah: 16)

Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili berkata: Mereka memanjatkan doa kepada Allah dengan doa yang tulus dan sungguh-sungguh dengan berlandaskan keyakinan akan diperkenankan, serta dengan penuh rasa takut kepada hukuman dan penuh pengharapan kepada rahmat dan pahala yang melimpah. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 11/216).

Ayat di atas jelas menunjukkan yang mereka berdoa dengan penuh pengharapan bagi mendapat keredhaan-Nya di samping membelanjakan sebahagian harta yang diperolehinya untuk berinfaq fi sabilillah.

Penulis mengemukakan di sini beberapa doa yang boleh diamalkan ketika melakukan solat tahajjud, iaitu:

  • Di dalam kitab Sahih Muslim menyebut bahawa Aisyah R.Anha berkata: “Apabila Rasulullah SAW melakukan Qiamullail. Baginda berdoa:

اللهُمَّ رَبَّ جَبْرَائِيلَ، وَمِيكَائِيلَ، وَإِسْرَافِيلَ، فَاطِرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ، عَالِمَ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ، أَنْتَ تَحْكُمُ بَيْنَ عِبَادِكَ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ، اهْدِنِي لِمَا اخْتُلِفَ فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِكَ، إِنَّكَ تَهْدِي مَنْ تَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ

Maksudnya: “Wahai Allah, Tuhan kepada Jibrail, Mikail, dan juga Israfil. Tuhan yang menciptakan langit dan juga bumi. Tuhan yang mengetahui perkara ghaib dan juga perkara yang nyata. Engkau menghukum di antara hamba-hamba-Mu terhadap perkara yang mereka perselisihkan. Tunjukkanlah aku akan kebenaran terhadap apa yang mereka perselisihkan dengan keizinan-Mu. Sesungguhnya Engkau memberikan hidayah kepada sesiapa yang Engkau kehendaki ke arah jalan yang lurus.”

Riwayat Muslim (770), Abu Dawud (767) dan al-Tirmizi (3420)

Maksud ungkapan “فيما كانوا فيه يختلفون” adalah dari apa yang mereka perselisih- kan dari urusan agama dalam kehidupan dunia mereka. Yakni, tunjukkanlah kepada yang haq dan benar dalam perselisihan ini, dengan taufik-Mu. (Lihat ‘Aun al-Ma’bud, 2/334 dan Mirqat al-Mafatih, 3/916).

  • Rasulullah SAW berdoa:

اللهُمَّ اجْعَلْ فِي قَلْبِي نُورًا، وَفِي بَصَرِي نُورًا، وَفِي سَمْعِي نُورًا، وَعَنْ يَمِينِي نُورًا، وَعَنْ يَسَارِي نُورًا، وَفَوْقِي نُورًا، وَتَحْتِي نُورًا، وَأَمَامِي نُورًا، وَخَلْفِي نُورًا، وَعَظِّمْ لِي نُورًا

Maksudnya: “Ya Allah! Berikanlah cahaya dalam hatiku, dalam pandanganku cahaya, dalam pendengaranku cahaya, dari arah kananku cahaya, dari arah kiriku cahaya, di atasku cahaya, di bawahku cahaya, di depanku cahaya, di belakangku cahaya dan limpahkanlah kepadaku dengan cahaya.”

Riwayat Muslim (763)

Al-Hafiz Ibn Hajar menukilkan daripada al-Tibi, katanya: “Makna memohon cahaya untuk masing-masing anggota tubuh adalah menampakkan cahaya- cahaya makrifah dan ketaatan. Kerana syaitan sentiasa meliputi keenam arah itu dengan pelbagai godaan dan bisikan. Maka untuk menyelamatkan diri, perlu ada cahaya-cahaya yang membentengi arah-arah tersebut. Semua ini kembali kepada hidayah dan cahaya kebenaran. Itulah yang diisyaratkan melalui firman Allah dalam surah al-Nur ayat 35 : ” اللَّهُ نُورُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ … نُورٌ عَلَى نُورٍ ، يَهْدِي اللَّهُ لِنُورِهِ مَن يَشَاءُ« ]Maksudnya: “Allah (pemberi) cahaya (kepada) langit dan bumi… cahaya di atas cahaya (berlapis-lapis), Allah membimbing kepada cahaya-Nya siapa yang Dia kehendaki.]. (Lihat Fath al-Bari, 30/394).

  • Diriwayatkan daripada Abdullah bin Abbas R.Anhuma, dia berkata: “Apabila Rasulullah SAW melakukan Qiamullail, Baginda solat tahajjud dan berdoa:

اللَّهُمَّ لَكَ الحَمْدُ أَنْتَ قَيِّمُ السَّمَوَاتِ وَالْأَرْضِ وَمَنْ فِيهِنَّ، وَلَكَ الحَمْدُ لَكَ مُلْكُ السَّمَوَاتِ وَالْأَرْضِ وَمَنْ فِيهِنَّ، وَلَكَ الحَمْدُ أَنْتَ نُورُ السَّمَوَاتِ وَالْأَرْضِ وَمَنْ فِيهِنَّ، وَلَكَ الحَمْدُ أَنْتَ مَلِكُ السَّمَوَاتِ وَالْأَرْضِ، وَلَكَ الحَمْدُ أَنْتَ الحَقُّ وَوَعْدُكَ الحَقُّ، وَلِقَاؤُكَ حَقٌّ، وَقَوْلُكَ حَقٌّ، وَالجَنَّةُ حَقٌّ، وَالنَّارُ حَقٌّ، وَالنَّبِيُّونَ حَقٌّ، وَمُحَمَّدٌ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حَقٌّ، وَالسَّاعَةُ حَقٌّ

Maksudnya: “Ya Allah! Bagi-Mu segala puja dan puji, Engkaulah pengatur langit dan bumi serta segala isinya. Bagi-Mu segala puja dan puji, seluruh kerajaan langit dan bumi serta yang ada didalamnya hanya milikmu. Bagi-Mu segala puja dan puji, Engkau cahaya langit dan bumi dan segala di dalamnya. Bagi-Mu segala puja dan puji, Engkaulah Raja langit dan bumi. Bagi-Mu segala puja dan puji, Engkau Maha Benar. Janji-Mu Benar. Pertemuan dengan-Mu Benar. Firman-Mu Benar. Syurga itu benar. Neraka juga benar. Para nabi dan rasul juga benar. Muhammad SAW itu benar. Hari Kiamat itu benar.”

Riwayat al-Bukhari (1120)

Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita kefaqihan dalam beragama, kekuatan untuk melaksanakan amal soleh, serta kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Dialah jua yang menjaga dan memelihara orang-orang yang soleh.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إني أسألُكَ مُوجِباتِ رَحْمَتِكَ، وَعَزَائِمَ مَغْفِرَتِكَ وَالسَّلامَةَ مِنْ كُلِّ إثْمٍ، وَالفَوْزَ بالجَنَّةِ، وَالنَّجاةَ مِنَ النَّارِ

Maksudnya: “Ya Allah! Aku memohon kepada-Mu segala asbab yang mewajibkan rahmat-Mu, dan segala sesuatu yang mendatangkan keampunan-Mu, keselamatan dari segala dosa, kejayaan dengan syurga dan berjaya selamat daripada api neraka.”

Wallahu a‘lam.