Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada terbaca kisah Nabi Musa memberi minum kepada kambing gembalaan dua wanita dan akhirnya beliau menikahi salah seorang daripada mereka. Cuma, saya ingin bertanya, benarkah bapa mentua iaitu bapa kepada wanita itu adalah Nabi Syu’aib?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Para ulama tafsir berbeza pandangan tentang siapakah bapa kedua-dua wanita tersebut. Majoriti ulama, antaranya al-Hasan al-Basri, al-Qurtubi dan al-Syaukani berpandangan bahawa beliau ialah Nabi Syu‘aib A.S yang diutuskan kepada kaum Madyan, dan inilah pandangan yang masyhur dalam kalangan ulama tafsir. Firman Allah SWT:
وَإِلَىٰ مَدْيَنَ أَخَاهُمْ شُعَيْبًا
Maksudnya: “Dan Kami telah utuskan kepada penduduk Madyan saudara mereka Nabi Syu‘aib.”
(Surah al-A‘raf: 85)
Selain itu, ada yang berpendapat beliau ialah saudara lelaki kepada Nabi Syu‘aib A.S. Dan ada juga yang berpendapat bahawa dia ialah seorang lelaki soleh yang tiada langsung pertalian dengan Nabi Syu‘aib AS.
Namun demikian, Ibn Kathir menyatakan bahawa pandangan yang lebih kuat ialah lelaki tersebut bukannya Nabi Syu‘aib A.S. Ini dapat dilihat melalui sabda Nabi Syu‘aib A.S kepada kaumnya seperti yang dirakamkan di dalam al-Quran:
وَمَا قَوْمُ لُوطٍ مِّنكُم بِبَعِيدٍۢ
Maksudnya: “Seperti keadaan yang menimpa kaum Nabi Lut yang kamu sendiri ketahui yang terletak tidak jauh daripada kamu.”
(Surah Hud: 89)
Ayat ini mengisyaratkan bahawa zaman Nabi Syu‘aib A.S adalah hampir kepada zaman Nabi Lut A.S, dan beliau juga mempersoalkan bahawa jika benar lelaki tersebut ialah Nabi Syu‘aib A.S, mengapa Allah SWT tidak menyebut namanya secara jelas? Begitu juga riwayat-riwayat yang menyebut nama Nabi Syu‘aib A.S dalam kisah-kisah Nabi Musa A.S adalah tidak sahih sanadnya dan tidak boleh dijadikan hujah. (Lihat Tafsir Ibn Kathir, 6/205-206; Fath al-Qadir, 4/194)
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami sebagai pemimpin bagi orang yang bertaqwa. (Lihat Mazahib Ahl al-Sunnah oleh Ibn Syahin, no. 38, hlm 40; Tafsir al-Quran al-’Azim, 3/75)