#7697: Sahabat Yang Bermimpi Rasulullah SAW Setelah Baginda Wafat

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh ceritakan berkenaan kisah-kisah para sahabat yang pernah bermimpi melihat Rasulullah SAW dalam mimpinya setelah kewafatan Baginda SAW?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Rasulullah SAW bukan sahaja dicintai pada zamannya, malah kecintaan terhadap Baginda tetap subur di hati para sahabat walaupun setelah kewafatan baginda. Kesetiaan mereka terhadap Rasulullah SAW tidak pernah pudar, bahkan ramai antara mereka yang begitu rindu sehingga Allah SWT memberikan kurniaan untuk bermimpi bertemu dengan baginda. Mimpi ini merupakan satu anugerah luar biasa, mengubat kerinduan mereka serta menjadi peringatan dan  kasih sayang  terhadap Rasulullah SAW yang terus hidup dalam jiwa mereka. Antara sahabat yang pernah bertemu dengan Rasulullah SAW di dalam mimpi adalah sebagaimana berikut:

  • Umar bin al-Khattab R.A

Daripada Umar bin Hamzah bin Abdullah bin Umar, daripada bapa saudaranya Salim, daripada bapanya, katanya: Umar berkata: Aku melihat Rasulullah SAW dalam mimpiku, namun aku melihat Baginda tidak memandang kepadaku. Lalu aku bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah salahku?” Baginda menjawab: “Bukankah engkau mencium (isterimu) ketika sedang berpuasa?” Aku berkata: “Demi Tuhan yang telah mengutusmu dengan kebenaran, aku tidak akan mencium lagi (isteri) ketika aku sedang berpuasa.” (Lihat al-Muhalla, 6/208).

Namun begitu kisah ini dikritik oleh para ulama kerana  Umar bin Hamzah adalah perawi yang lemah, seperti dinyatakan dalam kitab Taqrib. Dia telah dinilai lemah oleh Imam Ahmad, Ibn Ma‘in, dan al-Nasa’i.

Tambahan pula, hal ini bertentangan dengan apa yang telah sabit daripada Nabi SAW ketika Baginda masih hidup dan juga daripada Umar sendiri R.A. Diriwayatkan daripada Jabir bin Abdullah R.A, beliau berkata: Umar bin al-Khattab R.A berkata:

 هَشَشتُ فَقَبَّلْتُ وَأَنَا صَائِمٌ، فَقُلْتُ: يَا رَسُولَ اللهِ، صَنَعْتُ الْيَوْمَ أَمْرًا عَظِيمًا، قَبَّلْتُ وَأَنَا صَائِمٌ، قَالَ: «أَرَأَيْتَ لَوْ مَضْمَضْتَ مِنَ الْمَاءِ وَأَنْتَ صَائِمٌ؟» قُلْتُ: لَا بَأْسَ بِهِ.

Maksudnya: “Aku terangsang lalu mencium (isteriku) sedangkan aku sedang berpuasa, maka aku berkata: ‘Wahai Rasulullah, hari ini aku telah melakukan sesuatu yang besar, aku mencium (isteriku) sedangkan aku sedang berpuasa.’ Rasulullah menjawab: ‘Apa pandanganmu jika engkau berkumur dengan air sedangkan engkau berpuasa?’ Aku menjawab: ‘Tidak mengapa dengannya.’”

Riwayat Abu Dawud (2385)

Abu Muhammad Ibn Hazm berkata: Hukum-hakam syariat tidak diambil melalui mimpi, terutama apabila Rasulullah SAW sendiri telah memberikan fatwa kepada Umar semasa Baginda masih hidup dan dalam keadaan sedar tentang kebolehan mencium bagi orang yang berpuasa. Maka adalah batil jika perkara ini dianggap dimansuhkan melalui mimpi ketika Baginda sudah wafat.

Ibn Hazm juga menyebutkan, cukuplah dari semua ini bahawa Umar bin Hamzah tidak bernilai (tidak dapat dipercayai). (Lihat Usul bi la Usul, hlm.72)

  • Uthman bin ‘Affan R.A

Diceritakan daripada Ibn Umar, bahawa Uthman pada pagi harinya berbicara kepada orang ramai. Beliau berkata:

رَأَيْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي الْمَنَامِ، فَقَالَ: يَا عُثْمَانُ أَفْطِرْ عِنْدَنَا. فَأَصْبَحَ صَائِمًا، وَقُتِلَ مِنْ يَوْمِهِ.

Maksudnya: “Aku melihat Nabi SAW dalam mimpi di mana Baginda bersabda: ‘Wahai Uthman, berbuka puasalah bersama kami.’” Maka Uthman bangun pada pagi itu dalam keadaan berpuasa, dan pada hari itu juga beliau dibunuh.” (Lihat Tarikh Ibn ‘Asaqir, 39/385).

Daripada Kathir bin al-Salt al-Kindi, beliau berkata: Uthman tertidur pada hari beliau dibunuh, iaitu pada hari Jumaat. Apabila beliau bangun, beliau berkata: “Kalau bukan kerana orang akan berkata bahawa Uthman berharap sesuatu yang mustahil, pasti aku akan ceritakan sesuatu kepada kalian.” Kami berkata: “Ceritakanlah kepada kami, semoga Allah memperbaiki keadaanmu, kerana kami tidak mengendahkan apa yang dikatakan orang ramai.” Beliau pun berkata: “Aku telah melihat Rasulullah SAW dalam mimpiku ini, dan baginda bersabda: ‘Engkau akan menyertai kami pada hari Jumaat ini.’”

Selain itu juga, turut diceritakan oleh Hilal binti Waqi‘ daripada isteri Uthman, beliau berkata: “Uthman tertidur sebentar, dan apabila beliau bangun, beliau berkata: ‘Mereka akan membunuhku.’” Maka aku (isteri Uthman) berkata: “Tidak mungkin, wahai Amirul Mukminin.” Beliau menjawab: “Aku melihat Rasulullah, Abu Bakar, dan Umar dalam mimpiku, dan mereka berkata: ‘Berbukalah bersama kami malam ini,’ atau mereka berkata: ‘Engkau akan berbuka bersama kami malam ini.’” (Lihat Tabaqat al-Kubra, 3/75).

  • Ali bin Abu Talib R.A

Al-Hasan bin Ali R.A berkata pada hari Ali R.A dibunuh: Malam tadi, aku keluar dan melihat ayahku sedang bersolat di masjid rumahnya. Beliau berkata kepadaku: ‘Wahai anakku, sepanjang malam aku membangunkan ahli keluargaku kerana ini adalah malam Jumaat yang keesokannya ialah hari purnama penuh (malam pertengahan bulan). Namun, mataku dikuasai rasa mengantuk, lalu aku tertidur. Dalam tidurku, Rasulullah SAW muncul di hadapanku, dan aku berkata: ‘Wahai Rasulullah, betapa banyaknya aku menerima gangguan dan kesulitan daripada umatmu.’ Baginda bersabda kepadaku: ‘Doakanlah keburukan untuk mereka.’ Maka aku berdoa: ‘Ya Allah, gantikanlah aku dengan orang yang lebih baik daripada mereka, dan gantikan mereka dengan orang yang lebih buruk daripadaku.’ Kemudian, datanglah Ibn al-Nabbah dan memanggil ayahku untuk solat. Ayahku pun keluar, dan aku mengikutnya dari belakang. Lalu, Ibn Muljam memukulnya dan membunuhnya. (Lihat Nihayah al-Arb fi Funun al-Adab, 20/213-214)

  • Bilal bin Rabah R.A

Bilal R.A pernah melihat Nabi SAW dalam mimpinya, dan Baginda bertanya kepadanya: Mengapakah engkau menjauhkan diri, wahai Bilal? Tidakkah sudah tiba masanya engkau menziarahiku? Bilal pun terjaga dalam keadaan sedih. Lalu, beliau menaiki tunggangannya dan menuju ke Madinah. Sesampainya di sana, beliau datang ke makam Nabi SAW, menangis di sisinya dan mengusap wajahnya pada makam Baginda. Kemudian, datanglah Hasan dan Husain, lalu Bilal memeluk dan mencium mereka. Mereka berkata kepadanya: Wahai Bilal! Kami ingin mendengar azanmu. Bilal pun melakukannya. Beliau naik ke tempat azan dan berdiri. Ketika beliau mengumandangkan, ‘Allahu Akbar, Allahu Akbar,’ Madinah bergema. Tatkala beliau berkata, ‘Asyhadu an la ilaha illallah,’ gema itu semakin kuat. Apabila beliau menyebut, ‘Asyhadu anna Muhammadan Rasulullah,’ para wanita keluar dari rumah-rumah mereka. Mereka berkata: Rasulullah diutus kembali. Tidak pernah disaksikan hari di Madinah dengan lebih banyak orang menangis dan terharu selepas kewafatan Rasulullah SAW selain daripada hari itu. (Lihat Usd al-Ghabah, 1/244-245, Siyar  ‘Alam al-Nubala’, 1/358)

Kisah ini telah direkodkan dalam kitab Tarikh Dimasyq oleh Ibn Asakir dan juga Ibn al-Athir dalam Usd al-Ghabah. Kami cuba untuk memaparkan beberapa pandangan daripada para ulama’ dalam menilai status kisah ini, antara lain:

Imam al-Hafiz Ibn Abd al-Hadi telah menilai bahawa riwayat atau kisah ini tidak sahih. Selain itu, kisah ini dianggap sebagai gharib (ganjil) dan mungkar. Dalam sanadnya, terdapat perawi yang majhul dan juga terputus. (Lihat al-Sarim al-Munki, 237)

Imam al-Hafiz al-Zahabi telah membuat penilaian terhadap riwayat yang mengisahkan tentang hari yang paling banyak air mata ditumpahkan oleh kaum lelaki dan wanita di Madinah selepas pemergian Rasulullah SAW, berbanding dengan hari tersebut (hari Bilal kembali ke Madinah), dan menilainya sebagai riwayat yang mungkar. (Lihat Siyar A’lam al-Nubala’, 1/358)

Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani dalam kitabnya menegaskan bahawa cerita tentang kepulangan Bilal R.A ke Madinah adalah cerita yang nyata palsunya. (Lihat Lisan al-Mizan, 1/108)

Imam al-Syaukani telah menyatakan bahawa kisah Bilal RA telah diriwayatkan oleh sekelompok sahabat, termasuk Bilal RA sendiri, seperti yang dinukilkan oleh Ibn Asakir dengan sanad yang baik. (Lihat Nail al-Autar, 5/114)

Berlandaskan beberapa pendapat yang telah dikemukakan oleh para ulama, kami lebih cenderung kepada pandangan yang menyatakan bahawa riwayat atau kisah yang disebutkan sebelum ini adalah tidak sahih, sejajar dengan pendirian yang dipegang oleh Imam Ibn Abd al-Hadi, Imam al-Zahabi dan juga Imam Ibn Hajar al-Asqalani.

Meskipun riwayat kisah tersebut adalah tidak sahih, namun tidak dapat dimungkiri bahawa Bilal RA mempunyai kasih sayang dan rindu yang mendalam terhadap Rasulullah SAW. Tambahan pula, sebilangan ulama agak longgar (tidak mengenakan syarat yang begitu ketat) dalam menerima riwayat-riwayat yang berkaitan dengan sirah ini.

  • Abu Musa al-Asy‘ari R.A

Telah diriwayatkan daripada Abu Musa R.A, beliau berkata: Aku melihat Rasulullah SAW dalam mimpi, Baginda berdiri di atas sebuah gunung dan di sampingnya ada Abu Bakar. Ketika itu, Rasulullah SAW memberi isyarat kepada Umar untuk datang mendekat. Maka aku berkata: ‘ إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ’. Demi Allah, Amirul Mukminin (Umar) telah wafat!’ Lalu seseorang berkata kepadanya: Tidakkah engkau mahu menulis surat tentang mimpi itu kepada Umar? Abu Musa menjawab: Aku tidak akan menyampaikan berita kematiannya kepada dirinya sendiri. (Lihat al-Riyadh al-Nudhrah fi Manaqib al-’Asyarah, hlm. 355)

Daripada sini jelas menunjukkan kisah para sahabat yang bermimpi melihat Rasulullah SAW, lalu kemudian dikhabarkan kepada sahabat-sahabat mereka atau keluarga mereka.

Kami juga ada menulis berkenaan isu ini dalam eBook kami bertajuk: Melihat Rasulullah SAW di Alam Mimpi: Antara Kebenaran dan Dakwaan.[1]

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu.”

Nota Hujung:

[1] Untuk bacaan lanjut, boleh mendapatkannya di pautan berikut: https://play.google.com/store/books/details?id=R6Q2EQAAQBAJ